Rabu, 13 September 2023

Faizal Sidik: PIKSEL

 Faizal Sidik: Pksel

Oleh: Morne Hashim


Sebuah pameran solo Faizal Sidik di beri judul ‘Piksel’. Pameran ini telah diadakan di Galeri Seni Matic di Jalan Ampang Kuala Lumpur dari 07hb Januari hingga 28hb Februari 2023 dirasmikan oleh Sasterawan Negara ke-14 Datuk Dr. Siti Zainon Ismail pada 12 Februari 2023. Pameran ini memamerkan 30 keping karya yang dihasilkan dalam tempoh empat tahun pembuatannya antara 2018 sehingga 2022. Di dalam petikan ucapannya, Siti Zainon turut menyentuh sejarah bangunan Matic yang sudah berusia 90 tahun yang pernah menjadi markas Pentadbiran Inggeris dan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

 

Melihat catan dan arca daripada motif songket di dalam Piksel Faizal Sidik, tentunya sentuhan sejarah tidak lari sebagai subjek utama dalam pengkaryaan. Faizal memberi penghormatan kepada songket sebagai raja kraf dan membawanya untuk tatapan dalam bentuk seni visual. Katanya “saya menggunakan motif flora dan fauna yang terdapat dalam tenunan songket seperti motif bunga-bungaan; bunga bintang, bunga matahari, bunga tanjong. Motif fauna pula seperti rama-rama dan ayam jantan. Terdapat juga motif-motif kosmos. Yang paling dominan iaitu awan larat dan matahari.” Faizal juga mengatakan bahawa dia menjejaki naratif sejarah Melayu mengenai perjalanan Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang.

 

Namun pameran Piksel tidak mempersembahkan cerita sejarah Sulalatus Salatin. Pameran ini menghalusi motif songket bentukan piksel. Mencermati petak-petak segiempat pola-pola songket terhasil. Faizal menggunakan imej kecil untuk mencipta karya seni. Ia di kenali sebagai seni piksel. Seni piksel sering digunakan untuk seni digital, seni web dan graffiti. Ia dibuat selalunya mengunakan komputer dan editor grafik. Boleh diguna juga untuk membuat ilustrasi, komik, logo dan diguna juga sebagai cara untuk meluahkan idea dan perasaan. Digunakan juga sebagai cara menunjuk kemahiran sebagai pereka bentuk, pengatur cara, pembangun web dan Faizal menggunakannya untuk menunjuk kemahiran sebagai seorang artis.

Dalam pameran ini Faizal kelihatan seperti sengaja mencipta penempatan piksel. Setiap blok adalah sapuan berus; dan, bersama-sama sekumpulan piksel membentuk satu bahagian dan membentuk awan larat, pokok, daun, tasik atau rama-rama seperti mozek. Imej yang tercipta dalam bentuk geometri segi empat sama kecil yang serupa dengan kesekat yang wujud dalam seni piksel.

 

Seni piksel sudah wujud sejak sekian lama. Terdapat banyak sebab mengapa seni piksel sangat popular. Pertama, seni piksel ialah cara yang sangat senang untuk mencipta grafik yang mudah difahami dan dihayati. Kedua, seni piksel adalah medium yang sangat serba boleh untuk pelbagai tujuan berbeza. Piksel atau pixel pula bermaksud unsur gambar atau unsur-unsur halus dalam sesuatu imej. Bilangan piksel menentukan resolusi monitor komputer atau skrin TV. dan secara amnya lebih banyak piksel, lebih jelas dan tajam imej. Resolusi TV definasi ultra tinggi penoh 8K terbaharu di pasaran ialah kira-kira 33juta piksel atau 7680 x 4320.  Piksel adalah perkara yang menakjubkan.

 

Bentukan piksel ini digunakan dalam tenunan songket dalam elemen geometrik. Kesemua bentuk motif dilahirkan dalam bentuk geometrik disebabkan cara menenun itu sendiri. Antara contoh corak geometrik ialah segiempat tepat, segiempat sama, segitiga pentagon, bulatan, kubus, kuboid. Sementara corak asasnya hanya segi empat, bulatan dan segitiga. Corak geometri telah lama wujud dalam tamadun awal dunia seperti Greek, Rom dan Sasanid di Iran.

 

Seni piksel mempunyai kuasa visual yang ketara. NASC ialah pakar web Perancis yang sering membuat seni piksel imej terkenal daripada budaya pop. Kelly Goller membawa seninya keluar, tempat dia membuat aliran air berpiksel. John O’Hearn menggunakan pola berwarna kecil yang diproses melalui program komputer dan esin yang diciptanya untuk meletakkan elemen di tempat yang betul. Ben Fino-Radin pula membuat seni piksel bersulam. Karya agung menjadi piksel melalui visi Jaebum Joo, manakala keseluruhan senarai kreatif mengikuti idea eBoy untuk mencipta seluruh dunia piksel – antaranya Paul Robertson, tentera Trolls, Bugpixel, Rod Hunt, Denise Wilton. Dan sudah tentu, tidak dilupakan juga mereka yang melukis tangan lukisan piksel seperti Faizal Sidik yang mula berkenalan dengan istilah ini sekitar tahun 80-an di dalam permainan video Tetris dan Super Mario.

 

Lukisan seni piksel Faizal sekilas terlihat seperti pecah. (kurang terang, tidak focus atau kabur)  Dan ciri khas adalah susunan tersusun dari komponen garis lurus, garis melengkung, piuhan dan anti-alisi. Piksel biru kecil melompat lebih tinggi dan lebih tinggi dari platform. Tujuannya untuk sampai ke awan dan melihat dunia dari ketinggian yang besar. Menghadapi piksel dengan warna berbeda.  Gambaran alam semulajadi dengan rama-rama berterbangan dan bunga-bungaan mekar mewangi seakan memberi sebuah riang-ria mengingat permainan video Super Mario, si Tukang paip itali yang gemuk dan pendek di Kerajaan Cendawan. Dengan bunyi dentingan dan menjadi bahan gelak ketawa kanak-kanak semasa kecil. Faizal menghasilkan piksel Mario ke kanvas; seperti Mario melompat-lompat cuba menyelamatkan Putri Toadstool. Saya melihat ‘Mistika Garden’ dan cuba membayang watak Tun Mamat sebagai Mario(bukan gemuk dan pendek pastinya) disitu. Di antara bukit-bukit menghijau, Puteri Gunung Ledang bersembunyi. Rombongan merentasi kedamaian alam dengan langit biru terbentang dan air jernih di tasik. Barangkali cerita sejarah kita akan terus berkembang dalam permainan video dan barangkali karya-karya Piksel Faizal Sidik diangkat menjadi latar cerita. Faizal harus diberi sekalung penghargaan di atas cetusan karya ini. Dari melihat pola geometrik songket, di alih ke seni piksel dan menjentik imaginasi permainan video ke dalam hikayat Puteri Gunung Ledang yang awalnya hanya sebuah pemandangan titik-titik berwarna-warni terkumpul. Faizal mempersembahkan sebuah kata-kata melalui gambarannya secara halus dalam bahasa visual.

 

Tarikan utama pameran ini ialah dua catan monumental dalam empat panel (quadriptych), 1 catan triptych, 3 catan bulat, lukisan dan arca kayu dalam bentuk fiksel. Faizal melakukan ‘seni proses’ di sepanjang pameran berlangsung dimana dia menyiapkan sebuah catan monumental sambal berinteraksi dengan pengunjung.

 

Pameran Piksel ini adalah lanjutan karya dalam pameran ‘Catan Songket’ yang telah menjelajah ke enam negeri seperti Muzium Seni Asia (2018), Balai Seni Lukis Melaka (2019), Galeri Pantai Timur (2019), Muzium Negeri Terengganu (2019), Balai Seni Lukis Negeri Kelantan (2020) dan Balai Seni Negeri Kedah (2020).

 

 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan