Rabu, 29 September 2010

Redza Piyadasa: Pemandangan Malaysia Teragung

Oleh: Faizal Sidik
























Karya Redza Piyadasa ‘The Great Malaysian Landscape’ atau “Pemandangan Malaysia Teragung” merupakan sebuah karya lanskap yang menolak konvesi-konvensi yang ada pada catan lanskap itu sendiri. Karya ini yang pernah memenangi hadiah utama dalam Pertandingan Lanskap Balai Seni Lukis Negara pada 1972 mempersoalkan persoalan sifat seni lukis lanskap. Karya ini boleh dianggap sebagai catan dalam catan iaitu sebuah karya yang dihasilkan dalam karya itu sendiri.

“Secara umumnya penggunaan teks dalam ‘The Great Malaysia Lansdscape’ merupakan karya awal beliau yang bermain dengan konflik mata-minda atau dikotomi imej pada teks; ia membuka lembaran baru kepada Piyadasa dalam membina sepenuhnya penghasilan karya-karya konseptual lewat tahun 70 an”

Apa yang ketara dalam kary ini adalah penggunaan typografi teks yang tercatat perkataan SURFACE, GRAVITY, HOOK, IMAGE, ZIP, EDGE, TITLE, FRAME, SIGNATURE mencadangkan apa yang perlu ada dalam sesebuah karya yang ideal, beliau memberikan dua contoh Surface atau permukaan iaitu permukaan karya yang beliau hasilkan dan permukaan didalam tingkap lanskap. Karya yang beliau hasilkan ini mempunyai 2 lapisan iaitu sebuah permukaan di atas pemukaan yang lain. Hook atau penyangkut dicadangkan digantung sedemikian rupa dan diikat padi tali untuk diagantung akan menghasilkan tindakan graviti.

Zip iaitu dua jaluran garisan hijau secara vertikal seolah-olah sebuah gambaran zip yang begitu popular digunakan oleh artis pada tahun 60 an , ia juga mungkin satu penegasan yang ingin keluar daripada aturan teknik hard-edge yang boleh dilihat di sebelah kiri dalam karya ini iaitu cat yang berwarna hijau yang menggunakan teknik hard-edge. Penggunaan garisan zip ini begitu popular digunakan oleh artis abstrak ekspresionis seperti Bernett Newman dan Clifford Still , ia telah menjadi satu ikutan yang popular di era kemuncak aliran ini. Walaupun demikian saya tidak berminat untuk menyentuh garisan zip ini dan mungkin didalam perbincangan yang lain.

“Penggunaan perkataan stensil adalah trend baru; Piyadasa mengatakan penggunaannya adalah untuk memprovokasikan “perbandingan superfisial antara karya Larry Rivers dan Shusaku Arakawa”. Hubungkait antara kedua-dua itu tidak dapat dinafikan; Piyadasa mengkaji artis ini dengan bersungguh-sungguh. Terdapat juga perbezaan dalam penggunaan perkataan sebagai device dalam label-label. River menggunakan perkataan (penggabungan dengan elemen gambaran) untuk mengimbangi gestural, mempunyai ciri abstrak ekspressionis; dalam menghasilkannya beliau menerokai semula ekspressionis abstrak dengan menkesinambungkan dengan menggunakan kekuatan ekspresi bahasa.

Arakawa pula menggunakan perkataan untuk membuat perincian permainan bahasa; pemain berada dalam sesuatu permainan yang dikehendaki untuk memisahkan linguistik daripada bahagian bahasa untuk membuahkan sesuatu.”
Arakawa atau nama sebenarnya Shusakau Arakawa dilahirkan pada tahun 1963 dan meninggal pada 18 May 2010 tiga tahun selepas ketiadaan Piyadasa merupakan seorang artis dan arkitek Jepun. Pada awalnya Arakawa mempelajari matematik dan perubatan di Universiti of Tokyo dan kemudian seni di Mussashino Art University dimana selepas itu beliau banyak menghasilkan karya cetakan dengan menggunakan stail abstrak dada dan Neo-Dada semasa tinggal di New York pada tahun 1961.

Image atau imej dalam karya ini mempunyai tiga peringkat atau fasa. Imej yang pertama adalah merupakan sebuah lukisan hitam putih yang dihasilkan menggunakan pensil dimana ia mengikut aturan akademik dalam penciptaanya , hal ini dapat dilihat dari segi penggunaan perspektif, titik tengah dan juga garisan grid bagi mengambarkan imej pesawah sedaang membajak sawah dengan menggunakan kerbau di sawah padi. Imej kedua pula masih menggunakan subjek yang sama manun ia mula dirupakan dengan pigmen warna yang dihasilkan menngunakan cat air, iaitu sebuah medium yang sangat akrab dengan lukisan lanskap disebabkan sifat bahan itu yang spontan dan bersahaja. Imej ketiga adalah sebuah gambar foto yang memberi gambaran jelas tentang setiap butiran yang ada pada lanskap itu.

Dalam ketiga-tiga imej ini Piadasa mempersoalkan aktiviti membuat gambar dan juga memperjelaskan kronologi sejarah seni itu dengan bermetaforakan ketiga-tiga imej itu tadi. Imej pertama bolehlah dikatakan sebagai aliran pengajaran yang dibawa oleh Renaisan yang mementingkan ketepatan dalam setiap penciptaan. Imej kedua boleh dirujuk sebagai lukisan semi abstrak yang wujud dalam seni lukis moden di abad ke-20 dimana ia menekankan kepada imej-imej yang separa mujarad dan imej ketiga adalah sebuah gambar foto yaang telah mula diterima kini sebagai idea-idea seni yang lebih kontemporari yang mengikut peredaran zaman setelah terciptanya kamera.

Frame atau bingkai adalah satah empat segi yang membahagikan bahawa pelukis menghadkan ruang lingkup karyanya hanya had-had ukuran yang tertentu untuk boleh dikatakan sebagai garisan skop pembahagi untuk mengatakan ciptaan yang dihasilkan oleh seseorang individu dengan individu yang lain, selain itu bingkai juga berperanan sebagai pelindung kepada sesebuah lukisan dan biasanya karya yang berbingkai menyampaikan maksud pelukis telah berpuashati dengan apa yang beliau lakukan atasnya dan kemudian dibingkaikan sebagai satu penghormatan untuk mengelakkan imej didalamnya tidak rosak daripada unsur luar yang boleh merendahkan mutu penciptaan pelukis asal.

Edge atau tepian adalah ciri-ciri catan format empat segi satah dimana ia mempunyai fungsi yang sama dengan bingkai untuk membahagikan antara lingkungan-lingkungan artistik yang dihasilkan oleh artis dan alam semulajai. Title atau tajuk adalah label yang terdapat pada karya berkenaan yang memberitahu informasi yang terdapat dalam karya berkenaan seperti yang tercatat dalam label tajuk ini nama artis, tajuk, tahun, medium atau bahan dan juga indek. Signature atau tandatangan dalam karya ini dicadangkan di sebelah bawah karya dimana terdapat tanda yang tertulis Piyadasa, 72’ pada ruang disebelah bawah menandakan karya ini dihasilkan oleh seorang pelukis yang bernama dan tahun karya ini disiapkan. Tandatangan juga menyimbolkan bahawa lukisan ini telah siap dihasilkan.

“Pendekatan ini membuka fikiran baru, ia bukan sahaja ‘The Great Malaysia Landscape’ ;tetapi ia dilihat sebuah catan yang kritikal dan arah baru dalam pembuatannya. Dalam kata lain, ia menjelaskan apa itu catan yang sebenar, menolak semua pendapat yang catan itu hanya gambaran imej yang suci, yang dilebih-lebihkan; ia menyoal semula pembuatan catan, ia membuka definisi baru, yang memberi alternatif lain, dan menyarankan lorongan yang lebih segar. catan boleh dilihat sebagai suatu objek yang boleh diperbaharui. Dalam semua perkara ini, ‘The Great Malaysia Landscape’ boleh di angkat sebagai seni yang kembali menyusun makna kebudayaan dari satu sudut dan dari apek yang lain pula ia membawa permasalahan yang timbul pada logik yang terdapat dalam penghasilan artistik.”