Selasa, 30 Julai 2013

Prakata Senikini #20



Selamat Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada pembaca Senikini. Tahun 2013 ini genaplah usia 55 tahun penubuhan Balai Seni Visual Negara. Ditubuhkan pada 28 Ogos 1958 bermula di Jalan Ampang daripada 1958-1983, kemudian di Hotel Majestic Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishamuddin daripada 1984-1998, dan sehingga kini mempunyai bangunannya sendiri yang tersergam di Jalan Temerloh Off Jalan Tun Razak.

Menelusuri penubuhan BSVN sepanjang 55 tahun pelbagai cabaran yang dialaminya. Mengimbau kembali sejarah penubuhan Balai bermula dengan penubuhan sebuah Majlis Kesenian di pada tahun 1952. Hasilnya pada tahun 1955 Majlis ini telah giat membincangkan akan keperluan penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang menyimpan Koleksi Seni Nasional. Hasrat ini menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri pada masa itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengungkapkan minat peribadi beliau terhadap projek ini.

Pada bulan Mac 1956 , ketika merasmikan pameran Third Annual Open Malayan Art Exhibition yang diadakan di sebuah bangunan kerajaan sebagai rumah sementara untuk menyimpan koleksi karya seni lukis negara. Tunku secara prinsipnya meluluskan Malaya ketika itu perlu memiliki Balai Seni Lukis Negaranya sendiri. Dua tahun kemudian pada  tahun 1958 ketika merasmikan pameran Fifth Annual Open Malayan Art Exhibition mengumumkan premis yang digunakan itu sebagai pendudukan sementara Balai Seni Lukis Negara. Pada Mesyuarat Majlis Kesenian yang ke-78, tanggal 28 April 1958. Pengerusinya mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan Kertas Cadangan Untuk Balai Seni Lukis Negara, dan sejumlah RM 1000 telah diberikan kepada Majlis Kesenian bagi perbelanjaan awal ketika itu.

Dasar Seni BSVN yang menyatakan perlunya dalam memberi pertimbangan utama fungsi utama pedogogi dalam merapatkan jurang yang sedia ada di antara seniman dan orang ramai. Keputusan untuk menubuhkan sebuah balai seni yang menyimpan karya seni lukis menandakan pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap pembangunan dan pengembangan seni visual dalam pembinaan negara. Kesedaran dan penerimaan rasmi ini cukup penting buat seniman. Hasil usaha mereka akan dikumpulkan, ditempatkan, ditayangkan untuk pameran awam dan dipelihara bagi ganerasi mendatang sebagai cerminan warisan kehidupan budaya bangsa

Sepanjang 55 tahun penubuhan juga Balai Seni Visual Negara membantu mempromosikan seni dalam negara dengan menganjurkan pameran dan pertandingan serta menampilkan imej artistik negara ke luar negara melalui pameran bergerak dan penyertaan di dalam pameran-pameran seni antarabangsa. Antara kegiatan utama Balai Seni Visual Negara dalam mempromosikan seni Malaysia ialah penganjuran pameran Malaysian Art Travelling Exhibition yang mengelilingi Eropah pada tahun 1965/6, Salon Malaysia 1969, Malaysian Art Travelling Exhibition yang mengelilingi Australia dan New Zealand pada 1969. Penglibatan Malaysia dalam 10th Sao Paolo Biennale, Brazil 1969. Asian Countries in Contemporary Art Tokyo, 1969, Expo '70, Osaka (International Pavilion), 'Man and His World' Exposition Montreal, Canada 1970, Personal Choice Exhibition, 1972, Abstract Expressionists of the sixties, 1974, Asean Mobile Exhibition,1974,  Modern Sculpture in Malaysia,1976, North Malaysian Week Festival, Aldelaide, Australia 1973, Plastic Arts in Malaysia 1957-1977, Open Art and Graphic Print Competition 1977' serta penglibatan Malaysia dalam Fourth Triennale of Contemporary World Art, New Delhi, India 1978. Malaysia Art 1965-1978, London 1978, Gema : Resonance di Republik Czech, 1998, 

Sempena menyambut 55 tahun Balai Seni Visual Negara ini juga pelbagai program khas telah, sedang dan akan dirancang dalam meraikannya sepanjang tahun ini. Antaranya ialah pameran ‘M50’ iaitu pameran istimewa sempena menyambut Hari Penubuhan Malaysia yang ke-50 tahun yang akan diadakan pada bulan kemerdekaan iaitu dari Ogos sehingga tarikh Penubuhan Malaysia pada 16 September. Pameran terbaik pilihan lain yang diraikan dalam merayakan sambutan ini adalah seperti pameran mega ’60 Tahun Latiff Mohidin Retrospektif’, ‘Destiny: Young Group Show’, ‘Absurd(city)’, ‘Warisan: Kaligrafi Cina Malaysia Ke-6’, ‘Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita’, ‘Pancawarna: Karya Pilihan 1990-2013 Syarifah Fatimah Syed Zubir’ , ‘Huang Yao’s Life’, ‘Bakat Muda Sezaman 2013’ dan lain-lain telah direncanakan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan