Ahad, 28 Ogos 2022

Bicara Seni - Gerak Rupa: Syed Ahmad Jamal Dalam Koleksi Balai Seni Negara

 



Moderator:
Faizal Sidik
Panel:
Dr. Dzul Helmi Md Zain (Pensejarah seni)
Zanita Anuar (Balai Seni Negara)
21 Ogos (Ahad) 11 pagi - 1 tgh hari
Galeri Seni Johor (Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Baharu)


Pengerusi Majlis: AsSalammualikum dan salam sejahtera kepada para audien yang hadir di Dewan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar. Terlebih dahulu saya perkenalkan moderator yang akan meneraju bicara seni pada hari ini. Faizal Sidik dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan bekas kurator di Balai Seni Negara dari tahun 2010 hingga 2022. Lulusan Sarjana Muda Seni Halus di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM. Beliau pernah mengikuti pengajian Sarjana Seni Rupa Asia Tenggara di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya di bawah kelolalan pelukis dan pensejarahan seni Malaysia Redza Piyadasa. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Pengajian Penterjemahan dan Interpritasi di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Sebelum menjawat jawatan kurator di Balai Seni Negara beliau merupakan pensyarah seni halus di UiTM, SEGI University Collage dan Art Film Design Academy (AFDA) di Kuala Lumpur. Beliau aktif menyumbang penulisan di majalah dan akhbar seperti Dewan Budaya, Senikini Berita Harian dan blog. Buku pertama beliau ‘Seni Untuk Rakyat: Esei-Esei Kurator’ menghimpunkan penulisan-penulisan kuratorial terpilih beliau diterbitkan pada tahun 2020. Beliau merupakan kurator Singapore Biennale ke-4 (2013) dan Kuala Lumpur Biennale Pertama (2017). Beliau kini bergerak sebagai pelukis, penulis, penterjemah dan kurator bebas. Saya menjemput beliau untuk naik ke pentas. Terima kasih

Faizal Sidik: Terima kasih pengerusi saya jemput kedua-dua panel kita iaitu Dr. Dzulhelmi Md Zain iaitu pensejarah seni dan Pn. Zanita Anuar dari Balai Seni Negara bersama sama dengan saya di atas ini dipersilakan.

Terlebih dahulu saya perkenalkan panel pertama kita Dr. Dzul Helmi Md Zainadalah merupakan seoraang Profesor di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka di Universiti Teknologi Mara. Beliau mula menyertai UITM sejak tahun 1979 lagi. Beliau pernah dua kali dilantik menjadi dekan fakulti berkenaan iaitu dari tahun 1990 hingga 1992 dan dari tahun 2015 hingga Jun 2018. Kini beliau merupakan. Profesor bersara dalam bidang Sejarah Seni. Beliau telah mendapat pendidikan sejarah seni daripada University of Edinburg, Scotland pada tahun 1996 di bawah bimbingan Profesor Robert Hillenbrand.Beliau telah dianugerahkan oleh Sultan Selangor sebagai Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah atau AIS di atas sumbangan kumpulannya dalam perekaciptaan pingat kebesaran sempena hari pertabalan Sultan Selangor Disepanjang menjadi Profesor sejarah seni beliau telah membimbing dan membantu 13 pelajar yang memperolehi ijazah kedoktoran dan sejumlah pelajar mendapat ijazah sarjana. Dr. Dzul merupakan pengarang dan pengarang bersama artikel dan beberapa buku tentang Seni Islam dan Seni Kontemporari Malaysia. Antaranya adalah 'Nur Al-Quran (1999), 'Art of Nusantara' dalam The Massage and The Monsoon Islamic Art in Southeast Asia (2004). Disepanjang menjadi Profesor sejarah seni beliau telah membimbing dan membantu 13 pelajar yang memperolehi ijazah kedoktoran dan sejumlah pelajar mendapat ijazah sarjana. Dr. Dzul merupakan pengarang dan pengarang bersama artikel dan beberapa buku tentang Seni Islam dan Seni Kontemporari Malaysia. Antaranya adalah 'Nur Al-Quran (1999), 'Art of Nusantara' dalam The Massage and The Monsoon Islamic Art in Southeast Asia (2004), 'Manifestasi Tulisan Jawi' (2006), 'Ragam Hias Al-Quran di Alam Melayu (2006). Beliau merupakan ketua editor buku 7 jilid 'Seni Kraf Malaysia'. Penerbitan berkenaan Syed Ahmad Jamal pula adalah seperti 'Ruang-Syed Ahmad Jamal 75 (2004). 'Pelukis dan Peristiwa: Syed Ahmad Jamal (2008), Syed Ahmad Jamal, Pelukis in Zagreb, Guru of Colour (2014).  Beliau merupakan penulis dan kurator pameran mega dan retrospektif oleh Syed Ahamad Jamal yang bertajuk 'PELUKISl' yang diadakan di Balai Seni Negara pada tahun 2009 yang dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong. Selepas persaraannya  Dr Dzul kini aktif terlibat dengan kerja-kerja sebagai konsultan, penyelidikan, panel penilai luar pelajar pasca graduan, dan menjadi pakar rujuk kepada institusi seni seni tempatan dan masyarakat umumnya.

Panel kedua iaitu Zanita Anuar mendapat pendidikan formal di University of Pennyslavnia, Amerika Syarikat dengan Sarjana Muda dalam Antrapologi Budaya (BA in Cultural Antropology) dan ijazah Sarjana dalam Kajian Budaya Material (MA in Material Culture Studies) yang ditaja oleh kerajaan. Selepas menamatkan pengajian beliau pulang dengan memulakan karier awal dalam bidang seni sebagai pensyarah Sejarah Seni, Antropologi dan Sosiologi di INTI Collage pada tahun 1992 dan kemudian di Lim Kok Wing Institute of Technology. Beliau mula terlibat dalam bidang kuratorial secara langsung pada  tahun 1994 sebagai pembantu pensejarah seni Asia Tenggara dengan menyertai Nanyang Gallery of Art  iaitu sebuah anak syarikat di bawah Hong Leong Group yang diketuai oleh Joseph Tan. Semasa di sini beliau pernah bekerja dengan T.K. Sabapathy dalam sebuah pameran solo Syed Ahmad Jamal iaitu 'Syed Ahmad Jamal Overview' (1994). Pameran ini dilakukan sejurus persaraan SAJ dengan meninjau pengkaryaan awal SAJ sejak tahun 50 an hingga awal 90 an. Dalam bidang antropologi kuratorial beliau mempunyai minat yang mendalam dalam mengkaji sebuah  pertandingan dan pameran seni bagi progr npelukis muda peringkat kebangsaan  iaitu Anugerah Bakat Muda Sezaman atau dikenali BMS (Young Contemporary Art Award) yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara sejak tahin 1974. Dapatan kajian dan tinjauan beliau terhadap program di tulis dalam sebuah esei bertajuk 'Imbasan Bakat Muda Sezaman 1972-1997' yang menjadi rujukan asas klasik para pengkaji-pengkaji BMS kini. Sehingga kini beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kuratorial samada di galeri swasta dan muzium awam sama mengkuratorkan dan menulis untuk pelukis dan institusi pameran seni. Beliau turut dijemput berkongsi idea beliau di dalam seminar samada anjuran institusi tempatan dan luar negeri antaranya V & A Museum of Childhood, Bethnal Green, Department of Ethnography of the British Museum yang dikenali The Museum of Mankind British Museum, UK, The Art Gallery of New South Wales, Australia, Fukuoka Asian Art Museum, The National Museum of Ethnography (Minpaku) Osaka, Jepun, Guandong Muzeum of Art, China dan National University of Singapore Museum, Beliau pernahdipinjamkan oleh agensi Kementeria Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Muzium Negara pada tahun 2011 hingga 2013 sebagai Pengarah Inovasi. Semasa di sini beliau mengkonsepkan semula, menamakan dan menjadi penasihat Perpustakaan Univerisiti Malaya selain menjadi kumpulan penasihat kepada penubuhan Universiti Malay Art Gallery atau UMAG. Beliau mengetuai Kumpulan Inovasi dan Kreatif atau KIK Jabatan Muzium Malaysia dalam anugerah inovasi negara pada 2011-2012.

Faizal Sidik: Sebelum kita mulai bicara ini izinkan saya mengetuai bacaan Al-Fatihah kepada arwah Syed Ahmad Jamal. Al-Fatihah. Semoga ruhnya dicucuri rahmat. Syed Ahmad Jamal dilahirkanpada 19 September 1929 di bandar Maharani atau Muar, Johor. Bapanya Syed Jamal pernah menjadi wartawan dan bekerja sebagai penolong pengarang di Lembaga Malaya, Johor Bahru, bersama-sama Dato’ Onn Jaafar, Syed Jaafar Albar dan Syed Alwi Alhady. Datuknya Syed Sahih peniaga yang terkenal di Johor Bahru dan menjadi ahli majlis bandar Johor Bahru. Syed Ahmad Jamal mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah dari tahun 1936 hingga 1938. Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939, Ngee Heng English School pada 1940, Bukit Zahra English School dan English College, Johor Bahru hingga tahun 1949. Beliau mendapat biasiswa Sultan Ibrahim dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran ke Chelsea School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955, beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Art, London. Setahun kemudian beliau belajar pula di Institute of  Education, London University. Semasa di Chelsea School of Art, beliau berjaya memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan dalam seni lukis. Setelah pulang dari England, beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingg 1957. Pada tahun 1957, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur. Diantara tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi pensyarah pula di Malayan Teacher’ College, Kirby, Lancaster, United Kingdom dan pulang semula ke Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1961 hingga 1963, beliau bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras. Syed Ahmad Jamal merupakan nama penting dalam sejarah seni lukis negara. Penglibatan yang tidak mengenal jemu selama empat puluh tahun bergelut dengan seni ini telah  memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan ke arah pembinaan dan perkembangan seni lukis moden negara. Berdasarkan sumbangan penting beliau itulah kerajaan menganugerahkan Anugerah Seni Negara kepada beliau. Secara umumnya penerokaan Syed Ahmad Jamal dalam aliran yang diamalkannya melalui beberapa era atau revolusi iaitu dari era 50an hinggalah di alaf baru. Sejumlah 25 karya Syed Ahmad Jamal dalam tempoh 60 tahun pengkaryaannya terdapat di dalam Koleksi Balai Seni Negara yang terdiri daripada karya catan, arca dan lukisan.

Faizal Sidik: Berikut adalah kronologi pengkaryaan Syed Ahmad Jamal yang saya ingin kongsikan. Tahun 1950-an Sekitar tahun 1950-an ketika beliau berusia 20-an boleh dikatakan fasa pembentukan Syed Ahmad Jamal sebagai pelukis di mana Balai Seni Negara mengumpul tujuh buah karya beliau di dalam dekad ini antaranya ‘Mandi Laut’ (1957), ‘Pohon Nipah’ (1957), ‘Buah-buahan’ (1958), ‘Payong Biru’ (1958), ‘Ribut/Storm(1958), ‘Demonstrasi Dalam Salji’ (1959), dan ‘Umpan’ 1959. Fasa pembentukan ini adalah fasa awal di mana kita boleh melihat bagaimana latar belakang pendidikan yang diterima di luar negara yang sedang meledak dengan isme seni moden Barat seperti eskpressionisme abstrak mempengaruhi pengkaryaannya. Tahun-tahun ini juga kita boleh menyaksikan bagaimana peralihan daripada rupa bentuk separa mujarad kepada abstrak sepenuhnya namun dengan nafas ketimuran yang ada pada dirinya sebagai orang Asia.

Tahun 1960-an Dekad 1960an atau memasuki umur 30-an merupakan zaman peralihan atau transisi secara  beransur-ansur daripada separa abstrak kepada ekspresionis abstrak. Tahun-tahun ini juga beliau mula diberikan peluang untuk mengadakan empat pameran  solo. Pameran solo  pertama di British Council pada tahun 1960 dan kemudian solo kedua di Chinsese Assembly Hall, Singapura pada tahun 1961, tahun 1965 solo di AIA Gallery, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan pameran solo ‘Lela Mayang Suite’ di Samat Gallery, Kuala Lumpur pada tahun 1968. Karya-karyanya mula menampilkan imej-imej abstrak dalam latar budaya setempat. Terdapat 12 buah karya beliau yang dihimpunkan di dalam koleksi pada tahun 60-an antarnya karya ‘Dia/She(1960), ‘Thaipusam di Batu Cave’ (1961), ‘Perubahan Pada Pemandangan ‘ (1961), ‘Lakaran Harapan’ (1962), ‘Harapan/Hope(1962), catan ‘Perhubungan’ (1963), arca ‘Perhubungan’ (1963), ‘Tercapai/Reached’ (1963), ‘Selamat Hari Raya, (1965), ’Lela Mayang’(1968), ‘Lela Mayang ’ (1968), ‘Jendela Di Angkasa’ (1969).

Tahun 1970-an Dekad ini Syed Ahmad Jamal telah memasuki umur 40-an. Setelah 20 tahun di dalam pengkaryaan seni era ini boleh dikatakan sebagai satu fasa kematangan dan kedewasaan dalam karya-karya yang dihasilkannya. Dalam dekad ini di samping prolifik berpameran secara berkumpulan beliau menjayakan dua lagi pameran solo iaitu pameran solo di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya pada 1975 semasa menjadi pensyarah pelawat dan pameran solo ‘Retrospektif Syed Ahmad Jamal’ di Balai Seni Negara pada tahun yang sama.

Tahun 1980-an Syed Ahmad Jamal mencapai umur 50 tahun pada dekad tahun 1980 an. Pada tahun 1983 Syed Ahmad Jamal meninggalkan Muzium Seni Asia kerana dilantik menjadi Pengarah Balai Seni Negara. Antara usaha besar yang beliau lakukan ialah memindahkan bangunan Balai Seni Negara di Jalan Ampang ke ruang yang lebih besar di Hotel Majestic di Jalan Sultan Hishamuddin. Perjalanan pengkaryaan 10 tahun ini juga menyaksikan beliau lebih memberi komitmen kepada pameran berkumpulan daripada pameran solo. Pada dekad ini terdapat sebuah karya yang diperolehi iaitu ‘Sirih Pinang’ (1982-1986). Karya ini mengambil masa selama 4 tahun untuk dihabiskan, masa yang terlalu lama diambil bagi menyiapkan karya ini mungkin disebabkan tugas harian beliausebagai birokrat yang terlibat dalam hal-hal pentadbiran.

Tahun 1990an Tahun 1991, Syed Ahmad Jamal bersara daripada perkhidmatan awam pada umur 62 tahun. Masa yang banyak selepas persaraannya daripada kerajaan terus digunakan untuk menghasilkan karya. Dalam dekad ini merupakan tahun yang aktif beliau melakukan pameran solo antaranya adalah pameran solo ‘Syed Ahmad Jamal: A Historical Overview 1954-1994’ di Galeri Seni Nanyang, Kuala Lumpur dan ‘Chromatic Passages’, Takashimaya Gallery, Singapura, pada tahun 1994, pameran solo ‘Anugerah Tokoh Seni Negara: Syed Ahmad Jamal’ di Balai Seni Negara pada 20 Mei hingga15 Jun 1995, pameran solo  ‘Impian dan Kenyataan: Syed Ahmad Jamal’ di Balai Seni Negeri Kedah pada 16 April hingga 15 Mei 1996 dan pameran solo ‘Dari 1956 hingga 1999’ di Balai Seni Maybank,  Kuala Lumpur dan ‘Kunang-Kunang’ di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Tahun 2000-an Tahun-tahun ini Syed Ahmad Jamal memasuki umur 70-an. Setelah berkarier lebih 50 tahun dekad ini boleh dikatakan sebagai penghujung karier beliau sebagai pelukis yang serba boleh. Sungguhpun begitu dalam tahun 2000-an beliau terus produktif berkarya dan mengadakan lapan pameran solo antaranya pameran ‘Antara Langit dan Bumi: Syed Ahmad Jamal’, di Galeri Petronas pada tahun 2000, pameran solo ‘Drawings & Gouches of the 1950’s’ di Elm Quay Fine Arts, Kuala Lumpur, pameran solo ‘From 1940-1991’ di Valentine Willie Fine Art, Kuala Lumpur pada 2003, pameran solo ‘Ruang’di  Islamic Art Museum of Malaysia pada 19 September hingga 19 Oktober 2004, pameran solo ‘The Art Collection 1st Series, Galeri Petronas iaitu daripada koleksi galeri itu tahun yang sama, pameran solo ‘On and Off King’s Road: 10 New Paintings by Datuk Syed Ahmad Jamal’ di Galeri Petronas pada 16 November 2006 hingga 7 Januari 2007.dan pameran solo terakhir ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’ di Balai Seni Negara pada 6 Oktober 2009 hingga 31 Januari  2010 sebelum meninggal dunia pada 30 Julai 2011.

 

 

 

 

 

 

 

 

Rupa dan Jiwa Pengkaryaan Syed Ahmad Jamal Dalam Koleksi Balai Seni Negara

 Oleh: Faizal Sidik


Penulisan ini diterbitkan di dalam katalog pameran 'Gerak Rupa: Syed Ahmad Jamal Dalam Koleksi Balai Seni Negara', yang diterbitkan oleh Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 2022, ms 17-29.



Pengenalan

Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di bandar Maharani atau Muar, Johor. Bapanya Syed Jamal pernah menjadi wartawan dan bekerja sebagai penolong pengarang di Lembaga Malaya, Johor Bahru, bersama-sama Dato’ Onn Jaafar, Syed Jaafar Albar dan Syed Alwi Alhady. Datuknya Syed Sahih peniaga yang terkenal di Johor Bahru dan menjadi ahli majlis bandar Johor Bahru.

 

Syed Ahmad Jamal mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah dari tahun 1936 hingga 1938. Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939, Ngee Heng English School pada 1940, Bukit Zahra English School dan English College, Johor Bahru hingga tahun 1949.

 

Beliau mendapat biasiswa Sultan Ibrahim dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran ke Chelsea School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955, beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Art, London. Setahun kemudian beliau belajar pula di Institute of  Education, London University. Semasa di Chelsea School of Art, beliau berjaya memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan dalam seni lukis.

 

Setelah pulang dari England, beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingga 1957. Pada tahun 1957, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur. Diantara tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi pensyarah pula di Malayan Teacher’ College, Kirby, Lancaster, United Kingdom dan pulang semula ke Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1961 hingga 1963, beliau bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.

 

Syed Ahmad Jamal merupakan nama penting dalam sejarah seni lukis negara. Penglibatan yang tidak mengenal jemu selama empat puluh tahun bergelut dengan seni ini telah  memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan ke arah pembinaan dan perkembangan seni lukis moden negara. Berdasarkan sumbangan penting beliau itulah kerajaan menganugerahkan Anugerah Seni Negara kepada beliau. Secara umumnya penerokaan Syed Ahmad Jamal dalam aliran yang diamalkannya melalui beberapa era atau revolusi iaitu dari era 50an hinggalah di alaf baru. Sejumlah 25 karya Syed Ahmad Jamal dalam tempoh 60 tahun pengkaryaannya terdapat di dalam Koleksi Balai Seni Negara yang terdiri daripada karya catan, arca dan lukisan.

 

 

Tahun 1950-an

Sekitar tahun 1950-an ketika beliau berusia 20-an boleh dikatakan fasa pembentukan Syed Ahmad Jamal sebagai pelukis di mana Balai Seni Negara mengumpul tujuh buah karya beliau di dalam dekad ini antaranya ‘Mandi Laut’ (1957), ‘Pohon Nipah’ (1957), ‘Buah-buahan’ (1958), ‘Payong Biru’ (1958), ‘Ribut/Storm’ (1958), ‘Demonstrasi Dalam Salji’ (1959), dan ‘Umpan’ 1959. Fasa pembentukan ini adalah fasa awal di mana kita boleh melihat bagaimana latar belakang pendidikan yang diterima di luar negara yang sedang meledak dengan isme seni moden Barat seperti eskpressionisme abstrak mempengaruhi pengkaryaannya. Tahun-tahun ini juga kita boleh menyaksikan bagaimana peralihan daripada rupa bentuk separa mujarad kepada abstrak sepenuhnya namun dengan nafas ketimuran yang ada pada dirinya sebagai orang Asia.

 

 Pada tahun 1950 pada mulanya beliau telah mendaftar mengikuti pengajian dalam jurusan seni bina di  Bermingham School of Architecture di United Kingdom. Menurut Redza Piyadasa yang menyebut Syed Ahmad Jamal adalah mentor beliau semasa mengajar di Maktab Ilmu Khas, gurunya itu memohon untuk menukar bidang daripada Kerajaan Negeri Johor yang menaja pengajian beliau disebabkan bakatnya lebih terserlah dalam seni. Permohonan beliau diluluskan dan beliau  hanya sempat setahun belajar seni bina apabila pada tahun 1951 beliau memasuki Chelsea School of Art di London. Setelah belajar hampir lima tahun pada tahun 1955 beliau berjaya dianugerahkan National Diploma in Design (UK).

 

Syed Ahmad Jamal sedia maklum bahawa biasiswa yang diterima oleh Kerajaan Negeri Johor mensyaratkan beliau perlu berkhidmat dengan kerajaan negeri sekepulangannya nanti sebagai guru seni. Oleh yang demikian untuk memantapkan lagi dari aspek pedogogi beliau telah diberi latihan perguruan selama setahun di Institute of Education di University of London pada 1955 hingga 1956 sebagai diploma lanjutan dalam bidang pendidikan seni. Setelah berkelana selama enam tahun pada 1956 beliau pulang ke Malaya dan berkhidmat sebagai pegawai pendidikan selama setahun.

 

Pada tahun 1956 beliau dilantik menjadi  guru pendidikan seni di High School Batu Pahat, Johor sehingga tahun 1957. Semasa menjadi guru di sini beliau sempat menghasilkan karya-karya seperti ‘Mandi Laut’ (1957) dan ‘Pohon Nipah’ (1957). Karya ‘Mandi Laut’ (1957) adalah karya pertama oleh Syed Ahmad Jamal yang dihimpunkan oleh Balai Seni Negara. Karya ini cukup signifikan kerana turut didaftarkan dan diwartakan sebagai Objek Warisan Kebangsaan pada 2007 oleh Jabatan Warisan Negara.

 

Menurut Mohamed Ali Abdul Rahman karya ini diinspirasikan daripada lawatan Syed Ahmad Jamal dan Peter Harris ke Tanjung Bidara, Melaka. Karya ini memperlihatkan bagaimana pelukis moden Malaysia menggambarkan cara hidup perempuan Melayu yang secara umumnya nilai tradisi dikalangan perempuan Melayu pada masa itu. Gambaran tentang figura wanita tersebut memperlihatkan bagaimana pengkaryaan beliau dalam tema mengekspresi peribadi wanita muda Melayu yang pemalu yang sedang mandi disebalik timbunan batu. Di dalam karya ini juga kawanan perempuan kelihatan mereka tidak memakai pakaian mandi seperti wanita Barat yang mendedahkan diri mereka diperlihatkan baring berjemur di pantai yang terbuka. Wanita ini memilih untuk berseronok dikalangan mereka sahaja dan tidak melanggar adat. Mereka hanya berkemban dari dada hingga ke lutut dengan kain batik sarung di belakang longgokkan batu besar pantai.

 

Tambahan Mohamed Ali lagi walaupun tujuan utama catan ini dihasilkan adalah untuk mempermudahkan rupa bentuk dengan penggunaan calitan berus yang tebal  seperti pendekatan di dalam ekspressionisme abstrak, namun sanggul atau fesyen rambut wanita yang diikat di belakang kepala jelas kelihatan di latar hadapan karya. Dalam budaya Melayu tradisional mengikat rambut yang panjang menunjukkan kecantikan seorang wanita. Orang Melayu sendiri menganggap wanita yang mempunyai rambut yang panjang sehingga paras lutut dianggap membawa alamat yang baik kepada mereka. Nilai estetika ini semakin hari semakin ditinggalkan di kalangan orang Melayu. Orang Melayu sebenarnya mempunyai tamadun yang tinggi. Dalam kata lain kain batik sarung yang dipakai semasa mandi adalah lebih berharga daripada pakaian renang dan tambahan pula kain batik sarung ini lebih selamat dipakai untuk berenang. Secara umumya mereka melakukan sesuatu mengikut kesesuaian tanpa melanggar adat.

Karya ‘Pohon Nipah’ (1957) dan ‘Mandi Laut’ (1957) dan satu karya koleksi pelukis iaitu ‘Sungai Batu Pahat’ (1957) mempunyai satu aroma yang kuat yang mana karya-karya ini dihasilkan semasa beliau tinggal dan menjadi guru pendidikan seni di Batu Pahat pada tahun 1957. Jika Picasso mempunyai tahap pengkaryaan yang dikenali sebagai ‘Blue Period’ atau ‘Waktu Biru’. Karya-karya awal semasa beliau balik ke tanah air juga melalui boleh disamakan dengan ‘Waktu Biru’ dalam pengkaryaan beliau sebelum beliau berhijrah ke Kuala Lumpur. Karya ‘Pohon Nipah’ (1957) misalnya dihasilkan selepas beliau menghasilkan ‘Sungai Batu Pahat’ (1957). Boleh dikatakan beliau mendapat idea menghasilkannya setelah menghasikan karya landskap sungai yang terdapat penempatan yang mungkin dihuni oleh nelayan sepanjang sungai yang terdapat di Batu Pahat. Adalah kejadian alam bahawa pohon nipah kebanyakannya hidup di kawasan berair terutamanya yang berhampiran dengan sungai. Jelas kelihatan di sebalik warna hijau iaitu daun nipah, warna biru dalam memperlihatkan warna air dan langit mendominasi karya tersebut.

Pada tahun 1958 pada usia 29 tahun Syed Ahmad Jamal mula berhijrah ke Kuala Lumpur apabila ditawarkan tempat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Harian Kuala Lumpur daripada 1958 hingga 1959. Semasa di Kuala Lumpur selain mengajar seni lukis di maktab beliau aktif dengan kumpulan Wednesday Art Group atau WAG yang diasaskan oleh Peter Harris iaitu Pengawas Seni Lukis Jabatan Kuala Lumpur. WAG ditubuhkan oleh Peter Harris adalah bertujuan untuk mengajar guru-guru sekolah di sekitar Kuala Lumpur tentang pendidikan seni lukis. Kumpulan WAG yang disertai oleh Syed Ahmad Jamal ini hanya bertemu  selama dua jam setengah setiap minggu iaitu pada hari Rabu daripada jam 6 petang hingga 8.30 malam. Semasa di sini Syed Ahmad Jamal telah menghasilkan beberapa buah karya di dalam Koleksi Balai Seni Negara antaranya ‘Buah-buahan’ (1958), ‘Payong Biru’ (1958), ‘Ribut/Storm’ (1958).

 

Dalam satu sesi temuramah penulis dengan Cheong Laitong yang merupakan salah seorang pelukis yang mengikuti WAG beliau menyatakan bahawa di dalam kelas Peter Harris tersebut mereka diajar melukis model iaitu lukisan tubuh manusia misalnya jika 40 orang yang melukis setiap orang akan bergilir-gilir menjadi model. Karya Syed Ahmad Jamal ‘Buah-buahan’ (1958) adalah sebuah karya lukisan dakwat atas kertas gabungan lukisan tubuh (figure) dan lukisan alam benda (still life). Di dalam lukisan ini boleh dibahagikan kepada latar hadapan dengan lukisan tubuh wanita yang dalam posisi baring secara meniarap manakala di tangan sebelah kanan seolah-olah sedang memegang objek bulat. Pada latar belakang pula kelihatan objek alam benda seperti pasu dengan pokok tumbuhan. Karya ini kelihatan seperti sebuah kajian terhadap kadar banding tubuh figura kerana terdapat penegasan terhadap keberatan dan jisim pada figura tersebut dengan garisan-garisan yang lebih gelap terhadap kawasan yang terdapat tekanan.

 

Karya cat minyak ‘Payong Biru’ (1958) boleh dikatakan sebuah karya catan figura yang memperlihatkan model yang sedang dalam posisi duduk dan sedang memegang payung di sebelah bahu kanannya. Karya ini memperlihat seorang wanita Melayu yang memakai baju kebaya dan berkain batik yang sedang duduk bersimpuh. Pada bahagian kepalanya tersisir rambut terjurai ke bawah ke bahagian bahu manakala bahagian mukanya tunduk ke bawah. Payung yang dipegangnya berwarna biru berselang seli dengan warna lain yang kelihatan payungnya seperti roda warna yang berpusar.

 

Keseronokan menggunakan warna biru ini diteruskan lagi oleh beliau semasa di WAG. Sungguhpun kegiatan melukis banyak diadakan di dalam bilik studio berbanding di lapangan semasa di pendalaman Batu Pahat, penggunaan warna biru agak dominan semasa di Kuala Lumpur pada 1958. Karya ‘Ribut/Storm’ (1958) dan ‘Demonstrasi Dalam Salji’ (1958). Dalam ‘Ribut/Storm’ (1958) memperlihatkan keadaan kucar-kacir disebabkan angin kuat yang mendatang. Pada bahagian atas digambarkan bagaimana pohon pokok secara kasar dipukul angin. Manakala pada bahagian tengah digambarkan bagaimana aliran angin ribut itu mengalir melalui tarikan dan pusaran sapuan warna biru dan putih secara beralun-alun.

Karya ‘Demonstrasi Dalam Salji’ (1959) menurut kurator pameran ‘Kuasa, Harapan dan Tanah iaitu Intan Rafiza yang mempamerkan karya ini pada tahun 2012 pula adalah sebuah karya yang dihasilkan sewaktu beliau dilantik menjadi pensyarah  di Malaysia Teacher College, Lancanshire, United Kingdom pada tahun 1959. Karya ini merakamkan keadaan tunjuk perasaan oleh masyarakat setempat beliau ditempatkan yang menyentuh persoalan semangat global dalam memerdekakan diri dari kolonialisme oleh pelajar Kirby Teacher College. Syed Ahmad Jamal menggambarkan situasi demonstrasi itu dari tingkap biliknya. Pada masa itu terdapat insiden pelajar menghumban kerusi dan meja keluar tingkap dan membakarnya di dalam kedinginan salji.

 

Kemuncak era 50-an dalam pengkaryaan awal Syed Ahmad Jamal adalah penghasilan karya ‘Umpan’ atau ‘The Bait’ (1959). Karya ini banyak dibuat sorotan dan diperkatakan sama ada di kalangan pelukis mahupun pensejarahan seni tanah air. Redza Piyadasa mengatakan karya ini adalah percantuman antara seni kaligrafi Cina dengan kaligrafi Islam namun penggunaan warnanya adalah warna-warna daripada tropika. Kata Zakaria Ali pula karya ‘Umpan’ (1959) khususnya diakui sebagai sebuah masterpieces oleh pensejarahan mahupun pengkritik seni dari dalam mahupun luar negara. Berbeza dengan ‘Mandi Laut’, menurutnya pengherotan terhadap ‘The Bait’ dilakukan dengan lebih citra sekali sehingga aksi burung hadir secara separuh lut sinar seolah-olah berada di permukaan air yang beriak-riak, ini merupakan penerokaan yang amat drastik kerana bentuk dan latar telah hilang daripada pandangan mata.

 

Tambahan Zakaria Ali lagi  kehadirannya secara emosi dan tenaga elemen itu tetap dipertahankan serta dapat dinikmati terus tanpa perlu banyak persoalan. Dalam catan seperti ‘Umpan’ ini  Syed Ahmad Jamal lebih mengutamakan lengkungan bentuk tidak seperti pelukis barat yang lain seperti Jackson Pollock dan Mark Rothko yang menolak sebarang bentuk serta banyak bermain dengan jalinan dan warna. Bentuk-bentuk mula dilekukkan bagi menggambarkan aksi atau suasana yang lebih agresif beliau seakan-akan ingin menyatakan perasaan dirinya yang berkecamuk semasa menghasilkannya. Dalam ‘Umpan’ lengkungan dan putaran berjaya menvisualkan keadaan yang tegang antara si mangsa dengan musuhnya. Kecenderungan terhadap lekukan itu juga telah menyebabkan Syed Ahmad Jamal meminati kaligrafi atau seni khat yang mempunyai lengkungan yang bermakna secara semula jadi.

 

Tahun 1960-an

Dekad 1960an atau memasuki umur 30-an merupakan zaman peralihan atau transisi secara  beransur-ansur daripada separa abstrak kepada ekspresionis abstrak. Tahun-tahun ini juga beliau mula diberikan peluang untuk mengadakan empat pameran  solo. Pameran solo  pertama di British Council pada tahun 1960 dan kemudian solo kedua di Chinsese Assembly Hall, Singapura pada tahun 1961, tahun 1965 solo di AIA Gallery, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan pameran solo ‘Lela Mayang Suite’ di Samat Gallery, Kuala Lumpur pada tahun 1968. Karya-karyanya mula menampilkan imej-imej abstrak dalam latar budaya setempat. Terdapat 12 buah karya beliau yang dihimpunkan di dalam koleksi pada tahun 60-an antarnya karya ‘Dia/She’ (1960), ‘Thaipusam di Batu Cave’ (1961), ‘Perubahan Pada Pemandangan ‘ (1961), ‘Lakaran Harapan’ (1962), ‘Harapan/Hope’ (1962), catan ‘Perhubungan’ (1963), arca ‘Perhubungan’ (1963), ‘Tercapai/Reached’ (1963), ‘Selamat Hari Raya, (1965), ’Lela Mayang’(1968), ‘Lela Mayang ’ (1968), ‘Jendela Di Angkasa’ (1969).

 

Karya ‘Dia/She’ dihasilkan ketika beliau dilantik menjadi pensyarah di Malaysia Teacher’s College Kirby, Lans, United Kingdom pada tahun 1960. Manakala 2 karya iaitu ‘Thaipusam di Batu Cave’ (1961),  ‘Lakaran Harapan’ (1962), ‘Harapan/Hope’ (1962) dihasilkan sekembalinya beliau dari mengajar selama setahun di Kirby dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur pada 1961 hingga 1963. Apa yang menariknya dalam ketiga-tiga karya ini adalah format catannya yang menegak di luar kebiasaan karya format catan melintang yang dihasilkan oleh beliau.

 

Karya ‘Lakaran Harapan’ (1962) pula adalah sebuah karya sketsa kajian yang menggunakan cat air di atas kertas terhadap karya catan ‘Harapan/Hope’ (1962). Karya lakaran itu kelihatan seperti 3 bahagian keratan rentas iaitu  bahagian akar (bawah), tanah (tengah) dan tumbuh-tumbuhan yang sedang menjulang ke langit (atas). Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang pengarcaan selama setahun di School of  The Art  Institute, Chicago, iaitu antara sekolah seni ternama di Amerika Syarikat pada hujung 1963 dan kembali pada penghujung 1964. Di sini beliau sempat menghasilkan sebuah  catan ‘Perhubungan’ (1963), arca ‘Perhubungan’ (1963) dan catan ‘Tercapai/Reached’ (1963). Ketiga-tiga karya ini mempunyai kekuatan rupa bentuk menajam atau runcing di antara satu sama lain. Karya-karya catan ketika ini dilihat satu kajian persediaan untuk penghasilan seni arca.

 

Pada tahun 1964 hingga 1972 beliau dilantik menjadi Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas. Kesinambungan rupa meruncing diteruskan dalam karya kaligrafi ‘Selamat Hari Raya’, (1965). Dalam karya ini kita dapat lihat keragaman rupa menegak tulisan jawi itu disapukan dengan menggunakan cat air di atas kertas. Pada tahun 1968 Syed Ahmad Jamal dijemput oleh penggiat teater Syed Alwi Syed Hassan untuk sebuah pementasan sebagai pereka set kostum dan pereka poster. Karya ’Lela Mayang’(1968) dan ‘Lela Mayang ’ (1968) adalah dua buah lukisan kajian beliau terhadap rekaan set teater yang diarahkan dan diterbitkan oleh Syed Alwi yang dipentaskan pada Februari 1968 di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur oleh The Malaysian Arts Theatre Group menampilkan dua pelakon utama iaitu Rahim Razali sebagai Lela Teruna dan Faridah Merincan sebagai Mayang Sari.

 

Karya seni adalah refleksi terhadap persekitaran justeru sebagai pelukis Syed Ahmad Jamal tidak terlepas dalam merakam keadaan di dalam lingkungan beliau. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei cukup memberi kesan dalam dirinya sebagai pengkarya. Karya bertajuk ‘Jendela Di Angkasa’ (1969) tercetus dalam bentuk ekpressionisme abstrak terhadap peristiwa berdarah itu di mana disetiap lebaran sudut kanvas dipenuhi dengan warna merah dan di sudut atas sebelah atas kanan yang berwarna putih seakan-akan satu tingkap atau jendela. Di dalam karya ini bentuk meruncing atau menajam kembali muncul seperti karya-karya beliau di awal-awal 60-an. Bentuk runcing berwarna kuning ini dilihat menghala ke arah jendela.

 

Tahun 1970-an

Dekad ini Syed Ahmad Jamal telah memasuki umur 40-an. Setelah 20 tahun di dalam pengkaryaan seni era ini boleh dikatakan sebagai satu fasa kematangan dan kedewasaan dalam karya-karya yang dihasilkannya. Dalam dekad ini di samping prolifik berpameran secara berkumpulan beliau menjayakan dua lagi pameran solo iaitu pameran solo di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya pada 1975 semasa menjadi pensyarah pelawat dan pameran solo ‘Retrospektif Syed Ahmad Jamal’ di Balai Seni Negara pada tahun yang sama.

 

Sungguhpun begitu dekad ini juga adalah satu fasa peralihan yang penting dalam pengkaryaan beliau. Satu ucapan yang menyatakan ‘kita ada kebudayaan sendiri’ oleh Tun Razak semasa merasmikan pameran di Dewan British Council sangat mengesankan beliau yang selama ini begitu teruja dengan mempraktiskan seni moden Barat. Pada tahun 1971 diadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, terdapat dua kertas Seminar Seni Lukis yang dibentangkan oleh Syed Ahmad Jamal dan Redza Piyadasa. Kertas kerja Seminar Seni Lukis Syed Ahmad Jamal adalah berkaitan dengan persoalan identiti bangsa sebagai maklum balas terhadap kenyataan Tun Razak sebelum ini. Di dalam seminar itu kertas seminar seni visual menyarankan agar Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berteraskan kebudayaan Melayu yang meliputi rantau kepulauan Nusantara dan elemen-elemen luar boleh diterapkan jika sesuai.

 

Pada tahun 1973 beliau ditempatkan di Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran. Pada waktu ini juga beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di University of Hawaii, Honalulu, Amerika Syarikat dari 1973 hingga 1974 dalam bidang sejarah seni Asia. Semasa di Amerika beliau sempat mengikuti pengajian seni musim panas 1974 di Harvard University, Cambridge, Massachusetts. Terdapat hanya satu karya 1970 an yang dihimpunkan di dalam Himpunan Tetap Koleksi Balai Seni Negara iaitu karya ‘Tumpal’ (1975). Karya ini dihasilkan ketika beliau menjadi Pensyarah Pelawat Universiti Malaya daripada tahun 1975 hingga 1979.

 

Karya ‘Tumpal’ (1975) boleh dikatakan sebagai salah satu karya di dalam fasa peralihan pengkaryaan Syed Ahmad Jamal daripada seni moden Barat kepada seni lukis yang berteraskan kebudayaan Melayu seperti yang disarankan oleh kongres kebudayaan sebelum ini. Unsur-unsur gunungan berbentuk segi tiga atau tumpal yang motif ini sering dijumpai di dalam kraf tekstil tradisional seperti songket, batik dan pembuatan kraf yang lainnya mula diterapkan di dalam pengkaryaan beliau. Bentukan tumpal ini mulai dikesan di dalam karya ‘Sidang Roh’ (1970) di mana dilukiskan bentuk segi tiga menegak secara bercantum antara satu sama lain.

 

Karya ‘Tumpal’(1975) adalah karya awal dalam siri ‘Siri Songket’ iaitu koloborasi yang mempertemukan antara seni halus dengan pembuatan seni tekstil songket sebagai kraftangan tradisi. Siri ini mula menjelma pada tahun 1975 dan diteruskan penghasilannya sehingga akhir 1980-an hingga terhasil karya antaranya ‘Energy Mat’ (1980), ‘Adelaide’ (1985), ‘Terengganu’ (1986), ‘Langkah 30’ (1987)‘Siri Gunung Ledang’ (1987), ‘Hujan Pagi’ (1988) memaparkan keindahan tenunan tekstil Melayu tradisi.

 

Bentuk segi tiga begitu dominan pada era ini, besar kemungkinan bentuk segi tiga itu adalah motif pucuk rebung yang begitu banyak dalam reka bentuk tradisional masyarakat Melayu. Ia dianggap sebagai simbol hikmat kesuburan, satu penyataan yang bersesuaian dengan kenyataan mengenai Gunung Ledang. Beliau seterusnya menyatakan bahawa motif segi tiga tersebut menyerupai pohon hayat dan bunga semangat sebagai manifestasi alam semula jadi.

 

Menurut Ismail Zain ‘Tumpal’ (1975)  dalam lukisan Syed Ahmad Jamal sering digunakan oleh seniman-seniman sezaman terhadap imajan-imajan yang menyerupai tanda yang dasar seperti William K.K Lau yang menggunakan tanda pra-sejarah dalam konteks yang berlainan dari konteks asalnya. Seringkali,  imajan-imajan yang digunakan ini tidak mempunyai kaitan dengan mitos atau pengamatan yang melahirkan imajan-imajan itu dalam masyarakat yang pratulis. Penggunaan ‘tumpal’ oleh Syed Ahmad Jamal menurutnya lagi  dalam karya-karya mutakhirnya adalah lebih menyerupai ‘chance image’ yang dieksploitasikan sebagai ikonografi persendirian. Sungguhpun ‘tumpal’ adalah menyerupai bentuk geometri segi tiga dua sama, penggunaannya adalah berbeda dengan penggunaan bentuk geometri dalam arabes misalnya. Sikap penggunaan imajan yang menyerupai imaginasi matematik dan penggunaannya dalam ragam hias yang menjadi perantaraan antara pengamatan dan hakikat di kalangan masyarakat pratulis.

Di atas usahanya selama 20 tahun berkarya Balai Seni Negara telah menganugerahkan sebuah pameran retrospektif yang meninjau pengkaryaan beliau selama 25 tahun berkarya. Pameran yang dinamakan ‘Retrospektif Syed Ahmad Jamal’ ini diadakan di Balai Seni Negara pada 15 Ogos hingga 7 September 1975. Pameran ini mempamerkan-karya-karya beliau sejak tahun 50 an hingga pertengahan 70-an.

Pada tahun 1979 beliau dilantik menjadi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya yang pertama. Kesempatann yang ada di samping melengkapkan kajian beliau berkenaan dengan seni Melayu di seluruh negara akhirnya sebuah pameran yang bersejarah iaitu ‘Rupa dan Jiwa’ telah diadakan di Pusat Kebudayaan tersebut. Pameran ini seterusnya telah menjawab tanggapan salah Rawson iaitu pengkaji seni Asia Tenggara yang mengatakan orang Melayu tidak mempunyai kesenian dan identiti sendiri. Pameran ini seterusnya telah memberi impak yang besar terhadap pengajaran seni di sekolah-sekolah seni dalam menerapkan unsur-unsur peribumi dalam penghasilkan karya pelajar.

 

Tahun 1980-an

Syed Ahmad Jamal mencapai umur 50 tahun pada dekad tahun 1980 an. Pada tahun 1983 Syed Ahmad Jamal meninggalkan Muzium Seni Asia kerana dilantik menjadi Pengarah Balai Seni Negara. Antara usaha besar yang beliau lakukan ialah memindahkan bangunan Balai Seni Negara di Jalan Ampang ke ruang yang lebih besar di Hotel Majestic di Jalan Sultan Hishamuddin. Perjalanan pengkaryaan 10 tahun ini juga menyaksikan beliau lebih memberi komitmen kepada pameran berkumpulan daripada pameran solo. Pada dekad ini terdapat sebuah karya yang diperolehi iaitu ‘Sirih Pinang’ (1982-1986). Karya ini mengambil masa selama 4 tahun untuk dihabiskan, masa yang terlalu lama diambil bagi menyiapkan karya ini mungkin disebabkan tugas harian beliau sebagai birokrat yang terlibat dalam hal-hal pentadbiran.

 

Sungguhpun begitu karya ‘Sirih Pinang’ adalah salah satu karya penting yang dihasilkan oleh beliau sepanjang kariernya. Bentukan tumpul atau segi tiga yang merupakan identiti visual dalam setiap karya beliau yang mula ditemui pada tahun 1970-an terus menjadi subjek diminati di dalam karya ini. Dalam karya ini bentuk segi tiga itu dibentuk dalam bentuk empat bahagian iaitu di atas, bawah, kiri dan kanan. Daripada pembentuk ini kita dapati beliau cuba menarik mata kita kepada titik fokus (focal point) di tengah-tengah bidang kanvas.

 

Daripada segi kandungannya pula iaitu sirih dan pinang mempunyai maksud yang penting dalam budaya orang Melayu. Sirih dan pinang adalah jamuan yang disediakan bagi tetamu yang bertandang ke rumah. Tetamu yang datang ke rumah akan dijamu terlebih dahulu dengan sajian ini sebagai pembuka bicara sebelum perbualan rancak dan mereka disajikan dengan minuman atau kuih-muih.

 

Di awal pengkaryaannya subjek landskap menjadi subjek kegemarannya. Sebagai pelukis landskap ekspressionis karya menyerlahkan kesinambungan itu di mana kita dapat lihat terdapat landskap pokok pada bahagian tengah dan di sebelah kanannya adalah pokok pinang. Bahagian kiri dan kanan penuh dengan warna biru menandakan langit manakala bahagian atas dengan warna merah kuning kemerah-merahan yang mencadangkan sinar suria seperti suasana fajar menyingsing pada waktu pagi selepas waktu subuh. Apa yang menariknya adalah terdapat motif geometrik arabes yang disusun secara rawak di bahagian atas yang mungkin mencadangkan bintang-bintang di langit. Kehadiran bintang-bintang ini dengan jelas secara abstrak pada karya-karya yang dihasilkan pada tahun 90-an.

 

Tahun 1990-an

Tahun 1991, Syed Ahmad Jamal bersara daripada perkhidmatan awam pada umur 62 tahun. Masa yang banyak selepas persaraannya daripada kerajaan terus digunakan untuk menghasilkan karya. Dalam dekad ini merupakan tahun yang aktif beliau melakukan pameran solo antaranya adalah pameran solo ‘Syed Ahmad Jamal: A Historical Overview 1954-1994’ di Galeri Seni Nanyang, Kuala Lumpur dan ‘Chromatic Passages’, Takashimaya Gallery, Singapura, pada tahun 1994, pameran solo ‘Anugerah Tokoh Seni Negara: Syed Ahmad Jamal’ di Balai Seni Negara pada 20 Mei hingga15 Jun 1995, pameran solo  ‘Impian dan Kenyataan: Syed Ahmad Jamal’ di Balai Seni Negeri Kedah pada 16 April hingga 15 Mei 1996 dan pameran solo ‘Dari 1956 hingga 1999’ di Balai Seni Maybank,  Kuala Lumpur dan ‘Kunang-Kunang’ di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Atas sumbangannya yang besar terhadap dunia seni lukis tanah air beliau telah menerima Anugerah Tokoh Seni Negara yang membawa gelaran Seniman Negara pada tahun 1995. Terdapat dua karya Syed Ahmad Jamal yang  diperolehi di dalam koleksi Balai Seni Negara iaitu ‘Semangat Ledang’ (1999) dan ‘Keris’ (1999). Karya ‘Semangat Ledang’ adalah sebuah lagi karya besar yang dihasilkan oleh beliau. Karya ini jelas menyerlahkan kematangan ekspresionisme rupa dan warna. Sekali pandang bentukan gunungan yang berada di tengah-tengah karya yang menggambarkan Gunung Ledang yang terletak di Johor seakan-akan  menyamai bentukan Gunung Fuji seperti yang terdapat di dalam karya pelukis besar Jepun Katsushika Hokusai.

Subjek Gunung Ledang ini mula diterokai oleh beliau pada akhir tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an ini tercetus daripada peristiwa Tanjung Kupang pada 1977 yang mengemparkan negara pada suatu ketika dahulu. Subjek ‘kegemparan’ ini berulang lagi pada tahun 1999 selepas pemecatan Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri di era pemerintahan Mahathir Mohamed. Peristiwa ini mencetuskan  kegemparan dan tanda tanya kepada masyarakat termasuklah beliau sebagai seorang seniman. Karya ‘Semangat Ledang’ adalah sebuah karya reaksi beliau terhadap ucapan bersemangat yang diucapkan oleh Anwar Ibrahim di perkarangan Masjid Negara bagi membersihkan namanya yang disaksikan oleh puluhan ribu manusia. Elemen warna kuning di bahagian tengah yang menyimbolkan cahaya adalah simbolik kepada harapan.

Karya ‘Keris’ pula adalah sumbangan hadiah yang diberikan oleh Syed Ahmad Jamal kepada Balai Seni Negara selepas pameran ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’. Karya ini adalah penerusan pergolakan arus reformasi terhadap peristiwa semasa yang berlaku di sekitar beliau. Jika kita lihat format bentuk kanvas vertikal yang mula beliau praktikkan pada tahun 1960-an masih lagi dipraktikkan dalam karya ini dalam menggambarkan bilah keris dalam bentuk menegak. Keris adalah simbol keberanian, kepahlawanan dan keperwiraan bangsa Melayu. Berdasarkan situasi reformasi yang baru bermula dan masih hangat pada tahun itu karya ini menyarankan semangat kekuatan dan ketidakgentaran terhadap mehnah dan tribulasi atau halangan dan tentangan yang bakal dihadapi oleh pejuang reformasi.

Tahun 2000-an

Tahun-tahun ini Syed Ahmad Jamal memasuki umur 70-an. Setelah berkarier lebih 50 tahun dekad ini boleh dikatakan sebagai penghujung karier beliau sebagai pelukis yang serba boleh. Sungguhpun begitu dalam tahun 2000-an beliau terus produktif berkarya dan mengadakan lapan pameran solo antaranya pameran ‘Antara Langit dan Bumi: Syed Ahmad Jamal’, di Galeri Petronas pada tahun 2000, pameran solo ‘Drawings & Gouches of the 1950’s’ di Elm Quay Fine Arts, Kuala Lumpur, pameran solo ‘From 1940-1991’ di Valentine Willie Fine Art, Kuala Lumpur pada 2003, pameran solo ‘Ruang’di  Islamic Art Museum of Malaysia pada 19 September hingga 19 Oktober 2004, pameran solo ‘The Art Collection 1st Series, Galeri Petronas iaitu daripada koleksi galeri itu tahun yang sama, pameran solo ‘On and Off King’s Road: 10 New Paintings by Datuk Syed Ahmad Jamal’ di Galeri Petronas pada 16 November 2006 hingga 7 Januari 2007.dan pameran solo terakhir ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’ di Balai Seni Negara pada 6 Oktober 2009 hingga 31 Januari  2010 sebelum meninggal dunia pada 30 Julai 2011.

 

Di dalam fasa akhir ini karya-karya beliau ke arah kerohanian dan nostalgia.

Balai Seni Negara memperolehi dua buah karya iaitu ‘Ruang Renungan’ (2004) dan ‘Saturday Night’ (2006). Karya ‘Ruang Renungan’ diperolehi setelah pameran bertajuk ‘Ruang’ yang diadakan di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada 2004 manakala karya ‘Saturday Night’ pula karya menerusi pameran ‘On and Off King’s Road: 10 New Paintings by Datuk Syed Ahmad Jamal’ di Galeri Petronas pada 2006. Selain karya siri Ledang beliau yang mengarah kepada ketuhanan karya ‘Ruang Renungan’ adalah sebuah karya kaligrafi yang mengambil ayat-ayat daripada surah yang terdapat di dalam Al-Quran. Karya ini menggunakan warna hijau yang sinonim dengan warna-warna sunnah di dalam Islam manakala tulisan kaligrafi dengan warna kuning yang dekat dengan simbol cahaya.

 

Karya ‘Saturday Night’ adalah sebuah karya yang mengimbau memori lama beliau semasa menuntut di tengah-tengah bandaraya London. Nama jalan iaitu King’s Road adalah jalan utama yang terletak di Barat London yang mempunyai jarak lebih kurang 3 kilometer yang menghubungkan bandar Chelsea dan Fulham. Jalan ini sangat popular pada tahun 50 an hingga 60-an kerana dikaitkan dengan dunia gaya hidup seperti butik fesyen, galeri seni, kafe. Sesuai dengan namanya jalan ini boleh dianggap sebagai raja segala jalan di London pada masa itu kerana popularitinya. Jika di Malaysia kita ada Jalan Bukit Bintang yang sangat terkenal dengan syurga membeli belah bagitu juga King;s Road.

 

Pengalaman zaman belia remaja sekitar umur 20 an semasa menuntut sebagai pelajar seni lukis di Chelsea School of Art, London daripada tahun 1950 hingga 1956 diperlihatkan dalam siri  ‘On and Off King’s Road’ ini. Banyak pengalaman yang ditinggalkan namun masih segar diingatannya walaupun telah memasuki 70-an. Pengalaman beliau 50 tahun dahulu seperti terlibat dengan kegiatan seni dan budaya di kota London dilukiskan di dalam seperti dalam karya ‘Saturday Night’ ini. Selain itu beliau juga terlibat dengan penghasilan latar belakang pentas dan barangan prop untuk pementasan teater ‘Stunt’. Menurut J. Anu kurator pameran berkenaan pula ‘Scene from Stunt’ (2006), ‘Saturday Night’ (2006) dan ‘Weekend Party’ (2006) menggabungkan jalur-jalur cahaya terang yang bercerancang dan berbucu-bucu, bagaikan sambungan dari bentuk-bentuk dalaman yang lebih tebal dan besar, dengan kehadiran figuratif yang tidak dapat dinafikan dan boleh dikenalpasti.

 

 

 

Kesimpulan

Sebagai penghormatan pada tahun 2009, Balai Seni Negara telah menganugerahkan semula pameran retrospektif ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’ pada 6 Oktober  2009 hingga 31 Januari 2010 dan sebuah pameran peringatan iaitu ‘SAJ Dalam Kenangan’ pada 18 Ogos hingga 18 November 2011. Dalam mengangkat pelukis tempatan ke luar negara Balai Seni Negara turut meminjamkan beberapa karya di dalam koleksinya sempena pameran ‘Syed Ahmad Jamal Guru of Colour: Pelukis In Zegreb’ di Museum of Art and Craft, Croatia  pada 7 Jun – 29 Jun 2014. Kini pameran ‘Gerak Rupa: Koleksi Balai Seni Negara’ ini adalah sebuah pameran bergerak yang diadakan untuk mempamerkan 25 karya Syed Ahmad Jamal di dalam Koleksi Balai Seni Negara. Pameran bergerak yang diadakan di Galeri Seni Johor, Muzium Kota Tinggi dan Muzium Mersing daripada Mac hingga Disember 2022 ini diharapkan akan meninggalkan kesan kepada masyarakat tempatan dengan karya-karya yang merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan, politik negara dan dunia oleh tokoh seni negara ini,

 

 

 

 

Rujukan:

Anurendra Jegadeva, ’10 New Paintings by Datuk Syed Ahmad Jamal’, Galeri Petronas, Kuala Lumpur, 2009.

Dzul Haimi Md. Zain, ‘Syed Ahmad Jamal: PELUKIS’, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 2009.

Faizal Sidik,’Syed Ahmad Jamal: Bapa Seni Lukis Melayu Moden Malaysia’ Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, April 2013.

Intan Rafiza, ‘Kuasa, Harapan dan Tanah’, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 2012.

Ismail Zain, ‘Seni dan Imajan: Satu Pandangan Umum Terhadap Imajan dan Makna Kontekstualnya’, Balai Seni Negara,  Kuala Lumpur, 1981.

Mohamed Ali Abdul Rahman, ‘Modern Malaysia Art: Manifestation of Malay Form and Content’, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, 2000.

Redza Piyadasa, ‘Issue of Culture, Nationhood and Identity in Modern Malaysia Art’, Tirai Panggung’ Jurnal Seni Persembahan, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Jilid 6, 2003.

Syed Ahmad Jamal, ‘Malaysian Art 1965-1978’, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, 1978.

Syed Ahmad Jamal, ‘Balai Seni Lukis Negara 1958-1988’, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 1988.

Syed Ahmad Jamal, Kamansky. D, ‘Contemporary Paintings of Malaysia, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 1988

Syed Ahmad Jamal, ‘Rupa dan Jiwa’, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993.

Syed Ahmad Jamal, ‘Impian dan Kenyataan’, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Kuala Lumpur, 1996

Syed Ahmad Jamal. ‘Kunang-Kunang’, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1999

Sarena Abdullah, ‘The Bridge Between The Two Worlds: Exhibition of Malaysia Art at the Commonwealth Institute’ .

T.K. Sabapathy, ‘Syed Ahmad Jamal’ Nanyang Gallery of Art, Kuala Lumpur, 1994

Zakaria Ali, ‘Seni dan Seniman’, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989

‘Pelukis Logo ‘Adil’ Syed Ahmad Jamal meninggal’, Malaysiakini, 31 Julai 2011.

Katalog pameran ‘55 Tahun Balai Seni Visual Negara’, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 2013.

Katalog ‘Syed Ahmad Jamal Sempena Malam Anugerah Seni Negara 1995’, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 1995.

Katalog pameran ‘Syed Ahmad Jamal: Guru of Color- Pelukis in Zagreb’,  Museum of Arts and Crafts, Zagreb, 2014

Temuramah penulis dengan pelukis Wednesday Art Group iaitu Cheong Laitong di studio di Seputeh pada 2014.

 

 

Pameran Solo Syed Ahmad Jamal

1960 – British Council

1961 – Chinese Assembly Hall. Singapore

1965 – AIA Gallery, Kuala Lumpur

1968 – ‘Lela Mayang Suite’, Samat Art Gallery, Kuala Lumpur

1975 – Asia Art Museum, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

-          ‘Retrospektif Syed Ahmad Jamal’, Balai Seni Negara  (15 Ogs-7 Sep 1975)

1994 – ‘Syed Ahmad Jamal: A Historical Overview 1954-1994’, Nanyang Gallery of Art

-          ‘Chromatic Passages’, Takashimaya Gallery, Singapore. (25 June - 12 July, 1994)

1995 – ‘Anugerah Tokoh Seni Negara: Syed Ahmad Jamal’, Balai Seni Negara (20 Mei-15              Jun 1995)

1996 – ‘Impian dan Kenyataan: Syed Ahmad Jamal’, Balai Seni Negeri Kedah (16 Apr-15 Mei 1996)

1999 – ‘Dari 1956 hingga 1999’, Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur

-          ‘Kunang-Kunang’, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

2000 – ‘Antara Langit dan Bumi: Syed Ahmad Jamal’, Galeri Petronas (5 Sep – 5 Okt 2000)

2002 – ‘Drawings & Gouches of the 1950’s’, Elm Quay Fine Arts, Kuala Lumpur

2003 – ‘From 1940-1991’, Valentine Willie Fine Art, Kuala Lumpur

2004 – ‘Ruang (Space)’, Islamic Art Museum Malaysia, (19 Sep – 19 Oct 2004)

-          ‘The Art Collection 1st Series’ Gallery Petronas, Kuala Lumpur

2006 – ‘On and Off King’s Road: 10 New Paintings by Datuk Syed Ahmad Jamal’, Galeri Petronas (16 Nov 2006-7 Jan 2007)

2008 – ‘Pelukis Dan Peristiwa’, R.A Fine Art, Kuala Lumpur.

2009 – ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’, Balai Seni Negara (6 Okt 2009 – 31 Jan 2010)

2011 – ‘SAJ Dalam Kenangan’, Balai Seni Negara (18 Ogs-18 Nov 2011)

2014 –‘Guru of Colour: Pelukis In Zegreb’,  Museum of Art and Craft, Croatia (7 Jun – 29 Jun 2014)

2022 – ‘Gerak Rupa: Syed Ahmad Jamal Dalam Koleksi Balai Seni Negara’, Galeri Seni Johor (22 Mac – 30 Jun 2022), Muzium Kota Tinggi (18 Julai-30 Sep 2022) dan Muzium Mersing (17 Okt -31 Disember 2022)