Oleh
MUHD FAIZAL SIDIK
Faizal Sidik (2002), “Metafora Air Dalam Seni Lukis”, Berita Mingguan, 13 January 2002. NSTP Kuala Lumpur.
MENGIKUT Kamus Dewan, air didefinisikan sebagai
cecair yang terbentuk daripada gabungan dua hidrogen dan satu bahagian oksigen
(H2O) yang tidak mempunyai warna, bau dan tidak mempunyai rasa seperti misalnya
air sungai, laut dan tasik.
Air
adalah salah satu daripada empat unsure alam terpenting iaitu tanah, air, api
dan angin. Manusia memerlukannya setiap masa kerana ia adalah unsur asas setiap
makhluk bernyawa.
Seniman
dan dalam konteks ini pelukis adalah juga manusia, tetapi ia berbeza dengan
orang awam kerana ia dapat merakamkan apa yang dilihatnya, ombak atau air
tenang di kolam dapat dirakamkan oleh pelukis ke atas kanvas – tidak saja untuk
mengekalkan sensasi pada sesuatu masa dan ruang tertentu untuk manfaat dirinya,
dalam waktu yang sama orang lain juga dapat menikmatinya.
Air
sebagai metafora digunakan seniman dalam karyanya sebagai sunjek utama atau
sampingan bagi menyampaikan mesejnya. Dalam hal ini seniman tidak
sewenang-wenang menggunakan sesuatu imej atau metafora, sama ada air atau apa
saja tanpa sebarang penyelidikan, pemahaman dan yang sama pentingnya ialah
penghayatan terhadap metafora yang dipilihnya.
Bagi
membicarakan karya tempatan tahap pengalaman, pendedahan dan sifat dalaman
mereka berbeza dengan pengkarya Barat. Terikat kepada ketiga-tiga perkara
tersebut memungkinkan faktor utama kelainan karya tempatan. Namun demikian ia
telah menghasilkan karya yang seiring ataupun menggunakan elemen yang sama
dalam setiap karya mereka. Mereka kebanyakan sering mengutamakan simbol,
perlambangan dan metafora yang sama iaitu air dalam setiap karya mereka.
Hamdan
Shaarani menggunakan subjek air sebagai metafora dalam karyanya. Karyanya Reflection Series menggunakan refleksi
air menceritakan konflik manusia secara individu, kumpulan mahupun masyarakat
terhadap persekitarannya atau terhadap kehidupan dan perhubungan sesama manusia
sendiri. Air yang tenang, air yang keruh, air yang beriak atau penuh sampah
sarap, bergelombang dan sebagainya, semuanya digunakan oleh Hamdan bagi
menyatakan pelbagai gerak dan gelombang hidup manusia.
Melalui
akrilik di atas kanvas, Hamdan memilih metafora air secara simbolik bagi
menyatakan mesejnya. Seorang yang belum begitu mesra dengan bahasa catan Hamdan
tentulah akan menghadapi masalah menghayati refleksi yang dibangunkannya, namun
bagi yang sudah biasa, bukanlah menjadi satu masalah. Seorang yang belum biasa barangkali
akan melihat secara penuh pesona betapa indah, hidup dan beriaknya refleksi
Hamdan; seorang yang sudah biasa dengan cepat akan memberi tafsiran mengenai
mesej yang ditonjolkan Hamdan.
Raja
Azahar Idris dengan catannya Jalan Tun
Razak(1996) juga menggunakan air sebagai metafora. Titisan air hujan yang
mengalir di permukaan hadapan cermin kereta di lukis di atas kanvas memberikan
kesan yang amat menarik. Raja Azhar mungkin ingin menggambarkan permasalahan
yang terdapat di Jalan Tun Razak secara khusus, atau mungkin juga Raja Azhar
ingin memberikan komentarnya mengenai betapa hujan boleh menganggu kesenangan
orang moden hari ini dengan kenderaan keretanya. Begitulah metafora di tangan
seniman selalu membawa kesan tertentu yang boleh ditafsirkan secara yang
pelbagai oleh penghayatnya.
“Hebat
juga Pemandangan Jambatan Pulau Pinang!... dengan Jerebu Lagi!” karya foto
Ismail Hashim dari Pulau Pinang. Metafora air laut digunakan sebagai sub
subjeknya di samping beberapa subjek utama lain.
Namun
sebagai sub subjek, air sebagai metafora terletak di tengah secara horizontal,
subjek lain adalah sampah sarap yang penuh dan bahagian paling atas adalah
jerebu.
Metafora
air yang terletak di tengah-tengah lukisan ini secara horizontal pula memberi
kesan dan membawa makna tertentu kepada setiap yang menikmati karya ini.
Sampah, terlalu banyak, dan sampah itu terapung di dalam air. Manusia minum
air, masak makanan dengan air. Jerebu! Jerebu adalah debu yang amat halus di
dalam udara. Manusia menghisap udara. Bayangkan betapa akan terjadi kepada
jantung dan paru-parunya.
Metafora
sebagai salah satu unsure penting dalam karya seni bukan baru ditemui. Ia
digunakan oleh pelbagai seniman – Timur mahupun Barat – secara sedar atau
tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan