Rabu, 31 Julai 2013

Dinamika Tampak Pelukis Muda: Satu Catatan


Oleh : Muhd. Faizal Sidik


Tradisi berkarya dan berpameran merupakan aset terpenting Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) terutamanya Jabatan Seni Halus yang merupakan nadi utama penggerak seni tampak tanah air. Peranan (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dahulunya Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, (KSSR) Institusi Teknologi Mara yang ditubuhkan sejak 34 tahun lalu (1967) membuktikan kecemerlangannya. Bukan sekadar melahirkan graduan yang dapat menyumbangkan kepakaran dalam pelbagai sektor pekerjaan, bahkan turut mencipta lebih ramai pelukis dan pereka muda bagi mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam pameran ‘Dinamika Tampak’, 28 karya berjaya dipamerkan oleh 18 pelukis muda kelahiran Jabatan Seni Lukis, UiTM Perak. Mereka yang merupakan bakat-bakat muda yang berpotensi dan perintis penting seempena dengan kedatangan alaf baru yang bakal mencetus idea baru, memecah sempadan dan tembok seni yang cliché dan mundane.

Manusia tidak pernah berhenti pada satu keadaan begitu juga perkembangan pemikiran, idea, aliran dan falsafah. Tercipta sesuatu yang baru ini bukanlah bermula dari tiada, tetapi ia sebenarnya diberi pembaharuan dari yang lama yang lebih maju dan berteknologi tinggi. Walaupun masih terikat dengan ism-ism dan konvesi dari akademi seni barat yang sukar untuk dipisahkan namun mereka masih mempunyai jati diri. Secara umumnya karya yang dipamerkan dalam pelbagai kaedah dan corak persembahan. Dari gaya etnik, realis, Islamik, happening, instalasi, seni computer dan seni video.

SENI SEBAGAI TUNTUTAN
Kebanyakan masyarakat di dunia ini menjadikan seni sebagai komponen spiritual yang bertujuan magis. Kegiatan ini dapat dikesan dengan merujuk kepada aktiviti melakar di gua-gua batu sejak zaman pra-sejarah lagi. Berasal dari suku kaum Bidayuh Sarawak member satu inspirasi kepada Victor. Karya beliau ‘The Glory of Life’ yang bersifat regional atau kedaerahan cuba mengekspresi cara hidup budaya dan adat kaumnya kepada karya seni. Karya beliau banyak menyelitkan icon-icon yang bersifat setempat dalam masyarakatnya.

PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM
Dinamisme yang mendorong kepada kesenian bermotivasikan Islam juga disebabkan oleh factor sosiologikal. Tidak dapat disangkal pelukis kini sentiasa peka dengan cabaran sosio-budaya dan politik semasa. Pelukis-pelukis berperanan sebagai angin perubahan yang gigih dalam membangunkan negara. Hasil karya mereka tidak bersifat individualistik, subjektif, atau peribadi, sebaliknya karya-karya mereka mendakapi keterlibatan social yang mendalam yang berfungsi sebagai perakam budaya.

Islam menjadi garis panduan serta system nilai yang mengukur bentuk serta makna seni kotemporari Melayu. Pelukis Melayu peka akan hal ini, justeru itu karya mereka sedapat mungkin tidak melewati batas-batas agama dan kebudayaan, bahkan banyak yang berteraskan estetika seni Islam. Dalam Dinamika Tampak, penghayat berpeluang mendekati konsep sedemikian dalam karya Mahadi Muda, Nuramani Zainuddin, Siti Zam Zarinah, Khalid Bin Musi dan Suraya Hani.

Ini tercermin dalam karya Mahadi Muda ‘Iqra’ (Carilah Ilmu). Bagi beliau kesenian Islam boleh juga didefinasikan sebagai peringatan (zikir) dan renungan. Karya ‘Iqra’ atau Bacalah’ cuba mengingatkan kita perihal pentingnya ilmu iaitu dengan membaca dan menulis. Mahadi bermediumkan Seni Khat (kata-kata Suci Allah) sebagai bahasa pengantarnya. Kepelbagaian bentuk tulisan khat seperti Kufi, Nasakh, Thuluth, Diwani dalam karyanya membawa makna bidang pembacaan dan ilmu yang luas.

Pengalaman tentang pemakaian doa dalam kehidupan muslim seharian menjadi konsep karya ‘Nuramani ‘Doa, Cahaya dan Bayang (Invocation Series). Nina merujuk kepada kostum dan pakaian sebagai metaphor pelindung manusia daripada bahaya-bahaya negatif. Penggunaan ayat Al-Quran sebagai satu bentuk persembahan kaligrafi kontemperori. Teknik baru iaitu penggunaan bahan tanah yang tidak menjalani disiplin pembakaran dan penerokaan terhadap seni fabric jarang divisualkan ke dalam seni tampak kita.

Siti Zam Zarinah ‘Keagungan Tuhan’ dan Suraya Hani ‘Paradoks’ (Siri Keanehan Mimpi) pula lebih tertarik dengan gabungan unsure formalistic dari tumbuh-tumbuhan dalam menerapkan pengucapan Islamik mereka. Kesan penggunaan kerangka daun getah dalam karya Zam begitu menarik apabila disatukan dengan prinsip dan rekaan yang mencerminkan keadaan yang harmoni diantara manusia dan alam semulajadi.

Khalid bin Musi terpengaruh dengan penggunaan barang dagangan semasa. Beliau dipengaruhi dengan seni pop Barat yang dipelopori oleh Andy Warhol. Apa yang menjadi isu beliau ialah tentang penggunaan barangan keperluan semasa yang berada dipasaran yang tidak islamik. Dalam ‘Roti’ dan ‘Air Mineral’ cuba untuk membangkitkan penggunaan semula tulisan yang kini hampir pupus penggunaannya dalam kehidupan kotemporari Malaysia. Khalid mengajak agar kita  menghidupkan semula tulisan ini dengan dimulakan dengan barang makanan harian kita.

PERHUBUNGAN ANTARA SENI DAN MANUSIA
Manusia, masyarakat dan kebudayaan merupakan kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Ketiga-tiga aspek ini berkait rapat dengan falsafah, tamdun dan idea. Penciptaan sesebuah karya seni tampak tidak diasingkan dari faktor-faktor tersebut. Perubahan citarasa yang berlaku dalam masyarakat akan menentukan nilai-nilai hidup, ia menerima perubahan namun alam pemikiran dan proses mencipta sesuatu seringkali dipengaruhi oleh masa lampau masyarakatnya. Bierans De Haan seorang ahli sosiologis Belanda mengatkan unsur statis yang berpasangan dengan unsur dinamis, bermaksud iaitu sesuatu yang ditokok tambah kemudiannya.

Seni lukis lahir dari celah-celah kehidupan masyarakat biasanya menampilkan elemen-elemen tertentu di dalam sesebuah masyarakat tersebut misalnya tentang sosio-budaya ataupun keagamaan. Karya-karya Khairul Anwar ‘Smack Down’ dan Nadzliana ‘Happy My Family’ membahaskan isu semasa yang berada masyarakat kita terutamanya kepada kanak-kanak. Khairul Anwar mengambil televisyen sebagai subjek dan aksi tindak balas daripada perlawanan gusti atau wrestling sebagai subjek komentar beliau. Beliau melihat pengaruh aksi ganas di televisyen sebagai sesuatu yang boleh memberikan kesan buruk kepada mental pembesaran kanak-kanak. Tidak hairanlah jika scenario keganasan atau kenakalan seperti mencederakan dan membuli rakan di sekolah dengan menggunakan alat yang merbahaya semakin menjadi-jadi.

Karya Nizam ‘Semut Merah’ mempunyai kecenderungan menggunakan teks. Nizam menyoal manusia-manusia dalam masyarakatnya. Beliau seolah-olah menyindir sesetengah golongan yang mementingkan diri dan mengangap komuniti adalah sesuatu yang tidak penting. Nizam menggunakan perlambangan semut sebagai satu serangga biasa dilihat hidup bekerjasama dan rajin berusaha menyarankan kita agar mencontohi sikap tersebut.

Karya Eruan bermetaforakan dengan tumbuh-tumbuhan beliau mengkiaskan tumbuh-tumbuhan (taugeh) dengan kehidupan kita sebagai manusia. Karya ‘Persaingan’ yang bersifat “art process” ini boleh dikatakan cuba melarikan dari bentuk-bentuk klise apabila menggunakan objek tumbuhan. Beliau mengingatkan kita bahawa setiap kehidupan ada perlumbaan dan persaingan mencari sesuatu kebaikan untuk survival, tetapi awas setiap persaingan mestilah kearah pembentukan yang sihat karya ini seolah-olah cuba merakam putaran hidup manusia setiap yang hidup pasti akan mati.

Pengalaman semasa bersekolah di Tadika merupakan pencetus idea karya Issarezal Ismail ‘The Rules Of The Playground’. Karya beliau boleh disifatkan lebih mengutamakan fungsi sesebuah karya dalam menyampaikan mesej. Beliau menolak penggunaan catan easel seolah-olah cuba berinteraksi dengan audien agar mengeja seperti abjad yang sering kita lihat terpampang di taman asuhan kanak-kanak.

Fazira binti Abdul Rahim mempamerkan hasil penerokaan media baru dalam catan iaitu dengan ‘computer print’, karya yang berjudul ‘Housing & Urban’ cuba menyampaikan permasalahan yang berlaku dalam proses pembangunan iaitu penempatan haram atau setinggan di kawasan bandar Malaysia.

Alam semulajadi dan kehidupan pula menjadi tema kegemaran Shahril  Azuwan ‘Red Old Leaf On Muddy Water’ dan Juliaanaslizah ‘Do You Drink Coffee’, karya realism Ju diolah secara baik ini cuba menolak konvensi format catan kanvas seperti imej empat segi dilihat seperti rupa bangunan. Ju mengupas permasalahan sosial yang beliau anggap sebagai salah satu daripada pencemaran dalam komuniti harian kini. Karya mereka ini menekankan penggunaan unsur warna, komposisi dan mood dalam catan.

PERTEMBUNGAN ANTARA TEKNOLOGI DAN SENI
Kepesatan dunia sains dan teknologi yang pantas mewarnai kehidupan kotemporari telah mencentuskan suatu bentuk medium dan penyampaian baru. Kemunculan bentuk seni 4 dimensi memberi banyak alternatif kepada pengkarya seni konseptual. Video dan filem berkembang sebagai penyampaian baru seni tampak yang lebih hampir dan agak konseptual.

Penampilan seni video yang  berbentuk ‘motion’ yang dikenali sebagai seni video menjadi satu peralihan baru terhadap orientasi teknologi. Seni video melihatkan ‘masa’. Malah tidak bersifat statik seperti catan, arca ataupun foto. Peralatan seperti monitor televisyen atau projektor dan perakam video menjadi sebahagian dari orientasi objek seni. Karya Muhd. Faizal Bin Sidik dan Rahimi Bin Deraman merupakan pemuka baru yang kian merintis kearah itu.

Kesinambungan imej tradisi Nusantara yang mengajak kita kepada kesedaran penggunaannya kelihatan mula tertampak dalam karya instalasi penuh humour oleh Muhd Faizal bin Sidik “Voice Without A Sound: King Rawana As Mini Bus Driver” dilihat bernada dan berkonsepkan wayang kulit. Mesej beliau tentang isu hak bersuara dilakukan secara halus dan berjenaka. Beliau cuba mengolah penyatuan media besi dalam bentuk arca digabungkan dengan teknologi video. Seolah-olah cuba memperlihatkan bagaimana propaganda yang disalurkan melalui media ini telah berjaya boleh menguasai dan menembusi pemikiran manusia dalam kehidupan, budaya, kepercayaan, agama, dan bangsa.

Bagi karya ‘Millennium Generation’ Rahimi mengungkapkan informasi yang bergerak tanpa had dan sempadan, segala-galanya segera dan pantas, disebabkan keinginan manusia berkehendakkan atau bertukar atau mengetahui maklumat dengan cepat amat tinggi sehingga merobak sistem social kita yang semakin parah yang sedikit demi sedikit menghakis jati diri budaya masyarakat.

Marshall McLuhan seorang ahli sociologi menganggap “The medium is the massage” Bagi beliau setiap bahantara itu mempunyai atau memberi gaya kamunikasi sendiri melalui penstrukturan maklumat dan imbangan deria.

Jika dilihat dan perkembangan seni dan teknologi ini tidak langsung menjejaskan bahasa dan tatabahasa tampak. Perletakkan elemen formalistik seni dan konteks serta isinya tidak mengabaikan atau mengenetepikan elemen-elemen seperti garisan, rupa, bentuk, ruang, dan sebagainya termasuklah kompenen lain seperti imbangan, harmoni, ulangan dan sebagainya. Cuma teknik dan gaya pengucapan atau penyampaian sahaja yang berlainan.

Peralihan Ke Teknologi Komputer

Setelah berlakunya peralihan kepada penggunaan teknologi komputer maka kepelbagaian media dapat diperagakan. Nam Jum Paik salah seorang avant garde dalam seni video menyebut “As collage technic replaced oil-paint”. Kini eletronik dikaitkan dengan komputer, sememang hampir keseluruhan peralatan elektronik sekarang dicipta mempunyai keupayaan pemprosesan seperti komputer. Ini berlaku dengan adanya mikrochip dan mikroprocessor. Pada dasarnya hanya generasi yang berorientasikan teknologi tinggi sahaja yang ghairah atau cenderung terhadap komputer dan keupayaannya. Kerancakan menghadapi alat baru dan teknologi canggih menjadi label generasi akan datang, generasi siber. Teknologi perkomputeran sudah menjadi suatu bentuk globalisasi. Kita dapat melihat teknologi tinggi dan agen transportasinya telah mula menggerakkan seni dalam bentuk pencapaian baru. Karya Rohizal Mat Ayop dan Siti Rafeah Misron ‘Oh Tuan Presiden’ telah mula menampakkan jalan kearah ini sebagai pelukis muda mereka tidak gentar melakukan eksplorasi.
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan