Jumaat, 6 November 2009
Seni Genius: Penciptaan Artis sebagai Genius
Oleh: Faizal Sidik
Penulisan ini memperbincangkan tentang psikologi genius dan bakat individu yang ada pada genius. Ia juga akan membangkitkan persoalan apa yang seseorang artis itu perlu ketahui dalam beliau mencipta karya seni dan apa yang boleh ia artis itu pelajari daripada bentuk seni yang telah dihasilkan. Selain itu juga ia cuba menerangkan perkara-perkara dalam lingkungan kreativiti, apa yang terlibat dalam proses kreativiti, perkara yang mendorong di sebalik proses kreativiti dan apa yang membuatkan artis itu adalah artis.
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa tajuk penulisan ini bukan samaada seni lukis, seni catan, seni arca dan genre-genre seni yang lain tetapi 'seni genius'. Saya bukanlah untuk menghujahkan satu pendefinisian seni yang baru, tetapi untuk menjelaskan bahawa selama tanpa anda sedari anda telah melihat seni yang dihasilkan oleh genius seni (artis). Mungkin anda juga pernah mendengar tentang audien yang melihat sesebuah pameran seni mengatakan karya yang dihasilkan itu 'real lah' dan sudah tentu karya itu akan mendapat perhatian jika dibandingan dengan karya-karya lain yang dipamerkan. Sebenarnya konsep yang dihasilkan oleh pengkarya itu merupakan konsep imitasi ataupun dinamakan peniruan semula. Jadi kita boleh mengatakan bahawa seni ini adalah 'seni tiruan' daripada benda yang telah ada. Oleh yang demikian apakah seni yang dikatakan bukan tiruan, maka perkataan 'seni genius' diguna pakai. Apabila membicarkan tentang genius anda mungkin akan mengambarkan bahawa orang yang genius adalah orang bijak. Ya, memang benar, seni genius adalah orang yang pintar seni. Penjelasan-penjelasan yang berikut akan menerangkan dengan selanjutnya apakah yang dikatakan sebagai seni genius.
Dalam teori genius yang dikemukakan oleh Immanuel Kant dalam 'Kritik Pengadilan' (Critique of Judgement), Buku II Analitik Penilaian Estetik tema tentang Analitik pada Kekaguman, beliau telah meletakkan pembincangan tentang genius khusus pada seni halus dalam empat sub tema iaitu; §46. Seni Halus sebagai Seni Genius, §47. Penjelasan dan Pengesahan dibawah Penghuraian tentang Genius, § 48. Hubungan antara Genius dengan Rasa, § 49. Fakulti-fakulti kuasa fikiran yang terdiri daripada genius dan §50. Kombinasi rasa dan genius dalam produk seni halus. Teori Genius Kant ini memberi panduan kepada kita bagaimana orang genius menghasilkan karya seni yang hebat.
Seni Halus sebagai Seni Genius
Menurut Kant "Genius merupakan bakat (lahir secara semulajadi) dimana merupakan kayu pengukur dalam benda seni," beliau meletakkan genius hanya untuk seni dan bukan yang lain selain seni atau sains "kerana sebab demikian bakat, adalah pembawaan sifat semulajadi dalam menghasilkan kuasa pemikiran atau kuasa melakukan oleh pengkarya". Kant menyatakan sifat ini khas hanya untuk yang pangkarya yang mengasilkan objek seni dan "Genius adalah pembawaan istimewa dari kecerdasan fikiran (mental) yang menghubungkan sifatnya dalam menguasai sistem seni" Jika kita berbalik kepada persoalan kepada seni tiruan tadi, amat jelas seni yang berdasarkan imitasi bukan sesuatu yang istimewa kerana ia bukan datang daripada pembawaan sifat semulajadi tetapi hanyalah mengikut semula daripada objek yang telah wujud. Pada masa yang sama imitator bukannya benar-benar tahu apa yang di lakukakan tetapi hanya menguasai sistem yang telah ada (sistem seni) dan bukan menciptakan sistem baru seperti yang dilakukan oleh genius. Jadi apakah yang terjadi kepada produk seni Teori Imitasi yang dibawa oleh Plato yang berdasarkan kepada realiti sesuatu objek, atas tujuan penjelasan mencari kebenaran. Kant mengatakan perkara ini dengan "semua produk sebelumnya tidak dinamakan produk seni, jika tidak mengikut sistem-sistem yang ditetapkan terlebih dahulu" Disini Kant menyarankan untuk mengiktirafkan sesuatu produk seni itu sebagai produk yang benar-benar bersifat seni yang dilakukan oleh seorang pengenius ia perlu mempunyai aturan sistem terlebih dahulu. Jadi apakah yang perlu diklafikasi dan yang terjadi karya seni yang dihasilkan oleh orang pada zaman Greek sehingga ke hari ini?. Kant menambah "produk sebelumnya dipanggil seni kerana hanya mengikut sifat semulajadi yang wujud di dalam diri individu (yang hanya merasai rasa seronok dan rasa senang semasa melakukan atau membuat produk itu)". Jika hanya kemahiran dan mempunyai keinginan yang suka akan melakukan sesuatu produk itu masih belum cukup bagi kita untuk menganggap produk yang telah siap dihasilkan itu adalah produk seni.
Oleh yang demikian Kant telah memberikan empat definisi hanya seni halus sahaja yang hanya boleh dikatakan produk bersifat genius iaitu " (1) Genius merupakan bakat (talent) untuk menghasilkan aturan yang sebelumnya tidak diberikan definisinya sehingga ianya dikenal pasti dan daripada tidak boleh dilihat ketinggiannya kepada membuka jalan itu untuk dipelajari sistem-sistem yang terdapat didalamnya, seterusnya menimbulkan apa yang dikatakan sebagai ketulenan (originaliti) yang merupakan perkara mendasar kepada sesutu yang dinamakan seni." Kant telah meletakkan bakat di tempat pertama kerana bakat tidak boleh didapati atau dipelajari dimana-mana, kerana kewujudan seni tulen hasil kreativiti penciptaan oleh seorang yang berbakat berbeza dengan imitator yang hanya mengikut sistem-sistem yang telah sedia ada sebagai salinan kedua kepada originaliti genius . "(2) Sejak ianya telah berkenalan dengan perihal ketulenan (original), produk itu pada masa yang sama akan menjadikannya sebagai satu model, misalnya perkara-perkara yang patut dicontohi, dari perihal yang demikian itu, walaupun kegeniusan tidak datang daripada imitasi (peniruan semula), genius harus menyampaikan maksud atau kehendak-kehendak yang lain contohnya sebagai standard piawai atau kaedah dalam membuat sistem suatu produk yang dihasilkan" Kedua Kant menekankan tentang produk yang dihasilkan oleh genius adalah produk yang tulen yang tidak terdapat dimana-mana, yang mana produk itu layak untuk dirujuk akibat daripada keunikannya yang sukar untuk ditandingi, jadi geniusnya itu patut dijadikan panduan kerana ia bukan timbul daripada peniruan daripada yang lain. Kant juga memberikan contoh bagaimana dalam sistem menghasilkan sesuatu produk samaada ia dihasilkan melalui seorang genius atau imitator ia perlu melalui standard piawai atau pengesahan dan genius adalah yang melepasinya. "(3) Genius tidaklah menunjukkan secara saintifiknya bagaimana ingin mengeluarkan produknya, tetapi ia lebih cenderung memberi peraturan (sistem) kepada kejadian-kejadian secara semulajadi"
Genius bukan sahaja terhasil daripada produk yang telah siap malah kepada konsep-konsep (yang tidak dapat dipegang) kepada pemikiran yang genius disini Kant telah memberikan contoh dimana penulis yang mendapat idea terhutang budi dengan kuasa yang masuk kedalam fikirannya (produk genius) terhadap sesuatu benda yang indah-indah untuk dijadikan sebagai sumber idea. Apa yang menariknya Kant menyebut disini perkataan Jin mungkin lahir daripada perkataan genius. Kita sering melihat kisah Jin ini dalam buku mahupun di dalam filem fiksi yang mana ia boleh membantu manusia menzahirkan sesuatu permintaan. Dan yang terakhir "(4) Pembawaan sifat semulajadi yang menentukan kegeniusan yang bukan daripada sisitem sains tetapi seni, dan hal ini hanya akan ditentukan jika ianya dikenali sebagai seni halus" Kant menetapkan bakat genius tidak di bawa daripada sistem sains tetapi seni dimana beliau memperjelaskan hanya seni halus sahaja yang dianggap sebagai seni genius yang dihasilkan oleh seorang genius (pengkarya).
Penjelasan dan Pengesahan dibawah Penghuraian tentang Genius
Jika sebelum ini Kant banyak memberi perbezaan antara genius dan imitatsi pada tema ini pula Kant menghuraikan dengan lebih dalam lagi tentang genius, dimana genius masih belum cukup dengan hanya "seseorang itu mencipta pemikiran atau sesuatu kecenderungan, sebagai jalan untuk lari daripada mengikut apa yang diperkatakan oleh orang,". Dalam mencipta sesuatu pemikiran seseorang artis tidak mudah terpengaruh dengan apa yang terdapat disekitarnya, beliau akan menjadi lebih kritikal dalam apa yang dikatakan sebagai "menambahkan lagi perkara-perkara baru dalam seni dan sains". Hal ini berbeza dengan sifat seorang imitator dimana beliau "tidak boleh melakukannya lebih selain hanya mendengar dan mengikut si pendahulunya", Oleh yang demikian genius walaupun ia merupakan bakat yang datangnya daripada sifat semulajadi, ia bukan diperolehi dengan mudah bahkan perlu melalui proses yang berdasarkan pengkajian dan penapisan fikiran .
Kant percaya bahawa genius itu lahir sejak artis itu masih kanak-kanak lagi, dan idea ini banyak dikaji oleh Sigmund Freud dan pengikutnya. Kita sering mendengar cerita di dalam kisah kehidupan seorang artis bahawa minatnya terhadap seni muncul sejak beliau masih kecil, dan kita biasa mendengar genius-genius dalam bidang yang lain bakat mereka ditemui sejak mereka kecil kerana kemampuan keluarbiasaan yang mereka miliki sejak kecil itu melangkaui daripada pemikiran kanak-kanak yang sebaya dengan mereka, seperti yang dikatakan oleh Kant "Idea seorang artis hidup, bangkit dan bangun seperti sebahagian dari zaman kecilnya, kejadian ini dianggap telah mendatanginya dengan seperti kadar kekuatan mental" Saya beranggapan bahawa sejak kecil genius artis itu telah hidup menunjukkan cirri-ciri yang ada pada seseorang, dimana ia memerlukan sesuatu model yang ia boleh menterjemahkan daripada dunia zahir (akan diterangkan kemudian) kepada dunia batin, dan dari hal yang demikian Kant menambah "model yang ditunjukkan oleh seni halus sahaja yang hanya mempunyai maksud bagi mengendalikan seni kepada generasi ke generasi". Jadi untuk menzahirkannya hanya dengan seni, berbalik kepada genius hanya untuk seni, iatu seni yang diumaksudkan di sini hanyalah seni halus yang kita lihat mempunyai model yang dapat dilihat kesinambungannya dari satu zaman ke zaman, kenapa mesti seni halus dan bukan seni mekanikal? tambah beliau lagi kerana "model seni halus boleh menjadi yang klasikal iaitu terbaik dan terindah"
Seni halus yang dihasilkan oleh seorang genius tidak diajar di sekolah-sekolah, artis yang menghasilkan karya seni berdasarkan kesinambungan daripada aliran-aliran stail karya yang ditulis oleh pensejarahan seni bukanlah seorang genius, hal ini kerana "genius itu membebaskan diri mereka daripada desakan-desakan yang terdapat dalam aturan-aturan akademik". Peniruan semula bererti imitator menolak "penerokaan rasional" yang merupakan dasar kepada keperluan kejadian manusia kerana "terdapat pelbagai kemustahilan-kemustahilan di dalamnya". Jadi untuk apa sebenarnya Kant membicarakan penghuraian ini dengan seluas-luasnya ini adalah untuk "mengenali dan memahami hasil karya terbaik" dalam memperlihatkan genius itu adalah "boleh memperlihatkan ianya benar-benar satu karya yang baru" atau sebaliknya hanyalah dalam kepalsuan.
Hubungan antara Genius dengan Rasa
Walaupun dalam seni halus apa yang diperlukan adalah genius namun ia tidak boleh menolak rasa dalam dirinya. Setiap daripada kita mempunyai citarasa, rasa atau taste perlu ada pada individu dalam membuat penilaian dan keindahan seni, namun memerlukan genius untuk menelusi dan membuat pengesahan kemungkinan rasa itu. Dalam menghayati, membicarakan atau membuat apresiasi hasil seni memerlukan rasa, dengan rasa kita boleh mengenali antara apresiasi antara seorang professional seni dengan seorang amatur seni. Dengan hanya bakat atau genius sesuatu penciptaan itu masih belum boleh menghasilkan seni halus yang hebat, genius memerlukan rasa, pertembungan antara genius dan rasa (membuat penilaian dan keindahn seni) ini akan memungkinkan sesuatu objek itu menurut Kant "dipandang tinggi". Sesuatu yang dipandang tinggi yang mungkin kita tidak pernah lihat atau saksikan sebelum ini. Dalam seni halus juga Kant menyebut seni halus membuktikan kelebihan seni itu dalam menjelaskan menjelaskan perkara-perkara dalam kehidupan ini samaada buruk atau tidak menyenangkan. Disini yang menjadi sumber idea kepada rasa genius yang berdasarkan rasa sensasi kepada imaginasi dimana Kant memberi contoh seperti kemarahan yang amat sangat dan kebinasaan perang yang mana kejahatan-kejahatan itu sangat indah digambarkan, sungguhpun ia tidak diwakili oleh gambar-gambar. Kita yang melihat atau mendengar gambaran-gambaran ini samada di dalam catan, arca, puisi mungkin berasa tertarik dengan pemaparan objek seni dari pada ini adalah kerana kita sememangnya suka melihat pada suatu yang dirasakan tidak cantik menurut Kant "Jenis keburukan itu tidak mampu untuk mengambarkan kesesuaiannya kepada alam tanpa memusnahkan semua keseronokan estetik, dan menyebabkan kecantikan artistik itu dinamakan, yang merangsang perasaan jelik". Rasa pada objek seni oleh genius bukan sahaja boleh menarik mata dengan terletak pada objek yang cantik sahaja malah kepada sesuatu yang dianggap menakutkan kita. Kant sekali lagi mengambil contoh yang lebih jelas iaitu seni arca, yang mana menurutnya produk-produk seni arca adalah hampir dikelirukan dengan alam semulajadi. Sebagai jalan penyelesaian, seorang genius mengambarkan rasa kecantikan bagi mengelakkan sama dengan alam semulajadi dengan "ciptaan-ciptaanya itu mengenepikan perwakilan secara langsung benda-benda buruk, dan sebagai ganti, penolakan itu misalnya, ia menrepresentasikan kematian".
Walaupun ia merupakan satu contoh rasa amat diperlukan dalam suatu penciptaan seni halus untuk artis "memperlatihkan dan membuat ketepatan rasanya dari pelbagai contoh-contoh daripada alam atau seni, dalam mengawal kerjanya dan, selepas banyak, dan sering menghadapi kesukaran, dalam percubaan untuk memuaskan rasa, ia menemui bentuk yang memuji akan ia kepadanya." Inilah yang Kant katakan sebagai "inspirasi" atau "bebas terikat daripada kuasa-kuasa mental". Namun hanya seni halus sahaja (bukan kepada seni gunaan, mekanikal dan sains) yang layak dikatakan demikian, bukan pada yang lain kerana daripada mencari bentukan-bentukan yang memujinya tadi ia cumalah satu kritikan-kritikan (menyoal kedalam diri) dan masih belum dapat dizahirkan kedalam sesuatu objek (yang kemudiannya akan dikatakan menjadi sebuah karya seni).
Penghuraian Kant tentang antara genius dan rasa adalah untuk mengetahui rasa itu benar-benar berada pada aras bebas yang mana penciptaan seni halus bukanlah muncul dengan sengaja, begitu juga dengan artis yang menghasilkannya bukannya semudah itu untuk menghasilkan sesuatu untuk dikatakan bakal objek seni halus, walaubagaimanapu Kant mengatakan "Puisi, gubahan muzik, gambar di galeri, dan seumpamanya adalah diletakkan dalam kategori ini; dan dalam melihat suatu kerja bakal dikatakan seni halus".
Bagi artis pula yang tidak meletakkan rasa sebagai keutamaan dalam penciptaan karyanya, atau tidak mengetahui bagaimana 'perasaan' sesuatu objek yang ingin dikatakan sebagai karya itu dilakukan, Kant namakan sebagai "rasa tanpa genius" , manakala jika beliau seorang yang genius tetapi membuang rasa yang ada pada kegeniusannya dimana audien tidak merasai kekaguman daripada kreativitinya sebagai "genius tanpa rasa".
Fakulti-fakulti kuasa fikiran yang terdiri daripada genius
Terdapat tiga fakulti kuasa fikiran yang telah dirangka oleh Kant iaitu, 'jiwa', 'imaginasi', dan 'persetujuan' yang terdiri daripada genius. Bukan semua produk seni halus halus boleh dibuat kritikan kerana tidak mempunyai apa yang dikatakan Kant "berjiwa". Apakah yang dikatakan Kant jiwa atau (Geist) menurut Kant dalam estetika rasa?. Menurutnya 'jiwa' "menandakan hidupnya suatu prinsip yang terdapat di dalam fikiran…prinsip ini menghidupkan bahan psikik (Seele)- iaitu material yang digunakan untuk tujuan itu-yang mana ia memperlengkapkan kuasa-kuasa mental …kepada satu kemuktamadan" dimana Kant memberi contoh dalam satu permainan, dimana permainan itu adalah merupakan pengawalan diri dan yang menguatkan kuasa-kuasa itu pada sesuatu aktiviti. Fakulti fikiran yang terdiri daripada genius yang kedua selepas 'jiwa' ialah 'imaginasi'.
Imaginasi adalah merupakan fakulti kesedaran yang produktif pada seseorang artis, menurutnya lagi imaginasi adalah "suatu ejen penciptaan yang berkusa, ia adalah, satu material keluarbiasaan yang dibekalkan daripada sifat sebenar". Namun dengan pekerjaan imperikal terhadap imaginasi kemajuan sedikit demi sedikit yang dilakukan kedalam sesuatu yang yang lain oleh seseorang artis itu apa yang dikatakan beliau sebagai "melampaui sifat semulajadi", dimana melangkaui sifat pengalaman representasi-representasi yang biasa inilah yang dikatakan oleh Kant lagi sebagai "idea-idea" yang mana ia tidak terbatas kepada idea-idea yang lahir sahaja Kant menambah "kemudiannya imaginasi di sini mempamerkan satu aktiviti kreatif, dan ia meletakkan fakulti kuasa idea-idea (reason) intelektual ke dalam usul ke satu usul, seperti satu gambaran, ke arah satu perluasan pemikiran yang berkaitan tanpa keraguan, konsep terhadap objek, melebihi apa yang boleh diletak pegang dalam representasi itu atau dinyatakan dengan jelas"
Walaubagaimanapun bentuk bentuk objek yang dipersembahan oleh artis ke dunia ini adalah menurut Kant sebagai "representasi kedua imaginasi" juga kerana ketidakasliannya ia adalah terjemahan objek daripada apa yang terdapat di fikiran artis iaitu yang pertama. Sungguhpun apa yang diperkatakan oleh Kant tentang imaginasi ini terlalu ketat namun saya berpandangan di sini terletaknya kreativiti seni genius itu.
Namun sambung Kant walaubagaimanapun aktiviti kreativiti tidak hanya berlaku dalam aktiviti kesenian seperti catan dan arca, yang mana beliau menganggap kedua-dianya memang biasa menggunakannya, dimana seni halus yang lain juga menggunakan cara ini, "puisi dan retorik juga memandu jiwa dengan menghidupkan hasil kerja mereka. penuh dengan sifat-sifat estetik yang dianggap berasal daripada objek yang berpindah dari tangan ke tangan dari segi logik, dan memberi imaginasi satu dorongan untuk membawa pemikiran lebih kepadanya" Sejak kita mengetahui bahawa penglahiran suatu idea estetik adalah gambaran daripada imaginasi disini dalam membentuk genius imaginasi memerlukan apa yang dkatakan sebagai 'persetujuan'. Daripada persembahan aktiviti kreatif yang logik ini, maka dalam membentuk genius ia memerlukan imaginasi dan persetujuan. Hal ini penting kerana dalam menuju kepada "kuasa penghakiman" yang dihasilkan daripada persetujuan ini, seperti yang diperkatakanya diperlukan persutujuan supaya kebebasan imaginasi ini harus sejajar dengan keakuran suatu persetujuan kepada peraturan-peraturan, jika tidak ia akan mengarah apa yang disebut hanyalah sebagai "kekarutan" (produk seni).
Oleh yang demikian Kant meletakkan dua kaedah dalam menyusun fikiran iaitu pertama "modus aestheticus" atau 'model estetik' sebagai pendekatan yang tidak mempunyai standard selain mengikut perasaan pada persesuaian dalam penyampaian, yang hanya diiktiraf untuk seni halus, manakala kedua kaedah "modus logicus" atau 'model logik' yang mana ia mengikut prinsip-prinsip yang pasti. Tujuan yang pertama jelas Kant adalah untuk "membawa idea ke dalam dalam pelaksanaan dalam hasil seni yang menghalakan pada keanehan, sebagai ganti yang terhasil sesuai kepada idea, pemikiran pada tingkah laku tersebut adalah sebenarnya dianggap sebagai satu produk".
Kombinasi antara rasa dan genius dalam produk seni halus
Dalam meletakkan produk seni halus keatas kehadiran antara rasa dan genius Kant membalikkan persoalan yang sama produk seni halus ke atas imaginasi atau keatas penghakiman. Maksudnya disini adalah daripada kita menyebutnya sebagai seni halus, ia lebih tepat dipanggil sebagai 'seni imaginasi' atau 'seni penghakiman' kerana kedua-duanya merupakan seni yang diinspirasikan, kerana dari segi penghakiman terhadapnya itu lah saya istilahkan sebagai 'seni yang lagi diperhalusi' dalam kata lain seni halus itu benar-benar akan diperhatikan, dimana Kant berkata "Berikutan daripada penghakiman itu, ia tidak boleh tidak (condition sine qua non), sekurang-kurangnya perlu dilihat sebagai modal yang penting dalam membentuk satu penilaian seni sebagai suatu seni".
Dalam rasa pula menurutnya dalam ia adalah disiplin yang memperbaiki genius dengan keteraturan, sebagai pandu arah, memberi kestabilan idea-idea dan kelayakan membuat penetapan dan pengesahan yang universal, supaya genius yang timbul daripada rasa itu Kant berkata "akan lebih bersedia bagi berhadapan dengan ketidakbebasan dan kekayaan imaginasi daripada satu pengertian yang menimbulkan kecurigaan" dalam penghasilan produk seni halus.
Oleh yang demikian bukan semua orang yang boleh membuat bentukan dengan bagus layak di panggil pencipta atau artis tanpa mengikut kerangka kuasa pemikiran yang disebut oleh Kant. Saya berpandangan seni halus yang datangnya sebelum ini daripada seni amat wajar diangkat sebagai sebagai 'seni genius', kerana hanya mereka yang cukup genius sahaja boleh melakukan yang diluar daripada jiwa, imaginasi dan semangat manusia biasa. Justifikasi yang diberikan oleh Kant kepada kita ini diharap dapat memberi laluan kepada kita bagaimana untuk memberi pengiktirafan terhadap suatu objek seni halus sebagai genius.
Bibliografi
Immannuel Kant, Critique of Judgement (1790), trans. J.H. Bernard, (New York: Dover Philosophical Classics, 2005) .m.s. 112-122
A. Neill and A. Ridley, eds., The Philosophy of Art: Readings Ancient and Modern (New York: McGraw-Hill, 1995).
Jack J. Spector, The Aesthetics of Freud: A Study in Psychoanalysis and Art, (Published by Praeger, 1973)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan