Jumaat, 6 November 2009

Abstraksi Dalam Sains dan Seni Sussanne Langer Menerusi Ruang, Warna dan Cahaya



Oleh: Faizal Sidik (2009)

‘All genuine art is abstract.’

Sussanne Langer

Neo-Abstrak

Neo-Abstrak: Ruang, Warna dan Cahaya adalah sebuah pameran berkumpulan yang memaparkan karya abstrak terkini daripada 6 artis dimana karya mereka dibahagikan kepada 3 tema abstrak iaitu dari segi warna iaitu dari penghasilan Faizal Sidik, Mia Farizza. Ruang; EliasYamani Ismail dan Safwan Ahmad serta Cahaya oleh Isnian Ibrahim dan Sukor Romat. Pameran ini meneroka ketiga-tiga tema abstrak yang cuba memberi kemungkinan-kemungkinan baru dan interpritasi semula pelukis sebelumnya dalam pengkaryaan seni seperti catan, arca dan instalasi terhadap apa yang dikatakan ‘objek hidup’ yang mempunyai keindahan fizikal (physical beauty)

Artis dari kiri: Sukor Romat, Safwan Ahmad, Mia Farizza dan Faizal Sidik antara pelukis yang mengambil bahagian dalam pameran ini
Mungkin anda sering bertemu dengan pengistilahan ‘abstrak’, ‘abstraksi’, ‘pengabstrakan’. Abstrak secara keseluruhannya adalah tanpa-representasi (tiada gambaran), atau dimana bentukan daripada realiti bertukar kepada corak yang dibaca oleh penghayat biasanya sebagai hubungan bebas daripada rujukan sumber asal. Jika anda membaca abstrak tentang sesuatu penulisan atau sebuah filem anda mungkin hanya diberikan tentang intipati keseluruhan teks berkenaan dimana ia juga dibaca sebagai ‘abstrak’ ia telah dipermudahkan bagi menjelaskan sinopsis akan sesuatu idea. Seperti yang diperjelaskan lagi oleh Langer “abstraksi” adalah pengenalan yang berhubugan dengan struktur, atau bentuk, bahagian daripada sesuatu yang spesfik (atau peristiwa, fakta, imej dan lain-lain) yang boleh dijadikan contoh. Walaupun demikian penulisan ini lebih memokuskan kepada abstraksi iaitu proses pengabstrakan daripada yang berhubung dengan bentuk atau lebih tepat lagi terhadap imejan penglahiran rasa oleh deria lihat melalui sensasi mata.



Dalam membicarakan pengkaryaan seni abstrak dan kita tidak boleh tidak membawa juga bersama dua aliran awal yang ke arahnya iaitu Kubisme dan Surealisme yang sangat berpengaruh kepada artis Eropah sebelum penolakan bentukan dan lanskap oleh artis Abstrak Eksprssionis Amerika. Clement Greenberg jagoan dan pendokong abstrak ekspressionis telah memberi definisi baru karya selepas abstrak iaitu ‘Post Painterly Abstraction’ atau Pasca Catan Abstrak pada tahun 1964 untuk mengambarkan karya seni artis Amerika seperti Morris Louis, Kenneth Noland, Jules Olitski dan Ellsworth Kelly, dimana mereka menggunakan bidangan penuh warna asas. Kadangkala karya sebegini boleh digambarkan sebagai catan bidangan (Colour-Field Painting) sungguhpun begitu tema ini termasuklah generasi yang terawal seperti Yves Klein, Ad Renhardt dan Bernett Newmann. Tema ini yang bergantung bukan sahaja terhadap apa yang terdapat dalam karya tetapi terhadap identiti artis yang diperkatakan oleh beliau.



Pameran ini bukanlah untuk mengulangi bentukan yang telah dihasilkan empat atau lima puluh lepas tetapi ia ingin mencari sudut-sudut yang mungkin terlepas pandang oleh artis yang sebelumnya dari aspek ruang, warna dan cahaya yang dapat dikesan oleh artis dalam pameran ini melalui teori saintifik sains dan seni Susanne Langer. Hal ini kerana persoalan yang dilontarkan dalam pameran ini bukanlah persoalan yang berkaitan dengan kekaburan (ambiguity) seperti yang selalu difikirkan oleh kita apabila membaca karya abstrak namun ia lebih daripada itu, sehinggakan pameran ini dinamakan neo atau baru, pasca dan selepas. Tidak hairanlah jika Barnett Newmann sendiri pernah berkata “Kita harus menyerang semula dan apa yang telah dilabelkan kepada kita sebagai Abstrak-Ekspressionis, Abstrak Impressionis, Action Painting, Informed, Tachisme, Field Painting, Color Painting, dan kini New York School. Ini bukanlah pergerakan ‘stail’ konvensional tetapi suara kolektif individu”.

Sehinggakan pernah Robert Rosenblum menulis selepas zaman kegemilangan Abstrak Ekspressionis dengan menggunakan “Abstrak Sublime” untuk memberikan apa yang beliau rasakan kejayaan yang dicapai oleh Abstrak Ekspressionis. Seperti yang kita ketahui polemik pengkaryaan seni abstrak telah mengundang pelbagai wacana samada daripada artis itu sendiri, kurator, pengkritik mahupun profesional museum. Inilah seperti yang dikatakan oleh Langer “Bagi abstraksi ia biasanya akan memperlihatkan sesuatu tujuan intelektual, dan tujuan itu berbeza secara radikal dari satu konteks dengan yang lain”


Ruang

Susanne Langer dalam eseinya Abstracton in Science and Abstraction in Art pernah menerangkan “Kini artis bercakap tentang ‘bentuk’dan tahu apa yang diperkatakan; tambahan pula maksud itu berkait rapat dengan apa yang diperkatakan oleh ahli logik sebagai ‘rupa yang boleh dilihat dan disentuh’. Oleh itu artis akan menyoalkan peranan mereka bagaimana seorang itu bercakap terhadap ‘bentuk’ sesuatu yang tidak boleh dilihat dan disentuh-contohnya, kejadian-kejadian alam, atau memperincikan ekspressi matematikal yang sama dengan kosong.” Melihat bentukan-bentukan ‘Lingkaran’ oleh Elias Yamani Ismail bagi menjelaskan pengalaman peribadi dilihat daripada bentukan ruang-ruang lingkaran yang berpusar seperti pusaran air, kadangkala karyanya ini dilihat seperti sebuah objek hidupan alam yang berlingkar seperti pengubahsuaian spesis biologi serangga ulat, kepompong, tenggiling dan lain-lain. Haiwan ini berlingkar untuk melindungi diri daripada musuh dan untuk penyamaran agar mereka tidak mudah dikenali seperti dalam Lingkaran Kembar. Pengolahan bentukan ruang yang menarik yang mungkin daripada alam ini yang direpresentasikan dalam bentukan baru menduga pelbagai interpritasi kederiaan audien.


Dalam Lingkaran Empat Segi I dengan lingkaran yang dicernakan dengan warna yang garang seperti merah, jingga dan kuning serta sedikit warna sejuk seperti unggu yang dipersembahkan secara tiga garisan horizontal seolah olah lingkaran tersebut bergerak secara mekanikal dengan permainan ruang positif dan negatif. Dalam Lingkaran Empat Segi II pula lingkaran yang berwara kuning, hijau, merah, unggu, biru dan jingga yang disusun dengan sembilan pembahagian seolah-olah seperti setiap satunya dilihat seperti jambangan bunga yang berwarna warni yang jika dilihat daripada pandangan atas. Cadangan gabungan setiap lingkaran Elias itu membentuk satu kesatuan yang lebih besar seolah satu perwakilan hidupan bernyawa yang hidup yang menganggu deria seperti karya Spiral Jetty oleh Robert Smithson dimana karya beliau tidak boleh hidup tanpa ada pengulangan yang sama.

Langer menambah “Bentuk artistik adalah kesatuan perseptual terhadap sesuatu yang dilihat, didengar dan diimiginasikan-itulah yang di jelmakan, atau Gestalt, terhadap pengalaman”. Dalam karya Self Isolated iaitu karya cantuman secara matematikal kayu oleh Safwan Ahmad beliau cuba menyelesaikan permasalahan perletakan ruang-ruang bentukan konflik dalam aturan dua dan tiga dimensi. Dalam Self Isolated No. I contohnya objek ‘masalah’ diletakkan di ruang bawah panel segi empat yang berwarna merah yang mungkin penyebab konfilik. ‘Perletakan diri’ ruang objek yang diimaginasikannya kadang kala berada di sudut bawah, atas, tepi, kiri dan kanan adalah satu metafora yang mungkin berlaku dalam kehidupan harian kita . Seperti kata Langer lagi “Mungkin seseorang terus akan memanggilnya sebagai ‘bentuk’ Gestalt itu hanyalah sebagai metafora; namun ada kebenarannya untuk menggunakan perkataan itu sebagai struktur sintetikal yang bermetaforikal, timbul daripada geometrik, dan membawa kepada algebra, logik dan malah tatabahasa” Namun apa yang lebih penting bagi Safwan adalah dimana perletakan itu persuaikan.


Warna

Menurut Langer “Proses kerja pengabstrakan berkait rapat dengan pembuatan simbol dan penggunaan simbol lebih daripada pengiktirafan terhadap sesuatu elemen yang telah diabstrakkan. Abstraksi yang sebenar adalah berkait rapat dengan akhirnya apa yang hendak di capai, lahir daripada cerminan daripada karya-karya seni dan sains, dan keseluruhannya akan difahami melalui maksud yang diungkapkan.” Pernyataan oleh beliau ini sangat signifikan dengan karya-karya terkini oleh Faizal Sidik, dalam tiga karya Broken Heart iaitu Broken Heart 04 #1 dan Broken Heart 04 #3 Faizal Sidik menggunakan abstraksi warna dan simbol iaitu titisan warna merah dan simbol daripada hati atau jantung manusia dengan bentuk cinta untuk memberi makna kepada pembuatan simbol. Apa yang lebih radikal lagi adalah dalam karya Broken Heart 04 #2 dalam mengungkapkan kepatahan hati karya yang keseluruhan menggunakan warna merah daripada kayu atau panel tersebut telah dipatahkan dengan sengaja dalam menyimbolkan kepatahan hati. Simbol hati adalah simbol yang universal dimana semua kebudayaan juga mempunyai maksud yang sama. Dalam Sweet Heart atau si manis hati yang dipersembahkan secara gantungan menggunakan medium gula diatas panel sebagai pengantar mesej rasa manis. Faizal benar-benar menggunakan abstrak simbolisme dalam perletakan tajuk karya dalam mensintesiskan perlambangan dalam karya-karyanya.

Faizal Sidik dari kumpulan seni kolektif  'Satu' bersama karya gergasi berupa bentuk hati yang bertajuk  'Patah Hati'


Apabila melihat karya-karya seperti Manna from Heaven dan I remember the day we meet oleh Mia Farizza penggunaan warna dan komposisi dilihat mempunyai pengaruh daripada neo Abstrak Lirikal yang pernah diterokai oleh Halen Frankahaler. Sungguhpun begitu penggunaan warna merah yang kelihatan dominan dalam karyanya ini seolah-olah menyimbolkan kearah perasaan kecintaan dan keberahian. Mungkin benar apa yang diperkatakan oleh Langer dalam menyimbolkan peranan warna dalam kedua-daua Faizal Sidik dan Mia Farizza “Karya seni adalah simbol; dan peranan artis adalah, daripada awal hingga akhir, adalah membuat simbol. Dan pembuatan simbol memerlukan abstraksi, bila mana lebih banyak peranan simbolik ini tidak secara konvensional digunakan, namun bentuk yang timbul adalah secara signifikan oleh benar daripada karakter. Maksud terhadap karya seni perlu secara imaginatif timbul melalui bentuk-bentuk yang dipaparkan terhadap deria atau deria yang mana ianya ditujukan; dan untuk melakukan ini, karya itu mestilah benar-benar di abstrakkan terhadap significant forms atau‘bentuk menarik’ pada sesuatu yang konkrit iaitu pada medium.”

Menghairahkan: Karya Faizal Sidik 'Patah Hati' mengambarkan perhubungan kisah cinta pelukis yang tak kesampaian.



Cahaya

“Hubungan semulajadi antara kualiti sensorial dan perasaan, yang mana pertaliannya di kawal bahasa oleh perkembangan ‘akar-metafora,’ juga ditentu oleh perletakan fungsi material sensual dalam seni.” Itulah yang dinyatakan oleh Langer dalam memberikan gambaran tentang pengalaman seni. Namun dalam menjalani kehidupan secara kontemporari idea-idea inilah yang digunakan oleh Isnian Ibrahim dalam karya fotografinya. Tajuk dalam karya beliau iaitu ‘Y’ sudah cukup untuk memberikan kegerunan imej mainan perasaan kederiaan yang beliau paparkan kepada kita. Dengan sudut fotogarafi dari bawah Isnian merakam imej cahaya yang gelap lagi suram, kekaburan subjek dan kesamaran imej yang tidak pasti telah ada dalam pengkaryaan Untitled beliau seolah kelihatan lembaga raksaksa daripada pembentukan awan.

Langer menambah “Permukaan, warna, jalinan, cahaya dan bayang, ton bagi setiap tinggi rendah dan kualiti, vokal dan konsonan, cepat dan lambat pergerakan-semua inilah yang akan mempamerkan kualiti-kualiti-iaitu potensi simbol perasaan, dan di luar daripada ini iaitu ilusi bebas struktur yang dihasilkan.” Dalam Use the Man kita dapat lihat kepekaan beliau dalam merakam awan gelap dan ruang-ruang kosong. Isnian mungkin seorang yang enviromentalis dalam karya ini beliau dilihat cuba memberi komentar sosial mengikut medium yang serasi dengannya. Rakaman imej tiang elektrik yang memberi gambaran pembangunan dan awan dan persekitaran atmosfera yang menggunakan cahaya gelap dan suram cuba memanifestasikan krisis penggunaan tenaga di zaman moden ini. Dengan penggunaan perisian Isnian seolah-olah melukis semula fotografi beliau mengikut perasaan dan emosinya terhadap isu berkenaan.

Dalam memberi kepuasan sensasi terhadap pengalaman kederian melihat objek Sukor Romat meneroka abstraksi fenomena alam angkasa dengan eksperimentasi terhadap titik-titik atau dot. Sunggguhpun begitu Langer menegaskan “elemen sensual, selalu disebut ‘kepuasan deria’ pada karya, bukan kepuasan secara keseluruhannya tetapi sebenarnya adalah simbol” Pengabstrakan perwakilan dengan menggunakan warna yang seolah-olah seperti menyimbolkan tompokan-tompokan cahaya dalam siri karya Blooming Light oleh Sukor membawa keindahan fenomena alam di atas langit turun ke bumi kepada kita dengan sentuhan estetik sebagai artis. Dalam Blooming’s Light IV misalnya beliau menyimbolkan kekuatan cahaya merah dan kuning dalam menerokai kedalaman ilusi atau depth dengan sedikit penglahiran rasa seperti yang disebut Langer “ keseluruhan fenomena ini ditambah dengan metafora perasaan, diterokai dan dikenali oleh intuisi yang sama yang menjadikan bahasa berkembang daripada akar metafora’ asas yang menimbulkan tarikan perasaan”.


Kesimpulan

Seni bukanlah membuat semula gambar atau illustrasi imej yang telah ada, idea artis adalah lebih besar menjangkau daripada pelukis illustrator.Tugas artis sebagai saintis sosial adalah menzahirkan dunia diluar sedar kedalam realiti masa dalam bentuk yang dikatakan sebagi produk, objek mahupun artifak untuk samada visi artis tersebut dilihat, dirasai, disentuh atau didengari.


Rujukan

Susanne K. Langer, Abstraction in Science and Abstraction in Art, from Problems of Art (New York: Scribner’s, 1957), 163-180

Penerbitan Akhbar

Rizuwan Zaini, “The Need for Space, Colour and Light”, Published by New Straits Times (Streets), 11 Aug 2009, page 6-7 (illustrated). (Online) (PDF) (Artists: Faizal Sidik, Elias Yamani, Isnian Ibrahim, Sukor Romat, Mia Farriza & Safwan Ahmad)
Yip Yoke Teng, “Bold, Different  and Loud”, Published by The Star (Metro), 13 Aug 2009, sec M20-M21 (illustrated). (Online) (PDF) 
(Artists: Faizal Sidik, Elias Yamani, Isnian Ibrahim, Sukor Romat, Mia Farriza & Safwan Ahmad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan