Jumaat, 10 September 2021

SeniArt.Info: Suara Baru Seni Kontemporari di Lembah Klang

 


Oleh: Faizal Sidik

Seni Lukis Kontemporari kini bukan lagi hanya berpusat di bandar besar duni seni seperti New York dan London yang dikatakan pusat seni (art centre) malah sejak sepuluh tahun kebelakangan ini dengan meletusnya ekonomi di Asia seperti di Asia Timur, Asia Barat dan Asia Tenggara ia telah menular apa yang dikatakan dunia seni sebagai 'periphery' atau pinggiran seni. Malah menurut dari sumber yang dikeluarkan oleh rumah lelongan seni kontemporari Christies dan Sotheby bandaraya pasaran seni selepas New York dan London sebelum ini ditempat ketiga terletak di Paris kini telah bertukar arah ke Hong Kong dimana Paris jatuh ditangga keempat. 'Artworld' kini telah melangkaui sempadan geografi yang mana dahulu dianggap sebagai seni orang Barat kini lebih bersifat antarabangsa, dengan kewujudan media baru seperti internet dalam menyampaikan maklumat perkembangan seni semasa.

    Media dalam talian atau 'online' seperti .com dan .net kini telah menjadi budaya popular yang baru dalam urbanisasi bagi masyarakat bandaran yang mementingkan kepantasan maklumat. Jika dahulu masyarakat hanya boleh mencapai maklumat selain berkomunikasi secara lisan, kemudian menerusi media massa secara cetak seperti suratkhabar dan majalah sebelum munculnya media elektronik secara visual dan verbal seperti radio dan televisyen. Mungkin inilah yang diperkatakan oleh Walter Benjamin dalam esei yang mengegarkan seni dan budaya pada zamannya iaitu 'The Art in the Age of Mechanical Reproduction'  pada  1937 dimana katanya "Penyalinan semula dengan penggunaan jentera terhadap karya seni, walaubagaimanapun kini merupakan sesuatu yang baru. Ia membuka sejarah baru dan merupakan satu lompatan ke satu era baru tetapi yang lebih mempercepatkan dan melajukan kegiatan seni"

    Penulisan Benjamin dikatakan telah melangkaui zamannya sehinggakan idea-ideanya masih segar bersama seni kontemporari yang masih hidup hingga ke hari ini dengan pelbagai genre-genre yang lahir dari bentuk baru seni halus seperti seni persembahan, seni pemasangan, seni video, seni digital. Saya merasakan mungkin dari petikan di atas tadi juga telah menjadi sumber ilham dan inspirasi bagi Warhol dalam menggunakan teknik sutera saring (silkscreen) ke dalam hasil karya seninya dengan menamakannya sebagai 'fast painting'. Walaupun begitu dalam esei ini saya lebih berminat untuk mempertemukan tentang bagaimana 'penyalinan semula' imej yang diperkatakan oleh Benjamin tadi dan bukannya untuk dieksploitasikan oleh artis tetapi tujuannya ialah kepada masyarakat atau khalayak seni dalam 'melajukan kegiatan seni' di sini.

    Bercakap tentang kelajuan kegiatan seni kita tidak boleh mengelak daripada membicarakan tentang perkongsian maklumat secara dalam talian di dalam internet. Salah satu contoh enjin pencari maklumat seni bervideo adalah You Tube, di sini adalah tidak perlu bagi saya untuk memperincikan mengenai siapa pengasas atau penciptaannya tetapi apa yang penting adalah fungsinya dalam mendekatkan jarak melihat pameran yang terletak diberibu-ribu batu jauhnya dari tempat kita di sini. Walaupun cara persembahan di dalam paparan utamanya dari segi pergerakan kameranya dianggap masih amatur tetapi menurut seorang artis konseptual New York iaitu Lucas Samaras yang mengatakan bahawa "walaupun ia iaitu kameranya bergerak secara gerila tetapi ia lebih jujur dengan apa yang diperlihatkan kepada audien"

    Dalam memenuhi ketandusan media cetak seni lukis dalam menyampaikan maklumat seni terkini, ia telah mendorong pelancaran sebuah laman web info seni dalam bentuk video yang berkonsepkan seperti You Tube iaitu yang dinamakan sebagai SeniArt.Info http://www.seniart.info. Laman web yang berbentuk tv web ini memberi fokusnya empat pemain utama dalam dunia seni lukis itu sendiri iaitu artis, galeri, kurator dan kolektor. Walau dimanapun dunia seni itu muncul namun pemain-pemain inilah yang telah dan akan menggerakkan kitaran seni itu sendiri terutamnaya yang menghidupkan enjin-enjin kegiatan dan program-program yang berlaku di sekitar Lembah Klang.

    Selain pembukaan dan perasmian pameran artis secara solo atau berkumpulan, kandungan di dalam SeniArt,Info meliputi juga bicara seni dan jelajah pameran bersama kurator, wacana dengan ahli akademik dan penyelidik seni, koleksi kolektor. Tidak adil sekiranya fokus SeniArt,Info terhadap aktiviti artistik seni lukis Malaysia hanya berlegar-legar dibandaraya Kuala Lumpur dan tidak di kawasan-kawasan lain jadi di sini saya menggunakan nama yang sinonim dengannya iaitu Lembah Klang iaiitu kawasan bandar-bandar utama yang terketak di atas laluan Sungai Kelang seperti Hulu Kelang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan sehinggalah berakhir di muaranya iaitu Klang. Lembah Klang tidak boleh disamakan dengan New York kerana mereka mempunyai pusat-pusat seni utama seperti di kawasan Chelsea, SoHo, Lower East  Side dan Brooklyn jadi mereka perlu kepada pembahagian-pembahagian itu.

    Kemunculan suara baru di era digital ini mampu untuk melajukan kegiatan seni terutamanya seni lukis kontemporari. Media digital ini bukan sekadar membuka wadah baru dan diharap ia dapat mengimbangi media penyiaran arus perdana yang lebih berminat dalam memberi ruang yang luas-seluasnya kepada seni popular seperti rancangan muzik di stesen-stesen mereka. Semoga media alternatif dalam memprojekkan kegiatan seni kontemporari ini satu hari nanti akan menjadi satu siri yang dinanti-nantikan seperti juga hiburan popular yang lain.



Esei ini telah diterbitkan di dalam majalah Senikini #00
(Nov-Dis 2008)




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan