Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik (2013), 'Karya Pintu Masuk Redza Piyadasa' Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Februari 2013.
Karya
yang bertajuk “Entry Points” 1978 ini
merupakan sebuah karya Redza Piyadasa
yang menggabungkan pelbagai bahan pengantara. Di dalam karya catan di
atas panel ini jika sekali imbas bagi mereka yang baru pertama kali melihat
karya ini dari sudut formal mungkin akan mengatakan ia adalah sebuah catan
lanskap biasa kerana terdapat sebuah
catan landskap yang dibingkaikan dan terletak di bahagian atas namun sempadan
hitam terbuka dari bawah yang
mengelilinginya dan terdapat satu lagi sempadan hitam yang mengelilingi catan
itu ditambah dengan penggunaan teks perkataan berbahasa Inggeris yang sama
warnanya dengan catan lanskap itu menyebut ART
WORK NEVER EXIST IN TIME, THEY HAVE “ENTRY POINTS” atau terjemahannya “KARYA SENI
TIDAK WUJUD DALAM JANGKA WAKTU TERTENTU, IANYA MEMPUNYAI “TITIK PERMULAAN” mungkin membuat anda tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dihasilkan
oleh Piyadasa ini?.
Redza Piyadasa (1939-2007)
“Entry Points”
Bingkai, cat minyak dan akrilik atas panel
152 cm x 136 cm, 1978
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 1979-004)
Piyadasa
menjelaskan idea sebenarnya adalah menyoal semula terhadap tradisi seni lukis
landskap atau pemandangan. Boleh saya katakan bahawa idea ini diteruskan
daripada karya yang membawa tema yang sama enam tahun sebelumnya iaitu karya ‘The Great Malaysia Landscape’ 1972. Untuk memahami karya ini
dengan lebih dekat lagi disini ada beberapa
rajah yang boleh membantu , di dalam Ilustrasi dibawah ini merupakan penunjuk arah dimana tempat masuk
sempadan hitam yang mana mewakili “keadaan”
Mata audien seolah-olah memasuki satu kawasan atau ruang peribadi yang
diciptakan oleh artis ianya seperti sempadan yang memisahkan di antara dunia
kreativiti artistik dengan dunia luar.
Arah pintu masuk atau entry point
Menurut beliau sendiri “Sebenarnya pemindahan karya asal yang dihasilkan pada tahun 1958 kepada 1978, Piyadasa telah menerokai karya seni sebenar dengan kemampuan untuk bergerak melalui tempat yang ideal iaitu dari segi sejarah dan enter (memasuki) konteks yang baru. Historical transgression (pemindahan dari segi sejarah) telah dilakukan. Karya ini mengambarkan refleksi dan pendekatan dialektikal oleh artis sepanjang fasa seni konseptual dalam karier beliau.” Sempadan artistik dan dunia biasa ini. Audien yang melihat dari ‘titik permulaan’ seolah-olah memasuki dunia diluar realiti kehidupan biasa mereka.
Sempadan hitam bingkai
Karya
ini dilihat sebagai sebuah catan dalam catan.
Hal ini dapat dilihat di dalam rajah di atas dimana Piyadasa melukis
semula sempadan bingkai dalam bingkai pada karya ChiaYu Chia di dalam dan
sempadan terbuka ini di atas sebuah
panel dengan meninggalkan sedikit ruang bucu sebelah kiri dan di sebelah kanan
lebih kurang dua sentimeter untuk mendapat kesan tersebut. Ianya umpama satu ruang
lingkup atau vakum yang diciptakan oleh artis sendiri seperti ada rahsia yang
hendak diceritakan. Tambah Sabapathy lagi “Kepentingan seorang artis dan karya
seni adalah ditentukan oleh ‘entry point’
oleh sesuatu konteks penceritaan sejarah dan satu segi empat satah masa
yang ideal. ”
Yu
Chian yang terkenal pada sekitar tahun
50 an dengan imej karya pemandangan
kampung, landskap tempatan dan aktiviti harian menegaskan bahawa
penguasaan pengamatannya bermain dengan cahaya dan ruang, warna dan jalinan
dalam ‘mengamati’objek-objek kesukaannya itu. Warna tulisan teks yang digunakan
di dalam karya ini merupakan warna yang sama terdapat di dalam karya landskap “Riverside View” 1958 yang menggunakan
warna utama seperti biru, kuning, merah, hijau dan hitam. Karya landskap Chia
dilihat mempunyai pengaruh gerakan Fauvisme semasa aliran itu sedang berkembang
di Paris, dan kepulangnnya ke Malaysia beliau masih memusatkan dengan subjek
yang sama namun dengan cara stimulasi visual yang lebih berani terhadap pengeksplorasian
warna melalui penciptaan seperti struktur-struktur binaan atau arkitektur pada
permukaan.
Karya
ini adalah sebuah pengiktirafan dari segi sumbangan karya “Riverside Scene” Yu Chian
merupakan salah seorang pelukis Nanyang yang lahir di Kota Tinggi, Johor
sekitar tahun 1936, beliau meninggal pada 1991. Karya ini dihasilkan semula dua dekad kemudian oleh Piyadasa
berdasarkan tandatangan yang bertulis nama Yu Chia, namun stail
tandatangan semula yang dihasilkan oleh Piadasa terdapat banyak perbezaan yang
ketara untuk mengatakan ia adalah karya asal Yu Chia. Piyadasa cuba
menghubungkan karyanya ini dengan pensejarahan seni, karya ini diumpamakan oleh
beliau sebagai sebuah penulisan sejarah seni dalam bentuk objek baru.
Pendekatan menggunakan karya artis lain bagi
menghasilkan karya mereka sendiri pernah dilakukan oleh Robert Rauschenberg
dalam karya “Erased de Kooning Drawing”
dihasilkan pada tahun 1953. Rauschenberg pada masa itu merupakan artis yang
semakin meningkat naik melakukan karyanya yang paling kontroversi dengan memadamkan semula karya lukisan ekspressionis
abstrak terkenal Amerika pada waktu itu iaitu Willeam de Kooning sebagai satu
pernyataan artistik. Di dalam karya lukisan minimalis tanpa imej yang bersaiz
64.14 cm x 55.25 cm x 1.27 cm. Karya asal yang merupakan seperti sebuah lukisan
pengkajian figuratif, De Kooning
menggunakan medium campuran krayon, pensil dan arang.
Menurut
Rauschenberg apabila beliau memadamkan karyanya sendiri ia masih lagi belum
dikatakan seni, beliau bersungguh-sungguh untuk menjadikan karya yang
dipadamkan itu agar menjadi sebuah karya seni. Jadi beliau ke studio artis
untuk memberitahu idea bagi projeknya dan De Kooning faham lalu membuka
beberapa portfolio dan setuju memberikan
lukisan yang paling beliau sayangi kepada Rauschenberg untuk menjadikannya
sesuatu yang ‘besar’.
Robert Rauschenberg (1925-2008)
“Erased de Kooning Drawing”
Kesan dakwat dan kryon atas kertas, label dan bingkai
keemasan
64.14 cm x 55.25 cm x 1.27 cm, 1953
Koleksi: San Francisco Museum of Modern Art (SFMOMA)
Rauschenberg
dikatakan mengambil masa selama dua bulan untuk memadam lukisan itu untuk
mendapatkan kesan yang diinginkan dan meminta rakannya Jasper John di tingkat
atas studionya untuk membuat teks ayat bagi karyanya yang baru itu di bahagian tengah bawah lukisan dengan tajuk. “ERASED
de KOONING DRAWING, ROBERT RAUSCHENBERG, 1953” sebagai sebahagian daripada
karya itu. Koloborasi dalam pengkaryaan seni yang dilakukan oleh Rauschenberg
bukanlah sebuah catatan biasa namun melangkaui daripada itu ia merupakan salah
satu cara beliau sebagai artis merayakan idea, iaitu memadamkan semula lukisan
seorang artis besar seolah-oleh memadamkan semula karya “Women” iaitu siri terkenal Willem de Kooning.
Jika sebelum ini kedua-dua karya beliau yang
membincangkan persoalan pengkaryaan tradisi seni lukis landskap Malaysia secara
berkonsep, kesinambungan pendekatan persembahan diteruskan lagi oleh Piyadasa
di dalam karya “Art Situations No.8” 1978.
Piyadasa beralih kepada figuratif yang menggabungkan permukaan
dua dimensi catan dan arca tiga dimensi dalam satu ruang. Ianya dilihat
seolah-olah beliau ingin mengeluarkan imej pigmen hitam di dalam garis sempadan
yang terdapat pada panel keluar dari permukaannya.
“Art
Situation No.8”
Akrilik, plywood dan bentuk acuan simen
310 cm x 126 cm x 40 cm, 1978
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 2001-039)
Dalam
“Art Situation No.8” kita boleh melihat pembawaan yang ingin diperkatakan oleh Piyadasa
“keadaan” atau situation apa yang ada di dalam karya ini dan begitu juga “Entry Point” Piyadasa meninggalkan sempadan hitam yang
terbuka dibawah kedua-dua karya ini. Jika diperhatikan terdapat kesinambungan
dimana dalam “Entry Point” beliau
meminjamkan karya catan landskap oleh ChiaYu Chian manakala di dalam karya ini
beliau menghasilkan arca yang diperbuat daripada simen tertulis perkataan
LATIFF. Di bahagian hadapan padestal arca dan itu meminjam pula karya arca
kepala artis Latiff Mohidin.
Pantulan
pancaran cahaya menghasilkan bayang memainkan peranan yang penting untuk
menghidupkan karya ini. Ianya seperti bayang yang yang terhasil dalam permainan
wayang kulit. Beliau umpama seorang dalang yang memainkan watak, manakala
Latiff adalah karakter wayang tersebut. Balikan bayang dari arca Latiff yang
memantul masuk melalui ‘sempadan hitam’ pada permukaan catan yang berwarna
merah atau kelir didalamnya sebagai penegasan dimana bayang yang jatuh itu
sepatutnya berada. Ini mempunyai tema yang sama dalam karya sebelumnya yang
menyatakan kepentingan seorang artis dan karya seni adalah ditentukan oleh ‘entry point’ oleh sesuatu konteks
penceritaan sejarah dan satu segi empat satah masa yang ideal.
Arah pantulan cahaya dalam penghasilan
bayang
Penerokaan Piyadasa terhadap permukaan dua dimensi di dalam karya ‘Entry Point’ kedalam bentuk yang
bermain dengan ‘keadaan’ ruang boleh juga diperhatikan dalam karya “Playing Poker” 1975 oleh Lee Kian Seng.
Pengaruh mempengaruhi dari segi stail persembahan karya dan bahan campuran yang
digunakan hampir sama dapat dilihat oleh artis pada masa ini .
Kelahiran
siri karya Rupa Malaysia dilihat oleh beberapa pengkritik serius di sini
sebagai satu peralihan yang kurang tepat dalam karier beliau. Penggunaan
bahantara campuran yang dianggap ‘manis’ bermula dengan karya seperti ‘Bentuk Malaysia Tulen’ 1980 yang
menggunakan bahantara imej bromide dan
akrilik di atas kanvas dikatakan tidak mengambarkan kesinambungan pemikiran
beliau seperti yang diperlihatkan didalam manifesto pameran “Towards a Mystical of Reality” iaitu
sebuah dokumentasi pengalaman bersama antara beliau dan Sulaiman Esa yang bukan
mementingkan bentuk tetapi terhadap persepsi di dalam melihat karya itu sendiri
dari sudut rasional dan saintifik yang mengambil konsep ruang dan masa yang
berpandukan falsafah Zen malah membuang ego artistik sebagai individualistik di
dalam pembacaan seni barat. Mereka berdua cuba mengabungkan pengaruh barat dan
timur atau pertembungan ‘western centric’
dengan ‘eastern centric’.
Redza Piyadasa
'Bentuk Malaysia'
Imej fotografi dan akrilik atas kayu
150 cm x 120 cm x 14 cm
(Telah lupus)
Redza Piyadasa
'Bentuk Malaysia Tulen'
1980
Imej bromide, akrilik atas kanvas
106 cm x 70 cm
Koleksi Peribadi, Kuala Lumpur
Rujukan
Redza
Piyadasa, “ Masterpieces from National
Art Gallery of Malaysia, m.s. 200
Tiada ulasan:
Catat Ulasan