Artikel ini merupakan teks penuh daripada esei yang bertajuk 'Dari Peribumu Ke Seni Islam', dalam Katalog Pameran Seni Negaraku, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. 42-47
Oleh: Faizal Sidik
"Sesungguhnya
aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi,
sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang
menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
Negaraku telah lama
wujud di sini, sejarah membuktikan bahawa kita telah berada di rantau ini sejak
zaman pra-sejarah lagi. Adi Haji Taha (1989) menyatakan di Semenanjung Malaysia
terdapat artifak Kebudayaan Tampan yang ditemui di Kota Tampan, daerah
Lenggong, Perak menunjukkan kewujudan manusia Paleolitik yang memberi kepada
kita tarikh manusia telah wujud di negara kita sejak 40,000 hingga 50,000 tahun
yang lalu untuk kebudayaan ini. Walaubagaimanapun
Mokhtar Saidin (2008) menafikannya dan
kajian arkeologi menunjukkan bahawa bukti kewujudan manusia terawal di negara
ini adalah sekitar 200,000 tahun dahulu.
Selain jumpaan yang
sama juga di temui di Gua Niah di Kepulauan Borneo menurut Abdul Rahman
Al-Ahmadi (1997) lagi era Mesolitik atau Hoabinh terdapat jumpaan lukisan dan
lakaran gua ditemui di Gua Tambun, Perak yang mengambarkan lukisan orang sedang
menari dengan tangannya memegang arang dimana dibahagian kepada orang itu penuh
dengan dekorasi tumbuh-tumbuhan, selain itu ada juga lukisan rusa dan pemburu yang
dikatakan berwarna kuning tanah.
Di Sarawak catan gua
ditemui di Lubang Batu Putih, Gua Sarang di daerah Bintulu. Antara artifak
Neolitik yang ditemui di situ adalah barang hiasan seperti gelang yang
diperbuat daripada batu dan rantai leher yang dicat. Penemuan rangka terbaru
manusia purba Neolitik baru-baru ini di Gua Kepah, Kedah yang berusia 5,000
hingga 6,000 tahun di kawasan arkeologi itu membuktikan wujud juga manusia
prasejarah Neolitik di Semenanjung Malaysia yang memetakan negara kita sebagai
tapak penting dalam arkeologi dunia.
Adi Haji Taha (1989)
mengemukakan lagi bukti yang dikira penting untuk mengaitkan artifak arkeologi
prasejarah di Tanah Melayu dengan Orang Asli adalah linguistik, yang mendapat
perhatian oleh ahli arkeologi, menurutnya di tanah Melayu, penduduk asli terdiri
dari dua golongan besar iaitu Melayu dan Orang Asli yang kemudiannya boleh
dibahagikan kepada beberapa kumpulan etnik yang lain. Dari sudut linguistik,
orang-orang Melayu bertutur di dalam bahasa yang digolongkan sebagai
Austronesia, yang mempunyai asasnya di Taiwan, dan dipercayai perkembangan
pertuturan bahasa ini berlaku kira-kira 5,000 tahun dahulu dan dipercayai
bertapak di negara ini kira-kira 2,000 tahun silam.
Daripada pembuktian
artifak dan mentifaks oleh sarjana-sarjana tempatan ini, jelas kepada kita
bahawa Malaysia mempunyai sejarah seni budaya yang panjang bukan hanya bermula
kejatuhan Melaka atau sebagai sebuah negara baru selepas kemerdekaan seperti
yaang sering disebut oleh sesetengah sarjana Barat tetapi sejak pada zaman pra
sejarah lagi bukti sangkalan ini boleh dilihat melalui kesenian purba seperti alat
batu, kesenian tembikar, kesenian alat logam, lukisan dan lakaran pada
dinding-dinding gua dan linguistik. Peninggalan-peninggalan artifak adalah
adalah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh kita, kerana sebenarnya ketamadunan kita
telah mendahului sesetengah negara mereka sejak awal lagi.
Selepas berakhir
zaman purba pengaruh Hindu dan Buddha di tanah Melayu hadir melalui perdagangan
dan pengembaraan misalnya di tanah Melayu pusat tamadun ini bertapak di Lembah
Bujang, Kedah. Ciptaan manusia semakin bertambah kompleks, mereka telah mula
pandai membuat binaan sendiri daripada tanah dimana terdapat tinggalan
candi-candi acara ritual diadakan. Pengaruh Hindu Buddha tidak sahaja berlaku
di Semenanjung Malaysia malah ke Sumatera, Jawa, Bali, Borneo dan Indo-China.
Candi Lembah Bujang (110 SM) dikatakan binaan tertua pengaruh Hindu Buddha di
Asia Tenggara yang pernah direkodkan selain Angkor Wat (7 M) di Kemboja dan
Borobodur (8 M) di Indonesia.
Setelah itu, Islam telah
datang ke Asia Tenggara, Othman Yatim (1997) mengatakan terdapatnya batu nisan
berukir bertarikh 1297 yang dikenali sebagai Batu Aceh yang ditemui pada di
Sumatera utara pada akhir abad ke 13 oleh kalangan kerabat diraja mengesahkan
lagi jenazah pemerintah Samudera-Pasai yang kini dikenali sebagai Acheh iaitu
Malik al-Salleh yang dikebumikan sebagai orang Islam menunjukkan bukti Islam
bertapak di rantau ini. Manakala itu menurut beliau agama Islam sampai di
Malaysia pada abad 13 hingga 14 Masihi, ini disahihkan dengan penemuan Batu
Bersurat bertarikh 702 Hijrah atau 1303 di Kuala Berang, Terengganu.
Kedudukan Selat
Melaka yang terletak strategik ditengah-tengah laluan perdagangan antara Timur
dan Barat telah menjadikannya Melaka sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa yang
mashyur pada abad ke-15 bukan sahaja bagi pedagang Arab, India dan China malah
sampai ke Venice, Eropah pada ketika itu. Melaka mencapai kegemilanganya
dibawah Kesultanan Islam di dalam pentadbirannya. Tidak hairanlah nama Melaka
menjadi sebutan semasa zaman Renaisan di Barat. Dari sini berlaku ekspedisi-ekspedisi
‘veni, vedi, vici’ atau ‘kami datang,
kami lihat, kami takluk’. Bermulalah episod gelap tanah Melayu bertukar ganti
selama hampir 5 abad menjadi jajahan takluk oleh Portugis selama 130 tahun
(1511-1641), Belanda selama 183 tahun (1641-1824), British selama 116 tahun (1824-1940),
Jepun selama 5 tahun (1941-1945) dan British sekali lagi selama 11 tahun (1946-1957).
Penjajahan luar dan
pergolakan-pergolakan dalaman itu telah membantutkan ketamadunan Melaka dalam
kata lain Malaysia sebagai sebuah kerajaan lama dan berpengaruh kepada dunia
pada suatu ketika dahulu. Walaupun dijajah kepercayaan kepada Islam masih tetap
dipegang malah semakin kuat. Selepas merdeka pada tahun 1957 daripada British,
Malaysia telah membina negaranya semula setelah 445 tahun negaranya tertinggal
dibelakang negara maju akibat penjajahan. Bermula sebagai negara berasaskan pertanian
kepada sebuah negara membangun yang moden berasaskan perindustrian. Malaysia
telah menjalankan perubahan drastik dari aspek sosial, ekonomi, politik mahupun
budaya melalui dasar-dasar negara antaranya Dasar Ekonomi Baru (1971), Dasar
Kebudayaan Kebangsaan (1971), Dasar Penerapan Nilai Islam Dalam Pentadbiran
(1985), Dasar Sosial Negara (2003) bagi
melihat program pembangunan yang dirancang mencapai matlamat ke arah pembinaan
semula Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum melalui sebuah ideologi
negara iaitu Rukun Negara. Kerukunan Rukun Negara ini mempunyai lima prinsip utama iaitu kepercayaan
kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan,
kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.
Dalam kegiatan
berkesenian dan berbudaya Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971) adalah satu
manifesto terhadap halu tuju bagaimana gerakan seni budaya itu seharusnya dimanifestasikan.
Menurut Aziz Deraman (2001) kerajaan Malaysia telah menerima dan menetapkan bahawa
DKK hendaklah berdasarkan kepada tiga prinsip. Pertama; Kebudayaan Kebangsaan
Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini. Kedua; Unsur
kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan
Kebangsaan. Ketiga; Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan. Ketiga-tiga manifesto ini diperincikan lagi seperti berikut;
Berteraskan kepada
Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini
Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura,
Brunei, Thailand dan Kemboja serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia,
Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari
kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran,
pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai
pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka
yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (lingua franca). Kebudayaan serantau ini
digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga
bahasa Melayu – Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan
alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini
merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada
lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama.
Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit
atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan
Kebangsaan.
Unsur-Unsur
Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima
Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui
proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan
dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan
itu unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan
wajar diberi pertimbanagn dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.
Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak
wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan
kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya
dan agama Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
Islam Menjadi Unsur Yang
Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
Agama
atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses
pembangunan
negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama
Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi
mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur
yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai
agama rasmi negara, disamping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai
Islam yang telah sedia didukung oleh
sebahagian besar rakyat rantau ini.
Bagi seniman dan
budayawan manifesto DKK telah menjadi panduan dalam pengkaryaan seni budaya
melalui kegiatan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan. Dalam pemanifestasian
lapangan kesenian karya-karya seni lukis dalam pengkoleksian Balai Seni Lukis
Negara boleh dijadikan sebagai bukti terhadap pengucapan itu. Pengkoleksianya
di dalamnya boleh dikatakan sebagai simpanan khazanah warisan negara yang tidak ternilai
harganya kepada bidang seni visual di negara ini, diasaskan sebelum DKK lagi, institusi
ini telah melihat karya-karya yang sebelumnya sebagai sebuah laluan pencarian
kepada identiti kebangsaan. Boleh
dikatakan institusi ini menemui hala tuju pengkoleksiannya semula impak daripada
DKK yang menyarankan prinsip-prinsip di atas.
Karya-karya yang akan
dibincangkan terutamanya prinsip yang ketiga menyarankan Islam dalam pembentukan
kebudayaan. Ada diantara karya ini telah mencapai umur lebih 40 tahun iaitu
jika dibuat perkiraan dari segi umur manusia yang boleh dikatakan telah matang dari segi
pensejarahan, kritikan, perbahasan dan penghayatan. Apa yang lebih penting
karya seni ini menjadi artifak atau budaya material kewujudan ketamadunan moden
Malaysia yang berpegang kepada kalimah tauhid ‘La illa laillah’ atau “Tiada Tuhan disembah melainkan Allah”.
Karya-karya penting dalam pengkoleksian yang dimaksudkan adalah ‘Ke Arah
Tauhid’ (1984), ‘Jawi and Nature’
(1984), ‘Subuh’, ‘Dzuhur’, ‘Asar’, ‘Maghrib’, ‘Isyak’ (1993) dan ‘Asma Al-Husna
Api, Air dan Angin Seq 3’ (2010).
Sulaiman Esa, ‘Ke Arah Tauhid’ (1983),
Campuran, 161 x 230 cm,
(Koleksi Balai Seni Negara, 1983.006)
(Koleksi Balai Seni Negara, 1983.006)
Selepas DKK atau
Kongres Kebudayaan Kebangsaan berjalan selama lapan tahun pengisiannya dilihat
bergerak secara mendatar. Pada tahun 1979 muncul Seminar Akar-Akar Peribumi
yang diadakan di Institut Teknologi Mara pada masa itu dalam melihat dan
menilai semula dengan lebih serius DKK samada manifestonya dimanifestasikan.
Selepas seminar ini Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, ITM sebagai institusi
pendidikan seni bumiputera merombak pengisian pengajaranya daripada
bersumberkan seni lukis Barat kepada seni peribumi serantau. Peralihan pada
awal tahun 1980 an kepada manifesto itu bukan sahaja berlaku pada pelajar malah
pensyarah. Suleiman Esa ketika itu merupakan antara tenaga pengajarnya muncul
mengadakan pameran solo pada tahun 1984 dengan tema ‘Ke Arah Tauhid’
Karya ‘Ke Arah
Tauhid’ (1983) adalah perolehan semasa beliau mengadakan pameran itu Pesuruhjaya
Tinggi Australia pada 2 hingga 8 April 1984. Pameran ini menampilkan juga beberapa
karya terbaru beliau dalam siri antatanya ‘Fairuz I’, ‘Fairuz 2’, ‘Nurani 1’, ‘Nurani
2’ dan ‘Zamrud’. Walaupun diseliputi kontroversi demi kontroversi siri ‘Ke Arah
Tauhid’ yang telah juga diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka
pada tahun sama ini memuncakkan lagi namanya. Beliau mula berhijrah apabila
berjaya menghasilkan karya penting yang mengabungkan konsep seni tradisional
Melayu bernafaskan seni Islam dalam kariernya seperti ‘Ke Arah Tauhid’ ini dan ‘Nuraini’ ia yang kedua-duanya
menjadi koleksi negara. Karya ini merupakan titik permulaan bagi Sulaiman Esa
untuk menempuh sejarah yang lebih menarik dalam mempraktikkan seni Islam.
Karya ‘Ke Arah
Tauhid’ adalah salah satu karya yang
dihasilkan dengan menggunakan tajuk pameran itu sendiri iaitu Ke Arah Tauhid.
Dalam karya ini adalah penerokaan beliau dalam menerapkan unsur-unsur Islam
dalam karya seperti matematik, keseimbangan, dualisme dan ‘nur’ cahaya. Dalam
karya ini Suleiman menolak format catan kanvas kepada fabrik. Dari aspek
bentuk, karya ini seolah permaidani berwarna hijau yang gantung pada dinding
mempunyai dua permukaan kiri dan kanan. Dengan menggunakan seratan fabrik karya
ini seolah cantum-cantuman bahantara seperti tali kain dalam membentuk garisan
berpetak-petakan kecil seperti cetakan kertas yang terdapat dalam ilmu
matematik apabila kita membuah rajah teorem.
Selain itu garisan
petakan ini diikat dengan buluh nipis membentuk garisan condong dan garisan
horizontal pada tengah kedua-dua permukaan adalah teknik ikat yang telah
diwarisi sejak zaman berzaman oleh tukang kraf di rantau ini. Dalam sudut yang
lain karya ini sebuah karya yang menyalin konsep motif geometrik songket,
belahan dedua dan seimbang. Gabungan kraf Melayu dan pengucapan Islam ini
menjadikan karya ini mempunyai roh yang tersendiri. Terdapat juga
sarjana-sarjana yang membuat apresiasi terhadap karya yang dibicarakan mengikut
kronologi tahun misalnya Syed Ahmad Jamal (1988) melihat karyanya adaptasi
daripada kraf;
"Beliau mengangkat seni nusantara
iaitu kraf Melayu dalam format seni catan moden barat. Beliau mengkaji seni
tekstil seperti, songket, batik dan juga kraf yang lain seperti anyaman, ukiran
kayu dalam memantulkan wajah serantau. ‘Ke Arah Tauhid’ merupakan kenyataan
beliau dalam mentakrifkan apa itu lukisan, apa itu seni. Beliau banyak
menggunkan garis grid, ini kerana ilmuan seni Islam mengatakan intipati
kerohanian ditentukan oleh grid yang lebih logik kerana ianya bermain dengan
sistem matematik dalam membentuk corak arabesque dan geometrik."
Zakaria Ali (1991) pula
memberi komentar dari sudut pengaruh pengkaryaan ini daripada sarjana-sarjana
seni Islam;
“Suleiman telah memberikan perhatian kepada
tema tauhid di dalam seni. Dipengaruhi oleh Sayyid Hoessein Nasr dan Ismail
Faruqi, Sulaiman menggabungi semangat yang berkobar sesudah mengenali kembali
apa itu Islam, dengan wawasan apakah ini kesenian Islam, demi mencipta satu
siri karya yang pupus dari segala tanda pengaruh barat. Tidak ada imej bergambar,
tidak ada naratif, tidak ada rujukan ke alam; motif diulang, dipiuh, disamakan menunjukkan
ke arah Kebesaran Ilahi”
Dalam kertas kerjanya,
Khalil Amran (1995) membicarakan aspek formalistik dan kandungan bagaiman siri
Ke Arah Tauhid ini diilhamkan;
“Pada tahun 1984, Sulaiman Esa muncul dengan
pameran perseorangan membawa tema ‘Ke Arah Tauhid’. Untuk pertama kalinya satu
himpunan karya catan seni Islam sezaman dipamerkan menerusi pameran
perseorangan. Meninggalkan format persembahan berbingkai yang konvensional,
Suleiman condong ke arah seni fiber. Kertas buatan tangan, buluh dan cat
akrilik dipadukan bagi membentuk komposisi arabes atau corak Islami yang
pelbagai. Seni catannya juga menyarankan keindahan perulangan bentuk-bentuk
geometrik dan skema warna bersistematik. Bahannya begitu bersensi kontras
dengan kekuatan bentuk serta sifat geometrik yang bersudut-sudut. Antara catan
yang sering disebut ialah ‘Nuraini’ (1983) yang berformat oktagon. Arabes atau
dalam bahasa Arab ‘Rawriq’ mengajak penghayat mengahalusi keindahan seni
abstrak tulen serta kemungkinan-kemungkinan bentuk-bentuk geometrik tanpa
batasan. Termasuk dalam definasi arabes adalah organisasi kompleks (complicated organization) kaligrafi dan
atau bentuk tumbuah dan binatang yang telah mengalami stalisasi”
Harun Abdullah
Coombes (1995) pula menarik perhatian kita dalam kefalsafahan dan material
karya
;
“Suleiman Esa adalah merupakan
pelukis penting di sini. Pelajar yang pernah berguru dengan sarjana Muslim
seperti Sayyed Hossein Nasr, dan pasangan Ismail dan Lamya al-Faruqi pasti
tidak lekang dengan falsafah, dan keindahan yang terdapat dalam seni Islam.
Isteri beliau iaitu Khatijah Sanusi juga merupakan seorang pelukis sealiran
dengan Suleiman. Kedua-duanya cukup dikenali dengan karya-karya fabrik tradisi
dan kitar semula. Karya tenunan tangan atas kanvas menggunakan bahan mentah
daripada buluh, rerumput, kertas buatan dan benang, Khatijah pula lebih dekat
dengan tradisi batik dan songket. Mereka bersama-sama atau secara individu
menvisual seni kontemporari dan tradisi bernafaskan Islam dalam bentuk
geometrik, arabes, dan kaligrafi penuh dengan kehalusan dan penuh dengan warna.
Kedua-dua pelukis ini menggunakan falsafah ikat dan benang pakan pada ‘kanvas’ fabrik dalam memetaforakan
garisan vertikal hubungan kepada Pencipta dan garisan horizontal manifestasi
hubungan manusia sebagai kalifah di atas muka bumi”
Pensejarah seni seperti
Muliyadi Mahmood (2001, 2008) lebih tertarik kepada faktor sejarah, polisi dan
perkembangan beliau;
“Unsur-unsur geometrik kelihatan
ketara dalam karya-karya Suleiman Esa dalam siri “Ke Arah Tauhid” (1983/1984).
Pameran solonya yang berjudul “Ke Arah Tauhid” telah diadakan di Kedutaan Besar
Australia di Kuala Lumpur daripada 2 hingga 8 April 1984. Dalam pandangan
menyeluruhnya tentang pameran tersebut, Dr Hj. Mohd. Ahmad Hj Hashim telah
menyifatkan karya-karya Suleiman Esa mirip ke arah menyokong ketetapan Kongres
Kebudayaan Kebangsaan. Karya-karya Suleiman Esa meletakkan Islam di tahap
pertama seperti saranan kongres dalam membentuk Dasar-Dasar Kebudayaan
Kebangsaan”
“Pencarian identiti nasional
dalam seni diperkukuhkan lagi dengan penerapan nilai-nilai Islam dalam
pentadbiran dan kecenderungan global terhadap Islam secara umumnya pada dekad
1980 an. Hal ini turut mendorong kepada kemunculan pengucapan seni berasaskan
falsafah dan estetika kesenian Islam, sebagaimana diterokai oleh Sulaiman Esa
menerusi karya nya yang penting , “Ke Arah Tauhid” (1983), “Nuraini” (1983) dan
“Garden of Mystery VI” (1992). Rujukan terhadap estetika kesenian Islam yang
berasaskan kaedah formal berbentuk penggayaan, pengulangan, dan pemujaradan
juga jelas kelihatan dalam karya beberapa pelukis lain pada dekad 1980 an dan
1990 an seperti “Jawi and Nature 13” (1984) oleh Ahmad Khalid Yusof...”
Abu Talib Putih (2011) dilihat memperkatakan semangat yang ada pada
karyawan dan karyanya dari kaca mata batiniah dan transendensi;
“...ada pandangan yang mengatakan
Sulaiman sudah tiba ke “kemuncak pencapaiannya” melalui siri Ke Arah Tauhid (1984)
dengan menampilkan ketekunannya
“membicarakan estetika Islam/Peribumi” dan meneladani “konsep tradisional
menghasilkan karya sebagai doa atau proses penyucian jiwa... Dengan meningkatnya
keyakinan beliau, Suleiman menghidangkan keseluruhan karya-karya matang beliau
untuk menggambarkan usaha menyadur definisi beliau sendiri ke dalam seninya
agar ia wajar dilihat sebagai seni “yang benar-benar spiritual. Di kala kita
meneliti idea-idea Suleiman, kita perlu menilik seni beliau bukan saja sebagai
sebuah inovasi estetik yang ulung tetapi juga sebagai sebentuk seni spiritual
yang gigih berjuang ke arah menampilkan ekspresi tulen tentang kebenaran dan
hakikat. Perkara in tampak terlebih nyata khususnya dalam karya Sulaiman
berjudul ‘Ke Arah Tauhid’ (1984) yang mengungkap kesedaran beliau terhadap realiti
dengan cara menjiwai dan menyatu dengan hal-hal sejagat. Kesedaran sedemikian
melimpahkan ke atas diri beliau kepuasan estetika paling hebat dan rasa
keindahan yang tinggi. Peningkatan kesedaran terhadap realiti bermakna kepuasan
dirinya menjadi kian memuncak. Begitu juga lebih cekal penyatuan dengan alam
semesta in dirasai, maka lebih menyusut subjiktiviti individual dirinya, Ini
kerana ‘Tauhid’ mengingatkan kita bahawa setiap perkara itu datang dari Tuhan
dan kepadaNya ia pulang. Namun, seperti yang dijelaskan kepada kita oleh
Chittick umat Islam sentiasa mengatakan proses datang dan pergi ini bukan hanya
merujuk kepada peristiwa-peristiwa pada masa lalu dan akan datang tetapi juga
pada masa sekarang”
Anuar Rashid , 'Asma Al-Husna Api, Air dan Angin Seq 3', (2010),
Campuran, 213 x 274.8 cm,
(Koleksi Balai Seni Negara, 2014.183)
(Koleksi Balai Seni Negara, 2014.183)
Karya Anuar Rashid ‘Asma
Al-Husna Api, Air dan Angin Seq 3’ (2010) adalah salah sebuah karya dalam pameran
solo ‘Mihraj-Penerbangan Ke Langit Aku Hanya Seorang Tukang Cerita’ yang
diadakan di Balai Seni Visual Negara pada tahun 2015 dan dikuratorkan oleh Ameruddin Ahmad. Karya ini boleh dianggap
sebagai kesinambungan karya ‘Api,
Air dan Angin’ yang dihasilkan
sekitar tahun 1970 an sebelum ‘Kelahiran Inderaputra’ lagi. Asma Husna adalah
merujuk nama-nama dan sifat-sifat Allah. Dalam karya ini kita dapat melihat
nama-nama Allah pada ombak-ombak yang beralun, cahaya daripada langit dengan
teknik glazing meningatkan kita kepada
karya ‘Kelahiran Inderputra’. Karya ini menggunakan kaligrafi sebagai subjek
utama Air (ombak), Api (cahaya dari langit) dan Angin (gelora tiupan ombak).
Karya ini boleh
dianggap sebagai sebuah ekspresi karya lanskap laut kerana pelukis
membahagikannya kepada dua bahagian iaitu antara langit dan bumi (laut). Pada
sudut sebelah tengah seperti suatu cahaya yang biasa dilihat dalam karya-karya
Anuar terdahulu, bermulanya Asma Al-Husna bermula dengan tertulis kalimah ‘Allah’,
di ikuti dengan ‘Ar-Rahman’, ‘Ar-Rahim’ dan seterusnya. Pergerakan ini turun ke
atas ke bawah dimana nama-nama ini dibentuk melalui alunan ombak-ombak yang
berlapis-lapis dan bergelora. Kelihatan buih-buih puth di dasar air laut itu
membentuk Asma Husna. Selain itu dikutip juga ulasan-ulasan lain misalnya Siti
Zainon Ismail (1989) meninjau bagaimana karya ini diilhamkan, menurutnya;
“Kelahiran ‘Inderaputera’ dapat dianggap
sebagai titik awal penggerak usaha Anuar Rashid ke dimensi seni yang luas dan
sejagat. Beliau tidak terikat dengan imej lateral tetapi langsung ke ruang
pencernaan murni hingga karyanya lebih ekspresif.”
Khalil Amran (1995) mengambarkan suasana karya ‘Api, Air dan Angin’ dikomposisikan sebelum kemunculan
sambungan (sequel) dalam karya ini;
“Nafas kehidupan yang bermula
dengan semangat angin, air dan api dijelmakan sebagai latar subjek: gelombang
laut, ribut serta pancaran cahaya/api...Ketangkasan wira (Inderaputera) yang
tidak pernah kalah di tangan musuh-musuhnya, dihangatkan oleh susunan
warna-warna bergetar, bergelombang, dan mencengkam, sebagai simbol imej yang
ingin disampaikan.
Sementara itu
Muliyadi Mahmood (2001) memperasalusulkan perihal karya ini melalui karya besar
beliau dan melihat kesinambungannya.
“ Anuar Rashid melalui karya ‘Kelahiran Indera
Putera’ (1978) misalnya mengambil sastera Melayu zaman Islam sebagai subjek
kajian. Hikayat Indera Putera sememangnya belum bebas dari unsur metos, lagenda
dan magis meskipun tergolong
dalam sastera zaman Islam...Rujukan
sastera dan lagenda dan hikayat Melayu seperti ini turut lahir dalam pelukis
lain, khususnya Anuar Rashid. Beliau dalam catannya “Kelahiran Inderaputera”
(1978) telah begitu impresif dengan menonjolkan sebuah karya yang gagah tentang
legenda besar. Pengolahan formalnya berbau Futurisme, sebuah aliran yang
bersumberkan daya kepantasan dan kelajuan, lahir di Itali pada awal abad ke-20.
Karya Anuar Rashid merupakan satu contoh pertembungan unsur-unsur tradisi dan
moden”
Di Alam Melayu
apabila kita membicarakan tentang seni bernafaskan unsur-unsur keislaman jarang
sekali untuk mengaitkannya dengan pusat Islam itu sendiri iaitu Kaabah yang
terletak di Mekah al-Mukarramah. Perbicaraanya tentang seni Islam di Alam
Melayu lebih memokuskan kepada unsur-unsur ranting yang bersifat setempat yang
dikatakan sebagai mempunyai ciri-ciri seni suci itu tanpa melihat asal-usul
binaan Kaabah itu sebagai pokok terhadap perbicaraan itu tadi. Titus Burkhardt
(1976, 2009) dalam bukunya Art of Islam mengatakan:
Kita seharusnya memulakan pemerhatian kita berkenaan seni Islam dengan penerangan berkenaan
dengan Kaabah dan peranannya dalam
peribadatan, merupakan pusat yang penting bagi seni Islam, terutama pada seni
bina adalah cukup jelas. Seperti yang diketahui umum, setiap umat Islam
menghadap ke arah Kaabah ketika
mengerjakan ibadah solat dan setiap
masjid berpandukan arah ini...
Menurutnya Kaabah bukan sahaja berperanan sebagai arah
tuju tempat peribadatan bagi menjalankan
ibadah solat atau ibadah-ibadah baik yang lain kearahnya tetapi juga merupakan
fokus utama terhadap seni Islam itu sendiri. Kaabah adalah binaan yang sangat rapat hubungannya dengan agama Islam. Kehidupan
muslim sentiasa akan berhubung dengan artifak ini setiap hari dalam ibadah
solat untuk berhubung dengan Allah SWT. Kaabah. konsep dan ideologinya sangat
signifikan bagi masyarakat di Nusantara terutamanya dalam perkara yang
berkaitan dengan haji. Selain itu dalam mengerjakan ibadah haji atau umrah
(ziarah) Kaabah mempunyai perkaitan yang rapat dengan kota Mekah di mana
artifak ini berada. Banyak kajian yang mendapati bahawa Kaabah adalah titik
tengah dunia ini. Mesej pemikiran yang disampaikan oleh perlakuan “mengadap ke
arah kiblat” adalah sebagai satu kerendahan hati terhadap pencipta iaitu Allah
SWT. Mengikut konteks ia adalah satu sifat kerendahan hati dalam mengerjakan
ibadat yang diperintahkan iaitu solat, satu ibadat yang memerlukan orang Islam
mengadap ke arah kiblat ini.
Fatimah Chik, ‘Siri Solat: Subuh, Dzuhur,
Asar, Maghrib dan Isyak’ (1993)
(Koleksi Balai Seni Negara)
(Koleksi Balai Seni Negara)
Atas kesedaran itu Fatimah Chik menghasilkan karya batik
dalam memanifestasikan ibadat solat dengan karya ‘Subuh’, ‘Dzuhur’, ‘Asar’,
‘Maghrib’, ‘Isyak’ (1993). Karya yang disusun mengikut permulaan solat bagi
seorang Muslim bermula dengan Subuh dan
berakhir dengan Isyak. Daripada susunan waktu solat dalam karyanya warna
memainkan peranan yang penting dalam menunjukkan cahaya matahari yang
menentukan waktu solat. Misalnya waktu Subuh digambarkan warna gelap sebelum
fajar menyinsing. Waktu zuhur iaitu waktu matahari naik di atas kepada dengan
warna terang iaitu merah kekuningan. Waktu Asar matahari semakin menurun dengan
warna yang rendah sedikit daripada waktu solat sebelumnya. Pada waktu maghrib iaitu apabila matahari
mula tenggelam digambarkan dengan warna semakin suram. Manakala waktu solat
terakhir bagi umat Islam apabila matahari hilang sepenuhnya digambarkan dengan
warna gelap. Pandangan beberapa
sarjana-sarjana lain mengulas karya beliau dipetik, misalnya Dzul Haimi Md Zain
menyebut pengkaryaan Fatimah Chik menyemarakkan semangat kenusantaraan katanya;
“Motif-motif tradisi dapat dilihat jelas serta
diberi nafas baru dalam catan-catan Fatimah Chik. Unsur-unsur kesenian kaum
serantau seperti Batak, Dayak, Sumba. Celebes dan Melayu dikajinya iaitu
diterjemahkan menerusi format catan moden berkonteks galeri melalui daya
kreativiti dan sensetivitinya. Menerusi “Siri Nusantara”, Fatimah menggabungkan
motif-motif daripada kain pua, batik, songket dan cindai dengan menggunakan
media batik. Di samping motif-motif kain ini, beliau turut merujuk kepada ragam
hias barangan perak dan seni ukir Melayu tradisi yang ternyata kaya dengan
falsafah dan pengertiannya. Fatimah juga muncul dengan “Siri Gunungan” yang
bertalian dengan wayang kulit, simbol kepada ragam kehidupan di dunia ini.
Karya-karya Fatimah turut merakamkan unsur-unsur spiritual yang berkaitan
dengan kepercayaan kaum serantau, misalnya tentang langit, gunung dan laut.
Karya-karyanya berimejkan ASEAN sebagai suatu kaum”
Ruzaika Omar Basaree
(1995) menyentuh persoalan perletakkan bentuk formal motif dalam menggangkat
karya ini;
“Dalam karya bertajuk “Subuh, Zohor dan Isyak”
oleh Fatimah Chik, iaitu tiga buah karya batik yang berbentuk skrol,
mengingatkan tanggungjawab kita terhadap Allah S.W.T., supaya kita mengerjakan
solat. Karya hebat dengan kegunaan motif-motif tempatan dan serantau. Apa yang
menarik adalah cara beliau mengendalikan susunan motif-motif tersebut
sehingga terbitnya beberapa lapisan
gubahan yang berbentuk simetri yang kelihatan begitu sepadu struktur
komposisinya.”
Bagi Muliyadi Mahmood
(2001) beliau menyentuh hala tuju catan batik disamping memperdalamkan
persoalan pembentukan formal motif yang
menghubungkannya dengan falsafah seni Melayu;
“Kecenderungan Fatimah Chik
terhadap seni tradisi serta motif-motif serantau ini memperluaskan skop catan-catan
batik moden yang sebelum ini banyak berkisar kepada tema-tema landskap dan
kehidupan harian semata-mata. Pendekatan beliau juga melukiskan bahawa rujukan
pelukis terhadap kesenian tradisi bukanlah sekadar tertumpu di tahap luaran
semata-mata, tetapi merangkumi unsur-unsur yang tersirat menerusi perancangan
dan penyelidikan. Motif-motif tradisi seperti pucuk rebung berkaitan dengan
seni sastera dan budaya antara lain menyimpulkan pengertian tentang pendidikan,
misalnya ‘kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya’. Atau barangkali
dalam seni ukir Melayu tradisi di mana alam flora yang berlingkaran membentuk
ragam hias ‘awan larat’ mendukung makna dan falsafah yang tersirat. Misalnya
dalam motif itu, hujung komponen tumbuhan tidak menikam hujung komponen lain
yang bermaksud dalam kehidupan kita tidak seharusnya mengkhianati orang lain.
Motif-motif tradisi seperti ini mendukung serta membawa nilai-nilai estetika
Melayu”
Ahmad Khalid Yusuf, ‘Jawi and Nature’ (1984), Akrilik atas
kanvas, 176 x 130 cm,
(Koleksi Balai Seni Negara, 1984.002)
(Koleksi Balai Seni Negara, 1984.002)
Dalam menjadikan Islam sebagai unsur penting dalam
kebudayaan kebangsaan, Ahmad Khalid Yusuf cukup konsisten eksplorasi karya jawi
sejak 1970 an lagi. Dalam karya ‘Jawi and
Nature’ (1984) beliau terus memperjuangkan tulisan Arab (jawi) sebagai
bahasa Al-Quran. Dari aspek bentuk, karyanya boleh dianggap sebagai catan
bidangan kerana keseluruhanya menggunakan warna biru. Terdapat relung
dibahagian tengah karya yang menyeimbangkan antara bahagian kiri dan kanan.
Manakala itu di bahagian tepi catan sebelah kiri dan kanan terdapat garisan lurus
menegak. Dari sudut kerohanian karya ini dilihat seolah-olah sebuah sejadah
atau tikar solat dimana rekabentuk relung menyamai sebuah mihrab. Mihrab adalah
bahagian hadapan dalam seni bina masjid dan terdapat juga kebanyakan surau kini
sebagai arah kiblat. Bahagian hadapan mihrab inilah yang menentukan arah kiblat
yang mengadap ke arah Kaabah, menjadi tempat imam mengimami solat.
Bentuk relung separuh bulat juga menyimbolkan rasa
kerendahan hati dan diri seseorang Muslim dalam berhadapan dengan Pencipta
dalam mengerjakan ibadah solat. Bahagian dalam relung terdapat berkelompokan
seolah-seolah beliau mengambarkan sebuah taman yang dipenuhi dengan
bunga-bungaan yang indah. Gambaran taman bunga ini terdapat dalam surah di dalam Al-Quran;
“Sesungguhnya orang yang bertaqwa disediakan syurga tempat mereka beroleh
apa yang mereka inginkan. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan
kebun-kebun buah-buahan terutama anggur. Dan perawan-perawan yang sebaya
umurnya”.
Tulisan jawi yang terdapat pada badan catan di tulis
secara berterusan dan motif salur buyur dibahagian tepian catan dibahagian kiri
dan kanan secara menegak seolah-olah aluan-alunan zikir mengingatkan kita
kepada Pencipta. Karya yang
menggabungkan tulisan jawi dengan kealaman ini juga mendekatkan kita kepada
alam tumbuh yang menjalar ciptaan Allah. Dalam usaha memperdalamkan penghayatan
karya ini beberapa ulasan ilmuan-ilmuan dikumpul, misalnya Syed Ahmad Jamal
(1984, 1987) menyentuh soal estetika Islam dalam karya khat ini menurutnya;
“Ahmad Khalid Yusof ialah pelukis yang utama
yang menggunakan khat sebagi bentuk penglibatannya. Sejak ‘Alif Ba Ta’ (1971),
Ahmad Khalid telah berpaling dari aliran utama ekspressionisme abstrak. Sejak
itu bidang penglibatan beliau terbahagi kepada dua ruang rujukan, yang pertama
ialah pemilihan khat sebagai bentuk penggambaran: yang kedua ialah dimensi
gambaran pemilihannya. Beliau menggunakan khat sebagai elemen gambaran
–bentuknya berkembang dari peraturan khat yang tetap kepada coretan optik
berirama yang mengacah fakulti pengamatan. Bingkai persegi tegang arkitektonik
bagi lukisan Ahmad Khalid menegaskan ketetapan tampak dan format kanvasnya.
Kedataran dan kawalan tona kroma menghasilkan ketegangan struktur permukaan.
Ini mencerminkan pendekatan dengan konsep Islam serta estetika gambaran
sezaman. Permukaan gambaran berstruktur ini mewujudkan getaran yang lembut, mengingatkan
permerhati, mengenai peraturan, disiplin, kesopanan, kecerahan dan warisan
budaya Islam”
“ Ahmad Khalid pula menggunakan
profil datar yang bermula dengan siri ‘Alif Ba Ta’ dalam tahun 1981. Ini
menentukan dengan tepatnya ‘corak tidak terhingga’ , ‘ketampuaslian’, dan
‘ketanpazatan’ "
Ruzaika Omar Basaree
(1995) sebagai khalayak yang memerhatikan mengambarkan responnya terhadap
tindak balas emosi yang beliau peroleh;
“Karya seperti ‘Jawi Into Nature’ oleh Ahmad Khalid
Yusof menggunakan tulisan jawi yang berasal dari tulisan Arab yang selalu
dikaitkan dengan seni khat Islam. Ahmad Khalid menggunakan tulisan jawi halus
yang tenggelam timbul dalam alunan warna yang lemah lembut sehingga menimbulkan
satu suasana sepi tetapi tenang.”
Bagi Khalil Amran
(1995) beliau terkesan dengan sifat sejadi atau elemen fizik yang ditonjolkan
dalam karya ini berbanding elemen emotif;
“Begitu juga halnya dengan Ahmad
Khalid Yusof. Sejak 1970 an sehingga kini seni khat merupakan subjek, bentuk,
garisan dan struktur catan-catannya. Ahmad Khalid sentiasa merencanakan
keharmonian antara tulisan dan latar, khasnya dari segi warna. Kesan ini
berjaya ditonjolkan menerusi media akrilik”
Redza Piyadasa (2002)
pula lebih fokus kepada latar belakang sejarah, reaksi pelukis dan Piyadasa seterusnya
‘memasuki’ ke dalam karya ini, hasilnya beliau membuktikan;
“Ahmad Khalid merupakan pelukis yang terawal
menggunakan tulisan kaligrafi dalam catan dengan pengaruh ekspresionisme
abstrak oleh pelukis Amerika Mark Tobey, karya kaligrafi beliau memperlihatkan
jalinan nya di atas permukaan dengan cara tulisan jawi ditulis bertindih-tindih
di atas kanvas. Dengan semangat revivalisme Melayu-Islam yang muncul pada tahun
1980 an beliau mula menggunakan simbol alam Melayu dengan menggabungkannya
dengan tulisan jawi. Karya ini boleh dikatakan adalah satu refleksi kesenian
Melayu-Islam yang mula digerakkan oleh pelukis Melayu di Institut Teknologi
Mara
Skema warna ungu yang lembut pada
catan ini menampakkan kawalan beliau berkarya. Imej di tengah kelihatan seperti
sebuah pintu masuk sebuah masjid. Pintu ini mungkin mengingatkan simbol kepada
maksud kehidupan mistikal sufi. Terdapat juga beberapa bunga raya dibahagian
tengah yang juga kebangsaan Malaysia. Kelihatan warna merah pada bunga ini
cukup dirasakan dibahagian pintu tadi. Manakala itu bahagian kiri dan kanan
terdapat garisan vertikal terdapat motif awan larat yang disusun secara
pengulangan.”
Siti Zainon Ismail
(2007) lebih berminat untuk bereaksi
dengan bentuk luar dan dalam seperti label karya dan semangat pengkaryaan
pelukis;
“Beliau mula memperdulikan huruf
jawi-Melayu sejak awal 1970...Gaya menjawikan ragam hias lukisannya makin
berkembang sehingga hayatnya. Kecintaan kepada budaya ibunda tampil dengan
judul yang menyayat seperti “Seribu Satu Malam”, serta nada memperibumikan imej
dalam “Kain pelekat”, “Kaligrafi Jawi”, “Kaligrafi Pantun”. Warna-warna tipis
dengan garis halus itu kadang seperti huruf –huruf tunggal Jawi, ai’n, ra, b,
dengan garis spontan dilayang tipis, terawang-awang dengan warna berbagai...”
Kesimpulan
Daripada artifak budaya material iaitu karya bernafas keislaman ini jelaslah bahawa prinsip
Daripada artifak budaya material iaitu karya bernafas keislaman ini jelaslah bahawa prinsip
ketiga DKK yakni 'Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam
Pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan'. Agama Islam memberi panduan kepada
seniman-seniman kita berkreativiti.
Rasa kesyukuran ke hadrat Pencipta keranan seni Islam ke
arah mentauhidkan Allah
berlandaskan falsafah seni Islam iaitu kebenaran, keindahan dan kebaikan
semakin subur
dalam pengkaryaan seniman kita pada hari ini. Negaraku
hendaklah dihayati bukan sekadar
sebuah puisi lirik. Bibit-bibit yang dilagukan “rahmat bahagia Tuhan kurniakan” hendaklah
dihayati sedalamnya. Sememangnya kehadiran Islam adalah
kurniaan atau anugerah Allah
untuk manusia, Islam adalah agama 'rahmattan lil alamin’ atau Islam adalah
rahmat untuk semua.
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Surah Al-Anbiyaa', Ayat107)
Rujukan:
A.Aziz Deraman (2001), Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia-Suatu Analisis Perkembangan
Kebudayaan di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Abu Talib Putih (2011), ‘Al-Insyirah: Maqam Kesedaran
Dalam Perjalanan Seni Seorang Pelukis’ dalam Rajaah: Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa Dari 1950-an -2011,
Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Abdul Rahman Al-Ahmadi (1997), ‘General Introduction on
Cultural Development In Malaysia’ Arts
and Islamic World Journal, Islamic Arts Foundation, London.
Adi Haji Taha (1989), ‘Arkeologi Orang Asli’ dalam Akademika 35 (Julai 1989) 113-124
Al-Quran
Mushaf Malaysia dan Terjemahan (2011), Yayasan Restu, Shah Alam.
Anisah Syed Mohamed (1984), ‘Suleiman Hj. Esa-Towards An Islamic Concept in Contemporary Art’,
dalam katalog pameran Ke Arah Tauhid,
Pesuruhjaya Tinggi Australia.
BERNAMA, ‘Rangka Manusia Ditemukan di Guar Kepah Mungkin
Milik Wanita Zaman Neolitik’, April 2017.
Dzul Haimi Md. Zain (1989), ‘Gunungan: Pameran
Perseorangan Fatimah Chik’ dalam Seni
Lukis Moden Malaysia: Era Perintis Hingga Era Pluralis, Utusan Publication
& Distributor Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Dzul Haimi Md. Zain (1991), ‘Seni Islam Sezaman Di
Malaysia-Kedatangan Islam Ke Malaysia’ dalam katalog pameran Senirupa Islam Malaysia-Tradisional dan
Sezaman, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.
Faizal Sidik (2012), ‘Sulaiman Esa:
Pertemuan Timur-Barat dalam Karya’, Dewan
Budaya, Bil. 6, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.
Harun Abdullah Coombes (1995), ‘The Islamic Spirit-Social Orientation in Contemporary Malaysian Art’
dalam katalog pameran Art & Spirituality (Kesenian dan
Kerohanian), National Art Gallery, Kuala Lumpur.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia (1994), Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia, Kuala
Lumpur.
Khalil Amran (1995), ‘Seni Islam Sezaman Di
Malaysia-Suatu Pembicaraan’, Kertas
Kerja Seminar Kesenian dan Kerohanian: Manefestasi Islam Dalam Perkembangan
Seni Lukis Sezaman di Malaysia, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Mohd. Ahmad Hj.
Hashim (1984), ‘Ke Arah Tauhid-An
Overview’, dalam katalog pameran Ke
Arah Tauhid, Pesuruhjaya Tinggi Australia, Kuala Lumpur.
Mokhtar Sidin (2008), ‘Hasil Seni Zaman Pra Sejarah
Malaysia’ dalam Susurmasa, Balai
Seni Lukis Negara Kuala Lumpur.
Muliyadi Mahmood (1993), ‘Kemekaran Jiwa Islam Dalam Seni
Lukis Malaysia Sezaman’ dalam katalog
pameran Manifestasi Jiwa Islam dalam
Senirupa Malaysia Sezaman, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Muliyadi Mahmood (2001 Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis Hingga Era Pluralis, Utusan
Publication & Distributor Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Othman Yatim (1997),
‘Islamic in Malaysia-Reflections on Historical Links Between South and South-East
Asia with Special Emphasis on Mortuary Arts’ dalam Arts and Islamic World Journal, Islamic Arts Foundation, London.
Redza Piyadasa (2002), Masterpieces from the National
Art Gallery of Malaysia, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Ruzaika Omar Basaree (1995), ‘Kesenian Islam: Suatu
Perspektif Malaysia’ dalam pameran Kesenian
Islam-Suatu Perspektif Malaysia (Festival Istiqlal 1995 di Jakarta,
Indonesia), Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Siti Zainon Ismail (1989), ‘Imej Tinggi Agung dalam Seni
Lukis’ dalam Percikan Seni, Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Siti Zainon Ismail (2007), ‘Nuansa Khat : Nuansa Muslim’
dalam katalog Pameran Nuansa Khat:
Nuansa Muslim, RA Fine Art, Kuala Lumpur, ms 14.
Suleiman Esa (1992), ‘Identiti Islam Dalam Senirupa
Malaysia: Pencapaian dan Cabaran’ dalam katalog pameran Identiti Islam Dalam Senirupa Malaysia: Pencapaian dan Cabaran ,Balai
Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Suleiman Esa (2000), ‘Meluahkan Yang Tak Terungkap:
Perkembangan Seni Islam Kontemporari Malaysia Dalam Dua Dekad’ dalam katalog Pameran Seni Lukis Islam Kontemporari
Sempena Smbutan Maal Hijrah 1421, Galeri Shah Alam.
Titus Burkhardt, (1976, 2009), Art of Islam-Language and Meaning, World of Wisdom,
Syed Ahmad Jamal (1984), ‘Seni Rupa Islam’ dalam katalog Pameran Seni Lukis dan Seni Khat (Pameran
Tamadun Islam), Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Zakaria Ali (1991), Kemalaysiaan
Senilukis Malaysia: Soal Identiti, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Zakaria Ali (2004), Alif Ba Ta - The Life and Times of Ahmad
Khalid Yusof, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
terima kasih atas informasi ini sangat berguna untuk kami generasi kini.
BalasPadam