Jumaat, 14 Oktober 2016

Kuasa dan Penterjemahan: Analisis terhadap teks 'Revolution in Malaysian Art, Sociocultural and Political Experiences Through Young Contemporaries from the 1970s until Today'.


Oleh: Faizal Sidik

Pengenalan


Teks yang telah dipilih untuk dibincangkan mengenai kuasa dan penterjemahan adalah tulisan penulis sendiri yang dihimpunkan dengan penulis-penulis lain di dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Sezaman’ yang diterbitkan pada tahun 2010 oleh Balai Seni Lukis Negara (kini Balai Seni Visual Negara, BSVN), di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (kini Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan). Buku yang berkulit tebal ini mempunyai bilangan 243 muka surat ini diterbitkan sempena pertandingan dan pameran Bakat Muda Sezaman (BMS) pada tahun 2010.

Penerbit BSVN ada sebuah badan penerbitan seni lukis yang utama di negara ini. Sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertujuan untuk membangunkan dan mengembangkan seni visual dinegara dalam pelbagai genre seperti lukisan, catan, arca, cetakan, fotografi, media baru, seramik dan lain-lain. Hampir lima puluh peratus penerbitan seni visual sejak negara mencapai kemerdekaan adalah diterbitkan oleh Penerbit BSVN secara dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
  

BMS
Bakat Muda Sezaman atau BMS adalah sebuah pertandingan dan anugerah seni peringkat nasional yang telah dianjurkan oleh BSVN sejak tahun 1974 lagi. Setelah 30 tahun penganjurannya boleh dikatakan anugerah menerusi pertandingan dan pameran seni ini merupakan anugerah seni yang tertua di Asia Tenggara dan Asia yang pernah dianjurkan. Tujuan penganjuran acara ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada pelukis-pelukis muda dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam penghasilan karya seni  menerusi pertandingan. BMS merupakan sebuah anugerah yang prestij bagi pelukis muda kerana penyertaan atau kemenangan anugerah ini akan menentukan hala tuju pelukis-pelukis ini untuk mengalas peranan pelukis-pelukis mapan yang ada dalam bidang kesenian di negara ini.

Bagi edisi penganjuran 2010, sebanyak 4 orang juri tempatan termasuk penulis dan seorang daripada negara  India telah dilantik oleh pihak penganjur. Sebanyak hampir  200 permohonan yang diterima untuk menyertai pertanding ini melalui cadangan kertas kerja, namun hanya 30 cadangan karya sahaja yang telah diterima. Selain menjadi juri, diakhir penjurian setiap juri dikehendaki membuat laporan juri berkenaan isu dan pandangan juri berkenaan tahap pertandingan. Penulis mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan untuk mengelakkan pertindanan maklumat dengan juri-juri yang lain tetapi mengambil keputusan untuk menulis sebuah esei yang meneroka secara kronologi tiga puluhan tahun penganjuran BMS yang dirasakan cukup signifikan dalam melihat garis masa sosio-budaya dan politik Malaysia dalam BMS ini menerusi penghasilan karya seni visual.


Anailisis Teks dan Pendekatan Penterjemahan

Oleh yang demikian buku ‘Sezaman’ ini atau penerbitan-penerbitan BMS sebelum ini adalah adalah merupakan dokumentasi yang bukan sahaja merakamkan  semula karya yang menyertai pertandingan atau memenangi anugerah tetapi turut diselitkan laporan, saranan, nasihat dan pengharapan juri dalam melihat perkembangan seni yang telah dicapai dan arah tujunya ke arah peningkatan dimasa akan datang. Terdapat enam buah tajuk penulisan termasuk tulisan teks sumber oleh penulis seperti dalam rajah 1 beserta terjemahan.


No
Tajuk Teks Sumber
Tajuk Teks Sasaran
1
Revolusi Pengalaman Seni,
Sosio-Budaya dan Politik Malaysia Menerusi Bakat Muda Sezaman 1970 an hingga Kini

Revolution in Malaysia Art, Sociocultural and Political Experiences Through Young Contemporaries from the 1970s until Today


Rajah 1. Tajuk teks

Di dalam  rajah 2 penulisan teks ini, penulis telah membahagikan tajuk-tajuk kecil seperti ‘Konseptual Babak Baru + Penuh Bernafsu’ dalam melihat perkembangan awal BMS pada tahun 1970 an. Sekitar perkembangann kebudyaan tanahair pada tahun 1980 an pula diperbincangkan dengan tajuk ‘Revivalisme Rupa Mencari Semangat Yang Hilang!’, Kepelbagaian idea yang muncul selepas sedekad pada tahun 1990 an melalui ‘Pluralisme Bentukan Pelbagai Berbaur Idealistik’ , manakala pada tahun 2000 an penulis mengungkapkan tajuk kecil  ‘Paradigma Baru>Elektronik Merentasi Disiplin Kreatif Bernada Serantau’.


No
Isi Kandungan Teks Sumber
Isi Kandungan Teks Sasaran
1
BMS ?
YC?
2
Konseptualisme Babak Baru + Penuh Bernafsu
New Scene + Obscene Conceptualism
3
Revivalisme Rupa Mencari Semangat Yang Hilang !
Formal Revivalism In Search of Lost Soul!
4
Pluralisme Bentukan Pelbagai Berbaur Idealistik
Idealistic and Multiformat Pluralism
5
Paradigma Baru > Elektronik Merentasi Disiplin Kreatif Bernada Serantau
New Paradigm > Regional Inter-disciplinary Electronic Practice
6
.............BMS = Sumbangan Identiti Lokal Asia Tenggara kepada Interaksi Global
…..YC = Contributions of Southeast Asian Local Identities to Global Interaction.


Rajah 2.  Tajuk kecil



Sungguhpun begitu, penulis menghadapi kekangan pada perenggan yang terakhir pada tajuk ‘Pluralisme Bentukan Pelbagai Berbaur Idealistik’ yang diterjemahkan ‘Idealistik and Multiformat Pluralism’ . Penulis telah dipanggil oleh penguasa atau penerbit untuk memberi penjelasan berkenaan dengan perenggan teks sumber dan terjemahan;


“Krisis ekonomi Asia yang berlaku pada tahun 1997 telah memberi tempias dan kepanikan kepada negara. Penyingkiran Anwar Ibrahim dalam kerajaan Mahathir Mohamed ekoran daripada sokongan Anwar terhadap pelan pemulihan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa atau International Monetry Fund (IMF) semasa menjawat Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 sungguh mengejutkan dan memberi impak yang besar terhadap masa depan politik Malaysia kerana pengaruh kewibawaan dan kepimpinan Anwar yang begitu besar dalam kerajaan Mahathir. Ketidakpuashatian rakyat dan golongan seniman bagaimana isu itu diselesaikan telah membangkitkan reformasi kepimpinan bukan sahaja datangnya daripada golongan marhain malah golongan seniman dan juga sasterawan. Terjemahan resah dan gelisah daripada itu maka keluarlah novel politik satira ‘Shit’ (1999) oleh Shahnon Ahmad yang mengegarkan dunia kesusasteraan negara kerana menggunakan metafora usus dan bahagian perkumuhan manusia sebagai naratif kritikan beliau permasalahan ini yang kemudiannya diharamkan.”

“The 1997 Asian economic crisis brought chaos to the country. When Anwar Ibrahim, then the Finance Minister and Deputy Prime Minister, supported the restructuring plan proposed by the International Monetary Fund (IMF), Mahathir Mohamed decided to sack him in 1998. Due to Anwar immense influence and credibility not only within Mahathir’s administration but also among the populace, this incident astounded the whole nation and enormously affected the future development of Malaysian politics. Dissatisfied with the seemingly conspiratorial treatment of Anwar, many people, including artists and writers, criticised the government. So furious was Shahnon Ahmad with the situation that he wrote a political satire ‘Shit’ in 1999, making allegorical reference to the ruling establishment. The controversial novel, which stunned Malaysian literature world owing to Shahnon’s rabid used of large intestine and lumps excrement as lead characters, was later banned by the government.”


Penerbit mendakwa teks berkenaan dikatakan boleh mencemar nama negara dan berbaur tabu. Sebagai sebuah agensi kerajaan penerbit merasakan teks sumber dan teks terjemahan dikatakan tidak selari dengan aspirasi pemerintah. Penerbit berura-ura untuk mengugurkan sebahagian dan menghilangkan keseluruhan teks perenggan berkenaan daripada disiarkan.

Bagi mendapatkan gambaran dengan lebih dekat mengenai teks sumber dibahagikan kepada 3 ayat seperti di dalam rajah 3 . Dalam teks No. 2, pihak penerbit mengatakan teks sumber dan teks sasaran tidak sesuai dipakai kerana teks berkenaan seolah-oleh menyalahkan dan memburukkan kerajaan kerana memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Dr Mahathir. Selepas pemecatan nama Anwar Ibrahim cukup sinonim dengan parti pembangkang dan merupakan musuh kuat kepada parti kerajaan. Kerajaan dilihat seolah-olah ingin menghilangkan segala legasi yang ditinggalkan oleh Anwar Ibrahim termasuk namanya sendiri daripada mana-mana yang bersangkut paut dengan kerajaan. Penulis mengatakan teks No.2 adalah fakta sejarah dan masyarakat umum telah telah mengetahuinya di dalam massa dan ianya tiada perlu diperselindungakan berkenaan penyingkiran itu serta kaitnya dengan pemerintah.

Dalam teks No.3, penerbit mengatakannya bersifat tabu kerana menggunakan perkataan liar ‘shit’ atau najis di dalam teks bagi mengambarkan perasaan ketidakpuashati. Penulis mempertahankan novel politik sinikal yang dikarang oleh Shahnon Ahmad iaitu ‘Shit’ adalah kata nama khas bagi tajuk novel berkenaan. Sekiranya padanan ‘Shit’ diberikan istilah lain misalnya ‘Najis’, sebenarnya tidak mengambarkan kerasnya kritikan penulis novel terhadap pergolakan politik pada masa itu. Setelah mendengar penjelasan dan perlunya teks ini dikekalkan, pihak penerit telah bersetuju untuk melepaskannya diterbitkan.

No.
Teks Sumber
Teks Sasaran



1

Pluralisme Bentukan Pelbagai Berbaur Idealistik

Krisis ekonomi Asia yang berlaku pada tahun 1997 telah memberi tempias dan kepanikan kepada negara.

Idealistic and Multiformat Pluralism


The 1997 Asian economic crisis brought chaos to the country.


2

Penyingkiran Anwar Ibrahim dalam kerajaan Mahathir Mohamed ekoran daripada sokongan Anwar terhadap pelan pemulihan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa atau International Monetry Fund (IMF) semasa menjawat Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 sungguh mengejutkan dan memberi impak yang besar terhadap masa depan politik Malaysia kerana pengaruh kewibawaan dan kepimpinan Anwar yang begitu besar dalam kerajaan Mahathir.

When Anwar Ibrahim, then the Finance Minister and Deputy Prime Minister, supported the restructuring plan proposed by the International Monetary Fund (IMF), Mahathir Mohamed decided to sack him in 1998. Due to Anwar immense influence and credibility not only within Mahathir’s administration but also among the populace, this incident astounded the whole nation and enormously affected the future development of Malaysian politics.

3

Ketidakpuashatian rakyat dan golongan seniman bagaimana isu itu diselesaikan telah membangkitkan reformasi kepimpinan bukan sahaja datangnya daripada golongan marhain malah golongan seniman dan juga sasterawan. Terjemahan resah dan gelisah daripada itu maka keluarlah novel politik satira ‘Shit’ (1999) oleh Shahnon Ahmad yang mengegarkan dunia kesusasteraan negara kerana menggunakan metafora usus dan bahagian perkumuhan manusia sebagai naratif kritikan beliau permasalahan ini yang kemudiannya diharamkan.

Dissatisfied with the seemingly conspiratorial treatment of Anwar, many people, including artists and writers, criticised the government. So furious was Shahnon Ahmad with the situation that he wrote a political satire ‘Shit’ in 1999, making allegorical reference to the ruling establishment. The controversial novel, which stunned Malaysian literature world owing to Shahnon’s rabid used of large intestine and lumps excrement as lead characters, was later banned by the government.

Rajah 3.


Kesimpulan


Berdasarkan analisis teks yang dinyatakan, jelaslah apa yang dikatakan oleh Munday (2007) dimana isu kuasa dan penterjemahan memainkan peranan yang penting terhadap sesuatu budaya terutamanya dari segi pemilihan teks sumber dan pengaruh serta manipulasi teks asal terhadap budaya pembaca sasaran. Misalnya dalam teks yang diperbincangkan tidak ada ruang untuk teks asal atau teks terjemahan untuk bersikap neutral atau tidak menyebelahi sesiapa terutamanya yang berkaitan dengan kuasa politik seseorang dan institusi pemerintahan. Sekiranya  ianya berlaku sudah tentu akan hilang kredibiliti teks asal dan terjemahannya dimata pembaca sasaran.



Rujukan:

Munday, J., (2007) Style and Ideology in Translation: Latin American Writing in English, New York: Routledge.


Faizal Sidik,(2015) ’40 Tahun Anugerah Bakat Muda Sezaman’, Dewan Budaya, Februari, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Faizal Sidik,(2010) ‘‘Revolusi Pengalaman Seni, Sosio Budaya dan Politik Malaysia Menerusi Bakat Muda Sezaman 1970 an hingga Kini’, dalam ‘Sezaman’, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.