Rabu, 31 Julai 2013

Karyawan mapan jauhi Sudut Terbuka?



Oleh MUHD FAIZAL SIDIK


Faizal SIdik (2002), “Karyawan Mapan Jauhi Sudut Terbuka”, Berita Mingguan, NSTP, Kuala Lumpur.



PAMERAN Terbuka 2001(dari Disember 2001 hingga April 2002) adalah antara pameran terpenting selepas Bakat Muda Sezaman (BMS) yang pernah Balai Seni Lukis adakan. Pameran terbuka ini yang julung kali diadakan di Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1971 lalu adalah satu-satunya pameran yang mengajak pelukis dari seluruh Malaysia berkumpul, mempamerkan serta mengkaji karya mereka dalam pembabitan kegiatan kesenian yang akan datang. Pameran ini diwujudkan semula bagi menemukan pelukis demi menyemarakkan lagi dunia seni tampak Negara.

            Sudut Terbuka yang diadakan sempena Pameran Terbuka 2001 memberi peluang kepada orang ramai terutamanya pelukis tersohor berkongsi pengalaman dan menjana minda dalam membicarakan seni dan kaitannya dengan khalayak umum.

            Malang dan sayangnya di manakah karya mereka yang dikatakan seniman mapan negara? Di manakah tanggungjawab mereka yang dikatakan budayawan dalam membicarakan isu semasa seni negara? Di manakah kelibat mereka yang galak mengkritik seni lukis, sedangkan bayang mereka pun tidak nampak dalam dialog sebegini? Persoalan inilah yang perlu dijawab oleh mereka.

            Sudut Terbuka bukanlah sembang seni kosong, sebenarnya sudut seni ini bertujuan memperlihatkan aktiviti yang positif dalam mempertemukan pelbagai generasi pelukis dan masyarakat seni. Untuk mempertingkatkan percambahan minda yang lebih dinamik menerusi perbincangan serta bertukar pendapat yang diharap dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan pelukis ke arah memartabatkan karya seni tanah air.

            Dalam sesi pertama dialog pada 9 Mac yang dipengerusikan curator pameran, Zanita Anuar, pelbagai idea dilontarkan kepada badan itu oleh peserta yang hadir dari pelbagai latar belakang. Razak Abdullah yang juga pengumpul karya pelukis tempatan mempersoalkan ruang di Balai Seni Lukis Negara yang kosong sedangkan ia boleh diisi dengan karya yang bersifat tiga dimensi seperti arca dan instalasi.

            Beliau member contoh di Muzium Seni seperti di London dan Eropah setiap ruang dipenuhi dengan pelbagai karya. Beliau juga menyeru agar pelukis muda yang berbakat dibiayai bagi menghasilkan karya di sekitar ruang Balai Seni Lukis Negara, di samping Bazar Seni atau Pasar Seni perlu dilakukan secara konsisten setiap bulan.

            Dengan menjemput pelukis mapan mengadakan bengkel dan demontrasi di ruang terbuka dengan promosi yang luas, ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dan pelancong dengan karya seni.

            Bekas tenaga akademik di UiTM, Tan Tuck Kan, menyatakan negara kita lebih mementingkan kegiatan fizikal dan mengetepikan aspek kerohanian. Menurutnya sesebuah negara tidak akan menjadi maju jika hanya mementingkan aspek ekonomi dan menyepikan unsur seni dan budaya. Ini kerana pembangunan insan yang seimbang memerlukan kedua-dua unsur itu. Jika tidak, tambahnya, jenayah atau salah laku kemungkinan berlaku. Kesenian, tidak mengira medium seperti seni lukis, filem, seni muzik, teater dan lain-lain adalah satu terapi yang boleh menginsafkan individu.

            Susylawati Sulaiman, yang seolah mewakili suara pelukis berpendapat pelukis muda memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak. Menurutnya lagi, pelukis muda hendaklah ke hadapan dengan komitmen yang tinggi dalam melakukan aktiviti atau projek kesenian dan ini disusuli dengan bantuan sewajarnya.

            Walaupun Balai Seni Lukis Negara adalah penaung atau paying pelukis, tetapi ia belum memadai dalam mengembangkan bakat pelukis muda kita. Bantuan badan korporat dari sudut pembiayaan sesuatu projek atau kegiatan seni adalah penting dan amat bermanfaat.

            Beliau memberi contoh di Filipina dan Singapura, pelukis mapan di negara itu tidak lokek dengan ilmu dan bantuan dalam mengembangkan bakat pelukis muda di negara mereka dengan member mereka tempat tinggal dan ruang berkarya yang secara tidak langsung member mereka keyakinan.

            Sudut terbuka pada hari tersebut diakhiri dengan pelukis menerangkan karya mereka kepada khalayak untuk berkongsi idea dan isu yang diketengahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan