Rabu, 31 Julai 2013

Metafora air dalam seni lukis



Oleh MUHD FAIZAL SIDIK

MENGIKUT Kamus Dewan, air didefinisikan sebagai cecair yang terbentuk daripada gabungan dua hidrogen dan satu bahagian oksigen (H2O) yang tidak mempunyai warna, bau dan tidak mempunyai rasa seperti misalnya air sungai, laut dan tasik.

Air adalah salah satu daripada empat unsure alam terpenting iaitu tanah, air, api dan angin. Manusia memerlukannya setiap masa kerana ia adalah unsur asas setiap makhluk bernyawa.

Seniman dan dalam konteks ini pelukis adalah juga manusia, tetapi ia berbeza dengan orang awam kerana ia dapat merakamkan apa yang dilihatnya, ombak atau air tenang di kolam dapat dirakamkan oleh pelukis ke atas kanvas – tidak saja untuk mengekalkan sensasi pada sesuatu masa dan ruang tertentu untuk manfaat dirinya, dalam waktu yang sama orang lain juga dapat menikmatinya.

Air sebagai metafora digunakan seniman dalam karyanya sebagai sunjek utama atau sampingan bagi menyampaikan mesejnya. Dalam hal ini seniman tidak sewenang-wenang menggunakan sesuatu imej atau metafora, sama ada air atau apa saja tanpa sebarang penyelidikan, pemahaman dan yang sama pentingnya ialah penghayatan terhadap metafora yang dipilihnya.

Bagi membicarakan karya tempatan tahap pengalaman, pendedahan dan sifat dalaman mereka berbeza dengan pengkarya Barat. Terikat kepada ketiga-tiga perkara tersebut memungkinkan faktor utama kelainan karya tempatan. Namun demikian ia telah menghasilkan karya yang seiring ataupun menggunakan elemen yang sama dalam setiap karya mereka. Mereka kebanyakan sering mengutamakan simbol, perlambangan dan metafora yang sama iaitu air dalam setiap karya mereka.

Hamdan Shaarani menggunakan subjek air sebagai metafora dalam karyanya. Karyanya Reflection Series menggunakan refleksi air menceritakan konflik manusia secara individu, kumpulan mahupun masyarakat terhadap persekitarannya atau terhadap kehidupan dan perhubungan sesama manusia sendiri. Air yang tenang, air yang keruh, air yang beriak atau penuh sampah sarap, bergelombang dan sebagainya, semuanya digunakan oleh Hamdan bagi menyatakan pelbagai gerak dan gelombang hidup manusia.

Melalui akrilik di atas kanvas, Hamdan memilih metafora air secara simbolik bagi menyatakan mesejnya. Seorang yang belum begitu mesra dengan bahasa catan Hamdan tentulah akan menghadapi masalah menghayati refleksi yang dibangunkannya, namun bagi yang sudah biasa, bukanlah menjadi satu masalah. Seorang yang belum biasa barangkali akan melihat secara penuh pesona betapa indah, hidup dan beriaknya refleksi Hamdan; seorang yang sudah biasa dengan cepat akan memberi tafsiran mengenai mesej yang ditonjolkan Hamdan.
Raja Azahar Idris dengan catannya Jalan Tun Razak(1996) juga menggunakan air sebagai metafora. Titisan air hujan yang mengalir di permukaan hadapan cermin kereta di lukis di atas kanvas memberikan kesan yang amat menarik. Raja Azhar mungkin ingin menggambarkan permasalahan yang terdapat di Jalan Tun Razak secara khusus, atau mungkin juga Raja Azhar ingin memberikan komentarnya mengenai betapa hujan boleh menganggu kesenangan orang moden hari ini dengan kenderaan keretanya. Begitulah metafora di tangan seniman selalu membawa kesan tertentu yang boleh ditafsirkan secara yang pelbagai oleh penghayatnya.

“Hebat juga Pemandangan Jambatan Pulau Pinang!... dengan Jerebu Lagi!” karya foto Ismail Hashim dari Pulau Pinang. Metafora air laut digunakan sebagai sub subjeknya di samping beberapa subjek utama lain.

Namun sebagai sub subjek, air sebagai metafora terletak di tengah secara horizontal, subjek lain adalah sampah sarap yang penuh dan bahagian paling atas adalah jerebu.
Metafora air yang terletak di tengah-tengah lukisan ini secara horizontal pula memberi kesan dan membawa makna tertentu kepada setiap yang menikmati karya ini. Sampah, terlalu banyak, dan sampah itu terapung di dalam air. Manusia minum air, masak makanan dengan air. Jerebu! Jerebu adalah debu yang amat halus di dalam udara. Manusia menghisap udara. Bayangkan betapa akan terjadi kepada jantung dan paru-parunya.

Metafora sebagai salah satu unsure penting dalam karya seni bukan baru ditemui. Ia digunakan oleh pelbagai seniman – Timur mahupun Barat – secara sedar atau tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan