Oleh: Faizal Sidik
Add caption |
Oleh:
Faizal Sidik, 'Merindui 'jiwa' Sudut Penulis', Berita Harian (Sastera & Budaya), Selasa, 2 Mei 2017, ms 30.
Faizal Sidik, 'Merindui 'jiwa' Sudut Penulis', Berita Harian (Sastera & Budaya), Selasa, 2 Mei 2017, ms 30.
Seniman-seniman Renaisan
mereka bergerak atas dasar pencerahan yang dibawa oleh ahli falsafah dan juga
reformis-reformis seperti Rene Descartes, Spinoza yang menyarankan pentingnya
perubahan-perubahan dimana sebelum ini Eropah berada di Zaman Gelap hampir 1000
tahun. Maka lahirlah seniman-seniman Venice seperti Leonardo da Vinci,
Micheangello, Donatello dan lainya. Mereka ini bukan sahaja pelukis misalnya
khalayak sering mengaitkan Leonardo dengan catan Mona Lisa di Muzium Louvre,
karya itu hanyalah sebahagian daripada manifestasi zaman itu yang mempercayai
realisme, naturalisme yang menyarankan rasionalisme atau berfikir dengan akliah
yang waras tetapi juga menerobos juga dalam bidang-bidang yang lain juga,
Leonardo juga seorang saintis, jurutera, arkitek dan pereka hasil perasaan
ingin tahu selepas runtuhnya kuasa gereja yang memasung fikrah mereka selama
ini. Daripada perasaan ingin tahu tentang dunia maka bermullah ekspedisi
pelayaran mengelilingi dunia yang dibiayai oleh istana dalam mencari-cari
sumber-sumber baru di Timur sehinggalah ke Melaka.
Penciptaan dan penerokaan awal
mereka ini pula telah membuka laluan kepada Revolusi Perancis oleh Jean
Rousseau yang merupakah ahli falsafah, penulis dan komposer muzik abad ke-18
dengan Revolusi Perancis yang juga dikenali Revolusi Perindustrian dalam seni
lukis misalnya menghasilkan cara baru dalam menghasilkan warna dengan cepat
maka Paris telah menjadi pusat seni penting oleh seniman bukan sahaja daripada
benua Eropah malah Amerika Utara, Amerika Tengah, Amerika Selatan dan dari Timur.
Mereka migrasi ke lingkuangan artistik ini memahami falsafah pengkajian cahaya
dan warna dalam Impressionis, Cafe Montparnsse di Paris telah menjadi pusat
intelektual dan artistik bukan sahaja kepada pelukis atau pengarca tetapi
penulis, penyajak, pengarah filem duduk berbincang dalam merencana. Seniman
seperti Manet, Degas Pablo Picasso, Jean Cocteau, Marc Chagall, Fernand Leger,
James Joyce, Ernest Hemingway, Amedeo Modigliani, Ezra Pound, Marcel Duchamp,
Constantin Brancusi, Diego Rivera, Alberto Giocometti, Andre Breton, Salvador
Dali, Samuel Backett dan Joan Miro adalah antaranya.
Hubungan ini sukar untuk
dilihat dimana-mana lagi kecuali kita disini di sekitar tahun 1960 an hingga
1980-an apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menyediakan satu ruang iaitu dewan
Sudut Penulis di bangunan lama DBP bukan sahaja untuk penulis berwanca mengenai
pengkaryaan mereka tetapi untuk terbuka untuk pelukis, pengarca, penyajak, lain
untuk duduk berbicang mengenai pengkaryaan seni tanahair antara mereka ini
ialah Usman Awang, Keris Mas, Samad Ismail, A. Samad Said, Baha Zain, Maarof
Saad, Jaafar H.S. Sutung Umar RS, Ismail Zain, Syed Ahmad Jamal, Redza
Piyadasa, Suleiman Esa, T.K Sabapathy, Joseph Tan, Krishen Jit, Kamarul
Ariffin, Sharifah Fatimah Zubir, Ahmad Khalid Yusof, Tan Teong Eng, Grace
Selvanayagam dan lain-lain. hasilnya pameran ‘Toward of Mystical Reality’ 1974
di pamerkan selain pameran ‘Manifestasi Dua Sen I’ 1970 dan ‘Manifestasi Dua
Sen II’ 1971 yang disenggara oleh Usman Awang editor Dewan Sastera ketika itu
untuk menghubungkan seni lukis dan sastera.
Pameran ‘Toward of Mystical
Reality’ (TMR) telah mengundang perdebatan seni bukan sahaja di kalangan
pelukis malah penulis, penyair dan ahli akademik. Sutung Umar salah seorang
penolong editor majalah Dewan Sastera terawal dan juga yang mencetuskan Polemik
Kesusteraan Islam di antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad yang mengemparkan
dunia kesusasteraan pada suatu ketika dahulu pernah menceritakan bagaimana
semasa perasmian yang dirasmikan oleh Ismail Zain itu mencetuskan perasaan
cemas kepada Redza Piyadasa dan Suleiman Esa kerana penyajak Salleh ben Joned
telah meyiram urinalnya ke dalam pasu bunga yang merupakan objek yang terdapat
dalam pameran itu. Menurut beliau lagi yang berada di dalam dewan Sudut
Penulis itu lagi bahawa kegilaan Salleh itu sebenarmya untuk membuang
‘sisa perkumuhan’ ke salah satu karya di dalam pameran itu namun membatalkan
hasratnya itu.
Dewan Sastera yang merupakan
majalah sastera dan seni budaya yang terawal pada masa itu dibawah kendalian
Usman dan Sutung telah mencetuskan medan wacana kritikan seni yang hebat
berkenaan seniman TMR dengan pengkritik-pengkritiknya antaranya Siti Zainon Ismail “Pengaruh
dan Identiti dalam Seni Lukis” (Mac 1975) dijawap oleh Piyadasa
dengan “Satu Jawapan Terhadap Tulisan Siti Zainon” (Mac 1975),
Siti Zainon membalas pula dengan “Satu Esei untuk Piyadasa” (Mei
1975), dikembalikan semula Piyadasa dalam “Lagi Satu Jawapan Untuk Siti
Zainon” (Jun 1975), kemudian dicelah oleh Salleh Ben Joned dengan
tulisan bertajuk “Kencing dan Kesenian: Surat Salleh ben Joned untuk
Piyadasa” (Julai 1975). Beberapa bulan tahun itu Dewan
Sastera di isi dengan tangkisan oleh Piyadasa terhadap pengkritik-pengkritiknya
itu. Sebelum debat itu hadir Raja Zahabuddin Raja
Yaacob juga telah terlebih mencetuskannya dengan“Wawancara Dengan Dua Orang
Pelukis Konseptual” di dalam Dewan Sastera (Julai 1974) dan “Seni
Lukis Membosankan” di Berita Mingguan (4 Ogos 1974) di samping
Krishen Jit yang menggunakan nama pena Utih dengan “Towards a Mystical
Reality” di Sunday Times (4 Ogos 1974) Perdebatan seni
yang dilontarkan menerusi persoalan-persoalan dan jawapan-jawapan ini boleh
dikatakan sebagai pencetusnya sejarah kritikan seni yang terawal di negara ini
yang mempersoalkan antara karya seni dan bukan karya (objek) yang setelah itu
membangkitkan gerakan kesedaran umum tentang seni lukis agar seni itu kembali
kepada rakyat apa yang yang dikatakan sebagai ‘Seni untuk Masyarakat’. Inilah
wadah yang seharusnya berlaku dalam dunia penerbitan seni pada hari ini di sini
agar ia dapat mencerna budaya ilmu diantara seniman dan kesenimannya.
Namun itu sebelum itu terdapat
juga percubaan-percubaan yang dilakukan kearah itu seperti pameran ‘The New
Scene’ pada tahun 1969 yang diadakan di Gallery Eleven oleh pengkarya yang baru
balik setelah menerima pendidikan di luar yang membawa idea-idea seni reka
Bauhaus oleh Tan Tong Eng, Tan Tuck Kan, Tan Teong Kooi, Jolly Koh dan Redza
Piyadasa yang bernafas Konseptual dan Minimalis sebagai reaksi terhadap gerakan
Ekspresionis Abstrak yang di bawa oleh Syed Ahmad Jamal, Latif Mohidin, Yeoh
Jin Leng dan lain-lain, walau bagaimanapun tidak banyak lontaran kritikan yang
boleh dikongsikan untuk khalayak seni negara ini melihat pertembungan ini
melainkan penulisan oleh Azmi Manaf ‘Avant Garde’ di Dewan
Sastera, Okober 1971.
Selepas itu terdapat dua lagi pameran yang diadakan
iaitu ‘Experiment’ 1971 yang juga diadakan di Galeri Eleven oleh
seniman-seniman seperti Chong Kam Kow, Redza Piyadasa, Suleima Esa, Tan Tuck
Kan dan Teong Eng dan ‘Dokumentasi’ 1972 di Samat Art Gallery oleh Redza
Piyadasa dan Suleiman Esa yang mana pameran ini ditulis oleh Ismail Zain dengan
tajuk ‘Malaysia Art-Quao Vadis?’, ini merupakan gabungan pertama
mereka berdua sebelum tampil di Sudut Penulis, DBP dengan‘Situasi Baru’, 1971
dan ‘Towards Mystical Reality’, 1974. Selepas itu seniman yang bergerak secara
kolektif yang membawa Minimal-Konstruktif ini berpecah dan bergerak secara
solo. Misalnya Piyadasa ke arah rupa Malaysia dan Suleiman ke arah seni Islam.
Terdapat juga usaha untuk mewujudkan semula ruang
ini untuk pelukis mengadakan pameran selepas siapnya bangunan baru di tapak
Kedai Buku DBP kini seperti pameran solo ‘Akal Dimata Pisau’ oleh Juhari Said
pada tahun 2003 dan beberapa pameran lain. Seniman, sasterawam dan budayawan
merindui ‘jiwa’ Sudut Penulis ini untuk terus berwancana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan