Oleh: Rafeaton Fauzi, Hasliza Abdullah & Seow Siew Ling
BacalahMalaysia TV, 10 Mei 2017
Transkrip penuh:
Narator: Siapa yang tidak pernah dengar kisah lagenda Puteri
Gunung Ledang, boleh dikatakan hampir setiap rakyat Malaysia mengetahui kisah
sang puteri yang amat rupawan dan boleh
berubah wajah demi menjaga dan melindungi Gunung Ledang. Sejarah dam mitos
menunjukkan Gunung Ledang kawasan yang kaya dengan emas yang turut menarik
kehadiran pedagang asing sejak dahulukala. Apa yang menarik kisah dongeng
peminangan Puteri Gunung Ledang dan penemuan sebuah taman kayangan yang
diceritakan di dalam Sulalaltus Salatin atau Sejarah Melayu diterjemahkan dalam
bentuk catan songket. Cetusan idea dan kreativiti catan songket atas kanvas ini
diilhamkan kurator Balai Seni Visual Negara dan pelukis tempatan Faizal Sidik.
Faizal berjaya menghidupkan imaginasi
taman misteri Gunung Ledang dengan menggabungkan kraf dan kesusasteraan tradisi
tentang perjalanan Tun Mamat dan Laksamana yang melalui sebuah taman kayangan
ketika misi meminang Puteri Gunung Ledang.
Taman misteri ini berjaya dijelmakan melalui pameran solo Faizal selama
hampir sebulan yang berlangsung di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya Kuala
Lumpur baru-baru ini. Pameran ‘Faizal Sidik: Catan Songket’ menghimpunkan lebih
50 karya seni terbaharu yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga 2016.
Faizal Sidik: Ada satu babak dimana orang suruhan Sultan iaitu Tun
Mamat dan Laksamana telah naik ke Gunung Ledang untuk meminang, jadi dalam pada
untuk menaiki Gunung Ledang dia terjumpa sebuah taman yang indah. Jadi taman
yang indah itu inilah yang saya cuba gambarkan yang diinspirasikan daripada
motif songket.
Narator: Pameran solo beliau ini juga adalah adaptasi prihatin
Faizal terhadap manuskrip Sejarah Melayu yang mempunyai pelbagai versi dan salinannya
yang tersimpan di beberapa perpustakaan utama seperti di kota London, Belanda, Jakarta
dan Rusia. Catan songket atas kanvas oleh Faizal pula adalah satu kesinambungan
tradisi dalam bentuk lukisan kontemporari yang menggunakan motif bunga-bungaan
songket seperti bunga bintang, bunga tanjung, bunga matahari, awan larat dan
lain-lain. Faizal adalah seorang yang tekun dan fokus dalam setiap kajian dan
kepekaannya dalam memahami ilmu seni halus khususnya berkaitan alam dan raja.
Karya-karya Faizal mengangkat martabat kesusasteraan Melayu tradisional sebagai
wadah komunikasi yang ditampung dengan teknik visual songket, lambang nilai
estetika tanpa sempadan. Merenung ke jendela masa, Faizal anak kelahiran
Petaling Jaya ini gigih menyusuri setiap sempadan negara hingga ke peringkat
dunia dalam mencari idea-idea baru termasuk ke Berlin, Rom dan Venice untuk
memartabatkan khazanah seni negara.
Faizal Sidik: Saya nampak kita ini sebenarnya perlu bertanya semula
dimanakah asalnya kita. Maksudnya disini adalah kita tidak harus menghasilkan
karya sseni sama seperti mereka (Barat) kerana ia hanya sesuai dengan iklim dan
suasana disana. Inspirasi saya datangnya dari rantau Asia Tenggara ini, saya
nampak songket ini adalah satu kraf tradisi yang banyak lagi yang boleh
diperkongsikan.
Narator: Selain mengadakan pameran solo dan berkumpulan, Faizal
juga giat mengkuratorkan pemeran seni, penulisan seni untuk katalog, akhbar
harian, majalah dan juga blog. Apa yang pasti himpunan catan songket di atas
songket Faizal ini adalah kesinambungan tradisi dalam bentuk catan
kontemporari. Catan songket sebegini bukan sahaja mampu memberi dimensi baru
dalam dunia catan tanahair, namun ia sekaligus mempamerkan keunikan karya pelukis
tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan