Sabtu, 28 Ogos 2021

Ulasan Buku - 'Seni Untuk Rakyat: Esei-Esei Kurator'

  

Tajuk: 'Seni Untuk Rakyat: Esei-Esei Kurator'
Muka surat: 182 halaman
Penulis: Faizal Sidik
Tahun: 2020
Harga: RM 20
Saiz buku: 14.8 cm x 21 cm (1/2 A4)

Buku Seni Untuk Rakyat : Esei-Esei Kurator adalah penulisan-penulisan seni yang ingin mendekati rakyat terbanyak tentang seni. Tanggapan sesetengah masyarakat yang mengatakan seni hanyalah untuk orang yang berada, mewah, eksklusif dan elit sebenarnya adalah kurang tepat. Seni lahir daripada pengalaman, ilmu dan imaginasi seseorang seniman sudah tentu tidak lari daripada pengaruh daripada rakyat terbanyak yang berada disekelilingnya. Seni  adalah cerminan terhadap latar suatu masyarakat, rakyat yang berseni melambangkan ketinggian ketamadunan suatu bangsa. Rakyat  juga berhak untuk berseni, masakan ada istilah seni rakyat dan juga ungkapan seni untuk masyarakat. 

Tujuan penulis menyusun buku ini adalah untuk mengajak rakyat terbanyak untuk mendalami seni melalui kacamata penulis sebagai kurator. Di dalam buku ini mengandungi 18 himpunan penulisan seni visual yang telah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka daripada tahun 2002 hingga 2020. Boleh dikatakan penulis mengumpulkan semua genre dan kategori dalam seni lukis seperti catan, arca, cetakan, lukisan, instalasi dan fotografi dibincangkan di sini.

Buku ini juga membincangkan tokoh-tokoh awal dan penting dalam seni lukis Malaysia, ulasan pameran seni oleh pelukis terpilih disamping menyoroti seni pergerakan seni lukis awal di Asia Tenggara seperti di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina. Selain seni lukis serantau penulis juga memperkayakan buku ini dengan perkembangan pameran berskala mega seperti Biennale seni samada di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Penulisan awal buku ini dimulakan dengan tajuk ‘Kuratis lawan Kurator’, kuratis atau cantuman suku kata kurator dan artis (pelukis) adalah merupakan penulisan yang berdasarkan dapatan kajian penulis sendiri sebagai artis yang mengkuratorkan pameran. Di dalam perbincangan ini penulis menggariskan tiga ciri-ciri kuratis antaranya mencabar keterbatasan insitusi kebudayaan, penerokaan cara baru dalam melihat dan penemuan dalam pembinaan pameran.

Penulisan awal lain seperti ‘Wajah Kuala Lumpur Dalam Lensa’, ‘Karya Instalasi Lee Kian Seng’  ‘Makna Tersirat Karya Suhaimi Fadzir’ dan ‘Membaca Seni dan Teks’ lebih memokuskan  mengenai genre seni seperti fotografi, arca, catan dan instalasi. Manakala ‘Sulaiman Esa: Pertemuan Timur-Barat Dalam Karya’,  ‘Karya Pintu Masuk Redza Piyadasa’, ‘Syed Ahmad Jamal: Bapa Seni Lukis Melayu Moden Malaysia’ dan ‘Hoessein Enas di Balai Seni Viisual Negara’ memperkatakan mengenai sumbangan tokoh-tokoh seni tanahair seperti Dato Hoessein Enas, Datuk Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Suleiman Esa dan Raja Shahriman Raja Aziddin.

Penulis juga telah memuatkan tiga tajuk penulisan yang bersifat tinjauan misalnya   ‘40 Tahun Anugerah Bakat Muda Sezaman’ yang meninjau perkembangan pertandingan anugerah seni lukis yang berprestij negara menerusi kronologi penganjuran sejak tahun 1974. Tajuk ‘Masa Depan Seni Lukis Malaysia’ memperbincangkan cabaran dan saranan terhadap kemantapan lanskap seni itu sendiri yang dimainkan oleh pelukis, galeri, pengumpul dan khalayak. Manakala itu ‘60 Tahun Penulisan dan Penerbitan Seni di Malaysia’ adalah         rakaman terhadap perjalanan industri penerbitan penulisan seni semenjak kemerdekaan melalui penghasilan katalog, majalah, buku dan media digital.

Penulis juga mengajak pembaca untuk melihat pengaruh seni lukis Eropah terhadap lanskap awal pergerakan seni moden di gugusan kepulauan Melayu semasa zaman kolonial seperti di Malaya, Singapura, Indonesia dan Filipina dalam dua esei iaitu ‘School of Paris dalam Karya Awal Seni Asia Tenggara‘ dan ‘Pengaruh Seni Lukis Barat di Filipina’. Pengalaman mengkurator pameran berskala besar biennale dan kesempatan melawat pameran antarabangsa biennale yang diadakan secara dwi-tahunan di luar dikongskin menerusi ‘KL Biennale Mendekati Alam dan Manusia’  dan ‘Istanbul Biennial 2019’.

Akhirnya himpunan esei-esei kurator ini diharapkan dapat menimbulkan kesedaran dan menarik minat masyarakat dalam merakyatkan seni bahawa seni sememangnya dihasilkan untuk rakyat. Penulisan ini adalah dari rakyat untuk rakyat kerana mereka adalah denyutan nadi dan dengupan jantung penghasilan seni. Semoga seni boleh  dijadikan sebagai tonik atau ubat yang mujarab dalam merawat permasalahan-permasalahan jiwa dalam mengisi rohaniah kita.


KANDUNGAN


Senarai rajah                                                                        vii

Senarai foto                                                                         viii

Penghargaan                                                                         xi

Prakata                                                                                 xii     

Pendahuluan                                                                        xiii

 

1.   Wajah Kuala Lumpur Dalam Lensa                         15

2.   Kuratis Lawan Kurator                                                 19

3.   Sulaiman Esa: Pertemuan Timur-Barat Dalam Karya           28

4.   Karya Instalasi Lee Kian Seng                                   38

5.   Makna Tersirat Karya Suhaimi Fadzir                            45

6.   Karya Pintu Masuk Redza Piyadasa         54

7.   Syed Ahmad Jamal: Bapa Seni Lukis Melayu Moden Malaysia      63

8.   School of Paris dalam Karya Awal Seni Asia Tenggara               72

9.   Pengaruh Seni Lukis Barat di Filipina dan Singapura Malaya     84

10.  Mohd Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014                    91

11. 40 Tahun Anugerah Bakat Muda Sezaman                  103

12. Hoessein Enas di Balai Seni Negara                  111

13. Membaca Seni dan Teks       120

14. Masa Depan Seni Lukis Malaysia                  125

15. KL Biennale Mendekati Alam dan Manusia                  136

16. 60 Tahun Penulisan dan Penerbitan Seni di Malaysia                  146

17. Istanbul Biennial ke-16: Cerminan Manusia dan Alam Sekitar  156

18. Siri Lok Raja Shahriman Raja Aziddin                             162


Glosari                                                                                  170

Bibliografi                                                                            180


ke>> Blurb Buku

*PENERBITAN BUKU & KATALOG PENERBIT 'PUSTAKA TAMAN SENI'*

 UNTUK PESANAN WHATAPP: 011 1097 5781

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan