Khamis, 18 Mei 2017

Sesi Soal Jawab Erry Arham Azmi Bersama: Muhammad Faizal Sidik'

Oleh: Erry Arham Azmi


Erry Arham Azmi (2016), 'Sesi Soal Jawab Erry Arham Azmi Bersama: Muhammad Faizal Sidik' dalam Soal Jawab Peranan Kurator Seni Visual Malaysia: Siri I, Penerbit EAA, Shah Alam, ms 98-109.



AA: Assalamualaikum Encik Faizal dan terima kasih kerana sudi melapangkan waktu untuk ditemui bual. Tujuan temu bual ini dijalankan adalah untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan peranan kurator dan tugas kuratorial. Sebagai permulaan, boleh En Faizal berkongsi sedikit tentang latar belakang serta pengalaman En. Faizal ?

FS: Terima kasih. Saya berumur 35 tahun dan mula berkhidmat sebagai kurator di Balai Seni Visual Negara pada tahun 2010. Sebelum itu saya berkhidmat sebagai tenaga pengajar dibeberapa buah IPTA dan IPTS. Bermula pada tahun 2001, selepas tamat pengajian dari ITM cawangan Perak, saya dijemput untuk menjadi tenaga pengajar secara kontrak di ITM dan mengajar dalam bidang Seni Halus, pengkhususan dalam seni arca. Setahun selepas itu, sekitar 2002 hingga 2008 saya mengajar dibeberapa tempat lain antaranya adalah di MTDC Multimedia Academy, UPM dan kolej swasta. Tahun 2009 saya berkhidmat bersama Segi College, di Kota Damansara dan pada tahun 2010 mula berkhidmat dengan Balai Seni Lukis Negara hingga kini

AA: Jadi, bila Encik Faizal mula terlibat dalam kerja kuratorial atau menjadi kurator?

FS: Saya memulakan tugasan kuratorial ini sejak mula mengajar di ITM Perak sekitar tahun 2001. Saya berperanan mengelolakan pameran yang bertajuk 'Dinamika Tampak' yang bertempat di Yayasan Kesenian Perak di bawah naungan Raja Ahmad (Aminullah). Kurator yang turut membantu ketika itu ialah Nur Hanim Khairuddin dan Zazlan Zeeha. Tugasan ini masih diteruskan ketika masih berkhidmat di MTDC Multimedia Academy, dimana pihak pengurusan kolej telah memberi peluang untuk saya menguruskan galeri di kolej tersebut. Kadang-kadang khalayak luar tidak nampak apa yang kita lakukan dengan kerja dan artwork yang ada,  jadi masa di MTDC itu ada beberapa galeri dan saya bahagikan kepada satu galeri pelajar. Maknanya di situ saya pemerkan hasil karya-karya pelajar MTDC tu berfokus kepada multimedia, kerja animasi, grafik, multimedia maknanya ia bukan fine art. Tugas saya juga untuk jemput artis luar datang untuk buat group show.

AA: Apakah peranan Faizal ketika itu? Adakah sebagai seorang kurator atau seorang pengurus pameran?

FS: Saya bertindak sebagai seorang kurator.

AA: Adakah ini titik permulaan En. Faizal dalam bidang kuratorial?

FS: Pengalaman saya dalam bidang kuratorial ini secara rasminya bermula pada tahun 2001. Saya banyak terlibat dalam menguruskan pameran dan menghasilkan penulisan yang berkaitan sesebuah pameran.

AA: Berdasarkan pengalaman En. Faizal sebagai seorang kurator sebelum ini dan di luar konteks organisasi Balai Seni Lukis Negara, apakah tugasan yang sering dilakukan?

FS: Pelbagai tugasan yang saya lakukan sebelum ini, antaranya mengumpul bahan untuk penyelidikan serta tugasan kerja pra produksi sehingga pasca produksi

AA: Adakah sepanjang proses tugasan ini En Faizal mempunyai pembantu?

FS: Tidak. Kebanyakan tugasan termasuk susunan karya serta promosi juga turut saya laksanakannya sendiri, kecuali tugasan penggantungan karya, di mana akan ada penglibatan di kalangan pelajar-pelajar ketika itu. Dari segi tugasan promosi, saya juga yang merancang dan mengatur janji temu bersama pihak media.

AA: Tahun 2010 En. Faizal mula berkhidmat dengan Balai Seni Lukis Negara dan memegang jawatan kurator. Pada waktu itu En. Faizal ditempatkan di bahagian mana?

FS: Pada permulaannya saya ditempatkan di Bahagaian Koleksi dan Konservasi.

AA: Apakah tugasan dan tanggungjawab En. Faizal semasa di tempatkan di Bahagian Koleksi dan Konservasi.

FS: Ketika itu saya berperanan sebagai pendaftar karya. Karya-karya yang terpilih sebagai koleksi akan didaftarkan. Disamping itu saya juga turut terlibat dalam tugasan penyelidikan terhadap karya koleksi, perolehan karya koleksi, pemantauan terhadap karya koleksi serta bertanggungjawab dalam memilih karya-karya koleksi untuk dipamerkan di galeri.

AA: Pada tahun berapa En. Faizak ditukarkan ke Bahagian Penyelidkaan dan Pameran ini?

FS: Saya lebih banyak menjalankan tugasan penyelidikan. Penyelidikan itu tidak terus ke koleksi saja, maknanya saya boleh buat penyelidikan apa-apa sahaja untuk pameran yang ingin dijalankan, disamping membuat penyelidikan semasa iaitu karya koleksi. Bahagian penyelidikan sebenarnya menyokong pameran,  jadi banyak penyelidikan yang dilakukan adalah berteraskan kepada pameran, contohnya dari segi bahannya, artisnya, atau bentuk pameran. Saya lebih berminat untuk menyelidik koleksi BSVN sebenarnya, saya rasa banyak lagi kita boleh kongsikan dengan masyarakat tentang koleksi kita terutama di BSVN ini. Sebagai satu inisiatif yang lebih cepat, saya tulis dalam majalah Senikini, yang BSVN keluarkan sendiri.

AA: Antara tulisan-tulisan yang pernah Encik Faizal hasilkan?

FS: Ada beberapa yang saya tulis tentang Robert Rauschenberg, 'Yang Teragung' antaranya. Masa Rauschenberg buat pameran bergerak ROCI (Rauschenberg Overseas Cultural Interchange) di BSLN. Terbaru saya hantar penulisan saya ke Dewan Budaya dan saya tulis tentang Redza Piyadasa, Lee Kian Seng dan ada beberapa lagi yang saya tulis dari kita (BSVN) punya koleksi. Pada masa yang sama, saya sempat menguruskan pemeran bertajuk 'Seni Konseptual', koleksi Balai Seni Visual Negara. Saya mengkuratorkan pameran ini bersama Nasir Baharuddin, dan yang lain saya sempat mengkuratorkan pameran 'Wayang Angkat Saksi', koleksi milik U-Wei Shaari.

AA: Selama 3 tahun berkhidmat dengan pihak Balai Seni Visual Negara dan sebelum ini dengan pihak luar, apakah perbezaan dan persamaan yang En. Faizal boleh kongsikan bersama mengenai peranan dan tanggungjawab kurator?

FS: Ketika bergerak sebagai kurator bebas, segalanya berada, segalanya berada di dalam kawalan kita untuk menentukan apa saja yang perlu kita lakukan. Saya juga bebas untuk memilih tajuk dan tempat sendiri tanpa wujud halangan dari pihak lain, kalau kita buat satu, kita sendiri yang tanggung risiko dia, maknaya tidak membabitkan orang lain atau orang atasan (ketua). Jika dibandingkan dengan berkhidmat dengan pihak institusi, ada perkara kita perlu patuh dan hormat pada kehendak institusi itu kembali.

AA: Boleh En. Faizal kongsikan antara contohnya?

FS: Sebagai contoh jika di institusi, tajuk bagi sesebuah pameran telah dibincangkan dan ditetapkan. Peranan kurator di institusi itu pula adalah menerima serta melaksanakan pameran yang telah disenaraikan itu sehingga selesai. Situasi yang berbeza dengan perihal kurator bebas yang berada di luar institusi. Iaitu kurator bebas berhak memilih, menerima mahu pun menolak sesebuah pameran dari pelukis yang diberikan kepadanya berdasarkan keperluan yang ingin dikongsikan bersama masyarakat di luar kelak.

AA: Bukankah kurator di institusi berperanan dalam membina laluan berpameran kepada pelukis di luar sana?

FS: Ya memang benar. Kadang kala kurator di institusi juga bebas memilih corak persembahan pameran. Berbeza dengan kurator bebas, terdapat juga kengkangan sumber wang ringgit dan sebagainya.

AA: Adakah ini bermaksud kurator bebas lebih bergantung kepada projek?

FS: Oleh kerana segalanya diurus selia secara sendiri, perbelanjaan serta peruntukkan sendiri bagi setiap pameran, maka perlu ada usaha lebih bagi seseorang kurator bebas itu untuk keluar mencari dana. Tujuannya adalah untuk keperluan penerbitan, iaitu sama ada buku atau pun katalog. Ini dilihat amat penting kerana kita perlu merekod serta mendokumentasi segala perjalanan dan proses bagi sesebuah pameran yang telah dijayakan. Itu dari segi dana, dari segi mencapai kepuasan pada pendapat saya, menjadi kurator bebas lebih puas berbanding berada di dalam sesebuah institusi. Sebagai kurator bebas atau pun indie, pergi ke rumah artis dengan pakaian biasa itu akan membuatkan mereka agak selesa. Tapi bila kita berpakaian kemas, kasut kilat, bertali leher ataupun berkolar, atau berkemeja, mereka macam takut-takut untuk bercakap dengan kita. Dari segi hubungan, kalau kita berpakaian bebas dan kita jumpa mereka di mana-mana, agak mudah kita hendak berkomunikasi dengan mereka, misal kata hendak kongsi, sebab kita perlukan maklumat mereka untuk buat pameran. Kadang-kadang sebagai kurator di situlah menyekat sedikit sebanyak informasi yang kita perlukan apabila kita datang secara formal. Sebagai kurator bebas juga kita punya kebebasan masa bekerja dan tidak seperti kurator institusi yang memperuntukkan masa kerja tetap iaitu 8 pagi hingga 5 petang.

AA: Jika dilihat dari sudut kerja kuratorial di institusi seperti Balai Seni Visual Negara ini, pasukan kuratornya bekerja dan bergerak dalam satu pasukan semasa melaksanakan tugasan yang diberikan. Kurator bebas pula seperti yang En. Faizal maklumkan sebelum ini bekerja dan bergerak secara sendirian. Apa pendapat En. Faizal tentang hal ini?

FS: Saya berpendapat bekerja secara sendirian adalah lebih mudah dan bebas. Namun tidak dinafikan bekerja secara berpasukan ini adalah lebih baik hasilnya. Bermula dari sesi perbincangan kita akan temui perkara atau ruang-ruang yang perlu diperbaiki atau diperkemaskan, Ini berlaku melalui pengamatan dari rakan sepasukan lain yang sama-sama turut mempunyai objektif yang sama dalam setiap tugasan yang diterima. Setiap tugasan yang diamanahkan mempunyai agenda, visi, sasaran juga standard yang perlu dicapai. Segala perlaksanaan tugasan dilakukan secara kolektif. Namun jika bergerak seorang kurator bebas, apa yang lebih penting adalah kepuasan dalam menjayakan tugasan tersebut.

AA: Apa pandangan En. Faizal mengenai artis menjadi kurator dan kurator menjadi artis? dan bagaimana pula En. Faizal lenih selesa menjadi artis atau kurator?

FS: Kedua-duanya, sebab bagi saya sebagai kurator sebenarnya saya bekerja untuk rakyat dalam tempoh waktu bekerja yang telah ditetapkan oleh institusi. Lepas dalam pukul enam lebih hingga ke malam itu waktu saya sebagai artis. Itulah masa saya sendiri untuk berkarya sebenarnya bukan saya sahaja, malah kurator-kurator dulu seperti Syed Ahmad Jamal, Ismail Zain dan lain-lain,  praktis mereka sebegini juga. Situasi ini berlaku dan ianya dibenarkan pada waktu itu. Sebagai contoh Syed Ahmad Jamal pada satu ketika dahulu merupakan seorang berjawatan tinggi iaitu pengarah dan juga Ketua Kurator. Namun pada masa sama beliau juga aktif berkarya dan berpameran di beberapa tempat termasuk di Balai Seni Lukis Negara ini sendiri.

Ini bukan sahaja di Malaysia, tapi di tempat lain juga berlaku, sebab kelopongan dari segi kuratorial. Dari segi kepercayaan juga menjadi faktor, maknanya ada juga artis yang tidak percaya pada kurator dan artis percayakan diri sendiri, maknnya dia lebih faham tentang karyanya sendiri, macam mana cara persembahan karya, hinggakan dia dia kuratorkan pamerannya sendiri. Selain itu faktor kurator tak ada latar belakang studio menjadi sebab artis menjalankan kerja kurator. Seorang artis walaupun mereka belajar berkaitan praktikal seni, mereka juga belajar sejarah seni, teori, falsafah seni, estetik. Maknanya dia faham macam mana nak gabung antara praktikal dengan teori. Dari segi teori dan praktiknya peranan kedua-kedua ini sama penting dan saling berkait yang perlu ada dalam kerja kurator.

AA: Secara peribadi, sepanjang menjadi kurator bebas di luar dan di institusi, pameran apakah yang memberi impak besar kepada En. Faizal dari sudut tugasan kuratorial dan pameran itu sendiri?

FS: Pameran Rauschenberg. Ini kerana Rauschenberg telah memilih Malaysia sebagai destinasi pameran bergeraknya selepas menjelajah ke benua lain sebelum ini. Pada ketika itu ia bagaikan satu fenomena, dimana semua orang memberi tumpuan penuh kepada kedatangan beliau. Pelbagai pihak terlibat dengan urusan dan pengendalian sepanjang pameran ini berlangsung. Bermula dari ketibaan kontena yang dikawal rapi oleh pihak trafik dan helikopter sehingga selesai pameran. Rata-rata menyambut baik pameran ini kerana pihak Balai berjaya membawa masuk satu nama besar seni lukis ke Malaysia. Antara pameran lain adalah pameran Lee Zi Jian dari Negara China. Pameran ini dianggap bejaya dari segi publisitinya berdasarkan jumlah pengunjung yang hadir ketika itu berada di luar jangkaan. Kalau tak silap saya, ada bayaran masuk dikenakan dalam seringgit dan walaupun benda itu berbayar, seingat saya tapi ramailah 'boom', orang kata memang meletup, maknaya orang datang. Saya kira ini adalah sebuah pameran yang berjaya, berjaya dari segi publisiti, dari segi popularitinya apabila diukur dari segi kunjungan khalayak.

AA: Antara tangungjawab seorang kurator adalah memilih artis, membina konsep pameran dan pada masa yang sama mendidik khalayak. Bagaimanakah bentuk pendidikan itu ditransformasikan sepanjang kerja kuratorial dijalankan di dalam sesebuah pameran?

FS: Bagi saya setiap kali kita bina sesebuah pameran, disamping kita hendak mempamerkan ataupun mengetengahkan artis dan karya-karyanya juga, kita juga mahu khalayak masuk itu melihat karya, adanya teks dinding, teks dinding itu pun susah dikira sebagai satu tujuan mendidik, dan saya lihat benda ini semua satu bahan-bahan yang diujikaji, ada dia punya tajuknya, ada bahan-bahannya yang digunakan, ada labelnya sendiri, adanya dia punya bahan-bahan mendidik seperti risalah, katalog, video temuramah dengan artis. Maknanya proses mendidik itu bukan sahaja berlaku hanya secara formal, di dalam kelas ke, tapi formal dan santai. Masyarakat nampak pendidikan mendidik, hanya melalui buku atau fakta-fakta dan tidak berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang tidak formal. Visual juga adalah salah satu maklumat mendidik cuma cara persembahan dan corak pendidikannya berbeza. Pendidikan itu sendiri memerlukan visual, jadi saya kira benda ini perlu diseimbangkan antara teks visual. Katalog kita hasilkan, brosur kita hasilkan, temuramah, semua itu adalah pendidikan yang boleh digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Kalau sesebuah produk untuk pameran itu mempunyai satu pengunjung yang lebih spesifik itu lagi bagus. Maknaya ia memberi satu medium pengajaran yang lebih spesifik untuk mempertengahkan atau memperdalamkan lagi pemahaman pelajar sendiri. Kita adalah satu dokumentasi sejarah ataupun satu dokumentasi tentang satu penyelidikan  tertentu yang ingin dikongsikan kepada masyarakat supaya memberi kefahaman. Itu boleh meningkatkan lagi pemahaman dan meningkatkan status diri sebagai seorang manusia.

AA: Soalan terakhir dari saya, apakah kerja kuratorial yang En. Faizal sedang jalankan sekarang?

FS: Sekarang ini,  saya terlibat dengan satu pameran dan akan bekerjasama dengan seorang kurator daripada Singapura. Pada bulan Februari kami akan buat projek kolaborasi bertajuk 'Penglipur Lara'. Maksud penglipurlara itu adalah orang yang bercerita perkara sedih-sedih. Kita ambil konsep penglipur lara dalam konteks Asia Tenggara. Kita akan memperlihatkan beberapa seniman dari Asia Tenggara. Saya juga dijemput sebagai kurator bersama (co-curator) Singapore Biennale 2013 dan ditugaskan untuk melihat seni rupa di Malaysia, Saya ini sebagai koresponden dan saya di bawah bendera Malaysia dan ada lagi 27 orang kurator (co-curator) yang lain.

AA: Ok terima kasih banyak En. Faizal kerana berkongsi maklumat

FS: Sama-sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan