Oleh:
Faizal Sidik
Faizal Sidik, '40 Tahun Anugerah Bakat Muda Sezaman', Dewan Budaya, Februari 2015, Dewan Bahasa dan Pustaka, ms 48-51
Sejarah
Bakat Muda Sezaman atau BMS bermula pada tahun 1974 apabila Jawatankuasa
Pameran dan Pembelian BSLN pada tahun berkenaan yang terdiri daripada
AlIahyarham Ismail Zain, AlIahyarham Redza Piyadasa, T.K Sabapathy,
mendiang Joseph Tan, Johan Arif, Farid Wardi, Mat Yasser Juli dan Zurina Majid
beranggapan perlunya diadakan satu pameran dan pertandingan bagi memberi
peluang kepada pelukis-pelukis muda terutama yang telah keluar sebagai graduan
daripada institusi-institusi seni dalam mengembangkan bakat mereka. Dalam
menonjolkan pelukis muda maka muncullah nama pertandingan ‘Pelukis Muda
Sezaman’ iaitu inspirasi daripada The Young Contemporaries Exhibition yang
telah diadakan di London menurut Sulaiman Esa pada sekitar tahun 60 an.
Rentetan
daripada bertambahnya bilangan pelukis-pelukis muda yang telah lulus keluar
daripada institusi-institusi seni lukis dimana mereka memerlukan ruang-ruang
yang khusus dalam menunjukkan kebolehan dan hasil daripada latihan di
institusi-institusi tadi dalam memperkenalkan daya kreativiti pengkaryaan
mereka untuk tatapan umum. Jadi BMS
menjadi medan ‘perang’ yang dinantikan-nantikan dan ditunggu-tunggu oleh mereka
dan menjadi medan ‘kritik’ pula kepada kita terhadap perkembangan seni lukis
Malaysia.
Statistik jumlah karya bertanding mengikut tahun dalam BMS (1974-2010)
Sebanyak 23 edisi Bakat Muda Sezaman yang telah
dijalankan sepanjang 40 tahun itu iaitu daripada tahun 1974 hingga 2010.
Sungguhpun begitu dalam tempoh itu banyak perubahan-perubahan yang telah
dilaksanakan dari segi model yang dilakukan yang bertujuan untuk mengangkat
acara ini sesuai dengan mengikut perkembangan semasa seni kontemporari yang
berlaku di tanah air. Perubahan-perubahan ini boleh dilihat dari segi faktor
had umur, penyertaan pelukis, hadiah dan format pertandingan.
BMS 1970 an
Pada mulanya BMS dirangka
untuk mengetegahkan pelukis-pelukis muda yang diharap mereka ini akan menjadi
pelapis kepada pelukis yang sedia ada agar negara kita tidak ketandusan
pelukis-pelukis berbakat yang boleh memberi sumbangan dari sudut estetika
kepada negara. Oleh itu umur pelukis yang yang layak BMS ini pertama pada tahun
1974 telah dirangka kepada pelukis dibawah 30 tahun sahaja. Pada awalnya
penyertaan adalah secara tertutup iaitu melalui jemputan. Seramai 13 artis muda
yang berkaliber pada sekitar tahun itu diberi peluang untuk menghantar karya
mereka namun hanya separuh atau tujuh
artis sahaja yang mengesahkan penyertaan mereka. Pada edisi bersejarah pertama
Hadiah Terbaik ini ia dimenangi oleh Zulkifli Dahlan dengan karya ‘Halaman
Rumah Kami’, 1973. Zulkifli adalah pemenang pertama juga yang telah memenangi
tiket kapal terbang yang ditawarkan untuk membuat perjalanan ke negara ASEAN
atau India. Namun Zulkifli telah memutuskan untuk membuat kunjungan ke India
pada tahun 1975 selain wang tunai RM 2,000.
Pada edisi kedua terdapat
perubahan besar yang berlaku antara yang utama adalah penyertaan dijalankan
secara terbuka, ini bermakna pintu penyertaan dibuka seluas-luasnya kepada
pelukis-pelukis muda dibawah umur 30 tahun boleh menghantar seberapa banyak
karya yang mereka mampu. Keterbukaan penganjuran pada edisi ini telah
menyebabkan panganjur telah menerima 93 karya daripada 37 orang artis, namun
hanya 19 karya daripada 29 artis sahaja yang terpilih untuk di pamerkan. Antara syarat lain yang perlu di patuhi oleh
artis antara lain adalah dimana peserta dikehendaki untuk menghantar slaid
berwarna sebagai syarat penyertaan. Hadiah wang tunai RM 2,000 dan tiket
perjalanan ke negara ASEAN atau India kekal sehingga edisi ketiga 1976/78. Apa
yang menariknya pada edisi ketiga adalah penganjur menerima tajaan daripada
pihak korporat iaitu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), dimana pihak MAS telah
menaja tiket-tiket kepada para pemenang. Pada tahun berkenaan 49 karya daripada
18 pelukis telah diterima diman panel hakim teleh menetapkan hanya 19
karya sahaja terpilih dari 29 pelukis.
Pameran tidak diadakan
selama 3 tahun iaitu daripada 1978 hingga 1980 kerana bagi memberi tumpuan
kepada pameran dan pertandingan lain iaitu Pertandingan Seni Lukis dan Grafik
1977/1978 dan Salon Malaysia. Daripada 4 edisi penganjuran awal BMS pada tahun
1970 an karya-karya aliran Konstruktif begitu popular dan mendominasi pemenang
dan peserta yang bertanding. Pengaruh kuat daripada pensyarah-pensyarah yang
pernah belajar di luar terutamanya kumpulan ‘New Scene’ boleh dikatakan cukup
kuat pada karya-karya yang dihantar dimana mereka menyarankan cara baru dalam
melihat , berkreatif dan pendekatan yang dibawa
bersifat intelektual, tidak bersifat peribadi dan menolak simbolik.
BMS 1980 an
Sepanjang
dekad 1980 an penganjuran BMS telah mencapai tahap penganjuran boleh dikatakan
membanggakan kerana dijalankan secara konsisten sebanyak sepanjang 9 kali
daripada tahun 1982 hingga 1990. Karya-karya yang dihantar menampakkan
kehalusan kreativiti dan inovatif yang mengaitkan bentuk tradisi dan sezaman.
Mungkin Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1972 dan Seminar Akar-Akar Peribumi
tahun 1979 telah menampakkan kesan dan
pengaruhnya.
Pada
tahun 1981 penganjur menerima 151 karya daripada 44 peserta. Format dari segi
had umur dan penghantaran slide berwarna masih dikekalkan. Apa yang menariknya
adalah jumlah penerima hadiah selain Hadiah Utama berjumlah RM 2000 dan tiket
kapal terbang ke Sydney.
Panel telah menambah 3 lagi untuk
diberikan Hadiah Kecil RM 1,000 setiap seorang. Perihal dengan memberi hadiah
saguhati ini boleh dilihat sebagai pendorong agar berusaha lebih lagi di
tahun-tahun mendatang bagi karya artis muda yang berpotensi menang diperingkat
akhir penjurian namun tidak berjaya untuk diberi kemenangan Hadiah Utama.
Had
umur peserta yang layak menyertai mula dinaikan daripada 30 tahun kepada 35
tahun bermula daripada tahun 1982. Hal ini dilakukan selaras bagi mengikut usia
maksimum belia atau kaum muda oleh
Kementerian Belia dan Sukan yang menjaga hal kepentingan belia. Oleh yang
demikian umur bagi syarat kelayakan BMS perlu mematuhi garis panduan yang
diputuskan oleh pengubal. Pada tahun ini penganjuran menerima 191 karya daripa
78 peserta. Karya yang terpilih untuk pamerkan adalah sebanyak 97 karya
daripada 39 peserta. Pada edisi yang ke-6 pada tahun 1983 Hadiah Kecil telah
ditambah kepada 4 hadiah dimana penganjur telah menerima 158 karya daripada 46
pelukis dan hanya 84 karya terpilih di peringkat akhir penjurian.
Pertambahan
Hadiah Kecil (Minor Award) tidak terhenti di situ sahaja, tetapi hadiah ini
telah ditambah sekali lagi kepada 5 hadiah disamping Hadiah Utama pada tahun
1984. Pada tahun ini penganjur telah menerima 104 karya oleh 41 pelukis dengan
85 karya terpilih untuk dipertandingkan. Penetapan 1 Hadiah Utama dan 5 Hadiah
Kecil ini terus dilaksankan selama 13 tahun sehinggalah pada tahun 1997 apabila
hadiah dipecahkan mengikut kategori. Pada tahun ini BMS mula mendapat tajaan
syarikat korporat swasta seperti Malaysia Tobacco Company manakala syarikat
minyak dan gas iaitu Esso Malaysia telah menaja daripada 1985 hinggalah
pertengahan 1990 an.
Ada
dua penambahbaikan yang dilakukan bermula pada edisi ke-8 pada 1985. Pertama
pertandingan telah mula diperkenalkan secara bertema dan kedua syarat
penghantaran telah diperketatkan dimana seorang artis hanya boleh menghantar
maksimum 3 karya sahaja. Pengacaraan bertema ini telah dilaksankan selama 7
edisi BMS antara tema-tema yang pernah dipilih adalah ‘Bahan-bahan Tempatan’
(1985), ‘Keamanan’ sempena Tahun Keamanan Antarabangsa (1986), Perlindungan
kepada yang tiada Kediaman’ oleh UNESCO (1987), ‘Bahan dan Kreativiti’ (1988),
‘Literacy’ (1989), ‘Lawat Malaysia 1990’ (1990), ‘Warisan Kita’ 1991.
Sungguhpun begitu tiada lagi kesempatan yang diberikan oleh pengajur kepada
pemenang Hadiah Utama apabila geran perjalanan keluar negara tidak diberikan
pada tahun 80 an sehinggalah pada pertengahan 1990 an.
BMS 1990 an
Pada
tahun 1991 BMS dijalankan dengan bertemakan ‘Warisan Kita’ . Daripada maklum
balas yang diterima daripada panel penilai dan juga peserta sendiri acara yang
dijalankan secara bertema ini telah menghadkan pergerakan mereka untuk
berekpresi dan bereksperimentasi. Oleh yang demikian pada edisi 1992 penganjur
merasakan adalah perlu agar pertandingan berbalik kepada landasan yang asal
dengan memberi ruang yang lebih peserta untuk bereksplorasi. Tidak hairanlah
dengan penstrukturan semula format, BMS
pada tahun awal 90 an ia telah menerima minat yang menggalakkan oleh artis
muda.
Ini
terbukti apabila BMS telah menerima penyertaan terbesar dalam statistik
penganjurannya pada edisi yang ke-15 iaitu pada tahun 1992 dengan 425 karya
daripada 223 pelukis dimana 119 karya daripada 66 peserta mengesahkan menyertai
pertandingan itu. Pada tahun 1993 acara ini tidak dijalankan. Pada 1994 BMS telah menimbulkan kontroversi
apabila tiada pemenang yang diberikan Hadiah Utama apabila hanya 11 Hadiah Kecil
yang berjumlah RM 11,000 telah diberikan. Pada tahun itu BMS menerima 295 karya
daripa 134 pelukis dangan 133 karya terpilih untuk dipamerkan. Tahun 1995 acara
yang ditunggu-tunggu ini sekali lagi tidak dapat dijalankan.
Pada
1996 BMS sekali lagi telah menerima perubahan dari segi format penyertaan. Ini
adalah kerana; (1) Ada panel yang berpendapat adalah tidak adil kepada mereka
untuk membuat penilaian dan penghakiman karya-karya dalam satu pertandingan
yang menghimpun semua genre seni halus dari segi olahan, skala dan hasrat dalam
satu pertembungan. (2) Sisipan atau slaid mula digunakan dan diwujudkan semula bagi
memilih karya-karya benar bemutu dan menjimatkan masa dan ruang penghakiman.(3)
Syarat penyertaan diperketakan 20 hingga 30 tahun agar pelukis diberi masa
sekurang-kurangnya 2 tahun selepas keluar dari institusi seni bagi menimba
pengalaman di luar terlebih dahulu sebelum bertanding.
Pada
edisi ini BMS menerima 297 penyertaan daripada 222 pelukis. Hanya 43 karya
sahaja yang layak telah dipertimbangkan ke peringkat akhir. Hadiah pemenang
telah dinilai semula semenjak 1984 yang bernilai hanya RM 8,000 secara
keseluruhan. Panel bersetuju untuk menambahkan nilai hadiah mengikut keperluan
semasa dari segi kos dan bahan yang dilaburkan artis. Mulai 1996 pemenang Hadiah Utama menerima RM
6,000 dan geran perjalanan RM 3,000 dan 5 Hadiah Kecil berjumlah RM 2,000
setiap seorang dan geran perjalanan RM 2,000 dengan jumlah keseluruhan bernilai
RM 29,000.
Hasil
daripada ‘pembedahan’ edisi BMS sebelumnya, pengadil atau hakim dari luar
terutamanya dari kalangan negara ASEAN mula dijemput bersama bagi meningkatkan
lagi mutu pengadilan dan menyemarkkan lagi semangat Tenggara . Pengkategorian
mula diperkenalkan, Pada 1997 BMS telah menerima 76 karya iaitu 35 karya dari
kategori catan, 17 karya arca/instalasi, 9 karya cetakan/fotografi, dan 8 karya
multimedia/eksperimental. Namun demikian ada panel yang mempersoalkan penetapan 4 kategori yang
membataskan pengkaryaan artis.Pembahagian hadiah telah dirombak dengan 1 Hadiah
Keseluruhan, 4 Hadiah Pemenang mengikut kategori dan 1 Hadiah Penghargaan juri
yang baru diperkenalkan. Hadiah kemenangan sekali lagi telah ditambah kepada RM 9,000 dengan jumlah keseluruhan RM
38,000.
BMS
sekali lagi tidak dapat dilaksanakan pada 1998 dan setahun kemudian pula
ditumpukan untuk menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan program selepas
23 tahun ia berjalan. Pameran ‘Imbasan Bakat Muda Sezaman’ atau Imbasan BMS (1974-1977) adalah Sebuah
pameran pengumpulan semula para pemenang yang lepad dalam bentuk dokumentasi
video dan cetak selama lebih 2 dekad BMS diadakan. Ada beberapa resolusi yang
dikenalpasti daripada pameran ini antaranya (1)BMS perlu mengikut keperluan dan
perubahan semasa (2) Objektif, format dan prestasi di ubah semula (3) Acara
diadakan dua tahun sekali. (4) Hadiah dinaikan.
BMS 2000 an
BMS
alaf baru berjaya dilakukan dua tahun sekali atau ‘BMS Biennial’ ini telah
mancapai hasratnya untuk dijalankan secara dwi-tahunan kecuali pada tahun 2008.
Beberapa format baru telah dijalankan antaranya; (1) had umur bawah 35 tahun.
(2) Peserta perlu menghantar sekurang-kurangnya lima slaid hasil karya yang
dibuat dalam 2 tahun yang lepas dan hasil dari melihat slaid hasil dari melihat
slaid oleh hakim pertandingan, pelukis yang layak sahaja akan dijemput untuk
menghantar karya.(3) Penghakiman ke atas karya sebenar dilakukan untuk
menentukan peserta yang berjaya.
Pada
tahun 2000 penganjur menerima 86 karya daripada 36 pelukis, hanya 27 artis
sahaja yang dikehendaki menghantar karya akhir mereka. Hadiah keseluruhan
berjumlah RM 45,000 dibahagikan kepada 1 Hadiah Utama (RM 10,000 dan waran
perjalanan RM 3,000 ke sebuah negara ASEAN dan penerbitan folio khas pelukis RM
2,000), 3 Hadiah Khas Juri (RM 5,000
bersama waran perjalanan RM 3,000 ke sebuah negara ASEAN, 6 Hadiah Penghargaaan
RM 1,000 setiap seorang.
Format
dua edisi berikutnya iaitu pada tahun 2002 dan 2004 diteruskan dimana 28
penyertaan diterima pada tahun 2002 dan 35 penyertaan datangnya daripada tahun
2004. Pada 2006 hanya 31 karya dipertandingkan namun tiada pemenang utama
diumumkan. Disebabkan panel tidak menemui pemenang ia digantikan dengan 2
Hadiah Bina yang bertujuan untuk melihat lagi dan perkembangan semula 2 pelukis yang dikenalpasti bagitu hampir memenangi
Hadiah Utama. Panel juga telah menukar Hadiah Khas Juri dan hadiah penghargaan
yang dijalankan pada 3 edisi sebelum ini kepada hanya Hadiah Juri iaitu seramai
8 orang pemenang.
Pada 2008 acara ini tidak
dijalankan dan kembali pada 2 tahun kemudian. Pada 2010 dijalankan semula
dengan format penyertaan yang agak berbeza dimana seseorang artis perlu
dicadangkan atau disyorkan untuk layak mengambil bahagian dalam pertandingan
ini. Pencadang yang mencadangkan artis ini pula terdiri daripada mereka yang
telah biasa dengan pengkaryaan atau mengetahui latar belakang artis yang terdiri
daripada profesional seni seperti kurator, pensejarah seni, ahli akademik,
pengkritik, penulis, pemilik galeri, pengumpul, mahupun rakan artis.Format baru
ini telah menerima seramai 80 penyertaan. Namun hanya 40 karya sahaja yang
dipertimbangkan benar-benar layak untuk dipertandingak di peringkat akhir
Penutup
Secara umumnya apabila
ditinjau semula format BMS bermodelkan pertandingan yang bertujuan bagi mencari
bakat dengan tawaran hadiah. Sungguhpun begitu ada yang mencadangkan agar ia
tidak lagi dijalankan secara pertandingan kerana ia tidak membentuk seni lukis
kita secara jujur kerana ada artis hanya akan berkarya semata-mata untuk
memenangi habuan. Ada juga pendapat yang mengatakan agar acara ini kembali
semula kepada model terawal itu secara jemputan seperti Turner Prize dimana
artis-artis muda yang dirasakan berkaliber sahaja dilakukan penilaian dengan
membuat lawatan-lawatan ke tempat atau studio mereka berkarya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan