Rabu, 25 September 2024

Bisikan Pelukis Kedah

 Oleh: Faizal Sidik


Pengenalan

Pameran ‘Berbisik’ adalah sebuah pameran seni lukis yang menghimpun pelukis-pelukis Kedah terpilih yang diadakan di Muzium Negeri Kedah daripada 12 Oktober sehingga 12 November 2023. Pameran yang dikuratorkan oleh U-Wei HjShaari dan Faizal Sidik serta kerjasama antara Morne Art Galleri dan Muzium Negeri Kedah ini berkisar latarbelakang sejarah ini  diadakan sempena mengenang suasana Perang Musuh Bisik diantara Kedah dan Siam yang berlaku selama 21 tahaun daripada tahun 1821-1842. Pameran ini dikemuncakkan dengan ‘Kedohok’ iaitu seni instalasi gastronomi perang anjuran Morne Art Gallery. Pelukis Kedah di dalam pameran ‘Berbisik’ ini boleh dibahagikan kepada 3 pembahagian iaitu pelukis ganerasi awal, palukis ganerasi kedua dan pelukis ganerasi baru.

Pelukis Ganerasi Awal

Pelukis pelopor atau pelukis ganerasi awal adalah pelukis Kedah yang dilahirkan daripada tahun 1920 an hingga 1930 an seperti  A.B Ibrahim (1925-1977),  Ibrahim Hussein (1929-2009), Ismail Zain (1930-1990). Para pelukis awal ini boleh dibahagikan kepada pelukis belajar sendiri seperti A.B Ibrahim manakala  pelukis yang mendapat pendidikan secara formal di sekolah seni adalah seperti Ibrahim Hussein dan Ismail Zain. Pelukis awal yang belajar sendiri cenderung untuk mengambarkan keindahan negeri Kedah melalui medium cat air. Bahantara cat air menjadi pilihan mereka kerana sifat bahan itu yang lebih spontan, bersahaja dan mudah dibawa. Tema yang dibawa pula memperlihatkan kehidupan harian masyarakat di sawah bendang, keindahan pemandangan gunung, pulau, dan aktiviti rekreasi masyarakat kampung.

A.B. Ibrahim dilahirkan di Derga, Alor Setar pada tahun 1925 dan meninggal di Teluk Kumbar, Alor Setar, Kedah pada tahun 1977. Antara karya A.B. Ibrahim yang berada di dalam koleksi Balai Seni Negeri Kedah adalah dua karya cat air ‘Tanpa Tajuk’ (1950an-1970an).  Karya ini memperlihatkan empat pesawah yang sedang menjalankan aktiviti menanam padi. Latar karya ini terdapat sebuah rumah Melayu dengan atap rumbia dimana dihalamannya depan dan belakangnya terdapat pokok kelapa rendang. Pemandangan ini adalah pemandangan yang biasa dilihat dikawasan penanaman padi di Kedah sehinggalah ke hari ini.

Ibrahim Hussein dilahirkan di Yan, Kedah pada tahun 1929 dan meninggal di Bukit Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 2009. Pada tahun 1970-an beliau mula menemui teknik cetakan yang dinamakan ‘printage’ iaitu teknik cetakan daripada akhbar dan foto. Kedua-dua karya yang bertemakan perlawanan dalam pameran ini iaitu ‘Tanpa Tajuk’ (1986) adalah gabungan teknik cetakan ‘printage’ dan teknik garisan-garisan alun dengan dakwat. Karya ‘Siri Sukan’ atau ‘Sport Series’ ini mula dihasilkan oleh beliau pada tahun 1986. Di dalam karya ini Ib meneroka garisan-garisan beralunan yang terdapat pada tubuh figura yang memperlihatkan suasana genting, cemas dan bahaya.

Ismail Zain dilahirkan di Kodiang iaitu daerah Kubang Pasu, Kedah pada tahun 1930. Beliau adalah seorang pelukis, pendidik dan pemikir yang pernah menjadi Pengarah Balai Seni Lukis Negara daripada tahun 1972 sehingga 1975. Terdapat 2 buah karya Ismail yang berada di dalam koleksi Balai Seni Negeri Kedah antaranya ialah ‘Pelayaran Bugis’ (1984). Karya ‘Pelayaran Bugis’ (1984) adalah gabungan lukisan catan tepat atau ‘hard-edge’ dan stensil. Jika diperhatikan dengan teliti karya ini mempunyai inspirasi daripada bentuk perulangan di dalam songket namun beliau memanfaatkan tikar alas meja sebagai yang distensil. Perihal ini dapat di lihat daripada bentuk perulangan motif flora, bungaan. Kemahiran menggunakan teknik hard-edge dan grid masih dikekalkan dengan jalur warna vertikal ditengah. Apa yang menariknya di dalam karya ini juga dibahagian atas penuh dengan warna merah kejinggan secara horizontal seakan-akan ingin memberi penekanan terhadap suasana tegang, panas dan semacam amukan gelora rasa.

Pelukis Ganerasi Kedua

Pelukis ganerasi kedua pula adalah pelukis yang dilahirkan sekitar tahun 1940 an hingga1960 an antaranya seperti  Sharifah Fatimah Syed Zubair (1948),  Mohd. Tajali Abdullah (1956) Anuar Rashid (1958) dan Amron Omar (1958), Ahamad Fauzi Hassan (1959), Zulkifli Yusof (1962), Anasuwandi Ahmad (1967) dan Rohaizad Saari (1969). Pengakryaan pelukis ganerasi kedua di dalam ‘Berbisik’ boleh dibahagikan kepada tiga subjek pengkaryaan. Pertama, adalah pelukis yang menghasilkan karya-karya seni abstrak sejak permulaan karier mereka. Kedua adalah pelukis figuratif.  Ketiga adalah pelukis yang memilih subjek lanskap pemandangan.

Sharifah Fatimah Syed Zubair dilahirkan di Alor Setar pada tahun 1948. Beliau adalah antara pelajar terawal Diploma Seni Lukis di Institut Teknologi Mara daripada tahun 1967 hingga 197.  Pada tahun 1982 sehingga 1990 beliau dilantik menjadi kurator di Balai Seni Negara dan semasa di sini beliau berkesempatan mengikuti kursus pengurusan muzium di City University of London padan tahun 1987. Selepas tahun 1990 beliau bergerak sebagai seniman profesional sepenuh masa yang bukan sahaja terhad dengan sebagai pelukis tetapi penulis, hakim, kurator dan wakil delegasi. Pengkaryaan Sharifah Fatimah selama 50 tahun dilihat mempunyai pengaruh lirikal abstrak oleh Helen Frankahaler.  Karya ‘Abstrak’ (1984) adalah sebuah karya dalam siri karya ‘Nursiyah and Other Image’ yang dihasilkan sekitar awal 80-an.

Anuar Rashid dilahirkan di Langgar, Alor Setar pada tahun 1958. Beliau mengikuti pengajian pra-diploma di Instut Teknologi Mara, Terengganu pada tahun 1975. Karya ‘Tanpa Tajuk’ (1986) boleh dilihat kesinambungan daripada sebuah karya penting yang dihasilkan oleh Anuar Rashid iaitu ‘Inderaputra-Kelahiran Diterbangkan Merak’ (1978) iaitu sebuah karya yang diadaptasi daripada karya sastera Hikayat Inderaputera yang ditulis pada tahun 1700-an. Karya ‘Tanpa Tajuk’ oleh Anuar Rashid ini juga membawa kita menikmati  dimensi visual yang futuristik dan surealistik. Futuristik adalah dari segi kemahiran teknik ‘glazing’ iaitu permukaan satah-satah  seolah-olah berkaca dan bercahaya yang diterokainya sejak awal pengkaryaan beliau. Gambaran catan jika diperhatikan cuba membawa fikiran kita kepada suatu tempat yang asing yang belum pernah difikirkan oleh manusia seperti ruang angkasa. Unsur surealistik atau misteri di dalam karya ini kepala figura yang diperlihatkan sebelah kiri catan. Karya ini dihasilkan secara penuh bertenaga, berkuasa dan keemasan.

Mohd Tajali Abdullah dilahirkan di Kulim, Kedah pada tahun 1956. Beliau mendapat pendidikan awal dalam Diploma Seni Lukis dan Seni Reka daripada Institut Teknologi Mara pada tahun 1972. Setelah bersara beliau telah kembali Kedah, namun bukan di Kulim tempat kelahirannya tetapi di Pulau Langkawi Dan menubuhkan studio yang dinamakan Studio Gunung Raya. Beliau berkarya dalam pelbagai bahantara antaranya lukisan, kayu dan instalasi yang bertemakan alam semulajadi flora dan fauna. Karya ‘Kokok’ (2020-2021) adalah peralihan pengkaryaan beliau daripada lukisan dan catan kepada karya arca. Beliau menggunakan bahantara kayu tempatan iaitu kayu lancong yang terdapat di Langkawi. Karya ‘Kokok’ adalah perlambangan terhadap kekuasaan dan kewaspadaan.

 

Anasuwandi mendapat pendidikan seni lukis daripada Institut Teknologi Mara pada tahun 1991. Pelukis kelahiran Alor Setar ini dilahirkan pada 1967. Anassuwandi menggunakan penggayaan kraf pertukangan buluh yang dihasilkan oleh seniman tradisi Melayu dahulu iaitu bubu sebagai subjek perangkap dalam asas kepada struktur pembinaan pengkaryaan beliau.  Karya ‘Ambugity: Struggle No.2’ (2016) diangkat sebagai sebuah karya tema pameran  ‘Berbisik’ oleh kumpulan kuratorial kerana karya abstrak ini seolah-olah memperlihatkan keadaan pergelutan, perkelahian dan pergomolan. Penerokaan Anas terhadap siri perangkap selama 3 dekad selari dengan naratif yang terdapat di dalam Perang Musuh Bisik dimana pahlawan tempatan telah dijerat dan dijebak oleh muslihat musuh seterusnya telah mencetuskan pergelutan untuk mempertahankan kedaulatan.

 

Amron Omar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1957. Beliau mendapat belajar secara formal pengkhususan seni halus daripada Institut Teknologi Mara pada tahun sehingga 1979 sehingga 1982. Amron Omar adalah antara pelukis figuratif yang meminjam idiom seni tubuh Barat dengan seni persilatan Melayu. Beliau pernah menerima Anugerah Kecil di dalam Bakat Muda Sezaman pada tahun 1982 dengan karya ‘Potret Diri’.  Karya ‘Pertarungan ’ (1998) koleksi Pakhruddin Sulaiman memperlihatkan dua aksi pertarungan silat oleh dua orang yang dilihat dari sudut atas sedang membuka langkah dimana tangan masing-masing seakan-akan ingin memberi isyarat agar lawan masing-masing bersedia dengan gerak seterusnya.

Zulkifli Yusof di lahir pada tahun 1962 di Yan, Kedah. Beliau mendapat didikan awal dalam bidang Seni Halus di Institut Teknologi Mara daripada tahun 1987 hingga 1989.  Karya arca keluli ‘Sherif Masuk Penjara’ (2001) koleksi Pakhruddin Sulaiman boleh dikatakan kesinambungan daripada serpihan karya seramik yang terdapat di dalam karya ‘Don’t Play During The Maghrib’ (1999). Pengkaryaan Zulkifli komited terhadap isu komentar sosial-politik dan ‘Sherif Masuk Penjara’ adalah tentang kekuasaan seorang penguasa yang tamak dalam mencapai cita-cita dalam konteks kita pada hari ini yang digelar sebagai desperado. Karya ini adalah kritikan beliau terhadap mereka yang berada di dalam kekuasaan seperti pemerintah, ketua angkatan malah ketua kampung.

 

Matahati adalah kumpulan kolektif seni yang ditubuhkan oleh beberapa orang anak muda semasa mereka menuntut di Institut Teknologi Mara pada akhir tahun 1980-an. Seorang bekas ahli Kumpulan Matahati yang berasal dari Kedah adalah Ahmad Fuad Osman . Beliau dilahirkan di Baling pada tahun 1969. Karya Ahmad Fuad Osman ‘Apa Tengok-Tengok…Ada Hutang Ka’ (1999) adalah sebuah karya yang diperoleh melalui pameran ‘Matahati: PL’ pada tahun yang sama oleh pengumpul Pakhruddin Sulaiman.  Karya ini adalah sebuah karya kajian terhadap karya utama yang sinis atau sindiran semasa era reformasi. Karya ini disifatkan sebagai sebuah karya kecaman dimana pengkarya menggunakan permainan bahasa ekspresi muka dalam melontarkan kritikannya.

Ahamad Fauzi Hassan dilahirkan di Kuala Kangsar pada tahun 1959 dan kini menetap diAlor Setar, Kedah. Selain merakamkan landkap perdesaan dan landskap lautan (seascape) Ahamad Fauzi juga merekod landskap bandar (townscape). Karya ‘Pokok Kelapa’ (2017) adalah sebuah catan realisme bertemakan lanskap desa. Pelukis melihat pokok kelapa bukan sebagai sebuah pokok tetapi manfaatnya kepada masyarakat. Di alam Melayu pokok kelapa mempunyai pelbagai kegunaan. Karifan tempatan orang Melayu mengenai pokok kelapa daripada bahagian atas hingga bawah cukup tinggi. Di bahagian atas seperti daun kelapa boleh dibuat ketupat. Buah kelapa pula selain airnya dijadikan minuman dan ubat isinya boleh dijadikan santan untuk masakan makanan. Bahagian luar seperti tempurung selain dijadikan permainan tradisional manakala sabut kelapa dijadikan sumbu untuk pembakaran dan masakan.

 

Rohaizad Shaari dilahirkan di Jitra Kedah dan beliau mendapat pendidikan rasmi seni dalam bidang seni halus daripada Institut Teknologi Mara, Shah Alam daripada tahun 1988 hingga 1992. Setelah tamat pengajian beliau kembali ke negeri kelahirannya untuk menjadi pelukis sepenuh masa disamping aktif dengan persatuan Angkatan Pelukis Kedah (APK).   Karya Rohaizad yang bertajuk ‘Sawah II’ (1992) Koleksi Balai Seni Negeri Kedah  adalah sebuah karya di dalam ‘Siri Pemandangan’ manakala karya ‘Kg Pulau Pisang (2023) dan ‘Kg. Paya Pahlawan’ (2013) di dalam adalah siri karya peralihan daripada format lanskap kepada format panorama. Rohaizal merupakan pelukis yang produktif dimana beliau menghasilkan beratus-ratus karya panorama sebegini yang mengambarkan keindahan dan kecantikan lanskap perdesaan dan pendalaman Kedah yang menakjubkan.

 

Pelukis Ganerasi Baru

Manakala itu pelukis genarasi baru pula adalah pelukis yang dilahirkan selepas tahun 70 an misalnya  Fauzul Yusri (1974), Luq ZaidiIsmail (1971) dan Lily Dzarleena Shamsuri (1982).

Fauzul Yusri dilahirkan di Kuala Muda, Kedah pada tahun 1974. Beliau mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Lukisan) daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam daripada tahun 1995 hingga 1999. Karya ‘Brother’ (2008) koleksi Pakhruddin Sulaiman adalah siri karya pameran ‘Play’ 2009. Sejak  daripada sekolah seni Fauzul lagi telah meneroka penggayaan karya seni yang seperti dihasilkan oleh kanak-kanak atau seni naif (naive art). Seni naif yang dihasilkan Fauzul bermain dengan garis-garis yang ringkas, bentuk-bentuk mudah yang dihasilkan daripada pandangan dan perspektif anak kecil terhadap sesuatu rupa. Dalam konteks sejarah seni Barat seni sebegini mula ditemui melalui lukisan-lukisan gua yang dihasilkan oleh manusia pra-sejarah.

Luq ZaidiIsmail dilahirkan di Alor Setar pada tahun 1971. Luq berkarya dalam aliran realisme yang menekankan gambaran warisan budaya setempat. Dalam karya ‘Pasar Bisik-Bisik’ (2015) misalnya Luq mengambarkan cara bagaimana sistem perdagangan tradisional urus niaga harga barang dagangan orang dahulu berlaku yang masih lagi diamalkan pada hari ini melalui bisikan dari telinga ke telinga. Berbisik dalam ertikata lain ada secara diam-diam, berahsia atau untuk orang tertentu sahaja mengetahui isi kandungan apa yang ingin disampaikan. Sungguhpun begitu selepas kedatangan Islam bisik-membisik ini adalah ditegah kerana boleh mengundang prasangka pada pihak lain atau tidak senang hati pada pihak yang membisik. Karya ini adalah dokumetasi Luq terhadap alam perkerjaan masyarakat tempatan yang pernah berlaku pada zaman dahulu.

Lily Dzarleena Shamsuri  dilahirkan pada tahun 1982. Selepas mengkuti pengajian program Sarjana Muda dalam Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara dalam pengkhususan seni cetak Lily mengkuti Diploma Pendidikan Seni untuk melayakkanya menjadi guru pendidikan seni visual. Karya ‘Baca’ (2015) memperlihatkan seekor katak berada di atas tempurung manakala di sekitarnya terdapat huruf-huruf dalam tulisan jawi dan rumawi, antara yang ketara adalah tulisan jawi yang tertulis iqra atau baca. Karya ini ada alegori penentangan terhadap pepatah  ‘Seperti Katak Di Bawah Tempurung’.  Karya ini sangat dekat dengan Lily yang berada dalam dunia pendidikan dan pembelajaran.

Kesimpulannya pameran ‘Berbisik’  yang menghimpunkan 15 pelukis dan 20 karya terpilih yang berada di dalam koleksi Balai Seni Negeri Kedah, koleksi Pakhruddin Sulaiman dan koleksi pelukis  adalah satu bisikan atau pernyataan secara diam-diam seniman terhadap persoalan yang berlegar-legar di dalam masyarakat. Kami kumpulan kuratorial hanyalah sebagai penghubung atau jambatan untuk membisikan semula bukan sahaja melalui pendengaran tetapi melalui mata kami kepada khalayak apa yang ingin disampaikan oleh seniman.  Melalui pameran ‘Berbisik’ ini juga diharapkan agar hasrat gabungan kurator, galeri swasta dan institusi seni budaya  untuk mendekatkan khalayak dengan khazanah seni visual negara terlaksana.


  

   


Faizal Sidik, 'Bisikan Pelukis Kedah', Dewan Budaya (Anjung Seni), Bil 12/23 (Disember 2023), Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, ms 22-26








 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan