Selasa, 23 Julai 2013

Saranan Kepada Seni Visual dalam Pembinaan Negara

Oleh : Faizal Sidik

Untuk menjadi sesebuah negara yang maju dari semua aspek penglibatan semua tenaga kerja amat penting dalam pembinaan negara seimbang. Sebuah negara yang seimbang dari aspek fizikal dan rohani sudah tentu pula melihat penglibatan golongan budayawan dan seniman seiring dalam pembinaan negara. Pujangga ada mengatakan karya seni boleh mengendurkan sedikit ketegangan pergolakan politik yang berlaku dalam sesebuah negara. 

Seniman yang saya masksudkan di sini bukanlah hanya pelukis yang terlibat dalam penghasilan karya seni halus tetapi juga mereka yang terlibat dalam dunia rekacipta secara keseluruhannya atau lebih tepat lagi industri kreatif. Di negara-negara maju mereka  yang terlibat dalam industri kreatif telah diberi tempat yang sewajarnya dari segi dana dan infrastruktur untuk terus berkembang, dan tidak hairanlah industri kreatif ini telah menyumbang kepada pendapatan kedua teratas dalam carta pendapatan negara.

Memperkembang Budaya visual
Berbalik pula pada negara kita disini. Balai Seni Visual Negara sebagai sebuah agensi tunggal yang diberi peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam memperkembangkan budaya visual, sudah tentu menjadi harapan kepada pelanggan-pelanggannya yang bukan sahaja kepada pelukis tetapi juga mereka yang terlibat dalam bidang visual seperti pereka, arkitek, animator, pengusaha produk kreatif dan lain-lain. Peralihan daripada memberi fokus daripada seni lukis kepada seni visual yang lain ini bukanlah mudah tanpa ada bantuan yang sewajarnya dalam merealisasikan harapan warga seni agar seni produk seni visual negara yang dihasilkan oleh anak tempatan dapat bersaingan dan setanding dengan rakan mereka di peringkat antarabangsa dalam memperkembangkan budaya visual.

Karya Ikon
Setiap negara yang menuju kepada kemajuan maju tidak mahu tidak boleh mengkesampingkan produk budaya yang ada di negara mereka. Jika karya Monalisa oleh Pablo Picasso menjadi ikon utama pelancong-pelancong melimpah datang ke Lourve Museum di Paris, di New York pula pelancong mahu melihat koleksi karya Impressionis di Cezanne, Pissaro atau Van Gogh yang dipamerkan di Muzium of Modern Art (MOMA) atau di Metropolitan Museum (Met). Karya-karya atau pelukis ikon ini menjadi tumpuan dunia walaupun pelukisnya telah lama tiada. Jesteru pelaburan yang sewajarnya perlu dilakukan bagaimana fenomena yang berlaku di sini. Untuk  mencontohi negara-negara berkenaan untuk menerima kunjungan pelawat seni dan budaya tidak salah kiranya untuk kita berbelanja untuk membeli karya-karya besar oleh pelukis besar untuk dijadikan koleksi Balai Seni Visual Negara umpamanya sebagai salah satu tarikan baru pelancong datang ke negara ini.

Acara Seni Visual bertaraf antarabangsa.
Menganjurkan acara seni visual yang bertaraf antarabangsa sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar dalam merelisasikan hasratnya. Acara seni visual besar yang diadakan secara dwi tahunan di rantau Asia Tengggara seperti Singapore Biennale, Jakarta Biennale, Jogja Biennale telah meningkatkan ekonomi negara penganjur. Contohnya National Heritage Board melalui agensi pelaksana Singapura Art Museum telah melabur lebih 6 juta SD dalam penganjuran Singapore Biennale edisi ke- 4 nya pada tahun ini telah menarik ratusan ribu pelancong terutamnya dari Asia Timur dan Eropah untuk datang dan merayakannnya. Acara seni visual yang bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja sebagai acara biasa malah ia merancakkan sektor industri lain seperti perhotelan, pengangkutan dan makanan seterusnya meningkatkan pendapatan negara melalui perkhidmatan yang ditawarkan.

Sesungguhnya banyak perkara yang perlu lagi dilakukan dalam memperbaiki lagi infrastruktur dan prasarana dalam memantapkan lagi seni visual di sini. Usaha yang dilakukan secara berterusan sejak penubuhaan Balai Seni Visual Negara sejak 55 tahun yang lalu memerlukan sokongan dan galakan agar institusi ini setanding dengan negara jiran yang lain setidak-tidaknya di rantau Asia Tenggara sendiri agar terus bersaing dalam menyediakan perkhidamtan seni dan budaya dalam pembinaan negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan