Oleh: Faizal Sidik
Dhaiat Abdullah Al Salem Gallery, Kuwait, 1977
Berdasarkan minat
yang ditunjukkan warganet terhadap penulisan seni saya dengan tajuk ‘Ibrahim
Hussein menolak tawaran karya Soup Campbell percuma oleh Andy Warhol’ sebelum
ini. Saya ingin kongsikan sambungannya bahagian dua pertalian seni antara Ibrahim
Hussein dengan Andy Warhol dengan tajuk 'Ibrahim Hussein Mengadakan Pameran Solo Bersama Andy Warhol dan Salvador Dali di Kuwait'.
Majlis perasmian
Sebelum Perang
Teluk antara Iraq dan Kuwait meletus pada tahun 90 an negara Arab seperti Kuwait
giat mempromosikan negara mereka melalui kegiatan kesenian, kebudayaan dan
kesusasteraan. Pelaburan negara berkenaan melalui seni dan budaya ini meletus hasil
daripada kekayaan negara Kuwait sebagai sebuah negara pengeluar minyak utama dunia
sejak tahun 60 an lagi. Antara badan
negara itu yang giat dalam usaha itu adalah Majlis Kesenian, Kebudayaan dan Persuratan
Negara Kuwait. Manakala salah satu galeri seni yang aktif mempromosikan seni lukis antarabangsa adalah Dhaiat
Abdullah Al Salem. Galeri kepunyaan keluarga bangsawan Kuwait ini telah
menjemput 3 pelukis utama dari Eropah, Amerika dan Asia untuk mengadakan
pameran solo di 3 ruang berbeza di dalam galeri berkenaan.
"Sekuat manapun ekonomi sesebuah negara itu.
Tanpa keseimbangan melalui seni manusia tidak mencapai apa-apa selain dari kacau bilau'
-Ibrahim Hussein.
Inilah mesej keamanan sejagat yang ingin disampaikan oleh Ib
menerusi pameran itu dan situasi di Tanah Arab pada hari ini
Pameran yang
diadakan daripada 18 hingga 28 Januari 1977 itu menjemput oleh pelukis besar Sepanyol,
Salvador Dali yang dibawakan oleh Dali Theatre-Museum. Pelukis pop sohor
Amerika Andy Warhol diuruskan oleh pengurusnya iaitu Fred Hughes dan sebuah
galeri London iaitu Mayor Gallery,
manakala pelukis ternama Malaysia Ibrahim Hussein diselaraskan oleh Kementerian
Luar Negara yang di ketuai menterinya pada masa itu Tan Sri Ghazali Shafie dan
Universiti Malaya iaitu tempat Ib menjadi pelukis residen dari 1970-1977.
Pameran solo Ibrahim Hussein, Andy Warhol dan Savador Dali di Dhaiat Abdullah Al Salem Gallery
18 – 28 Jan 1977
Pameran 3 pelukis
bintang ini seperti yang dijangka mendapat
sambutan hebat dimana majlis perasmiannya penuh dengan peminat dan patron seni di Tanah Arab.
Dalam pameran berkenaan Dali yang terkenal dengan karya surealisme mempamerkan
karya-karya sureal beliau manakala Warhol membawa karya seperti Marilyn Monroe,
Mao, Electric Chair, Soup Campbell, karya awal dan terkini cetakan bunga dan
beberapa lukisan. Ib pula memperlihatkan karya-karya pop penting yang
beliau hasilkan disekitar tahun 1960 an dan 70 an. Dalam penulisan sebelum ini, semasa
pameran ini berlangsung Ib sempat berbual dengan Warhol dan menyatakan
keinginan beliau untuk membeli karya ‘Soup Campbell’ dan Warhol menawarkan
kepada Ib secara percuma.
Katalog pameran Andy Warhol
Ibrahim Hussein
‘Andy Warhol’
1977
Akrilik atas kanvas
61.5 cm x 61.5 cm
Terharu dengan
sikap peramah dan tidak berkira Warhol daripada tawaran itu Ib meminta
tandatangan Warhol pada katalog pamerannya versi bahasa Arab. Dalam tandatangan yang
terdapat gambar Warhol, sekembalinya di
Malaysia Ib melukis semula sebagai rakaman beliau bersama pelukis pop itu
dengan tajuk ‘Andy Warhol’ dimana tercatat tarikh beliau mengadakan pameran bersejarah bersama Warhol dan Dali seperti yang terdapat pada kanvas itu ‘ANDY WARHOL KUWAIT
JAN 77’. Di sebelah kanannya pula terdapat lukisan unta iaitu sebagai simbol
haiwan popular yang terdapat di Timur Tengah.
Melalui
pameran-pameran bertaraf antarabangsa sebegini Majlis Kesenian Negara Kuwait mulai
mengumpul karya-karya pelukis ternama melalui pameran yang dianjurkan oleh
organisasinya ini yang kemudiannya membina sebuah muzium yang dinamakan Museum
of Modern Art Kuwait untuk mempamerkannya semula.
Ibrahim Hussein dan Andy Warhol (Bhg 1)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan