Rabu, 11 Jun 2014

Penapisan Seni: Antara Kebebasan Berkarya Individu dan Kesejahteraan Hidup Rakyat

Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2014), 'Penapisan Seni: Antara Kebebasan Berkarya Individu dan Kesejahteraan Hidup Rakyat', Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.


Guo Jian, ‘The Square’ 2014

(Penulisan ini telah diterbitkan di dalam majalah Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur 2014)

Berita penangkapan artis China-Australia Guo Jian 52 tahun di studionya di Songzhuang, timur Beijing oleh pemerintah China mendapat liputan antarabangsa berkenaan karya kontroversi beliau yang mengambarkan  Tianmen Square yang diliputi dengan daging babi. Ini berikutan langkah berjaga-jaga kerajaan Parti Komunis China terhadap sambutan ke-25 tahun protes Dataran Tianmen yang lebih dikenali dengan Tianmen Square. Gou Jian yang juga bekas Askar Pembebasan Rakyat atau People’s Liberation Army semasa zaman remajanya juga pernah mengambil bahagian dalam protes pro-demokrasi di Tianmen Square pada 1989 yang telah mengorbankan beratus-ratus orang dan mungkin beribu dalam tunjuk perasaan itu. Protes Dataran Tianmen pada 1989 yang berlaku pada 4 June tahun tersebut adalah Pergerakan Demokrasi secara besar-besaran yang dipelopori oleh golongan pelajar merupakan gerakan demokrasi yang popular di Beijing. Guo yang dikenali dengan karya-karya yang bersifat Cynical Realism mengambil latar belakang beliau sebagai bekas tentera dan dunia hiburan dalam pengkaryaan beliau mengkritik dasar pemerintah.

Tekanan yang diberikan oleh pemerintah China terhadap pengkaryaan beliau yang anti-kerajaan telah memaksa beliau meninggalkan negaranya pada awal tahun 1990 an dan berpengkalan di Sydney, Australia.  Guo Jian kembali ke China pada tahun 2005. Beliau ditangkap selepas membuat kenyataan temuramah berkenaan karya beliau di Financial Times. Karya beliau yang bertajuk ‘The Square’ 2014 berukuran 460 cm x 220 cm adalah sebuah instalasi model Dataran Tianmen yang diselaputi oleh daging babi yang dikisar seberat 160 kg ditaburkan diatas model itu simbol kepada peristiwa berdarah dan pendemo yang terbunuh dalam kejadian 25 tahun lalu. Sehingga tulisan ini ditulis lebih 50 orang telah ditangkap di China di atas kesalahan secara langsung atau tidak langsung dalam memperingati berhubung dengan ulangtahunnya itu oleh pemerintah agar rakyat China tidak mengingatinya lagi peristiwa hitam itu.

Anda mungkin akan mengatakan ia hanya sebuah tangkapan seorang seniman yang karyanya tidak sehaluan dengan aspirasi pemerintah. Namun saya mahu melihatnya dalam bingkai yang lebih luas. Saya juga mahu menyatakan di sini juga, saya neutral dalam mengamati dan menganalisis setiap isu-isu yang berlaku, mari kita melihat konflik yang berlaku ini dalam fikrah yang mampu menerobos jauh dan bukan alasan-alasan emosi yang banal. Negara China kini menjadi kuasa kedua ekonomi terbesar dunia selepas Amerika Syarikat, menurut penganalisis ekonomi, tidak mustahil setelah membuka pintunya kepada dunia negara itu dalam beberapa tahun lagi negara itu akan mengambil alih monopoli dari Amerika. Pemimpin Amerika tahu negara itu tidak akan berjaya untuk menyainginya tanpa bahan mentah minyak yang diperolehi daripada negara-negara pengeluar di Asia Barat terutamanya Iran bagi menjana perkembangan ekonomi.

Tujuan Presiden Amerika mengadakan lawatan seperti di Jepun, Malaysia dan Filipina baru-baru ini bukan sahaja untuk memujuk Malaysia menandatangani perjanjian TPPA tapi mungkin lebih dari itu. Kedudukan Malaysia yang terletak di laluan perdagangan timur dan barat, melalui lokasi yang strategik dengan meletakkan pengkalannya di sini Amerika dikatakan  mampu menyekat kemaaraan China atas alasan keselamatan laluan perkapalan tetapi sebenarnya Amerika mahu mengawal laluan perdagangan minyak dunia seperti mana Amerika meletakkan pengkalannya di Teluk Subic  Filipina bagi mengawal Laut China Selatan. Tambahan pula kini hubungan tegang negara-negara Asean dengan China untuk menuntut Pulau Spartly yang dikatakan lokasi mempunyai potensi mengeluarkan minyak dan strategi ketenteraan menjadi rebutan antara China, Vietnam, Filipina dan Malaysia. Jadi usikan Financial Times (FT) yang berpengkalan di New York menemubual artis China-Australia itu berkaitan dengan isu sensitif dalaman negara China bagi mereka adalah suntikan-suntikan arsenik yang meracuni pemikiran rakyatnya. Tidak menghairankan mengapa pemimpin negara-negara Asia Barat yang lantang menentang dasar Amerika seperti Libya dan Mesir digulingkan menerusi agen-agen CIA yang menyelinap masuk untuk mencucuk jarum bagi mengapi-apikan sentimen pemberontakan menerusi laporan-laporan berat sebelah media-media barat seperti CNN, ABC dan Financial Times.

Pameran ‘Sensation’ iaitu pameran bergerak seni kontemporari koleksi pengumpul kontoversi iaitu Charles Saatchi yang kebanyakan mempamerkan karya-karya Young British Artist (YBAs) telah dipamerkan dibeberapa tempat antaranya Royal Academy of Art di London, Hamburger Bahnhoff di Berlin, Brooklyn Museum, New York dan cadangan untuk diadakan di National Gallery of Australia di Sydney dibatalkan. Pameran ini telah mencetuskan kontroversi di London dan New York berikutan imej Myra Hindley dan Virgin Mary. Di New York ia dikritik hebat oleh Datuk Bandar sendiri pada masa itu kerana mempamerkan nilai-nilai bermoral rendah yang tidak sepatutnya dilihat oleh khalayak yang dipamerkan oleh institusi dan muzium melalui dana awam

Di London sebelum upacara perasmian pameran itu dibuka kepada umum hampir tiga perempat daripada ahli akademi di Royal Academy yang terdiri daripada 80 orang itu telah memberi amaran bahawa pameran itu akan menimbulkan suasana yang tidak kondusif. Walaupun berlaku keluarbiasaan pengunjung yang tidak putus-putus beratur bagi mengetahui apa yang telah berlaku di dalam pameran ‘Sensation’ ini. Sesetengah daripada mereka telah menerima pengaduan daripada awam berkenaan karya adik beradik Chapman berkenaan karya instalasi model kanak-kanak yang bersifat kelucahan yang melampau untuk tatapan khalayak. Namun karya sangat menimbulkan kekecohan di media dan kemarahan adalah imej imej pembunuh Myra Hindley oleh Marcus Harvey.

Harvey mula mendapat liputan luas oleh media di London berikutan karya potret gergasi salah seorang penjenayah kes Pembunuhan Moor iaitu Myra Hindley yang beukuran 9 x 11 kaki. Moor Murderer adalah kes pembunuhan 4 orang kanak-kanak yang mengejutkan warga Britain. Karya yang dihasil melalui cetakan tangan  daripada acuan plaster daripada tangan kanak-kanak telah dipamerkan dalam pameran ini. Kumpulan The Mother Against Murder and Aggression telah mengadakan protes dengan berpiket semasa hari pertama pameran itu berlangsung. Ibu salah seorang mangsa kanak-kanak pembunuhan Hindlay iaitu Winnie Johnson mengatakan karya potret dengan salinan cetakan kanak-kanak itu telah menganggu fikiran beliau. Berikutan itu Myra Hindley telah menghantar surat daripada penjara untuk menyarankan agar potret beliau itu disingkirkan daripada pameran dengan alasan mengatakan “ia bukan sahaja akan menimbulkan kesedihan dan trauma kepada keluarga mangsa Moor namun juga kepada keluarga mangsa pembunuhan kanak-kanak yang lain. Karya ini telah diserang dengan dua insiden pada hari pembukaan dimana dakwat dan telur telah dibaling keatasnya, berikutan itu karya ini terpaksa diturunkan buat sementara untuk dibaiki akibat kerosakan itu. Karya itu kembali dipamerkan dengan disaluti perspek dihadapannya dan dikawal oleh pengawal keselamatan.

Sungguhpun pameran ini dikatakan begitu popular dan menarik lebih 300,000 pelawat sepanjang 3 bulan sepanjang ianya berlangsung, tambahan dengan liputan dan  perhatian yang luar biasa diberikan oleh media massa. BBC mengambarkannya pameran itu sebagai “imej badan yang dipotong-potong yang berlumuran darah dan penuh dengan pornografi”.


Dua tahun kemudian pameran ‘Sensation’ yang begitu sensasi ini dibawa bergerak ke Brooklyn Museum, New York pada 1999. Di New York lain pula kontroversi yang timbul daripada di London dimana karya ‘The Holy Virgin Mary’, 1996 oleh Chris Ofili artis Britain berkulit hitam diprotes daripada dipamerkan. Karya dekorasi berlatarbelakangkan warna kuning dan oren, berukuran 8 kaki tinggi x 6 kaki lebar ini memaparkan wanita berkulit hitam yang berjubah, secara tradisinya adalah pakaian Virgin Mary menurut agama Kristian. Karya media campuran yang menggunakan bahan cat minyak, cat kerlipan, dan diselaputi resin bagi menyelaputi bahan buangan gajah dan kolaj imej-imej pornografi daripada majalah di atasnya. Di sekitar Black Madonna itu dikelilingi imej-imej kolaj dimana daripada jauh nampak seperti rama-rama, namun apabila audien hadir dekat ia adalah imej fotografi alat sulit wanita, menimbulkan ketidakpuashati dan bantahan pendemo. Ini ditambah pula oleh  laporan media yang buruk terhadap karya itu.

Datuk Bandar pada masa itu Rudolph Giuliani, walaupun tanpa pergi ke muzium itu dan melihatnya menerusi katalog pameran mengatakannya  “sebuah karya yang sakit” dan cuba menarik semula geran sebanyak 7 juta yang diberikan setiap tahun oleh Dewan Bandaraya kepada Brooklyn Museum kerana menganjurkan pameran itu. Ini kerana katanya “Anda tidak berhak untuk mendapat subsidi kerajaan untuk menghina agama seseorang”. Giuliani mula ingin mendakwa muzium dan pengarah Arnold Lehman di mahkamah. Walaubagaimanapun permintaan  permintaan Giuliani ditolak oleh muzium kerana beliau melanggar undang-undang First Amendment.

Sebulan sebelum pameran itu ditutup warga emas yang berumur 72 tahun ditahan kerana cuba merosakkan karya Offli dengan cat putih, karya itu kemudiannya diturunkan sementara waktu. Untuk langkah-langkah keselamatan karya, muzium telah meletakkan skrin plexiglass di atasnya dikawal oleh pembantu muzium dan pegawai polis yang bersenjaata seperti yang berlaku di London bersama-sama papan tanda amaran “mungkin akan membuat anda terkejut, mual, keliru, panik dan cemas” . Pengkritik daripada New York Observer mengatakan “mereka mahukan publisiti dan mereka dapat” manakala itu ketua editor majalah Art & Auction New York “Orang yang mula-mula yang sudah tentu akan tersenyum adalah Charles Saatchi terkenal dalam melobi-lobi diri”


Bersambung...