Jumaat, 6 November 2009

Analitikal Seni Halus


Oleh: Faizal Sidik


“Analitikal Seni Halus” telah disiarkan di dalam Risalah Seni Tampak (SET), Jil 1, Bil. 4 2007, Mac 2007, National Art Gallery, Kuala Lumpur.



Dalam tiga penulisan kritikan Immanuel Kant yang terkenal iaitu Kritik atas Kebenaran Alasan (Crititique of Pure Reason), Kritik atas Kebenaran Praktik (Critique of Practical Reason) dan Kritik atas Daya Pertimbangan (Critique of Judgement) 1790. Kritik atas Daya Pertimbangan merupakan pendapat dan teori-teori Kant berkenaan dengan estetik ataupun kritik tentang keindahan. Walaubagaimanapun disini saya tidaklah menjelaskan estetika Kant secara keseluruhan namun ingin berkongsi pendapat Kant berkenaan dengan seni halus, hal ini dinyatakan beliau di dalam Seksyen I. Analitk atas Daya Pertimbangan Estetik iaitu di bawah tema Analitik pada Ketakjuban1.

Kita mungkin berdepan dengan perkataan seni halus (fine art) apabila berkenalan dengan perkataan seni itu sendiri, seni dan juga halus jika diamati seakan-akan mempunyai maksud yang sama, namun kedua-duanya mempunyai antinominya sendiri. Seni tidak dinamakan seni jika ianya tidak diperhalusi, manakala halus sering di ertikan dengan sesuatu yang bersifat seni. Dalam budaya Inggeris fine disebut sebagai baik (halus) dan art disebut sebagai seni, jadi jika diterjemahkan, ia disebut seni baik atau seni elok. Pernahkah kita terfikir mengapakah kita menyebutnya seni halus, kenapa seni itu halus dan salahkah kita menyebutnya sebagai seni kasar, mungkin agak lucu bunyinya untuk memanggil seni itu kasar. Mungkin ia tidak akan dipanggil sebagai seni kasar, kerana sebab seni yang kasar ia mengarahkan kepada sesuatu yang tidak disenangi, tidak disukai dan tidak dicantik.Walaupun ada yang pendapat yang mengatakan seni itu perlu elemen yang tidak digemari terlebih dahulu untuk mencapai nilai keindahan, namun dalam perbincangan ini saya lebih berminat untuk mensasarkan topik perbincangan kepada penghayat teramai. Oleh demikian disini logiknya seni itu dipanggil seni halus iaitu seni yang berpusatkan kepada perasaan manusia, yakni satu perasaan rasa yang halus meyukai iaitu apa yang dikatakan sebagai seni.

Konsep Kant tentang seni halus dinyatakan dalam §§ 44. Iaitu “Seni Halus”. Permulaannya Kant menekankan pentingnya aspek ilmu pengetahuan seni halus itu sendiri, dimana Kant memaksudkan seni halus sebagai “ilmu tentang kehalusan dari segi rupa”, beliau mengatakan “tiada jalan lain untuk mengangkat samaada sesuatu objek itu cantik ataupun tidak melainkan ianya perlu dilakukan kritikan dan kupasan”. Kant turut membahagikannya kepada dua tahap untuk mengetahui ilmu tentang kecantikan ini iaitu tahap pertama “Sesuatu objek hendaklah diputuskan melalui “ilmu pengetahuan yang sebenar, contohnya dengan bukti keterangan untuk mengangap sesuatu benda itu cantik atau tidak”. Tahap kedua pula beliau menyebut “untuk membuat keputusan indahnya itu, ia akan akan berbalik kepada sains yang dicapai melalui pemerhatian dan pengujian sesuatu fakta itu tadi yang dinamakan sains rasa”. Oleh yang demikian bukanlah mudah untuk mengagap sesuatu objek itu adalah objek seni atau pun benda kerana pengertian seni mempunyai definisi yang ketat untuk dipatuhi. Pendapat awal tentang seni halus yang dikemukan oleh Kant menentang estetika seni sebelumnya yang cenderung kepada aliran dogmatisme iaitu aliran yang mempercayai kepada sesuatu tanpa mempertikaikan kebenaranya dengan memabawa aliran itu kepada rasionalisme yang mementingkan akal budi bicara yakni dengan ilmu.

Panduan yang telah dinyatakan oleh tadi Kant tidak berakhir disitu kerana ‘rasa’ atau taste itu juga merupakan satu sains yang lain pula, beliau cuba menghubungkan antara deria rasa kita iaitu kebolehan akal untuk memikir dan memahami dengan untuk membuat keputusan samaada objek yang ingin dikatakan seni halus itu boleh dibuktikan atau tidak kehalusannya dari segi rupa mahupun bahasa. Untuk itu beliau telah meletakakn lima syarat pula kepada rasa itu tadi dalam membuat keputusan:

1. Tiada keraguan

2. Ketulenan

3. Mempunyai penjelasan

4. Kebenaran

Kant mengatakan ada empat perkara “Apa yang dapat membenarkan ekspresi gambaran ilmu tentang kehalusan rupa dan bahasa” iaitu “(1) tiadanya rasa keraguan”, iaitu tiada perasaan yang masih terumbang-ambing dalam membuat keputusan objeknya itu .“(2) tulen atau masih belum wujud selainnya” maksud Kant disini objek yang hendak dianggap itu adalah sesuatu yang tulen, bukan daripada imitasi daripada yang telah ada. “ (3) mempunyai penjelasan terhadapnya”, Kant menitikberatkan apakah alasan yang mengatakannya sesuatu yang bernilai seni halus, maka perlu ada sumber penjelasan untuk menerangkannya. Dan yang terakhir adalah “(4) kebenaran”. Jika kita lihat dalam membuat daya pertimbangan terhadap estetik Kant telah memberikan laluan asas kepada kita samaada “mahu membuktikannya” atau “menolak kehalusan”. Untuk itu hal ini tidak terjadi dengan begitu sahaja kerana Kant mengatakan “Hal ini amat memerlukan ilmu bagi melangkapkannya seperti ilmu bahasa zaman lampau, mengenali penulis-penulis dan pengarang-pengarang zaman dulu, mengkaji barang-barang zaman purba dan sebagainya”, Kant menuntut kita membuat pengkajian atau mendalami karya-karya besar untuk daya pertimbangan yang dilakukan sebelum ini. Inilah yang Kant simpulkan sebagai “ilmu sejarah” dimana menurutnya “masih perlu sebagai bahan, yang berguna sebagai perlengkapan dan asas menuju kepada seni halus” ini adalah berdasarkan daripada apa yang beliau katakan sebagai “kenyataan yang diguna pakai”. Ini menurutnya kenyataan yang diguna pakai itu sendiri adalah “ilmu pengetahuan hasil seni halus (retorik dan puisi) yang dikeluarkan atau diperkatakan”. Beliau menimbulkan semula 4 aspek dalam membenarkan aspek pertimbangan seni halus dalam pemberian contoh kepada parbahasan dan puisi dalam membuat kepada asas membuat pertimbangan kepada objek seni yang boleh juga digunakan dalam kesenian halus yang lain.

Seterusnya Kant memanjangkan pendefinisiannya itu daripada seni kepada sifat seni pada dengan “perlakuan seni boleh juga membawa maksud, bertujuan dan berkehendakan” (§44.2) yakni seni itu sesuatu ‘hidup’ dengan mengatakannya sebagai

“jentera yang menggerakkan (mechanical)”. Hal inilah ilmu yang ada kepada penghayat seni dengan objek seni seperti yang saya katakan di dalam Permasalahan dalam melihat Karya Seni: Kebenaran dan Pengetahuannya2 dimana Kant menamakannya “estetik seni atau seni halus” yang datangnya daripada “rasa suka yang hadir pada apa yang telah dilihat”. Kant telah menyusun laluan apa yang dipanggil “kaedah kesedaran (modes of cognition)” bagaimana kita membuat pangamatan seni dengan memutuskan sebagai “pernyataan seni yang menyukan hati (agreeably art) ”untuk mengatakan “seni itu membawa kesenangan terhadap gambaran yang dianggap sebagai sensasi” yang telah diletakkan oleh Kant di hujung dalam membuat pertimbangan.

Kant menyatakan seni halus adalah sesuatu “komunikasi sosial” (§44.4) dimana beliau telah memberikan beberapa contoh yang mengatakan seni halus adalah “sistem bagi cara atau kaedah representasi yang paling akhir”dimana menurutnya diakhirnya nanti untuk “mewakili kesan yang dapat dilihat hasil daripada keterampilan budayanya itu”. Salah satu contoh yang diberikan oleh Kant adalah bagaimana aturan menikmati “muzik orkestra” didalam satu majlis jamuan (§44.3), namun disini saya suka untuk mengambil situasinya sahaja :



…muzik orkestra yang dimainkan , situasi ini memberikan maksud untuk mengarahkan fikiran kita bukan sekadar mendengar bunyian yang menyedapkan , ia juga mendidik jiwa menjadi lembut, dimana tanpa seorang pun akan memberikan perhatian walaupun sedikit kepada alunan muzik, alunan muzik itu merancakkan lagi perbualan antara tetamu-tetamu. Namun lain pula jika setiap muzik yang dimainkan kepada mereka tidak diminati , kerana ia akan membuatkan mereka tidak akan memberiperhataian. (§44.3)




Berlainan pula situasinya jika saya mentafsirkan semula penjelasan dari Kant ini dalam seni bentuk visual (arca , catan, binaan) dimana bentuk visual yang ‘digambarkan’, situasi ini memberikan maksud mengarahkan fikiran kita bukan sekadar ‘melihat’ ia juga mendidik jiwa menjadi lembut, dimana tanpa seorang pun akan memberikan perhatian walaupun sedikit kepada ‘representasi visual’ , ‘representasi visual’ itu merancakkan lagi perbualan antara tetamu-tetamu . Namun lain pula jika setiap bentuk visual yang ‘representasikan’ kepada mereka tidak diminati kerana, ia akan membuatkan mereka tidak akan memberi perhatian. Seni halus seperti muzik orkestra dan seni bentuk visual kedua-duanya walaupun menurut Kant satu “ rasa kesukaan semata-mata tetapi juga mesti mencerminkan satu gambarana yang dilihat daripadanya” (§44.5) untuk cerminan itu Kant telah mengatakan ia perlu “menimbulkan rasa sensasi” yang bukan hanya atas rasa pada perassan tetapi “mempunyai satu standard (piawai) daya pertimbangan dalam menentukannya”.

Dalam §45 ,“Seni Halus sebagai Seni yang Bukan Sekadar Seni Pada Masa yang Sama Penjelmaan Kewujudan Kejadian.” Beliau telah membuat perbezaan antara “hasil seni halus” dengan “hasil semulajadi”, tujuanya adalah agar kita dapat membuat pertimbangan yang benar saamada untuk menklafikasikan sesuatu itu sebagai satu objek seni atau bukan objek seni, menurut Kant “Hasil hasil seni halus mestilah diperakukan seni bukan timbul secara semulajadi ”. Hal inilah yang dikatakan olehnya ini mempunyai kesinambungan daripada apa yang dikatakan sebagai daya pertimbangan. Kant mengatakan hasil semulajadi itu “bebas timbul daripada desakan-desakan” apa yang dimaksudkan desakan oleh beliau itu adalah “tanpa ada peraturan-peraturan yang tertentu”, jadi kita boleh menganggapnya sebagai hasil semulajadi apabila daya pertimbangan yang dilakukan terhadap “kebolehan dan kemampuan berkomunikasi” padanya tidak mempunyai apa-apa konsep untuk mengesahkannya untuk dikatakan sebagai “penjelmaan hasil seni” iaitu hasil seni halus , kerana menurut Kant “hasil seni hanya boleh diistilahkan cantik apabila kita sedar ianya berseni, sungguhpun penjelmaan daripada hasil alam semulajadi”.Jika diamati masih terdapat kekeliruan apabila Kant menjelaskan “hasil seni hanya boleh diistilahkan cantik apabila kita sedar ianya berseni, sungguhpun penjelmaan daripada hasil alam semulajadi”, tetapi Kant telah memperjelaskan lagi maksudnya itu dengan mengatakan seni “mempunyai tujuan untuk menghasilkan ‘sesuatu’” (§45.2). Jadi apakah yang dimaksudkan oleh Kant dengan “sesuatu” itu?, tujuan sesuatu yang dimaksudkan oleh beliau itu adalah “sensasi”, dimana kita akan bersama-sama “diiringi dengan kesukaan” pada objek yang mempunyai rasa sensasi itu. Untuk mencapai sensasi ia tidak hanya dicapai dengan sendiri tetapi hanya dapat dinikmati “melalui perantaraan deria rasa” yang ada pada kita dalam mencari “kejelasan objek” . Dalam proses kederiaan ini ianya hanya akan menghasilkan dua andaian keputusan iaitu “kehadiran unsur seni” dan tiada, dimana kehadiran unsur seni ini “akan disukai daripada kefahamanan tentangnya” Oleh yang demikian Kant mengatakan keputusan dalam membuat penilaian pada sensasi itu tadi membawa “dua perkara seni akan disukai, bukan sahaja seni halus, malah lebih-lebih lagi sebagai seni mekanikal”. Seni mekanikal atau perkara yang mengerakkan deria rasa kita dalam membuat pertimbangan pada suatu kehadiran hasil seni. Untuk mengelakkan kekeliruaan dalam membezakan kehadiran hasil seni dengan hasil semulajadi Kant menetapkan “ketepatan dalam keserasian pada aturan bagaiman hasil itu sendiri boleh memberi apa yang ingin dimaksudkan” (§45.3).

Kritik atas daya pertimbangan di dalam seni halus dalam menentukan samada sesuatu objek itu bernilai seni atau hanyalah ketakjuban pada kejadian alami sahaja oleh Kant ‘membuka mata’ kita untuk membantu terutamanya penghayat atau audien seni umumnya dalam membuat penilaian inderawi melalui pengalaman deria rasa mereka dalam membuat namun penganalisaan masih terhad kepada bagaimana untuk memahami ia nya bersifat seni halus sahaja, ia memerlukan ‘kuasa’ lain untuk menghidupkan seni itu apa yang dikatakan oleh Kant sebagai “genius seni”.



1 Immannuel Kant, Critique of Judgement (1790), trans. J.H. Bernard, (New York: Dover Philosophical Classics, 2005) .m.s. 110-112.

2 Lihat, Faizal Sidik “Permasalahan dalam Melihat Karya Seni: Kebenaran dan Pengetahuannya” Risalah Seni Tampak (SET) Jil 1.Bil 2, Ogos, (Balai Seni Lukis Negara: 2006)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan