Rabu, 18 Mei 2016

Pelukis Sepanjang Hayat

Faizal Sidik

Oleh: Sy Mussaddad Mahdi


Sy Mussaddad Mahdi, “Pelukis Sepanjang Hayat”, diterbit oleh Mingguan Malaysia (Pancaindera), 9 Ogos 2009, ms 21 . (Online) (PDF)

Melukis adalah kerja sepanjang hayat. Untuk membina nama bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi," tutur Faizal Sidik apabila ditemui baru-baru ini.
Kenyataan yang keluar dari mulut seniman muda itu bukanlah satu perkara asing malah ia pengalaman yang harus ditempuhi oleh setiap seniman yang terlibat dalam kegiatan lukisan di negara ini.
Melihatkan kejayaan yang dimiliki oleh seniman Syed Ahmad Jamal mahupun Latif Mohidin memang satu perkara yang menyeronokkan, apatah lagi setiap karya yang mereka hasilkan laris di pasaran.
Bertolak daripada itulah ramai seniman muda yang mula membuka mata dan mahu menjadikan bidang lukisan sebagai teras perjuangan seumur hidup mereka. Bagi Faizal pula, ruang dan peluang yang sudah terhidang di depan mata tidak harus dilepaskan memandangkan sudah bertahun-tahun menghambakan diri kepada bidang ini.
Kini dia boleh berbangga apabila diberi peluang untuk mempamerkan karya pada pameran Neo Abstrak; Ruang, Warna dan Cahaya yang sedang berlangsung di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Kuala Lumpur.
Menariknya, untuk pameran kali ini dia tidak keseorangan sebaliknya bersama lima rakan-rakan mempamerkan 40 lukisan yang merangkumi pelbagai medium.
Pameran berkumpulan ini dibahagikan kepada tiga tema abstrak iaitu warna oleh Faizal dan Mia Farizza; ruang oleh Elias Yamani Ismail dan Safwan Ahmad serta cahaya oleh Isnain Ibrahim dan Sukor Romat.
Mereka berjaya meneroka ketiga-tiga tema abstrak yang cuba memberikan kemungkinan-kemungkinan baru dan interpretasi semula dalam pengkaryaan seni seperti catan, arca dan instalasi terhadap objek hidup yang mempunyai keindahan fizikal.
Menariknya kesemua seniman tidak mengulangi bentuk yang telah dihasilkan seniman lain sejak berdekad yang lalu tetapi mahu mencari sudut-sudut baru yang mungkin terlepas pandang oleh seniman sedia ada terutama dalam aspek ruang, cahaya dan warna.
Apa yang ditekan oleh Faizal, seni bukanlah satu rakaman semula gambar-gambar atau ilustrasi imej yang sedia ada tetapi adalah gambaran yang lebih jelas menjangkau pelukis ilustrator.
"Tugas para seniman adalah sebagai saintis sosial yang menzahirkan dunia di luar sedar ke dalam realiti masa dalam pelbagai bentuk sama ada yang didengari, disentuh atau dirasai," kata Faizal pada pertemuan pagi Rabu lalu.
Bercerita mengenai pameran yang julung-julung kalinya diadakan di situ, Faizal berbangga kerana diberi peluang membuat pameran dan dalam masa yang sama dia melahirkan kegusaran mengenai nasib pelukis tempatan yang masih belum setanding dengan pelukis luar negara.
Jelasnya, masyarakat di Malaysia masih lagi belum begitu terbuka mengenai seni tampak dan seni halus ini seperti negara lain.
"Usah kita bandingkan ia dengan Eropah, sebaliknya lihat sahaja Indonesia dan Thailand. Masyarakat di sana mempunyai persepsi tinggi terhadap seniman dan membuatkan bidang tersebut semakin berkembang.
"Saya tidak merendahkan martabat seniman tempatan sebaliknya kita harus bersatu ke arah itu. Barulah industri seni tempatan di Malaysia akan setanding dengan negara lain," katanya lagi.
Kata Faizal lagi, seniman di sana lebih bernasib baik memandangkan setiap negara mempunyai pusat lelongan tersendiri yang boleh digunakan untuk menjual hasil lukisan mereka.
Namun keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia memandangkan tidak ada pusat lelongan khusus untuk itu. Kebanyakan seniman hanya mengharapkan kolektor atau pengumpul-pengumpul lukisan membeli lukisan mereka.
"Inilah yang sering menjadi masalah kepada pelukis tempatan. Indonesia mempunyai lapan pusat lelongan yang sering kali mendapat perhatian bukan sahaja penduduk di sana tetapi juga orang luar," luah Faizal.
Namun begitu, dia tetap berbangga apabila semakin ramai seniman muda menunjukkan bakat dan mahu terus serius dalam bidang lukisan ini.
Kebanyakan seniman muda yang ada pada masa ini lebih tertumpu kepada aliran realisme yang berkisar kepada keadaan semasa. Ini ditambah pula dengan karya seni berbentuk popular.
Trend ini semakin rancak mendapat tempat sehinggakan ada pihak yang kurang senang dengan keadaan itu. Bagi Faizal isu itu bukan sesuatu perkara yang asing memandangkan itu adalah perjalanan yang ditempuhi oleh kebanyakan seniman di Malaysia.
"Apabila perjalanan mereka semakin panjang, aliran mereka juga akan berubah sedikit demi sedikit seperti mana yang telah berlaku pada seniman-seniman mapan yang ada," jelas Faizal.
Bagi peminat-peminat lukisan, anda boleh datang menyaksikan pameran Neo Abstrak; Ruang, Warna dan Cahaya yang akan berlangsung sehingga 16 Ogos ini di Wisma Kebudayaan SGM, 234 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Penerbitan akhbar




















Sy Mussaddad Mahdi, “Pelukis Sepanjang Hayat”, terbitan Mingguan Malaysia (Pancaindera), 9 Ogos 2009, ms 21 (illustrated). (Online) (PDF)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan