Rabu, 25 September 2024

‘Multiculturism’: Sebuah Pameran KeMalaysiaan

 Oleh: Faizal Sidik


Pameran Multiculturism ada sebuah pameran berkumpulan yang menghimpunkan 8 pelukis secara kebetulan  mempunyai latar yang sama dalam bidang pendidikan seni yang berkarier sebagai pensyarah, bekas pensyarah, pendidik dan pelatih seni visual. Antara pelukis yang mengambil bahagian dalam pameran ini ialah Dr. Zakaria Ali, Felicia Loh, Dr. Hanif Khairi, Abby Zain, Ellie Ng, Jaja Yusof, Alex Liong dan Zarina Abdullah. Pameran secara kolektif  ini cuba untuk berkongsi bagaimana seni visual boleh dijadikan sebagai alat penyatuan, tolak ansur dan kebersamaan.


Zakaria Ali (b.1946)

Zakaria Ali bukanlah nama asing dalam lanskap seni lukis Malaysia. Beliau merupakan pensyarah sejarah seni di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia sejak tahun 1970 an lagi sehingga persaraanya. Disamping mengajar beliau turut berkarya dengan lukisan figura. Beliau terkenal dengan penulisan seni dengan tema pluralisme di dalam seni lukis Malaysia. Di dalam penulisannya saya masih teringat beliau memataforakan seni lukis Malaysia seperti makanan popular rakyat negara ini iaitu air batu campur. Air batu campur mengandungi kisaran ais, sirap, kacang, jagung, susu. Gabungan atai kerojakan ini menjadikannya sedap dimakan sebagaimana seni lukis Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian dari segi kaum, agama, budaya dan cara hidup.

 

Di dalam pameran ‘Multiculturism’ ini beliau menghasilkan catan-catan figuratif. Karya-karya mutakhir beliau cuba memaparkan aktiviti-aktiviti yang dekat dengan beliau yang menetap di rumah dan studio  di Diamond Creeks, Tanjung Malim dengan dalam merakamkan kehidupan seharian beliau seperti beribadah, melakukan senaman di awal pagi dengan berjalan disekitar kawasan kediamannya dengan haiwan perliharaan dan juga melancong. Bagi beliau ‘Multiculturism’ tidak boleh disempitkan dengan hubungan kepelbagaian kaum dan ras di Malaysia sahaja malah melagkaui kehidupan kita seharian.

 

Felicia Loh (b.1975)

Felicia Loh pula yang berasal dari Johor Bharu merupakan pelukis-pelatih seni yang mengasaskan Napthtali 7 Art. Beliau aktif melukis sejak remaja namun hasrat untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni terbantut dan perlu mengikut aliran kehendak orang tuanya. Namun setelah berkecimpung dalam bidang perbankan beliau nekad untuk berhenti dan meneruskan minat terpendamnya yang tidak kesampaian. Kini beliau aktif mengadakan pameran berkumpulan.

 

Felicia melihat ‘Multiculturism’  sebagai nilai yang bersifat patriotisme. Patriotisme bukanlah secara literal dengan hanya mengibarkan bendera Malaysia dan memakai baju jalur putih dan merah semasa bulan kemerdekaan. Semangat patriotisme juga boleh diterjemahkan secara abstraksi. Di dalam pameran ini Felecia berkongsi menghasilkan karya keMalaysiaan seperti siri ‘Tanah Malaysia’ dan siri ‘Fresh Out Pouring’ yang dihasilkan melalui pandangan atas atau bird eye view terhadap bentuk muka bumi negara kita Malaysia yang kaya dan indah dengan khazanah hutan tropika, gunugan dan pantai berpasir putih.

 

Jaja Yusoff (b.1983)

Nur Yusniza Mohd Yusof atau lebih dikenali Jaja Yusof  dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan merupakan anak kepada Allahyarham pelukis Yusof  Gajah. Yusof Gajah dikenali kerana komitmen dan stail lukisannya yang memokuskan kepada tema gajah bukan sahaja kepada lukisan dan catan malah buku ilustrasi dan arca. Jaja mendapat pendidikan formal dalam Diploma Psikologi. Namun setelah tamat pengajian beliau mengikut jejak ayahnya menjadi pelukis dengan memokuskan pula dengan melukis subjek haiwan peliharaan iaitu kucing.

 

Jaja menggunakan perlambangan kucing sebagai haiwan yang sentiasa ceria dalam  mengambarkan masyarakat pelbagai budaya atau ‘multiculturisme’ pada tema dalam pameran ini. Karya kucing hitam Jaja mengingatkan saya karya pelukis Jepun iaitu Yoshitomo Nara yang menggunakan imej figura budak kecil namun Jaja Menggunakan haiwan ini sebagai simbol kebebasan dan keharmonian bangsa di dalam negara ini.


Ellie Ng (b. 1978)

Ellie Ng berasal dari Batu Gajah, Perak. Beliau mendapat pendidikan formal dalam bidang fesyen dan tekstil daripada Malaysia Institute of Art (MIA). Semasa menuntut di sana beliau pernah berguru dengan pelukis batik iaitu Fatimah Chik. Setelah 25 tahun berkarier dalam seni dan kraf sebagai pereka dan pelukis dengan mengadakan pameran, projek senireka dan wokshop di Lembah Klang beliau kembali ke tempat asal dan menetap di sebauh bandar lama di Perak Tengah iaitu Papan yang tidak jauh dari Batu Gajah.

 

Membina studio dan wokshop sendiri di Papan pengkaryaan beliau sangat dekat dengan tanaman dan tumbuhan serta warisan setempat. Ellie adalah penggerak penting dalam menjayakan festival tahunan iaitu ‘Annual Malaysia Day Papan Old Town Retro Event’. Di dalam pameran ini beliau menghasilkan siri karya catan tekstur pada biji benih. Beliau mengambarkan biji benih ini sebagai keperluan dalam kehidupan kita samada sebagai makanan, perubatan atau ekonomi. Dalam erti kata yang lebih besar kepelbagaian budaya di negara inilah bagi beliau dalam kita  menuju dalam  pembinaan sebuah negara.

 

Dr Hanif Khairi (b.1972)

Dr Hanif Khairi berasal dari Setiawan, Perak beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang Seni Reka Logam Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UITM). Selepas itu  beliau mengikuti pengajian ijazah lanjutan pendidikan untuk menjadi tenaga pengajar sebagai pensyarah. Kini beliau merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Rekabentuk Logam Kontemporari, UITM Shah Alam yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk barang kemas, pertukangan logam dan seni arca.


Kepelbagaian budaya atau ‘Multiculturism’ bukan sahaja hanya boleh diterjemahkan melalui bangsa, budaya dan agama malah melalui belas kita pada ekosistem alam. Sejak awal pengkaryaan Dr. Hanif  beliau sangat konsisten dalam membawa tema kemampanan dan kelestarian dalam penggunaan bahan atau material. Dalam siri karya ‘Tunas Cinta’ beliau sangat konsisten dalam menghasilkan karya arca daripada kayu terbuang dan plastik polietilena ketumpatan tinggi atau (high-density polyethylene HDPE). Gabungan blok-blok kayu dan plastik yang pelbagai warna ini seolah sebuah bentuk karya arca etnik suku kaum asal atau orang asli yang berjalur, petakan yang mempunyai kepaduan jisim.

 

Abby Zain (b. 1965)

Abby Zain berasal daripada Batu Gajah dan mendapat didikan seni dalam bidang Komunikasi Visual dan Reka Bentuk daripada Akademi Seni Budaya Warisan Negara atau ASWARA. Sebelum mengikuti pengajian formal  beliau pernah  berguru dan tunjuk ajar daripada Encik Liu di Ipoh. Selepas 2003  Abby aktif  berpameran dan menjadi pelukis illustrasi buku dengan menghasilkan siri buku ilustrasi yang dinamakan Puteri Pakma. Beliau juga merupakan pelatih seni dengan menjalankan kelas seni lukis untuk kanak-kanak yang dinamakan Pakma Art Studio.

 

Di dalam pameran ini Abby cuba menggabungkan motif ketiga-tiga bangsa utama di negara ini seperti Melayu, Cina dan India di dalam catan seperti ‘Intricate’ dan ‘Weaves of Culture’ . Meminjam  motif seni tekat Perak sebagai pengantar karyanya, karya Abby boleh dibaca kepada 2 bahagian pertama latar catan yang bersegmentasi atau petakan. Kedua adalah motif tradisi floral tempatan, rekabentuk geometrik dan motif haiwan. Segmentasi dan pola-pola dalam karya beliau adalah cerminan warisan kepada kesatuan, keharmonian dan keamanan yang dinikamti oleh setiap rakyat Malaysia pada hari ini.

 

Alex Liong (b.1973)

Alex Liong Chen Hui dilahirkan di Kuala Lumpur dan mula menunjukkan minat dalam seni lukis semenjak zaman persekolahan lagi. Beliau kemudiannya mengikuti jurusan Seni Reka Grafik daripada Malaysia Institute of Art (MIA). Selepas bergraduan beliau terlibat sebagai pendidik seni dan sehingga ke hari ini mempunyai pengalaman hampir 30 tahun sebagai pengajar seni dengan membuka The Artless House yang terletak di Damansara Perdana. Pengkaryaan awal Alex dekat dalam memperlihatkan tema alam sejadi dan lanskap dengan menggunakan bahantara tanah liat getah (rubber clay) sebagai kunci utama setiap karyanya.

 

Alex berpandangan ‘Multiculturism’ adalah negara Malaysia itu sendiri yang mempunyai penduduk yang berbilang agama, bangsa dan kepercayaan. Inspirasi dan tertarik dengan kekayaan sejarah dan keindahan budaya negeri Melaka, Alex membawa khazanah Baba dan Nyonya dalam pameran ini. Budaya peranakan menjadi subjek utama Alex dengan menggunakan bahantara kegemarannya iaitu tanah liat getah (rubber clay). Di dalam pameran ini karya-karya Alex berkongsi tema ‘Multiculturism’ melalui sejarah silam, makanan, pakaian, dan cara hidup masyarakat Baba dan Nyonya.


Zarina Abdullah (b.1981)

Zarina Abdullah dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di negeri Pahang dan Tererngganu. Beliau mendapat pendidikan formal Seni Halus dalam pengkhususan seni catan daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Zarina aktif berpameran semenjak menjadi pelajar dan memenangi hadiah seni pertandingan seni. Beliau mula mengadakan pameran solo ‘Dari Mata Ke Mata’ di Artraeously Ramsayong, Kuala Lumpur pada 2003.  Sejak awal pengkaryaan awal beliau begitu fokus dengan menghasilkan lukisan figura.

 

Zarina memataforakan bunga-bungaan iaitu bunga kertas sebagai simboik kepada kasih sayang di dalam pameran ini. Terjemahan ‘Multiculturism’ pada beliau bukan sahaja terhadap perlambangan kepelbagaian budaya tetapi juga boleh bermula di dalam rumah melalui hubungan kekeluargaan di dalam keluarga kita sendiri. Beliau hadir dengan karya siri bunga seperti siri ‘Tanda Shayang’, siri ‘Bunga Jingga’ dan siri ‘Bunga Merah Jambu’.

 

Sebagai kurator di dalam pameran ini saya mengharapkan karya-karya yang dipameran di dalam pameran ini bukan sahaja sebagai manifestasi pelukis-pelukis yang mengambil bahagian dalam menterjemahkan dan menginterpritasikan apa yang mereka fikir terhadap kepelbagaian di negara ini. Namun apa yang lebih penting lagi adalah bagaimana masyarakat terbanyak di dalam negara ini untuk menginsafi, rasa bersyukur dan terus mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian yang unik yang kita kecapi pada hari ini yang mungkin tidak dimiliki oleh negara lain. Selamat Hari Malaysia!





Faizal Sidik, 'Multiculturism: Sebuah Pameran KeMalaysiaan', Dewan Budaya (Galeri), Bil 10/2024, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, ms 54-60.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan