Jumaat, 6 November 2009

Ketakjuban dan Kederiaan sebagai Pengkaryaan Seni



Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2009),‘Ketakjuban dan Kederiaan dalam Pengkaryaan Seni’, SeniKini, Jun- Julai, Issue # 03 Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.



Penulisan ini adalah pada awalnya adalah untuk penerbitan katalog sempena pameran Subliminary; Sublime and Sensory di Galeri Shah Alam pada 6 Mei hingga 31 Mei 2009 yang dikuratorkan oleh artis Faizal Sidik.


I am satisfied the ideas of pain are much more powerful than those which enter on the part of pleasure.

Edmund Burke

Pengenalan

Pameran berkumpulan ini bertemakan bagaimana pengalaman tindak balas deria
perihatin audien dalam melihat karya seni. Sublime atau bermaksud ketakjuban adalah suatu perasaan yang lahir daripada kesedaran manusia apabila melihat suatu objek yang pelik, ganjil, hebat, besar, kecil dan sebagainya yang boleh mengerakkan deria manusia seperti mata iaitu kederiaan yang mengesan atau Sensory di sekeliling kita.

Pembinaan pameran ini bertujuan untuk melihat semula kemungkinan-kemungkinan yang terjelma di dalam seni dan sains. Sains bukan hanya dinampakkan dengan kerja-kerja eksperimen yang berlaku di dalam makmal sahaja ia juga termasuklah sains dalam gerak geri minda manusia atau psikologi. Kepelbagaian media dalam pameran ini cuba untuk mencari satu titik bagaimana jika dikumpulkan dalam satu pameran dapat mengkayakan persepsi manusia dalam melihat objek seni dalam kehidupan mereka.

Kebanyakan pemilihan dari pameran ini cuba melihat daripada aspek perseptulisme atau cara pandangan dalam melihat objek. Penerokaan daripada produk yang dihasilkan juga seboleh mungkin ingin mendekati pengarahan yang melangkaui ‘seni untuk seni’ kepada aliran-aliran yang menembusi kepada rekaan grafik, teknologi, psikologi dan sains kehidupan yang lain. Dimana ia bukan sahaja ingin menepati kepada tajuk pameran Sublime and Sensory malah ingin membuka wacana baru dalam penciptaan produk seni berdasarkan teori-teori estetik.

Sublime and Sensory terbahagi kepada dua kumpulan karya iaitu Sublime atau ‘Ketakjuban’ begitu dekat dengan apa perwakilan gambaran oleh karya-karya Isnian Ibrahim, Faizal Sidik dan Nurul Azmah manakala tema Sensory atau ‘Kederiaan’ cuba di provokasikan dalam karya Elias Yamani Ismail, Khairul Azmir Shoib dan Mohd. Fairuz Paisan. Pertembungan daripada gabungan daripada karya-karya ini dalam sebuah bumbung pameran sedaya mungkin membawa satu citarasa atau taste baru dalam pengkaryaan seni.

Ketakjuban

Kita mungkin sering mengatakan ‘cantik’ atau ‘indah’ (beauty) dan jarang menyebut ‘kagum’ atau ‘takjub’ (sublime) terhadap sesuatu rasa terhadap objek yang kita lihat dan alami. Selain ‘kagum’ atau sublime mungkin juga kita pernah mendengar perkataan ‘amat hebat’ atau benar-‘benar hebat’(really great). Namun apabila kita membaca tulisan kritik Kant beliau mendefinisikannya sebagai absolutely great (kehebatan mutlak) manakala dalam Bahasa Malaysia perkataan yang lebih sesuai bagi mengambarkan ini adalah ‘perasaan dahsyat’ yang boleh membangkitkan perasaan sensasi dan kejutan kepada kederiaan manusia yang lima. Sungguhpun demikian pameran ini lebih menjurus seboleh mungkin bagaimana deria lihat iaitu mata kita boleh bereaksi dengan subjek ‘sublime’ yang diangkat dalam bentuk estetika ketakjuban seni kontemporari.

Teks yang mula membenihkan terhadap rasa indah dan menghubungkannya dengan ketakjuban adalah tulisan Longinus iaitu On the Sublime pada abad pertama, kemudian ianya diteruskan sehinggalah ke abad ke-18 oleh Edmund Burke dalam bukunya yang bertajuk Philosophical Enquiry into the Origin of our Idea on the Sublime and Beautiful diterbitkan pada 1756 setelah diterjemahkan ke bahasa Jerman pada 1773. Kelangsungannya mula diterokai pada awal karya Immanuel Kant berkenaan dengan estetik iaitu Observation on the Feeling of the Beautiful and Sublim e(1763) yang banyak di perkatakan oleh penyelidik sebagai menganalisis dan menentang kembali idea-idea Burke. Dalam kritikanya ketiga yang paling berpengaruh kepada ahli estetik moden selepasnya iaitu Critique of Judgement (1790). Kant telah memokuskan persoalan sublime ini dalam seksyen 23 hingga 29 dibawah ‘The Analytic of the Sublime’ dan yang terkini respon terhadap tulisan Kant itu adalah Jean-Francois Lyotard bertajuk Lesson of the Sublime. Sungguhpun subjek karya mereka ini dalam bentuk teks namun mereka banyak memberi pengaruh yang kuat kepada pengkaryaan artis pada abad ke-19 sehinggalah kepada tahun-tahun 50 an dan 60 an abad ke-20 seperti Barnett Newman, Clyford Still, Mark Rothko dan lain-lain sehinggakan Newman sendiri menulis esei tentang persoalan moral keinginan keindahan terhadap ketakjuban dalam The Sublime is Now .

Isnian Ibrahim
Burke mengekspressi pandangan beliau terhadap idea tentang Ketakjuban dan Keindahan dalam catan yang mana beliau mengambarkan ketakjuban itu boleh dilihat menerusi penggunaan warna yang gelap, kekaburan, kekeliruan dan kesukaran menurutnya

But painting, when we have allowed for the pleasure of imitation, can only affect simply by the images it presents; and even in painting, a judicious obscurity in some things contributes to the effect of the picture; because the images in the painting are exactly similar to those in nature; and in nature, dark, confused, uncertain images have a greater power on the fancy to form the grander passions, than those have which are more clear and determinate.

Walaupun idea ketakjuban Burke terhadap catan ini berlaku pada zaman Romantisme dalam mengambarkan ketakjuban oleh catan naturalisme Inggeris pada masa itu seperti Turner dan Gainsbrough di era seni romantisme. Namun dalam menjalani kehidupan secara kontemporari idea-idea inilah yang digunakan oleh Isnian Ibrahim dalam karya fotografinya. Tajuk dalam karya beliau iaitu Use The Man dan ‘Y’ sudah cukup untuk memberikan kegerunan imej yang beliau paparkan kepada kita. Dengan sudut fotogarafi dari bawah Isnian merakam imej yang gelap lagi suram, kekaburan subjek dan kesamaran imej yang tidak pasti telah ada dalam pengkaryaan Fotografi Sky Monster beliau seolah kelihatan lembaga raksaksa daripada pembentukan awan dan imej jentera konstruksi seperti kren dan seolah-oleh bangunan disebelah kanan.

Kebijakan perletakan posisi dalam merakamkan imej ini seperti yang pernah dikatakan oleh Walter Benjamin dalam eseinya yang terkenal iaitu ‘Art in the Age of Mechanial Reproduction’

“Proses reproduksi fotografi menerusi lensa, boleh membawa keluar bersama-sama rupa yang tidak boleh atau mampu dilihat mahupun dicapai oleh bola mata kita, fotografi mampu untuk disesuaikan dalam pelbagai keadaan dan pemilihan sudut semahunya. Selain itu reproduksi menerusi fotografi juga, dengan bantuan sedikit proses atau kerja-kerja seperti pembesaran (enlargement) atau gerak perlahan (slow motion) boleh menangkap imejan yang melarikan diri dari kebiasaan”

Ketika Benjamin menulis eseinya ini dia akhir tahun 30 an mungkin fotografi telah mencapai zaman kemuncaknya dimana seniman foto mengeksplotasi ruang-ruang rakaman yang tidak mampu dilakukan oleh catan, sebelum diambil alih dengan penemuan kamera bergerak atau filem. Namun di abad ke 21 ini penggunaan perisian dalam komputer seperti Picasa dan Paint.NET dalam fotografi Isnian ini bukan sahaja menolong kerja-kerja suntingan menurut kehendak artis. Malahan gabungan antara kaca mata artis dengan bantuan mesin robot ini mampu menghasilkan inovasi yang lebih mengagumkan mengikut citarasa.

Dalam Blow Up the Outside World kita dapat lihat kepekaan beliau dalam merakam awan gelap dan ruang-ruang kosong. Isnian mungkin seorang yang enviromentalis dalam karya ini beliau dilihat cuba memberi komentar sosial mengikut medium yang serasi dengannya. Rakaman imej kren yang memberi gambaran pembangunan dan awan dan persekitaran atmosfera yang menggunakan warna gelap dan panas cuba memanifestasikan isu pemanasan cuaca yang melanda kepada planet pada hari ini daripada kesan daripada tangan-tangan manusia iaitu imej kren itu tadi.Dengan penggunaan perisian Isnian seolah-olah melukis semula fotografi beliau mengikut perasaan dan emosinya terhadap isu berkenaan.

Faizal Sidik
Dalam pertanyaan kepada Elias Yamani dalam melihat karya-karya Red Sublime Faizal Sidik. Beliau mangatakan “Faizal percaya bahawa audien perlu merujuk kembali pengalaman (re-experience). Iaitu dengan caranya sendiri melalui proses kreativiti yang serupa seperti mana yang dilalui dalam pengkaryaan tersebut. Audien tidak seharusnya terperangkap dengan objek dalam keadaan yang statik. Dia perlu turut serta dalam suatu yang akan dijelmakan. Gambaran Imej adalah satu pemberian yang rumit lagi kompleks yang memberikan stimuli, rangsangan dan sensasi visual dalam kombinasi tidak dapat dijangka. Imaginasi terhadapnya secara tidak langsung membina hubungan idea dengan satu imej bergabung bersama transformasi bentukan yang sentiasa berubah-ubah (contant transformation)”. Sensasi kesan aura dalaman pada visual yang disebut oleh Elias ini boleh dilihat dengan melihat penggunaan warna terutamanya warna merah Faizal ini boleh dirujuk seperti yang dikatakan oleh Kandisky dalam ‘The Psychological Working with Colour’ pada bukunya yang bertajuk Concerning the Spiritual in Art (1914).

“Whether the psychic effect of colour is direct one, as these last few lines imply, or whether it is the outcome of association, is perhaps open to question. The soul being one with the body, the former may well experience a psychic shock, caused by association acting on the latter. For example, red may cause by a sensation analogous to that caused by flame, because red colour is the colour of flame. A warm red will prove exciting, another shade of red will causse pain or disgust through association with running blood. In these cases colour awaken a corresponding physical sensation, which undobtedly work upon the soul”

Elias menambah pandangannya “Oleh itu, saya berpendapat satu kerja seni itu adalah suatu ekspressi dalam persepsi yang dialektik. Ia menjangkau keluar ke dalam minda audien dan kemudian menyusup balik pada imej sekali lagi. Seterusnya meluaskan lagi pengalaman sebenar audien”. Perihal membangkitkan fikiran audien terhadap pengkaryaan seni yang di inspirasikan oleh artis terhadap idea-idea kekaguman semulajadi kepada bentukan kontemporari ini juga pernah disebut oleh Barnett Newman dalam ‘The Sublime is Now’ (1948) dimana beliau mengatakan ‘the spectator (to) see the world ourway - not his way’ . Bagi Newman pemerhati atau audien dibawa oleh artis melihat alam dunia ini berbeza daripada kehidupan harian mereka, apabila mereka masuk ke dalam galeri pameran atau karya seni mereka seolah-olah telah masuk ke dalam dunia penciptaan kreativiti rasa kagum artis sebagai manusia daripada penciptaan semulajadi iaitu yang pertama daripada Pencipta. Dalam menyatakan ekspressi artistik terhadap objek seni yang dihasilkan oleh Faizal, Elias tidak dapat menolak setiap pembentukan karyanya adalah berdasarkan hujah dan pertimbangan yang sistematik dengan merujuk teori-teori tertentu bagi merangsang audien dengan menganggu daya tanggapan mereka.

Nurul Azmah Adnan
William Seitz dalam katalog pameran “Responsive Eye” di Museum of Modern Art , New York pada tahun 1966 telah memetik tentang catan optikal seperti yang dinyatakan oleh Josef Albers “are psychological and thus happen behind our retina, where all optics end” dan Seitz menambah “Recent experiments have demonstrated, however, that at least some phases of these effects are physiological and photochemical, and take place in retina. “ Untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat hal ini boleh dalam siri Virtigo Nuruil Azmah.

Dalam karya Nurul iaitu Vertigo Series No.12 percikan-percikan warna yang pelbagai telah memberi impak sensasi kepada mata kita. Karya seperti lontaran balingan warna keatas permukaan boleh dilabelkan sebagai seni retina dimana cadangan-cadangan persepsi yang di sarankan oleh Nurul menjurus kepada implikasinya terhadap ‘mata’ terhadap empat sensasi yang lahir antara daya lihat (seeing), fikir (thinking), selami (feeling) dan ingati (remembering). Hal ini dapat di lihat dalam karya-karya sebelumnya oleh artis optik seperti Victor Vasareley, Bridget Riley dan Naum Gabo.

Penulisan tentang illusi visual ini telah mula ditulis pada akhir abad ke-19 oleh Oswald Kulpe yang mengatakan “subjective pervisions of the contents of objective perception”. Dalam karya Vertigo Series No.13 dengan pendekatan yang sama dengan karya sebelumnya persepsi objek ini dapat dilihat daripada permukaan karya secara pusingan bulat diaman beliau menggabungkan pigmen garang dan lembut di sekiling permukaan tersebut membentuk garisan-garisan diagonal untuk menghasilkan kedalaman pergerakan virtual. Karya siri-siri Vertigo ini memperlihatkan kekaguman sensibiliti visual mata cuba bermain dengan pergerakan rangsangan sensasi mekanikal seperti pergerakan seni kinetik yang diperkenalkan oleh seniman moden futuris Itali dan Rusia.

Kederiaan
Proses tanggapan terhadap pengalaman estetik iaitu rasa keindahan dan menakjubkan mempunyai sains tersendiri dalam mengapainya, dimana kita tidak boleh tidak daripada menyentuh tentang organ deria (sensory) iaitu mata, telinga, lidah hidung, kulit dan tisu.

Sesebuah karya seni itu tidak akan terhasil tanpa adanya input deria (sensory input) menerusi penglihatan. Kesan estetik dalam sesebuah pengkaryaan seni adalah tindakbalas efektif, reaksi stimulus rangsangan dunia luar menerusi saluran deria apabila retina dirangsang oleh cahaya yang masuk ke dalam mata seterusnya melalui pembalikan di kornea untuk menghasilkan imej, apa yang dinamakan sebagai persepsi visual (visual perception).

Organ deria mendapat informasi daripada persekitaran dan bagaimana otak mengertikan dan menyusun informasi untuk membina pengalaman. Sempadan antara dua proses ini bukanlah mudah dilakukan kerana ianya berlaku dengan pantas dan disebabkan sesetengah sistemnya berlaku tanpa ada isyarat yang disedari untuk disampaikan ke otak. Walaubagaimanapun, sebagai sesuatu yang mengkonsepsikan apa yang sedang berlaku , ahli psikologi mempunyai aturan apa yang dikatakan sensasi (sensation) sebagai proses yang pertama dan yang keduanya ialah persepsi (perception) dalam kata lain persepsi deria (sensory perception) dalam istilah terkenal Kant sebagai ‘perwakilan’ atau ‘representasi’

Elias Yamani Ismail

Penulisan tentang estetik secara saintifik (scientific aesthetics) oleh Clive Bell dalam buku beliau yang bertajuk 'Art' yang mana karya beliau ini merupakan lanjutan daripada pandangan daripada aspek keindahan yang diajukan terlebih dahulu oleh Plato. Di dalam bab yang diterjemahkan sebagai ‘Hypothesis of Aesthetic’ atau 'Hipotesis Estetik' Bell mengajukan apa yang di katakan sebagai ‘Significant Form’ atau ‘Kemenarikan Bentuk’ menurutnya Bell;

“The starting-point for all systems of aesthetics must be the personal experience of a peculiar emotion. The objects that provoke this emotion we call works of art. All sensitive people agree that there is a peculiar emotion provoked by works of art.”

Jika boleh saya terjemahkan apa yang di katakan oleh Bell “Titik bermulanya semua sistem estetik perlu mempunyai pengalaman peribadi terhadap suatu emosi yang aneh (luar biasa). Objek yang membangkitkan emosi, kita memanggilnya sebagai karya seni.” . Apa yang disebut oleh Bell ini adalah untuk memanggil sebuah produk itu sebagai sebuah karya seni ia mestilah mampu menganggu tindak tanduk penghayat disamping boleh merangsang perasaan penghayat.

Memetik apa yang diperkatakan oleh Bell terhadap pengalaman peribadi, emosi yang aneh dan membangkitkan emosi ini atau proses maklumat secara sensorial (sensorial information process) boleh rapati dengan melihat siri-siri Spiral oleh Elias Yamani. Untuk menjelaskan pengalaman peribadi dilihat daripada bentukan lingkaran yang berpusar seperti pusaran air, kadangkala karyanya ini dilihat seperti sebuah objek hidupan alam yang berlingkar seperti pengubahsuaian spesis biologi serangga ulat, kepompong, tenggiling dan lain-lain. Haiwan ini berlingkar untuk melindungi diri daripada musuh dan untuk penyamaran agar mereka tidak mudah dikenali. Bentukan menarik yang mungkin daripada alam ini yang direpresentasikan dalam bentukan baru menduga pelbagai interpritasi kederiaan audien. Hal ini dapat dilihat dala karya Lingkaran Segitiga. Pergulangan lingkaran ini dicantumkan menjadi sebuah lingkaran yang membentuk rupa segitiga. Sungguhpun karya ini bukanlah hidupan yang melakukan penyamaran namun Elias seolah-olah meletakkan karya ini secara kesatuan ingin meletakkan bentukannya kabur dimana jika audien melihat dari jarka yang jauh mereka akan terkeliru dengan halusinasi visual yang diolah dalam karya ini.

Setiap artis mempunyai caranya yang tersendiri dalam representasikan dunia. Artis memperwakilkan dunia ini melihat daripada kacamata mereka, mereka melukis bukan daripada apa yang mereka lihat tetapi apa yang mata mereka rasa. Hal ini dapat dilihat dalam karya Van Gogh iaitu Starry Night, beliau menggunakan bentukan lingkaran untuk mengambarkan angin malam yang bertiup, walaupun tidak kelihtan namun Van Gogh tahu untuk merasainya sebagai pelukis, Jika kita mengamati karya siri Lingkaran Empat Segi idea asal penglahiran perasaan atau ekspresi Van Gogh tadi dalam bentukan yang lebih kontemporari dan baru ini ditimbulkan oleh Elias dimana beliau menggabungkan bentukan semulajadi dan geometrik yakni daripada alam kepada daya fikiran akal dalam mengekploitasikan ruang.

Dalam Lingkaran Empat Segi I dengan lingkaran yang dicernakan dengan warna yang garang seperti merah, jingga dan kuning serta sedikit warna sejuk seperti unggu yang dipersembahkan secara tiga garisan horizontal seolah olah lingkaran tersebut bergerak secara mekanikal dengan permainan ruang positif dan negatif. Dalam Lingkaran Empat Segi II pula lingkaran yang berwara kuning, hijau, merah, unggu, biru dan jingga yang disusun dengan sembilan pembahagian seolah-olah seperti setiap satunya dilihat seperti jambangan bunga yang berwarna warni yang jika dilihat daripada pandangan atas. Cadangan gabungan setiap lingkaran Elias itu membentuk satu kesatuan yang lebih besar seolah satu perwakilan hidupan bernyawa yang hidup yang menganggu deria seperti karya Spiral Jetty iaitu earthwork Robert Smithson dimana karya beliau tidak boleh hidup tanpa ada pengulangan yang sama. Namun bagi Elias pula beliau menghasilkan bentukan yang d kompleks daripada alam kepada bentukan yang dipermudahkan untuk memberitahu kita tentang betapa kompleksnya alam itu sendiri dimana bentukan yang terhasil itu mencipta satu persepsi dan interpritasi kederiaan baru kita seperti yang di perkatakan oleh John Berger ‘cara baru melihat objek’ dalam The Way of Seeing (1970).

Berbalik kepada Bell berkenaan keperincian apakah aspek gangguan dalam karya Lingkaran Elias yang boleh dipertimbangkan dalam sesebuah karya, Bell menambah;

“In each, lines and colours combined in a particular way, certain forms and relations of forms, stir our aesthetic emotions. These relations and combinations of lines and colours, these aesthetically moving forms, I call "Significant Form"; and "Significant Form" is the one quality common to all works of visual art.”

Dalam kata lain “Dalam setiap, garisan-garisan dan warna-warna digabungkan dalam satu cara tertentu, bentukan tertentu dan hubungannnya dengan bentuk, mengerakkan emosi estetik kita. Hubungan-hubungan dan kombinasi-kombinasi garisan dan warna, inilah dari segi estetiknya bentuk yang menyentuh perasaan, saya memanggilnya ‘Bentukan Bermakna’ dan ‘Bentukan Bermakna’ adalah satu kualiti umum untuk semua kerja seni visual”. Bell mendefinisikan kualiti yang ada dalam sebuah karya yang boleh mengerakkan, merangsang dan mensensasikan itu sebagai Significant Form atau ‘Bentukan Bermakna’ . Teori yang inilah sesuai digunakan untuk memberi apresiasi oleh seniman moden terutamnya Abstrak Ekspresionime yang sifat nya seperti yang dikatakan oleh Burke dalam reaksi kekaburan dan kesamaran oleh pelukis.

Ahmad Fairus Paisan
Pergolakan isu-isu terkini dan semasa sering memberi inspirasi kepada seseorang artis dalam mencetuskan idea dalam pengkaryaan. Komentar sosial dalam pengkaryaan artis itu memberi makna bahawa deria mereka sangat peka terhadap pergolakan yang berlaku di persekitaran kehidupan mereka. Sesetengah mereka bukan sahaja hanya menerima laporan daripada media malah turut bersedia untuk turun ke jalanan untuk memanifestasikan perasaan mereka terhadap pergolakan yang berlaku. Perterjemahan perlakuan ini adalah mengikut kemahiran yang terdapat dalam diri individu seseorang. Orang politik dengan kebetahan pidato menyampaikan slogan dan retorik, pemuzik dengan lagu-lagu yang membangkitkan semangat, pengiat teater dengan persembahan seni yang berani dari sekatan-sekatan tertentu begitu juga bagi pelukis.

Bagi Mohd Fairuz Paisan beliau lebih selesa untuk menggunakan imejan, untuk mengambarkan imejan terhadap imejan yang lain. Hal ini bermaksud beliau sebagai artis mempunyai keistimewaan tersendiri yang jarang dipunyai oleh orang lain iaitu kuasa deria mata mereka melihat dari perspektif yang berbeza dengan mempunyai cara yang tersendiri dalam merepresentasikan perasaan. Seseorang artis mempunyai deria daya ketakjuban yang tersendiri dalam melihat persekitaran dimana hal ini turut di akui oleh Melcolm Budd dalam eseinya yang disusun oleh Paul Guyer dalam Kant’s Critique of Power Judgement; Critical Essay dimana beliau mengatakan

“The negative component of the feeling of the sublime is an unpleasant awareness of the inadequacy of our sensory or physical power: the inadequacy of our sensory power to the perceptual comprehension of nature immensity”

Perkara ini boleh dilihat dalam diri karya terbaru Fairuz dimana beliau menggunakan siri binatang atau haiwan seperti babi, monyet, unta dan gajah yang juga merupakan haiwan yang menjadi kegemaran kepada pembikin filem di Hollywood mahupun ditempat lain dalam menghasilkan filem mereka, mungkin ada keistimewaan yang ada dalam haiwan ini atau mungkin juga ia ada dalam sifat diri manusia.

Dalam karya ‘Virus’ contohnya Fairuz menggunakan imej yang besar yang boleh menyebabkan deria mata membuka retina dengan seluas-luasnya, yang mungkin boleh memberi impresi takut atau ingin menjauhi bagi mengambarkan virus yang melanda di dunia kini dimana menyebabkan kepanikan manusia ini adalah disebabkan oleh haiwan yang bernama babi. Walaupun haiwan itu hanyalah dalam bentuk gambaran perwakilan visual sahaja ia sudah cukup untuk memberi kuasa perasaan ingin ‘lari’ kerana gangguan ‘fobia’ ini yang dimainkan oleh media sehinggakan ada rakan yang mengesyorkan supaya mereka yang ingin melihat karya ini perlu memakai penutup hidung agar tidak dijangkiti selsema oleh haiwan pembawa wabak ini.

Khairul Azmir Shoib
Sebelum berlakunya revolusi moden yang mencetuskan pengkajian secara saintifik hampir seluruh bidang ilmu. Cerita-cerita rakyat hanya disampaikan secara verbal melalui mulut ke mulut namun selepas terciptanya mesin cetakan ianya mula disampaikan secara teks, dan kajian-kajian ilmu mula terhasil dan diajarkan. Hal ini tidak terkecuali penceritaan dunia imaginasi dan khayalan seperti mimpi, takut. seram, sedih yang bukan lagi dipermaknakan secara ritual dan agak-agakan tetapi disampaikan secara klinikal. Dalam membicarakan tentang dunia imaginasi dan khayalan kita tidak dapat tidak perlu merujuk kepada karya klasik oleh Sigmund Freud dalam Day Dreaming dan The Interpretation of Dream.

Dee Reynolds mengatakan ruang imaginasi dan khayalan dalam Symbolist Aesthetics and Early Abstract Art: Sites of Imaginary Space bahawa

“Although imagination surpasses the sensible and reaches the negative awareness of the supersensible, this experience is triggered off by the sensory object in the first place.”

Menurutnya walaupun imaginasi melangkaui akal dan mencapai ke tahap ketidaksedaran terhadap akal yang waras, pengalaman inilah yang mula mencetuskan kederiaan pada objek. Karya Khairul Azmir Shoib dilihat cuba berlandaskan fakta ini adalah berdasarkan minatnya terhadap buku dan cerita kanak-kanak, terutamanya cerita rekaan. Beliau berminat membuat wataknya sendiri dan membiarkan imaginasinya melayang jauh melalui penciptaan kostum dan aksesori. Semasa kanak-kanak mengingatkan memorinya terhadap filem fiksyen Star Wars, cerita rekaan oleh Hans Christian Anderson dan The Brother Grimm, cerita dalam al-Quran, cerita paranormal daripada pengalam keluarga. Semuanya ini membangkitkan imaginasi dan menjadi sumber inspirasi dalam karyanya semasa beliau membesar.

Karya beliau dipengaruhi eleman pasca Gotik, penuh dengan fantasi, seram dan misteri. Beliau meneroka mimpi seperti dalam dunia pasca Gotik yang unik dan pelik. Keunikan ini memanifestasikan gambaran dan subjek yang difokuskan dalam karyanya misteri dan penuh tanda tanya. Ia berkisar tentang persoalan tentang diri, ruang sosial dan memori dan hampir semuanya menitikberatkan tema tentang pengasingan,

Kesimpulan
Percubaan yang jarang sekali dilakukan untuk menggali perhubungan antara kedua-dua sublime dan sensory atau kekaguman dan kederiaan menerusi himpunan karya dalam pameran ini ingin memberi satu definisi baru dalam perkaitannya terutama penggunaan elemen tersebut dalam estetik terutamanya seni halus oleh seniman dalam proses kreativiti pengkaryaan mereka. Hubungan rapat kedua-dua ini turut diperakui oleh Greg Lambert dalam eseinya bertajuk Cinema and The Outside yang menulis tentang kekaguman pada persekitaran deria (sensory milieu) dimana beliau mengatakan

“in the sublime there are sensory-motor unity of nature and human, which mean that nature must be named the non-indifferent”

Beliau percaya bahawa dalam dunia kagum terdapat deria-motor yang menggerakan kesatuan pada alam dan manusia, yang mana ia bermaksud alam perlu di beri nama walaupun ia tidak diperdulikan. Begitu juga dengan karya seni, objek seni adalah adalah sensasi rasa deria yang kagum dan takjub terhadap alam dan manusia yang juga perlu ditampakan di atas permukaan atau ruang kerana ia akan memperkayakan lagi khazanah produk dan perbendaharaan seni itu agar lebih relevansi di masa mendatang..

Rujukan

Immannuel Kant, Critique of Judgement (1790), trans. J.H. Bernard, (New York: Dover Philosophical Classics, 2005

Edmund Burke, A Philosophical Inquiry into the Sublime and the Beautiful. P.F. Collier & Son Company, 1914.


Gilbert-Rolfe, Beauty and the Contemporary Sublime, Allworth Press, 1999


William Seitz, The Responsive Eye, Museum of Modern Art, New York, 1966


Walter Benjamin, The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction, Illuminations, New York: Schocken Books, 1968.


Wassily Kandisky, Concerning The Spiritual in Art, Dover Publication Inc.1977


Faizal Sidik, Permasalahan dalam Melihat Karya Seni: Kebenaran dan Pengetahuannya, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, Risalah Seni Tampak (SET) Jil 1. Bil 2, Ogos, 2006


Faizal Sidik, Analitikal Seni Halus, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, Risalah Seni Tampak (SET), Jil 1, Bil. 4 2007, Mac 2007.


Friedrich August Hayek, The Sensory Order: An Inquiry Into the Foundations of Theoretical Psychology, University of Chicago Press, 1999


Gerald C. Cupchik & János László, Emerging Visions of the Aesthetic Process: Psychology, Semiology, and Philosophy, Cambridge University Press, 1992


Richard Shusterman, Pragmatist Aesthetics: Living Beauty, Rethinking Art, Rowman & Littlefield, 2000


Gregory Flaxman, The Brain is the Screen: Deleuze and the Philosophy of Cinema, U of Minnesota Press, 2000


Paul Guyer, Kant's Critique of the Power of Judgment: Critical Essays, Rowman & Littlefield, 2003


Dee Reynolds, Symbolist Aesthetics and Early Abstract Art: Sites of Imaginary Space, Cambridge University Press, 1995

Tiada ulasan:

Catat Ulasan