Rabu, 25 September 2024

Beradong Seni

 Oleh: Faizal Sidik

 

Kehadiran pameran ‘Beradong: Gugusan – Siri Terengganu’ ini di Muzium Negeri Terengganu boleh dikatakan sebagai kesinambungan daripada dua pameran yang mengkoloborasikan antara Uwei Bin HjShaari dengan Faizal Sidik sebelum ini. Pameran ‘Wayang Uwei Angkat Saksi’ di Galeri 3A dan 3B di Balai Seni Negara pada tahun 2011 sebagai kurator bersama adalah sebuah pameran yang menghimpunkan beberapa pengkarya dalam membuat interpritasi visual terhadap filem-filem arahannya. Di dalam pameran ini selain sebagai kurator bersama, penulisan oleh penulis ‘Dari Layar Ke Kanvas’ adalah sebuah esei dalam menghubungkan secara saintifik kedua-dua medium seni tampak dan filem.

Pameran ‘Kali Ini Kita Bersama-Nusantara Sebahagian’ di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara pada 2019 adalah mengangkat isu-isu kewanitaan di rantau Asia Tenggara. Di dalam pameran ini Uwei memilih sebahagian daripada pelukis-pelukis wanita utama di rantau ini yang terdiri dari Patani, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Di dalam pameran sebuah esei disumbangkan oleh penulis sebagai penyelaras pusat ini iaitu ‘Kali Ini Kita Bersama-Nusantara Sebahagian: Panggung Seni Dalam Membingkai Babak Ceritera Perempuan’.

Pameran ‘Beradong’ pada 2022 lahir daripada pameran induknya iaitu ‘Gugusan’ yang dicadangkan diadakan disebuah galeri nasional. Pameran ‘Gugusan’ boleh dianggap sebagai kesinambungan momentum dua pameran yang dikuratorkan oleh beliau sebelum ini. Sungguhpun begitu cadangan pameran ini masih belum disambut oleh pihak galeri nasional. Keterbukaan dan pelawaan yang diberikan oleh galeri negeri seperti Muzium Negeri Terengganu ini adalah rahmat dan suatu penghargaan dalam mengadakan siri pengenalan awal pameran ‘Gugusan’ yang dinamakan pameran ‘BERADONG: Gugusan -Siri Terengganu’.

Beradong adalah perkataan dialek negeri Terengganu yang bermaksud beriya-iya atau bersungguh membuat sesuatu. Pameran 'Beradong : Gugusan - Siri Terengganu' adalah sebuah  pameran seni tampak yang menghimpunkan pelukis terpilih kelahiran negeri Terengganu yang terdiri daripada generasi awal dan generasi kini. Pameran ini merupakan projek perintis kepada sebuah pameran seni berskala besar iaitu  'Gugusan'  yang akan diadakan pada tahun 2023. Pameran ini juga adalah manifestasi kesungguhan dalam mempertembungkan pengkarya lama dan generasi baru dalam satu ruang yang dekat dihati  masyarakat negeri ini iaitu Muzium Negeri Terengganu.

Seramai 10 pengkarya seni anak jati Terengganu ditampilkan dalam pameran ini yang terdiri daripada arca, catan dan media campuran dalam menginterpretasikan pandangan mereka terhadap alam gugusan ini. Pengkarya pameran ini boleh dibahagikan kepada tiga ganerasi iaitu pengkarya yang dilahirkan pada tahun 1950-an dan 1960-an iaitu Mad Anuar Ismail (1952), Tengku Sabri Tengku Ibrahim (1961) dan Suzlee Ibrahim (1967). Ganerasi kedua adalah pengkarya yang lahir pada tahun 1970-an seperti Mat Ramli Mansor (1977) , Rafidah dan Zainuddin (1977), Zuhdi Nusuki (1978), Khairul Anwar Yusoff (1978). Manakala generasi ketiga adalah pengkarya yang dilahirkan pada tahun 1980-an seperti Syed Fakaruddin (1989) dan Hisyamuddin Abdullah (1989)

Ganerasi awal dalam pameran ini yang terdiri daripada Mad Anuar, Tengku Sabri dan Suzlee Ibrahim adalah mereka yang telah mula berkarya sejak tahun 70-an dan 80-an. Perkaryaan selama 30 hingga 40 tahun telah memperlihatkan kematangan mereka dalam kemahiran teknik dan penggunaa bahan. Setelah bergraduan daripada Institut Teknologi Mara kebanyakan mereka berkelana mencari kehidupan sebagai pentadbir seni dan pendidik.Sungguhpun mereka tidak menetap di negeri Terengganu namun kesenian tradisi asal-usul tidak ditinggalkan dan masih kukuh diterapkan di dalam pengkaryaan mereka.

Med Anuar Ismail dilahirkan di Dungun, pada tahun 1952. Beliau terkenal dengan siri arca ukiran kayu dan logam ‘Penongah Arus’ atau ‘Storm Rider’. Siri ini adalah penghormatan Med terhadap nelayan laut yang bertarung nyawa mencari rezeki dilautan yang sering dilambung ombak besar. Di dalam pameran ini Med menghasilkan arca torso salah seorang pengumpul seninya iaitu Pakhruddin Sulaiman sebagai satu penghormatan untuknya. Karya ‘Fakh’ (2002) adalah singkatan nama bagi Pakhruddin yang dikenali dikalangan lingkungan seni seperti pelukis, galeri dan kolektor seni di negara ini. Sungguhpun arca ini merupakan arca yang dibuat daripada kepingan besi namun identiti visual ukiran kayu menggunakan pahat oleh Med diterapkan di dalam karya ini. Sejarah arca torso mulai popular semasa zaman Renaisan dimana para bangsawan mengkomisenkan potret diri mereka kepada pengarca sebagai salah satu cara mereka meninggikan lagi status diri mereka.

Tengku Sabri Tengku Ibrahim dilahirkan di Besut pada tahun 1961. Beliau merupakan anak kepada Tengku Ibrahim Tengku Wook yang merupakan Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara. Selepas tamat pengajian sekolah seni di ITM beliau kembali ke Besut untuk belajar ukiran kayu dengan bapanya. Pada tahun 1980-an beliau menghasilkan karya hulu keris yang dinamakan ‘Siri Teleng’ . Pada tahun 1990-an beliau menghasilkan  ‘Siri Gunung Daik’ iaitu bahan daripada kayu dan wayar imiginasi daripada bentukan antropomorfik primitif Asia. Pada 2000-an berlaku peralihan di dalam karyanya daripada karya arca kayu di dinding dan di atas padestal kepada seni instalasi dengan bahan seperti dawai dan tali. Setelah bereksplorasi dengan bahan campuran ini beliau kembali mengarca. Karya ‘Kuda Semberani’ (2018) adalah arca kayu yang merupakan gabungan bentukan haiwan dan objek primitf.

Suzlee Ibrahim dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1967 adalah merupakan pelukis ekspresionisme abstrak. Pada awalnya beliau dikenali dengan ‘Movement Series’ dan kemudian beralih kepada siri yang mengambarkan tempat kelahirannya yang dekad dengan fenomena maritim. Antara siri ini adalah seperti ‘Siri Monson’, ‘Siri Ombak’ dan ‘Siri Tengkujuh. Karya ‘Waiting For Sakura 5’ (2007/08) akrilik atas kanvas pula dihasilkan daripada program bengkel silang budaya Malaysia – Jepun pada tahun 2007 hingga 2008. Bengkel seni ‘Japan-Malaysia World Arts & Culture Exhibition for Friendship’ telah diadakan pada tahun 2007 di Galeri Matic, KL manakala bengkel timbal balik yang dinamakan ‘Art for Earth Aid’ telah diadakan di Taito Hall, Tokyo Trade Centre, Jepun pada 2008.

Ganerasi kedua adalah pengkarya yang lahir pada tahun 1970-an seperti Rafidah dan Zainuddin (1977), Zuhdi Nusuki (1978), Khairul Anwar Yusoff (1978) dan Mat Ramli Mansor (1977) . Rafidah Saharuddin dilahirkan di Kemaman , karya arca kayu ‘Enjit-enjit Semut Siapa Sakit Naik Atas’ (2022)  adalah interpritasi mereka terhadap permainan masyarakat terdahulu yang dilagukan yang membawa persoalan penindasan, ketidakadilan dan gila kuasa di kalangan masyarakat.   Enjit-enjit semut adalah sebuah permaian rakyat dimana mengambil sifat semut yang akan mengigit musuhnya apabila keadaanya terancam atau diserang. Dalam arca kayu yang berbentukan tungku kaki tiga dibahagian bawah manakala bahagian atas berketul-ketul adalah metafora kepada tangan-tangan dalam permainan ini. Sungguhpun karya ini mengambil sifat kesatuan kehidupan serangga itu namun karya ini lebih dekat dalam memaparkan kepada kita isu-isu kebebasan daripada dibelenggu. Uniknya dalam karya ini adalah bongkah-bongkah itu boleh dipasang dan dibuka semula mengikut susunan yang dinginkan

Irwan Othman dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1979. Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Seni Halus UITM Machang, Kelantan dan pengerusi Persatuan Pelukis Terengganu atau PeTer. Karya ‘Indah Kehidupan, Duri Pengajaran’ siri I dan II merupakan kesinambungan kepada kisah peribadi pelukis dalam menyatakan perasaan yang dialami tentang pengalaman dalam hubungan manusia. Karya yang dihasilkan adalah berkisarkan tentang simbolik hubungan antara manusia . Alam semulajadi flora dijadikan sebagai lambang kepada penyampaian dalam karya. Bunga mawar sebagai watak' dan merupakan simbol yang kuat menggambarkan wanita. Metafora dari sudut kecantikan,  penghargaan, kasih sayang , kesucian dan impresi. Kisah dan perasaan yang diterjemahkan secara rawak. Warna monokromatik sebagai latar simbolik ringkas tentang kenangan dan nostalgia pada sesuatu yg lepas yang kebiasaannya berubah kepada hitam dan putih.

Karya Khairul Anwar Yusoff  'Alpha Generation Studies Series I ' adalah kesinambungan karya beliau selama ini yang mengkaji tentang mimik muka. Dalam karya sebelum ini Khairul yang lebih dikenali dengan nama 'Ganu' dikalangan rakan rapat mengutarkan pengaruh media massa atau spesifiknya televisyen terhadap tindak-tanduk  psikologi kanak-kanak. Perkembangan teknologi bergerak dengan pantas setelah era gambar televisyen kini beralih kepada era digititalisasi komputer. Kini segala maklumat boleh didapati dihujung jari. Pada masa kini kanak-kanak sehingga orang dewasa mudah untuk mendapat apa sahaja maklumat dizaman era digital melalui gajet. Dalam karya 'Alpha Generation Studies Series I ' beliau memaparkan dua ahli keluarga sendiri yang tidak terlepas daripada isu ini. Kelihatan dua figura kanak-kanak memegang gajet. Sebelah kiri kanak-kanak perempuan yang mengepit tablet manakala figura kanak-kanak lelaki sebelah kanan sedang memegang melihat telefon pintar.

Zuhdi Nusuki dilahirkan di Dungun namun dibesarkan di Kemaman. Selepas bergraduan dalam bidang seni halus banyak beliau terlibat dalam pengiklanan komersil dan telefilem sebagai pereka prop dan pengarah seni. Lima tahun kebelangan ini beliau aktif menyertai pameran yang diadakan dengan penerapan karya yang berlatarbelakangkan kerjaya yang dilakukan oleh beliau sebelum ini dalam bidang komersil . Karya Jebak 1, ‘Jebak 2dan ‘Jebak 3adalah karya berbentuk sangkar yang dihasilkan daripada bahan seperti kayu, rotan, dan dawai. Jebak dalam ertikata adalah perangkap atau jerat. Jebak juga adalah simbolisme kepada tipu daya dan muslihat dimana jika kita tidak berhati-hati atau leka terhadap gerak geri pasti kita akan diperdaya. Karya kraf yang dipersembahkan dalam konteks galeri ini adalah salah satu keistimewaan kearifan tempatan orang Pantai Timur.

Mat Ramli Mansor dilahirkan di Batu Rakit pada tahun 1977. Beliau merupakan tukang kepada pengarca Tg. Sabri Ibrahim. Sebagai seorang penukang yang telah bersama dalam pembinaan arca Tg. Sabri sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya mempelajari teknik ukiran kayu. Karya arca  daripada kayu angsana dan mahagoni iaitu ‘Semangat Benih #3’ , ‘Semangat Benih #4’ dan ‘Semangat Benih 5’ adalah arca yang seolah-olah bentukan hulu keris yang berbentuk seperti janin.

Manakala generasi ketiga adalah pengkarya yang dilahirkan pada tahun 1980-an dalam pameran ini adalah seperti Syed Fakaruddin (1989) dan Hisyamuddin Abdullah (1989). Syed Fakaruddin dilahirkan di Setiu. Beliau memperolehi Diploma daripada UITM Melaka dan kemudiannya Sarjana Muda di UITM Shah Alam. Karya 'The Wall of Hope' 2018 adalah sebuah karya kejutabn budaya yang dihadapinya yang terdapat di dalam siri ‘Bumi Asing’ pada tahun 2018 . Hasil tekstur yang terdapat pada lukisam itu berlaku hasil daripada olesan kasar warna secara berlapis-lapis dan ia mewakili ekspresi beliau terhadap kerosakan muka bumi yang berlaku disebabkan kerakusan manusia memburu pembangunan. Bagi beliau kemajuan itu diperlukan namun tanpa perancangan yang tersusun pembangunan yang tidak terkawal akan menganggu ekosistem kehidupan alam yang lain dan memusnahkan alam sekitar bukan sahaja akan menyebabkan kehilangan harta benda tetapi juga kesan dalam kepada perasaan emosi dalaman seseorang.

Hisyamuddin Abdullah dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1989. Beliau mengikuti pengajian dalam Diploma Seni Halus dari UITM Machang dan melanjutkan ke peringkat Sarjana Muda di UITM Shah Alam. Karya ‘Potret Ayah’ (2012) dalam pameran ini adalah pengkaryaan awal Hisyam yang mula meneroka subjek figura wajah orang tuannya. Selain karya ini karya yang pernah dihasilkan adalah seperti ‘Father Nature’ (2013),  ‘Ayah Dari Kehiduan Dulu’ (2012) . Dalam karya Potret Ayah ini bahagian sisi kanan muka diberi penekanan dengan teknik lukisan lorikan bersilang. Wajah ayah yang berkerut dan berkedut diberi perincian yang utama di dalam karya ini

Diharapkan pertembungan diantara pengkarya lama dan baru di dalam pameran ‘Beradong: Gugusan Terengganu’ ini bukan sahaja membina  wacana terhadap perkembangan seni tampak Terengganu. Pameran ini diharapkan juga membuka ruang pengkajian dan penyelidikan dikalangan ahli akademik tentang keberadaan seniman negeri ini yang membawa nafas kesenian tradisi gugusan ini dalam nada yang lebih segar.

 

*’Beradong: Gugusan : Siri Terengganu’ adalah sebuah pameran seni tampak yang dianjurkan oleh Morne Gallery (Morne Hashim) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang diadakan di Muzium Negeri Terengganu daripada 20 Oktober hingga 31 Disember 2022. Pameran ini dikuratorkan oleh Uwei Bin HjShaari dan Faizal Sidik


Faizal Sidik, 'Beradong Seni Mengangkat Nilai Seni Kreatif, Tampak dan Lukisan', Dewan Budaya - Jendela DBP (Anjung Visual), 24 November 2023. 

https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2022/11/24/3934/


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan