Terjemahan oleh:
Faizal Sidik
Kertas Kerja ini telah dibentangkan di dalam International Symposium on Malay Songket dengan tema " Songket-The Regal Heritage of the Malay World (Songket-Warisan Agung Dunia Melayu) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 6-7 September 2005.
Kertas Kerja ini telah dibentangkan di dalam International Symposium on Malay Songket dengan tema " Songket-The Regal Heritage of the Malay World (Songket-Warisan Agung Dunia Melayu) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 6-7 September 2005.
Objektif
Kewujudan sebarang objek, kebiasaanya objek apa yang kita
sebut kini sebagai artifak hanya setelah ia memenuhi keperluan asas manusia.
Masa telah memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi artifak dalam
memenuhi keperluan asas itu, artifak ini diperhiaskan dalam memenuhi elemen
seni apa yang disebut sebagi keindahan. Keindahan dimanifestasikan melalui
pengajaran dan kemudiannya diucapkan melalui emosi. Tujuan utama kertas kerja
ini adalah untuk memberi penekanan kepada motif dan kategorinya Kecantikan dalam
songket Melayu dan pada masa yang sama menghuraikan maksud tersirat atau
kemungkinan maksud-maksud dan mesej disebalik motif itu.
Pengenalan
Motif adalah elemen dekoratif dalam
objek seni, dalam perkara ini termaksuklah songket. Motif direkabentuk daripada
corak geometri dan mempunyai susunan dan teknik dan tertentu. Tenunan songket
merupakan salah satu kesenian kraftangan Melayu yang diminati bukan sahaja
kerana pada kain yang cantik tetapi juga nilai estetika, disamping maksud tersirat
didalamnya yang menjadikannya
sebagai simbol budaya kepada orang Melayu sejak zaman dahulu kala lagi.
Sungguhpun helaian kain songket mengambarkan maksud dalam cara hidup orang
Melayu dimana pemakaiannya bersesuaian kepada tubuh badan manusia iatu melengkapi
gaya hidup kepada pemakainnya. Kesempurnan sesuatu pakaian itu ditentukan dengan melihatnya dari
bahagian kepala, badan dan kaki. Bahagian badan pakaian ini dihiasi penuh kaya
dan indah dengan motif tenun yang mana disususn calam corak geometrik yang
dikenali sebagai Teluk Berantai, corak Johor, corak Tapak Catur, corak Keluang
dan corak Bertabur (Grace, 1990)
Menurut Sulaiman Ghani (2005) daya pengamatan penenun songket tradisional
biasanya menyimbolkannya sebagai sebuah taman bunga-bungaan. Mereka merenung dan kemudian mengingat dan akhirnya menterjemah
apa yang mereka lihat dalam songket sebagai sebuah hasil seni visual. Proses
menenun adalah satu hasil persembahan
perasaan dalaman dan menuntut kesabaran seperti mereka melakukan ibadah yang
dituntut oleh agama.
Hubungan yang akrab antara masyarakat Melayu tradisi dan hidupan alam
semulajadi terutamanya alam flora telah lama wujud. Keharmonian yang wujud ini
akhirnya menjelmakan anjakan dan membina khazanah semiotik dan
kosmologi. Menurut Hairuddin Harun (2001), masyarakat Melayu melihat dunia ini
penuh dengan simbol makna , gurindam dan syair. Cara pandang hidup mereka tidak
sahaja terbatas dalam memanifestasikan alam sebagai material dan hidupan di
dalamnya sahaja tetapi menerapkannya di dalam kehidupan seharian masyarakat.
Peribahasa
Keindahan tekstil Melayu banyak diperkatakan dalam kesusasteraan Melayu
klasik seperti peribahasa, perumpaan dan tea-teki. Nilai estetik kesusasteraan
Melayu juga mengambarkan pengaruh yang kuat dalam cara pandang hidup Melayu.
(Braginsky, 1991) Dalam konteks ini, orang Melayu kaya dengan pemikiran dan falsafah,
merasakan tanggungjawab perlu dalam terus menyumbang sesuatu yang bermanfaat,
dan saling mengingatkan antara satu sama lain tentang kehiduapan ini. Selain mempunyai
maksud yang tersembunyi dalam setiap motif, nama-nama motif ini diberikan
berkait rapat dengan simbol kehidupan sebagai nasihat bagaimana berbudi pekerti
dan memperlihatkan contoh-contoh yang penting.
Umumnya, motif-motif songket adalah saling kait antara satu sama lain dan
biasanya motif ini dikenali dengan motif Teluk Berantai. Konsep dan falsafahnya
adalah jelas wujud dalam budaya Melayu, cara hidup mereka mempunyai hubungan
antara satu sama lain, harmoni dan bersatu dalam semua aspek kehidupan dan
nilai yang diterima oleh masyarakat. Apa yang menarik lagi adalah motif dalam
tenunan songket Melayu mempunyai nilai falsafah, adat pemikiran, nilai dan norma
orang Melayu yang boleh digunakan sebagai refleksi kebudayaan, kayu ukur dan
panduan dalam kehidupan terutamanya untuk generasi yang akan datang.
Kraftangan
Kebanyakan kraftangan ini adalah penciptaan orang Melayu.
Kualiti mutu kerja secara berterusan dan melalui penyelidikan terhadap elemen
seni sehingga kini telah meletakkan seni dan budaya Melayu ditempat yang
tinggi.
Sebagaimana yang diperkatakan oleh
sarjana, masyarakat Melayu kaya dengan budaya dan falsafah sejak dahulu lagi.
Perihal ini mempunyai sejarahnya yang panjang. Dalam perkembangan budaya dan
peradaban Melayu, gabungan dan penyepaduan kepelbagaian budaya telah
membuktikannya untuk tidak dapat dielakkan. Kepelbagaian budaya dengan
animisme, diikuti dengan pengaruh Hinduisme dan Buddhisme, kedatangan agama
Islam, pengaruh budaya barat dan berterusan hingga abad ke-21. Pengaruh ini
telah dipersuaikan dan diperhalusi oleh masyarakat Melayu terutamanya dalam
kesenian dan estetika mereka. Apa yang menarik perkara ini telah mengubah dan
mempengaruhi orang Melayu dalam pelbagai segi misalnya pandangan hidup, cara
hidup, etika dan nilai.
Dalam konteks pasca-kolonialisme,
terdapat usaha untuk menghidupkan elemen penjelmaan, bentuk dan Falsafah Melayu
untuk mengukuhkan orang Melayu. (Rahman Bujang, Nor Azlin Hamidon, 2002).
Walaubagaimanapun, proses asimilasi budaya dan peresapan telah melahirkan nilai
yang lebih positif, membina (konstuktif) dan terkedepan (progressif) dalam
ketamadunan Melayu. Tamadun yang hebat dengan keunikan yang tersendiri telah
lama menjadi sebahagaian daripada warisan Melayu.
Menurut Arnold Hauser (1985) seniman
biasanya berkarya dalam lingkungan masyarakat beliau berada. Dengan bergantung
kepada kreativiti dan pengalaman dimana menjadi asas kepada karya seni yang
berkualiti tinggi, seniman akan berusaha untuk mencari idea-idea yang inovatif
yang boleh diterima oleh masyarakat. Usaha kolektif ini memberikan keutamaan
jika dibandingkan dengan pilihan individu atau koleksi peribadi. Dalam konteks
ini, tiada lagi rahsia dalam proses penciptaan seni dan kemahiran ini biasanya
terbuka untuk diketahui. Leo Tolstoy menyarankan karya seni lebih bermakna jika
aspek emosional boleh disampaikan dan dikongsi dengan orang lain. Di sini kita
boleh lihat citarasa yang sederhana dapat dilihat setelah dimasukkan
kegembiraan dan pengucapan yang jujur
kepada masyarakat.
Menurut Sit Zainon Ismail (1986)
ciri inovasi seni yang dikenali sebagai ‘Tradisi Agung’ dimana proses
penciptaan memerlukan galakan dan dorongan daripada pihak istana (monarki) dan
golongan bangsawan (aristokrat). Ketidaksetiaan menentang norma budaya Melayu.
Kepatuhan menjadi asas tradisi yang merupakan sebahagian daripada masyarakat
Melayu.
Dalam masyarakat Melayu tradisi,
orang kebanyakan yang tinggal di luar istana mengamalkan budaya yang berbeza
yang lebih ringkas dan sederhana manakala mereka yang tinggal di istana amalan
cara hidup mereka agak rumit. Ini adalah sebabkan perbezaan tingkat sosial,
cara hidup, perkembangan pemikiran, norma dan adat-adat. Oleh yang demikian,
pembuatan songket memberi kesan dimana dalam konteks orang biasa itu pembuatan
songket lebih sederhana dan bagi golongan pemerintah dan bangsawan lebih
menekankan nilai estetik daripada penggunaan songket secara kasual.
Walaubagaimanapun, seni tenunan songket telah menjadi lebih meitikberatkan
persoalan estetik, pengalaman dan masa.
Disamping menekankan aspek ketepatan,
kesempurnaan dan kepuasan, seniman juga menggunakan intuisi dalam pengucapan
perasaan terhadap Pencipta. Al-Ghazali yang dikenali sebagi ahli falsaah
Muslim, melihat konsep keindahan daripada dua aspek: extrinsik (faktor luaran)
dan intrinsik (faktot dalaman). Beliau menganggap kepuasan seni memerlukan deriaan
manusia, jiwa dan pemikiran dan beliau mengatakan makanan jiwa adalah
kerohanian, makanan pemikiran adalah pengetahuan manakala makanan deriaan
manusia adalah seni. (Rahmah Bujang, Nor Azlin Hamidon, 2002). Kebanyakan motif
songket menerapkan konsep penyerahan diri kepada yang satu iaitu ‘Allah Maha
Besar’ dalam reka bentuknya. Nilai kerohanian ini merupakan aspek yang dominan
dalam kesenian Melayu sejak kedatangan Islam ke rantau ini sejak abad ke-15.
Selain daripada itu, faktor
persekitaran juga memainkan sumbangan yang besar dalam perkembangan penghasilan
produk dimana akhirnya akan menjadi cermin atau pantulan kepada budaya
tempatan. Syed Ahmaf Jamal dalam buku beliau Rupa dan Jiwa (1992)
mendefinasikan seni sebagai jambatan antara dunia realiti dan rohani. Menurut
beliau bahawa bentukan seni dan nilai-nilai yang ada adalah pantulan kebudayaan
masyarakat. Bagi pemahaman yang lebih mendalam seni boleh dimanifestasikan
sebagai buah fikiran dan budaya masyarakat di dalamnya yang menjelaskan
keseluruhan aspek kehidupan termasuklah cara berfikir, nilai baik buruk,
kepercayaan agama, etika sosial dan lain-lain. Pendeknya, seni mempunyai
potensi untuk menerangkan sesuatu yang tersirat dibalik sesuatu yang tersurat.
Oleh itu, inovator atau pereka baru songket tidak
sahaja memberi sumbangan terhadap kemahiran
individu yang dimiliki, tatapi juga mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial bergantung
terhadap penerimaan sosial dan tempat dalam menekankan betapa pentingnya
suruhan agama, Oleh yang demikian, atas kewajaran itulah seni songket
seharusnya dipulihara dan diangkat sebagai Warisan Negara sebagai cerminan
kepada kekayaan kebudayaan dan peradaban kita.
Motif
Sebagaimana yang diperjelaskan di awal, motif merupakan elemen utama
rekabentuk. Motif pada songket Melayu daripada pendapat kami boleh dibahagikan kepada
7 kategori:
1.
Motif
flora
2.
Motif
fauna
3.
Motik
kosmik
4.
Objek
harian
5.
Motif
kaligrafi
6.
Motif
geometrik
7.
Motif
Kuih-muih
Sejak dari dahulu lagi orang Melayu hidup
harmoni dengan alam semulajadi, kebanyakan penyelidikan yang telah
dijalankan menunjukkan hubungan ini secara objektif dan subjektif. Merujuk
kepada elemen yang berada dipersekitarannya, ia memungkinkan kita untuk
meneroka maksud dan rahsia kehidupan ini. Menurut Plato pada tahap ini dikenali
sebagai mimesis atau menyalin. Beliau mengatakan semakin dekat kita menyalin
alam maka semakin dekatlah kita dengan kebenaran. Oleh sebab itu, kewujudan
alam semulajadi di dalam dunia dan persekitaranya hendaklah dibuat observasi
dengan bersungguh-sungguh.
Zakaria Ali (1989)
menrumuskan lima prinsip estetika Melayu yang wujud dalam kesenian Melayu.
Prinsip-prinsip it menerangkan bahawa;
1)
Prinsip
Berhalus: Disamping merujuk kepada kerja tangan halus prinsip ini juga merujuk
kepada pemilihan bentuk-bentuk dan elemen yang diambil daripada alam sekitar.
Penciptaan reka bentuk dipandukan berdasarkan model alam dimana bentuk-bentuk
diubah-ubah. Proses ini juga wujud dalam seni Islam. Kadangkala, reka bentuk
yang dihasilkan hanya boleh dikenalpasti berdasarkan persamaan nama objek.
Misalnya Tampuk Manggis, Siku Keluang dan Teluk Berantai.
2)
Prinsip
Berguna: Prinsip ini menekankan aspek penggunaan. Disamping menunjukkan elemen
keindahan, prinsip ini menunjukkan perkongsian pemikiran sikap orang Melayu.
Sikap ini memantulkan amalan penyemerataan atau egalitarianisme masyarakat
Melayu. Tidak mementingkan sikap individu tetapi segala penciptaan adalah untuk
semua dan perlu dinikmati bersama.
3)
Prinsip
Bersatu: Prinsip ini menerangkan perhubungan yang bersesuaian antara
motif-motif dan elemen yang mana selari dengan komposisi. Ia menunjukkan
kesatuan daripada proses awal hingga akhir.
4)
Prinsip
Berlawanan: Prinsip ini yang menunjukkan sesuatu objek seharusnya mengandungi
elemen yang berlawanan. Kewujudan ketegangan daripada prinsip berlawanan ini
akan disusutkan dengan memasukkan motif-motif yang lain dalam memperlihatkan
keharmonian.
5)
Prinsip
Berlambang: Prinsip berlambang atau simbol ini menekankan kesatuan antara isi
dan bentuk. Prinsip ini meampakkan kepentingan pendokumentasian untuk merujuk
kepada sejarah, budaya dan tafsiran.
Dalam beberapa halaman yang seterusnya kami akan menerangkan perbezaan
motif-motif setiap kategori beserta dengan maknanya. Pertama adalah motif
flora. Flora boleh didefinasikan sebagai tumbuh-tumbuhan yang wujud di sesuatu
tempat dan waktu. Tunbuh-tumbuhan memainkan peranan penting dalam kelestarian
kehiduapan terhadap makhluk hidup yang lain dan dalam memenuhi perkembangan
budaya manusia. Oleh yang demikian, sejak dahulu lagi tumbuh-tumbuhan sering
digunakan sebagai motif yang dominan atau
sumber utama maklumat dan ilham terutamanya kepada pereka dan tukang buat motif
Melayu. Fokus utama motif-motif ini adalah seperti pucuk-pucuk, bunga-bungaan, kelopak-kelopak,
buah-buahan, buah-buah muda dan dahan-dahan (Siti Zainon Ismail, 1986)
Sepertimana yang diterangkan sebelumnya berkenaan dengan tenunan songket,
reka bentuk penyusunan adalah secara geometrik. Disamping ditumpukan pada
keindahan pada sifat fizikal bunga itu sendiri, bunga juga digunakan sebagai
simbol kegembiraan. Masyarakat Melayu juga percaya dengan elemen alam dan
kegembiraan dimana alam dan tumbuh-tumbuahan mempunyai logik yang tersendiri
sebagai simbol. Motif flora yang biasa terdapat pada songket Melayu adalah
motif pucuk buluh atau Pucuk Rebung, Tampuk Manggis, Bunga Cengkih, Bunga
Melor, Bunga Cempaka, Bunga Tanjung, Bunga Matahari, Bunga Cina dan lain-lain.
Apa yang menariknya motif –motif tradisi ini masih lagi digunakan sehingga ke
hari ini (Norwani Nawawi, 2002). Walaubagaimanapun, dalam pembentangan ini kami
hanya memokuskan beberapa sampel motif.
Pucuk Rebung atau motif pucuk buluh merupakan hiasan utama yang terdapat
pada permukaan songket Melayu terutamanya dibahagian kepala kain. Antara nama
motif-motif ini ialah Pucuk Rebung Berjuang, Pucuk Rebung Tunjuk Langit, Pucuk
Rebung Kendung, Pucuk Rebung Gigi Bota dan Pucuk Rebung Putu atau Pucuk Rebung
Siku Keluang. Ada pepatah Melayu yang mengatakan “jika mahu dilenturkan buluh,
biarlah dari rebungnya”. Pengajaran yang boleh dipelajari daripada falsafah ini
adalah bagaimana cara untuk mendidik kanak-kanak atau untuk membina sikap,
perlu bermula pada peringkat awal kehidupan itu. Jika kanak-kanak ini tidak
didik sejak kecil dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhannya. Oleh itu didikan
peringkat awal juga sebahagian daripada konsep kesuburan. Kedudukan Pucuk
Rebung Tunjuk Langit yang menunjukkan ke arah atas langit dari segi bahasa
menyimbolkan kepercayaan dan cahaya Islam yang berhubungan dengan kalimah Allah
Maha Besar.
Motif Tampuk Manggis juga merupakan pilihan utama pereka tenunan songker.
Menurut Norwani Nawawi (2002) buah manggis dianggap sebagai ratu bagi
buah-buahan. Pengamal perubatan Melayu tradisi seringkali menggunakan pokok
manggis yang dikatakan mujarab merawat penyakit. Bak kata pepatah Melayu
“hitam-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis” mengandungi
unsur nasihat terutamanya apabila kita menilai seseorang. Kebaikan seseorang
itu seharusnya dinilai daripada hati dan bukan sahaja daripada aspek fizikal
luaran sahaja. Hal ini menunjukkan pemikiran yang kritis dan analisis mendalam
dalam masyarakat Melayu sendiri yang mengamalkannya dan telah berbudaya sejak dahulu lagi.
Menurut Ku Zam Ku Idris (1984) terdapat tiga ciri-ciri keindahan dalam seni
Melayu iaitu kehalusan, kesesuaian dan kebijaksanaan. Dalam kata lain,
berdasarkan inilah kita boleh mengenalpasti keunikan kesenian Melayu.
Motif Bunga Teratai menyimbolkan salah satu daripada prinsip dalam
kehidupan mereka. Bunga-bungaan sering digunakan sebagai simbol alam dan
ketuhanan. Peletakan visual bunga membantu dalam memancarkan ketenangan, kehalusan
dan perasaan dan emosi yang segar, prinsip hidup dan keyakinan kepada Allah
manakala kelopak pula menyimbolkan manusia. Sebagai manusia, kehidupan yang
diberikan adalah keyakinan, ketulenan, kekuatan dan aturan sosial. Menurut Syed
Ahmad Jamal (1995) konsep keindahan fizikal boleh dilihat dari mata yang
memandang namun keindahan dalam dalaman hanya boleh ditanggap dari hati orang
yang matang. Dalam kontek motif Bunga Teratai, terdapat kewujudan proses sinkratisme
atau asimilasi antara kepercayaan agama dan animisme. Walaubagaimanapun, Islam
telah beupaya memberi perubahan yang menyeluruh terutamanya terhadap
rasionalisme dan intelektualisme.
Motif buah nenas juga salah satu daripada motif songket. Buah nenas
biasanya digunakan untuk dimakan, ramuan makanan dan pencuci mulut. Lebih
mendalam lagi, nenas adalah buahan yang membantu dalam menyeimbangkan makanan
yang mengandungi lemak yang tinggi dan membantu dalam proses penghadaman.
Motif haiwan atau fauna sering menjadi pilihan dalam masyarakat Melayu
terutamanya sebelum kedatangan dan penerimaan Islam. Tradisi ini berterusan
walaupun selepas kedatangan Islam, walaubagaimanapun penggunaan semakin
berkurangan. Motif haiwan yang dipilih dalam songket Melayu adalah haiwan yang
akrab dengan orang Melayu dan haiwan ini mempunyai ciri-ciri seperti jinak,
pelindung manakala ciri-ciri yang tidak baik mestilah dielakkan misalnya sifat
bercakap besar atau sombong, cakap sia-sia dan suka berkelahi. Haiwan ini
biasanya yang terdapat dalam motif songket adalah seperti ayam betina, ayam
jantan, burung merak, rama-rama, lipan, ikan dan kelawar.
Ayam betina mengambarkan ciri-ciri haiwan yang sangat melindungi ahli
keluarga. Semenjak penetasan anak-anak ayam lagi ayam betina telah menunjukkan
ciri-ciri kasih sayang dan sebagai tempat perlindungan daripada anak-anaknya
daripada ancaman. Kesuburan ayam betina terletak pada simbol berapa banyak
telur yang ditetas. Berbeza pula ciri-ciri yang ada pada ayam jantan yang
sering dianggap haiwan yang mempunyai tabiat tidak baik seperti suka bercakap
besar dan sombong mengenai sesuatu pencapaian meskipun pencapaian tu adalah
sesuatu yang sia-sia. Kedua-duanya
mempunyai sikap yang berlawanan antara satu sama lain pantulan daripada realiti
dan budaya dimana kita hidup.
Burung merak juga banyak dihasilkan oleh penenun. Merak adalah sejenis
burung yang cantik terutamanya pada bahagian ekornya. Dalam konteks ini sesuatu
keindahan dan penonjolannya tidak sahaja diukur sebagai sesuatu kesombongan dan
keangkuhan diatas anugerah yang diterima. Budaya Melayu sering menekankan
nilai-nilai misalnya berbudi bahasa dan baik hati dalam menyimbolkan ciri-ciri
sifat individu.
Rama-rama boleh dilihat daripada putaran hidup rama-rama itu sendiri.
Daripada ulat beluncas yang hodoh rupanya bertukar menjadi kepompong dan
berkembang menjadi rama-rama yang cantik. Proses-proses ini menyimbolkan konsep
kasih sayang dan keindahan dan kedua-dua konsep akan akan kekal selama-lamanya.
Orang Melayu juga mendapat ilham motif-motif daripada kosmos misalnya
bulan, matahari, bulan dan awan dalam membangunkan reka bentuk songket. Hubungan
erat antara masyarakat Melayu dan persekitaran telah wujud sejak dahulu lagi
dimana pelbagai penemuan dalam ilmu pengetahuan, pengertian dan kepercayaan
telah dihasilkan. Masih terdapat banyak lagi rahsia tersembunyi yang masih
belum dibuat penyelidikan dan didedahkan. Walaubagaimanapun, bergantung kepada
usaha manusia itu sendiri untuk menemui sesuatu yang baik atau tidak. Dalam
perbincangan ini, pengetahuan yang mendalam yang dipandu dengan aturan dan
kepatuhan yang diperlukan, seperti pergerakan dan putaran alam ini. Bulan,
bintang dan matahari menyimbolkan keindahan alam manakala awan melindungi alam
disekitarnya. Perkara ini boleh dikaitkan dengan perkembangan Islam yang
bermula di suatu tempat dan tersebar dan berkembang di diserata ceruk dunia
untuk menyampaikan kebenaran yang sebenar untuk semua.
Menurut Siti Zainon (1986) penenun juga mengambil kehidupan nelayan dalam
menghasilkan motif songket. Misalnya, motif Bintang Beralih sebenarnya adalah
perletakan bintang dimana digunakan oleh nelayan sebagai panduan untuk mendapat
tangkapan yang besar, motif ini juga adalah simbol kepada limpahan rezeki.
Bintang yang berkelip-kelip adalah panorama yang indah. Ilham daripada situlah
tukang Melayu juga menggunakan panorama ini sebagai panduan dimana dan masa
bila sesebuah rumah itu sesuai dibina agar rumah itu akan dilimpahkan
keberkatan dikemudian hari.
Terdapat juga penggunaan motif
–motif alam benda atau objek harian yang berdasarkan kegunaan tertentu dan
mempunyai ciri-ciri yang menarik. Kewujudan objek dipercayai membawa tuah yang
baik, rahmat atau keuntungan atau perlindungan kepada pemakainya misalnya motif
keris, mahkota, kipas tangan, tudung saji dan banyak lagi.
Keris adalah objek yang sangat penting dalam masyarakat Melayu tradisional
yang digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Selain sebagai simbol
lelaki Melayu tangkas dan berani, keris juga adalah objek yang mempunyai elemen
magis. Keris sering digunakan dalam upacara ritual tradisi kerana keris
dipercayai mempunyai semangat yang tersendiri. Semenjak keris mempunyai
pengaruh kuat dan impak yang besar bagi orang Melayu, tidah menghairankan jika
proses untuk membuat dan memulihara keris ini dilakukan dengan berwaspada,
penuh adab dan secara artistik. R.O. Winstedt mengatakan ‘keris adalah hasil
kerja tangan orang Melayu yang paling asli kecantikannya’. Kini keris adalah
simbol kuasa, kedaulatan dan kemegahan bangsa Melayu. Oleh itu penenun songket
sering menggunakan motif ini untuk melambangkan kekuatan orang Melayu.
Mahkota merupakan objek yang penting dalam masyarakat Melayu terutamanya berkaitan
dengan pemerintahan monarki samada Raja dan Ratu. Mahkota merupakan sebahagian
daripada perhiasan diraja dimana diletakkan di atas kepala ratu. Mahkota yang
baik dihasilkan daripada emas dan batu permata. Oleh yang demikian motif
mahkota dalam tenunan songket menyimbolkan sanjungan, kehormatan dan kasih
sayang. Dipercayai penggunaan motif mahkota ini mula digunakan dalam tenunan
songket setelah peristiwa bersejarah keluarga diraja British melawat negara
ini.
Motif kaligrafi adalah salah satu daripada usaha kreatif untuk memindahkan
idea daripada dunia bentuk alam kepada bentuk tulisan khat atau kaligrafi
Islam. Dalam konteks khat, Picasso pernah berkata beliau berasa dirinya begitu
kecil dan tertinggal di belakang dalam dunia seni apabila beliau menemui seni
Muslim iaitu khat. Disamping mempunyai unsur-unsur persuratan dan pengucapan
yang tinggi, khat juga mempunyai ciri penyampaian, ajaran agama, cara untuk
memudahkan dan ketajaman minda. Khat bermula dengan gaya kufi dan selainnya
adalah pembaharuan-pembaharuan atau inovasi yang dilakukan antaranya Thuluth,
Farisi, Nasikh, Raihani, Juli-Diwani, Maghribi dan Taliq. Elemen keindahan dan
estetik telah menarik kaligrafi ke dalam seni tenunan songket yang boleh
dilihat sebagai mempunyai citrasa berunsur Islam. Setiap konsep boleh dihayati
dari segi fizikal seperti perletakan, bentuk, aturan dan juga kedalaman mesej
pengetahuan, falsafah, dan merujuk kepada Allah Yang Maha Agung dan Besar.
Manusia sering disarankan untuk bersahabat dengan alam, samada di darat
atau di lautam. Motif yang dihiaskan di dalam tenunan songket adalah salah satu
cara manifestasi cara cinta secara simbolik yang boleh lihat seperti yang
digambarkan pada motif-motif gunungan dan ombak. Dalam konteks kesenian Melayu,
konsep ‘gunung’ boleh dilihat pada tepak sireh, gubahan dan susunan sireh, nasi
ambang, sireh junjung dan pulut kuning. Al-Ghazalie juga memberi penekanan
kepada simbol ‘gunung’ sebagai tempat Tuhan menyampaikan Pengetahuan-Nya,
rahmat dan kasih sayang. Walaubagaimanapun tidak semudah itu untuk mendapat
rahmat daripada Tuhan. Seseorang itu perlu menghadapi ujian dan cabaran sebelum
menemui rahmat Tuhan. Oleh itu, dalam mencari ketenangan, seseorang itu
mestilah terus-menerus mengamalkan suruhan agama. Tuhan tidak akan merahmati
hambanya sekiranya hambanya tidak berterima kasih.
Motif ombak laut juga disusun secara halus dan merupakan fenomena alam yang
sangat cantik dan menarik. Elemen air seperti ombak laut mempunyai makna yang
tersendiri, jika dibandingkan dengan elemen yang lain seperti tanah, api dan
udara. Ombak menghasilkan buih-buih pada permukaan air simbol kepada kita
betapa kecilnya manusia seperti buih-buih di lautan jika dibandingkan dengan
Pencipta. Oleh yang demikian, sebahagian manusia, kita seharusnya bersyukur dan
berterima kasih kepada Allah di atas setiap anugerah yang dikurniakan oleh-Nya.
Masyarakat Melayu mempunyai makanan-makanan
yang menarik dan keunikan kerekter yang
tersendiri. Selain kaya dengan dengan makanan tradisi, kuih-muih tradisi Melayu
adalah tarikan utamanya. Kebanyakan kuih-muih Melayu tidak sahaja unik dan
klasik malah terkenal dengan kelazatan dan keenakkan citarasanya. Perkara ini
bukan sahaja diakui oleh orang Melayu tetapi juga masyarakat luar.
Penenun songket menggunakan motif kuih-muih Melayu kerana populariti kuih
itu sejak dahulu lagi. Sesetengah motif diambil daripada kuih ini adalah
seperti Tepung Talam dan Potong Wajik. Berdasarkan sejarah kedua-dua kuih ini
adalah makanan pilihan bagi golongan diraja. Pada hari ini kedua-dua kuih ini
disediakan untuk acara istimewa seperti majlis pertunangan, perkahwinan dan
lain-lain. Dalam budaya orang Melayu, mengamalkan cara menyambut tetamu yang
datang dengan menghidangkan mereka dengan kuih-muih sebagai simbol
mengalu-alukan kedatangan, tanda persahabatan dan hubungan yang akrab antara
satu sama lain. Keunikan makanan ini dapat dilihat dengan bagaimana cara kuih
ini dipotong.
Kesimpulan
Daripada perbincangan di atas, seni tenuan songket Melayu kaya dengan
maksud budaya dan falsafah. Daripada perspektif in, tenunan songket dan
penggunaanya membantu dalam menunjukkan kewujudan ketertiban, nilai dan etika yang turun temurun
dan dimiliki oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun tidak cukup menghayati songket
dengan hanya melihat dan merenung keindahan fizikal yang ada padanya.
Penyelidikan dan apresiasi pada motif songket seharusnya diteruskan untuk
mencari pengertian, falsafah atau mesej yang menjadi simbol adat budaya kepada
bangsa Melayu. Oleh yang demikian, harus ditekankan semula bahawa seni tenunan
songket wajar dianggap sebagai ‘Seni Warisan Agung’ yang perlu di hormati dan
dipelihara.
Bibliografi
Azah Aziz (1990), Selayang Kenangan, AMK Interaksi,
Kuala Lumpur
A Malaysian Touch, Textiles for The ‘New Millennium (1999), Perbadanan Kraftangan Malaysia.
Hairuddin Harun
(2001), Kosmologi Melayu Dalam Era
Teknologi Maklumat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Motif-motif Etnik Malaysia, Perbadanan Kraftangan Malaysia
Maznah Mohamad
(1996), The Malay Handbloom Weavers: A
Study of the Rise and Decling of Traditinal Manufacture, Institute of
Southeast Asian Studies.
Norwani Mohd.
Nawawi (2002), Songket Malaysia,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Panofsky, Erwin
(1955), Meaning in the Visual Arts,
The University of Chicago Press, United States.
Rahman Bujang dan
Nor Azlin Hamidon (2002), Kesenian
Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur.
Selvanayagam, Grace
Impam (1991), Songket Malaysia’s Woven
Treasure, Oxford University Press Pte Ltd, Singapore
Siti Zainon Ismail
(1986), Rekabentuk Kraftangan Melayu
Tradisi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Siti Zainon Ismail
(1991), “Makna Seni Tampak-Seni Halus:
Pendekatan Sosio-Budya dan Tradisi Kesinambungan dalam Seni Lukis Sezaman”,
INTI, Jurnal Perintis Pendidikan Seni lukis dan Senireka, Institut Teknologi
Mara, Shah Alam
Songket, Satu Warisan Malaysia (1999), Galeri Petronas, Kuala Lumpur
Syed Ahmad Jamal
(1992), Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan