Jumaat, 3 September 2021

Wajah Ibrahim Hussein Dirakam oleh Andy Warhol

 Oleh: Faizal Sidik


Marilyn Monroe, Elizabeth Taylor, Michael Jackson, Elvis Presley, Jean Michel Basquiat, Muhammad Ali, Mao Tze Tung, Jackie Kannedy, Mick Jagger adalah hanya antara imej pop selebriti, tokoh politik dan ahli sukan. Populariti atau kontroversi imej-imej ini dijadikan Andy Warhol dalam menghasilkan karya-karya seni pop. Tahukah anda  ciri-ciri karya pop? Antara kareakternya adalah i)Imej sohor, ii)warna girang, iii)penuh satira iv) kelajuan bahantara v)kepantasan pembuatan


Galeri Dahiyat Abdullah Al Salem

Pada tahun 1977 Majlis Kesenian, Kebudayaan dan Kesusasteraan negara Kuwait telah menjemput 3 pelukis pop sohor dari tiga benua iaitu Amerika, Eropah dan Asia untuk mengadakan pameran solo disebuah galeri. 3 ikon yang dijemput adalah AndyWarhol, Salvador Dali dan Ibrahim Hussein. Jemputan 3 pelukis ini dibiyai sepenuhnya oleh Majlis Kesenian itu namun hanya Andy Warhol dari Amerika dan Ibrahim Hussein dari Malaysia yang mengesahkan kehadiran semasa upacara perasmian manakala Salvador Dali hanya menghantar karyanya sahaja.


Tentatif program Ib dan Warhol

Perasmian pameran ini telah diadakan di Galeri Dahiyat Abdullah Al Salem  pada 18 Januari 1977. Sungguhpun begitu Andy Warhol dan Ibrahim Hussein mempunyai jadual mereka yang mungkin sama sepanjang berada 5 hari di sana. Tentatif program meraka misalnya yang disusun oleh unit perhubungan korporat majlis kesenian itu daripada 15 hingga 20 Januari.

Di dalam tentatif itu tercatit Warhol sampai ke Kuwait daripada New York pada Sabtu, 15 Januari . Menjadi suatu amalan orang-orang Arab untuk meraikan tetamu datang ke rumah dengan menjamu mereka, pada keesokan harinya pada hari Ahad 16 Januari Warhol mendapat jemputan makan malam daripada Syarikat Al-Ghanim. Pada 17 Januari sebelah pagi Warhol telah dijadual melawat Muzium Negara Kuwait dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Majlis Kesenian, Kebudayaan dan Kesusasteraan. Makan tengah hari dan makan malam pada hari itu ditaja oleh Fahd Al-Dabous dan Kedutaan Amerika.


Warhol bersama salah seorang tetamu

Pada hari Selasa 18 Januari kedua-dua mereka disusun menghadiri upacara perasmian pada jam 4.30 petang di Galeri Dahiyat Abdullah Al Salem. Makan malam hari itu dihoskan oleh rumah Abdul Latif AlHamad dengan menjemput kedua-dua pelukis pop itu bersama-sama dalam  meraikan pembukaan pameran mereka. Andy yang terkenal dengan merakam foto-foto selebriti popular pada waktu ini telah mengambil kesempatan untuk merakam  gambar potret rakannya Ibrahim Hussein. Foto samada gambar Ibrahim Hussein ini berakhir dijadikan sebagai sebuah karya cetakan sutera saring seperti dalam karya-karya selebriti yang dihasilkan oleh Warhol masih belum ada kajian mengenainya lagi.



foto Ib yang dirakam oleh Warhol pada 1977

Fotografi  potret hitam putih Ib yang dirakamkan oleh Warhol ini tersimpan di Andy Warhol Foundation for Visual Arts iaitu sebuah yayasan seni yang terletak di 65 , Tingkat 7, Bleecker Street, New York. Yayasan warisan ini menyimpan arkiban tinggalan Andy Warhol sehinggalah beliau meninggal pada 1987. Apa yang menarik pada foto berkenaan ialah tercatat negatif foto berkenaan berada dalam bingkai babak (frame) yang ke-5 dan daripada gulungan filem 35 mm Kodak 5036 yang mempunyai  36 bingkai (frame).



Negatif filem yang terdapat di Andy Warhol Foundation for Visual Arts, New York.

Di dalam negatif yang lain itu juga terdapat imej Andy Warhol memakai jubah dan ghutrah yang merupakan kain penutup kepala bagi kebanyakan lelaki di Tanah Arab.Jika di Malaysia ghutrah ini dianggap sebagai hanya kain serban tetapi ghutrah yang bercorak putih dan merah dianggap mahkota lelaki Timur Tengah manakala gutrah hitam dan putih pula adalah simbol nasionalisme dan solidariti terhadap Palestin. Selain itu terdapat satu negatif foto Warhol berada di luar kawasan rumah bersama dua orang tetamu yang mungkin juga tuan rumah berkenaan manakala dibelakang mereka adalah pengurusnya iaitu Fred Hughes.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan