Selasa, 10 Julai 2012

Lee Kian Seng: Permainan Daun Terup dan Imej Objek, Siri Pergerakan Ilusi

Lee Kian Seng  (L.1948)
Playing Poker”
Cat, panel kayu, stainless still, fiberglass, tali dawai
Dimensi pelbagai, 1975
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 2000-003)

Oleh: Faizal Sidik

Karya “Playing Poker” 1975  boleh dikatakan  sebuah karya instalasi campuran daripada subjek daun terup menggunakan bahan seperti papan panel, keluli tahan karat, gentian kaca dan tali. Apakah  reaksi anda apabila dua keping daun dalam permainan terup di perbesarkan saiz beberapa kali ganda? Ia sudah tentu membangkitkan satu psikolologi emosi yang cukup berbeza seperti melihat arca soft sculpture Claes Oldenburg yang menggunakan subjek harian seperti ubat gigi, burger, penyepit baju, batang mancis yang berskala gergasi yang diletakkan di ruang awam seperti di perkarangan bangunan, kaki lima laluan dan di taman pasti menarik perhatian mata audien ke arahnya. Karya Kian Seng ini mempunyai pendekatan yang sama kearah itu iaitu untuk menimbulkan perasaan kagum, tanda tanya dan kadang-kadang agak melucukan.

Sabapathy mengatakan “Playing Poker” menampakkan tanda-tanda persembahan penggunaan ruang tiga dimensi  yang digunakan secara aktif, mekanisma menggunakan kad permainan yang diperbesarkan, alatan elektronik, objek kraf, gambaran bahantara ini dinaikkan mengikut ketinggian penglihatan, seolah-olah mengapungan daya sedar kita. Karya ini bersifat seni konseptual dari segi penggunaan material yang tidak lagi selama yang difahami menggunakan satu bahantara sahaja, idea yang homogen; terdapat kecenderungan untuk membuka perdebatan dan persolan.”

Dari segi struktur “Playing Poker” mempunyai sepasang daun terup yang berwarna merah dan hitam. Dalam permainan ‘Black Jack’ simbol A pada daun bermaksud ia mewakili bilangan 1, 10 atau 11 yang merupakan daun pilihan dan keramat kepada pemain yang memilikinya. Di sebelah kanan merupakan daun warna merah berbentuk simbol bermaksud  hati, cinta atau jantung dimana yang menariknya simbol berkenaan dipertontonkan secara digantung dengan menggunakan bahan gentian kaca begitu juga dengan petakan daun berwarna hitam berbentuk  ♠ seperti penyodok disebelah namun apabila imejnya keluar daripada permukaan dengan meletakkan di atas padestal  ia dilihat seperti sebuah pohonan pokok renek, Kian Seng menggunakan stainless stell yang berkilat menarik semua imej sekitarnya ke dalam.
Description: C:\Documents and Settings\mfaizal\My Documents\BSLN\Penerbitan\Lee Kean Seng\YEYE copy copy.jpg
Perletakan arca daun di atas padestal dan hati yang tergantung

Di dalam atas permukaan daun A hitam tertulis THE NATIONAL CARD CO. iaitu syarikat pengeluar daun kad yang berjenama ‘ALADDIN’ dengan gambar lampu ajaib yang mungkin boleh memakbulkan permintaan pemain jika digosok, manakala dibawahnya terdapat tanda pengilang iaitu THE THE U.S. PLAYING CARD CO. , CINCINATTI & NEW YORK, MANUFACTURES & DISTRIBUTORS. Kean Seng ingin menjawab persoalan permainan antara ruang positif dan ruang negatif dalam seni. Begitu juga dalam permainan terup ini yang penuh dengan rahsia, tipu daya dan percaturan strategi atau taktik untuk meraih kemenangan yang dirancang. Ia menuntut kita berhati-hati unsur yang datang daripada luar terutamanya jika melihat label ‘pengilang’ dan ‘pengedarnya’ datangnya dari barat sebagai agen dalam memasuki budaya tempatan.
Penggunaan bahantara dan persembahan karya yang tidak mempunyai perbezaan yang jauh mungkin disebabkan pergaulan yang rapat di antara artis-artis ini menyebabkan cara berfikir dan pengalaman bermain dengan bahan yang ada dikongsi bersama. Tidak hairanlah jika sebelum ini karya Redza Piyadasa “Art Situation No.8” yang 1978 dihasilkan daripada inspirasi persembahan karya “Playing Poker” dari segi gabungan catan dan arca serta dari sudut pencahayaan yang lebih dramatik seperti karya catan Rembrandt seakan-akan kita berada di sebuah pentas teater. Namun persembahan secara pengaktifan penggunaan ruang dimana audien boleh bersama-sama turut serta  mengelilingi karya ini seumpama Kian Seng yang menjadikan audien salah satu pelakon dalam persembahan set teater ciptaan beliau.

Penerokaan yang dilakukan oleh artis muda pada tahun 1970 an ini diteruskan lagi oleh Lee Kian Seng dalam karya seterusya iaitu “Of Image Object, Illusion Off Series Mechanism” pada 1977. Karya ini pernah memenangi anugerah ‘Open Art and Graphic Print Exhibition’ pada tahun itu menggunakan objek bendera sebagai subjek penceritaan idea. Ia  boleh dianggap sebagai kesinambungan daripada penerokaan bahan yang menggunakan bendera Amerika oleh Jasper John dalam siri bendera pada sekitar pertengahan tahun 1950 an terutamanya melalui karya Flag, 1954-55. Berlainan pula dengan karya “Of Image Object, Illusion Off Series Mechanism pula melangkaui daripada representasi gambaran objek lantaran ia mempunyai nada regional tempatan dalam konteks sejarah Malaysia yang dipertontonkan dengan lebih berani pada waktu ini. 
Description: F:\DCIM\100C1013\100_1340.JPG
Lee Kian Seng (L.1948)
Of Image Object, Illusion Off Series Mechanism”
Akrilik atas kanvas, bendera, podium, papan lapis, lampu
Instalasi pelbagai dimensi, 1977
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 1980-035)

Selain daripada menggunakan bendera ia juga masih dominan dengan format catan empat segi dengan medium cat minyak di atas kanvas, papan lapis dan juga podium. Karya yang boleh dikategorikan sebagai sebuah karya instalasi pada sekitar tahun 1970 an masih belum mengenal apakah yang dikatakan sebagai karya instalasi. P.G. Lim mengatakan “Di Malaysia ia lebih popular dengan nama media campuran atau multimedia dalam kata mudah ‘campuran’. Pada peringkat antarabangsa, penggunan nama seni instalasi tidak digunakan sehinggalah tahu 1980 an.”
Description: G:\lee ken seng\siap lee.jpg
Keratan rentas perletakan kanvas, podium, bendera, pencahayaan dan postur audien

Kian Seng melukis bendera di atas kanvas dan mengambil bendera sebenar, catan di atas kanvas yang mempunyai figura memegang kanvas secara terbalik, imej lipas di atas sebelah kanan dan terdapat penanda ukuran dari angka 1 hingga 10, selain kain bendera yang masih dipersembahkan secara gantungan yang memerlukan sudut pencahayaan yang tepat bagi memastikan pembalikan cahaya mengikut apa yang telah dirupakan oleh Kian Seng di atas kanvas. Perletakan tangga mini dibawahnya bertujuan untuk  menuntut audien naik ke atas podium dan memegang bendera seperti dalam figura karya ini yang menyarankan cara memegang bendera tersebut. Apabila kita melihat dari bahagian hadapan kanvas seperti petunjuk cara untuk memegang bendera dengan cara yang betul. Karya kanvas ini ianya seperti sebuah kamera besar yang merakan aktiviti audien.

Imej audien yang memegang bendera akan terpancar pada permukaan kanvas. Audien yang memegang bendera dilihat seperti ahli sukan yang memenangi pingat sukan sesuatu kejohanan. Ia seolah-olah kedudukan bendera untuk dinaikkan apabila lagu ‘Negaraku’ dimainkan seperti manyarankan semangat patriotisme. Di dalam campuran bahan yang dipersembahkan oleh Kian Seng ini telah mengajak audien mengalami pelbagai aktiviti yang mampu mengaktifkan pergerakan mekanikal mereka melihat imej (kanvas) dengan mata, memegang dan memijak objek (bendera dan podium) menggunakan tangan dan kaki dan ilusi bahan diantara permukaan dan ruang. (catan dan instalasi)

Menurut P.G. Lim yang mengatakan kaitan kehadiran lipas dengan tarikh penting di sebelah kiri bawah berhampiran dengan figura yang memegang bendera pada tahun 1957 iaitu tarikh tahun kemerdekaan negara dan dua puluh tahun kemudian karya ini dihasilkan pada tahun 1977. Saya melihat pendekatan seperti ini juga pernah ada dan dipinjamkan ideanya oleh Redza Piyadasa dalam karya “Entry Point” 1978 apabila Piyadasa melukis semula catan landskap Chia Yu Chian yang dihasilkan pada tahun 1958 kepada 1978 yang saya rasakan bertujuan bukan sahaja untuk memindahkan idea yang ideal (“Riverside View”) ke konteks baru (“Entry Point”) namun kemungkinan untuk membina satu fenomena kritikan baru tempatan terhadap pengkaryaan seni yang mengikut trend semasa dalam bentukan seperti ini.

Rujukan
T.K. Sabapathy, “Pathways to An-Other Reality” dalam Piyadasa: An Overview 1962-2000, Ibid, m.s. 67


P.G. Lim, “Of Image Object, Illusion OFF Series Mechanism” dalam pameran ‘45@45’, Kuala Lumpur, Balai Seni Lukis Negara, 2004, m.s. 92

Tiada ulasan:

Catat Ulasan