Selasa, 6 Ogos 2013

“Alkesah Yang Empunya Cherita”


Oleh: Faizal Sidik

Penulisan ini merupakan teks kurator di dalam buku pameran "Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita" yang berlangsung pada 24 Jun-1 Sept 2013 di Balai Seni Visual Negara.

Imej  pameran boleh dilihat melalui sisip pautan Facebook disini:
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.205143712976857.1073741829.192984330859462&type=1

Mukadimah
Muzium adalah rumah bagi pemuliharaan memori. Karya seni, artifak atau bahan yang dipamerkan di dalam muzium adalah memori pemilik bangsa berkenaan yang harus terus diperlihara untuk didedahkan sejauhmana dayacipta yang dimiliki. Idea disebalik penciptaan pameran ini adalah untuk mengali rahsia keistimewaan penglipur lara yang bertemakan alam Melayu. Siapakah itu penglipur lara? Bagi kurator, muzium adalah tempat yang sesuai untuk membuat penerokaan dan menyoalnya kembali dalam konteks kita pada hari ini.

Kita mungkin pernah atau seringkali bertemu dengan istilah ini, bunyinya jika dikalangan kita jarang mendengarnya mungkin akan menganggap ia merupakan satu kata lama. Dari sudut istilah pernglipur lara ialah orang yang menghiburkan hati yang duka dengan menyampaikan cerita rakyat yang berunsur jenaka, kisah penglipur lara ini diselitkan dengan syair, pantun, seloka dan sebagainya. Sebelum kehadiran bahan penulisan teks penglipur lara merupakan sastera lisan orang Melayu. Pada zamannya, penglipur lara dianggap seperti seorang bintang yang mempunyai peranan sebagai lahirnya sumber berita, hiburan dan pendidikan.

Dalam konteks kehidupan kontemporari hari ini, kurator melihat dengan kehadiran media cetak dan elektronik seperti suratkhabar, televisyen, radio ditambah pula media sosial seperti Facebook, Twitter, You Tube dan blog-blog sesiapa sahaja boleh menjadi penglipur lara iaitu ‘tukang cerita’. Andy Warhol pernah mengatakan “seumur hidup seseorang itu akan menjadi terkenal dalam 15 minit”. Kemajuan yang dibawa oleh cara komunikasi antara manusia telah mengubah juga cara mereka bersosial. Daripada tradisi verbal, dari mulut ke mulut yang diperturunkan oleh penglipur lara kepada penulisan kata-kata. Daripada penulisan teks kepada gambar bergerak seperti video dan filem,  kehidupan kita dikelilingi oleh penglipur lara dalam istilah sebenar. Kini sesiapa sahaja berhak untuk mengistiharkan diri mereka si tukang cerita tanpa bantuan medium yang disebut tadi. Mereka berperanan dalam membina dan mewujudkan mesej yang berkaitan dengan kerohanian, keadilan, hak dan sejarah.

Persembahan mengkurator pameran ‘Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita’ ingin dikongsi kurator dari perspektif sudut pensejarahan atau historical perspective.  Anda mungkin pernah membaca karya-karya sastera klasik yang dimulakan dengan menggunakan sistem ejaan lama seperti ‘Alkesah’, ‘Syahdan...’, ‘Hatta...’ atau ‘Sebermula diceterakan...’ ini adalah konotasi yang menjadi pembuka kisah sesuatu cerita. Jadi kurator memilih tajuk pameran untuk membuka pengisahan perihal penglipur lara seolah-olah anda sedang melihat pameran ini umpama ‘membaca’ karya kesusasteraan Melayu tradisional dengan ‘Alkesah Yang Empunya Cherita’.

Strategi Kuratorial
Pendekatan kuratorial yang digunakan dalam pameran ini adalah bagaimana karya-karya dalam koleksi BSVN boleh berdialog mengikut tema. Jarang-jarang  sekali dapat kita lihat dalam pameran yang diadakan karya-karya yang mempunyai tajuk atau naratif yang sama di pamerkan dalam satu ruang. Selain itu kurator juga ingin melihat bagaimana karya-karya koleksi BSVN juga boleh ‘berwacana’ dengan karya terkini dan pinjaman dari luar seperti koleksi filem dari Finas dan Aswara dalam memberi nafas baru kepada karya dan tema yang digunakan.

Faizal Sidik


Mengkurator adalah aktiviti menghubungkan objek, imej, proses, orang, lokasi, sejarah dan wacana dalam ruang sebenar. Idea asal pameran ini tercerna daripada wacana diantara Khairuddin Hori iaitu semasa penulisan ini ditulis merupakan Kurator Kanan di Singapore Art Museum (SAM) dan kurator sendiri yang dijemput sebagai kurator bersama atau co-curator semasa menghadiri Singapore Biennale 2013 Kuratorial Workshop. Topik ‘tukang cerita’  alam Melayu di menjadi minat kepada kami terutamanya daripada aspek tradisi penceritaan dalam bentuk lisan kepada teks dan visual melalui pengkaryaan dalam bentuk kontemporari yang dihasilkan oleh artis dan penghibur melalui saluran media sepert muzik, filem dan internet. Jadi dalam membentuk pengalaman kepada pemelihat kurator telah membina pameran ini dalam cara fikir kuratorial.

Hikayat Sang Kancil
Bahagian awal pameran dimulakan dengan hasil yang mempunyai cerita-cerita rakyat, mitos dan lagenda. Hikayat Pelanduk Jenaka yang mengisahkan kebijaksanaan pelanduk untuk melepaskan diri dari bahaya, merupakan salah satu sastera lama bahasa Melayu yang tercipta pada abad ke-15 lagi atau lepat sekitar tahun 1650 lagi. Salinan manuskrip ini disimpan di Jabatan Manuskrip, Perpustakaan Negara Perancis yang terletak di Paris. Hikayat ini juga dikenali dengan nama lain yang popular dengan  Cerita Sang Kancil.  Judul hikayat ini mempunyai 82 muka surat dan 6702 patah perkataan seperti yang tercatat di dalam daftar Wemdly yang ditulis pada tahun 1746.

Diantara kisah yang terdapat di dalam manuskrip yang menggunakan ejaan Melayu abad ke-17 ini ialah bahagian pengenalan bagaimana Sang Kancil yang mengambil gelaran  ‘Syeikh Rimba’ menguasai haiwan di hutan belantara. Perihal seterusnya bagaimana Sang Kancil berpura-pura dikatakan mempunyai kuasa ajaib dimana kancil dapat mententeramkan kambing dan harimau yang kemudiannya berdamai dibawah kekuasaannya. Cerita seterusnya bagaimana haiwan di rimba diancam oleh makhluk ganas yang kemudiannya dibawah perlindungannya. Muka surat 31 hingga 55 menceritakan monyet yang degil mencari sokongan singa namun kancil dapat mengalahkan singa dengan sarang tebuan. Bahagian akhir daripada mengisahkan monyet meminta pertolongan gajah namun sang kancil dapat mengalahkan gajah dalam pertandingan sepak keting.

Projek untuk mengangkat teks manuskrip cerita asal Hikayat  Pelanduk Jenaka kepada animasi  ini bermula pada tahun 1961 oleh Filem Negara Malaysia yang dahulunya dikenali dengan nama The Malayan Film Unit yang ditubuhkan semasa penjajahan British pada 1946 yang bertujuan untuk menghasilkan filem dokumentari dan hebahan umum untuk  kerajaan. Anandam Xavier yang bertugas sebagai pereka set hanya memulakan Hikayat Pelanduk Jenaka dengan judul ‘Hikayat Sang Kancil’ iaitu animasi yang pertama di negara ini pada tahun 1978 dan filem animasi pendek ini keluarkan untuk tontonan  umum pada awal 1980 an.

Kurator sengaja meletakkan siri animasi pendek cerita hikayat yang popular pada tahun 1980 an ini terbitan Filem Negara. Si tukang cerita atau penglipur dapat dikesan oleh kurator berdasarkan suara latar yang menceritakan latar belakang penceritaan. Cerita-cerita rakyat ini dipinjamkan daripada Koleksi Filem Negara antaranya ‘Hikayat Sang Kancil’ yang ditayangkan pada 1983, manakala cerita-cerita Hikayat Pelanduk Jenaka yang lain menyusul yang ditulis dan diarahkan oleh Hassan Muthalib ialah seperti ‘Sang Kancil dan Monyet’, ‘Sang Kancil dan Buaya’ muncul sekitar tahun 1984 dan 1987. Cerita terbitan Filem Negara yang dipertontonkan juga adalah seperti ‘Gagak Yang Bijak’, ‘Arnab Yang Sombong’, ‘Budi Baik di Balas Baik’, ‘Singa Yang Haloba’ dan ‘Telur Sebiji Riuh Sekampung’ dimana dipersembahakan secara loop atau berulang yang mengambil masa hampir 30 minit.

Hikayat Seri Rama
Wayang kulit boleh dikatakan sebagai animasi yang terawal di Asia Tenggara yang dimainkan dengan mengerak-gerakkan watak pada cahaya yang menghasilkan bayang. Cerita penglipur lara yang masih kekal dan dimainkan pada hari ini iaitu Wayang Kulit Kelantan mengambil daripada penceritaan Hikayat Seri Rama. Menurut Ali Haji Ahmad penyelenggara Hikayat Inderapura, pengaruh Hindu dalam kesusateraan Melayu dapat dikesan asal usulnya terutamnya seperti yang terdapat di dalam epik Ramayana dan Mahabhrata. Daripada kajian yang dijalankan versi penglipur lara Hikayat Seri Rama menunjukkan tradisi lisan yang dibawa bersama oleh pendatang-pendatang dan penakluk-penakluk yang menakluk kawasan Hindu di Malaya pada suatu masa dahulu. Satu saluran yang memperkenalkan sastera Hindu selain daripada bentuk puisi adalah seni wayang. Ia amat popular di Pantai Timur yang dimainkan sehingga ke hari ini. Dalam pameran ini dalang yang memainkan permainan wayang kulit boleh dianggap sebagai penghibur yang mengabungkan seni lisan dan muzik.

Cerita Dewek dilipur larakan dalam pameran ini yang mengesahkan Dewek yang dititahkan oleh Raja Seri Rama untuk menuntut ilmu yang dibekalkan dengan sebatang tongkat sakti. Karya Nik Zainal Abidin ‘Wayang Kulit Kelantan’ 1959 dipamerkan bersebelahan dalam sebagai dokumentasi tayangan ini memperlihatkan watak-watak yang terdapat di dalam permainan itu. Kehadiran teknologi moden pada hari ini membuatkan sesuatu persembahan lipur seperti persembahan cerita wayang itu bukan sahaja hanya dimainkan pada 2 atau 3 malam. Bantuan alat pandang dengar seperti audio video membolehkann dirakam dan dimainkankan kembali. Malah revolusi komunikasi pada hari ini membolehkan permainan wayang kulit dimuat naik dan dimuat turun oleh sesiapa sahaja melalui saluran You Tube di internet. 

Rakaman video yang ditayangkan adalah dokumentasi daripada Akademi Seni Warisan Kebangsaan atau ASWARA. Wayang kulit cerita Dewek seperti yang terdapat di dalam Hikayat Seri Rama. Tok dalang sebagai peneraju iaitu Che Mohd Nasir Yusof yang dibantu oleh dua orang pembantu bersama-sama pemuzik akademi berkenaan. Kita biasa melihat atau menonton wayang kulit yang dimainkan secara berhadapan tanpa mengetahui perkara yang berlaku disebalik tabir bagaimana ia dimainkan oleh dalang. Dalam video ini audien berpeluang melihat bagaimana kedua-duanya melalui pembahagian skrin atas dan bawah.

Dalang menglipurkan cerita Dewek ini selama tiga malam berturut-turut berdasarkan video ini yang memuatkan 3 cakera padat. Seharusnya kita harus berbangga dengan dalang yang masih adan sebagai warisan orang hidup atau penglipur lara.

Hikayat Gunung Daik
 Dalam karya Tengku Sabri Ibrahim iaitu ‘Pandir Daik’ dan ‘Pawang Gunung Daik’ kurator berminat memperagakannya secara bersebelah dan bersemuka untuk melihat bagaimana kedua-dua karya ini boleh ‘berdialog’. Menggunakan bahan tradisional iaitu kayu, karya ini mengambil daripada pantun yang cukup popular dikalangan masyarakat Melayu ‘Gunung Daik’. Antara yang biasa dipantukan adalah:                                                                                  
Pulau Pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua

Gunung Daik bukanlah suatu ciptaan imaginasi orang terdahulu, ia memang wujud dan terletak di pulau Lingga iaitu dalam daerah Kepulauan Riau, Indonesia. Keunikan gunung ini adalah kerana ia mempunyai 3 cabang selain misteri-misteri yang diceritakan dalam cerita-cerita rakyat. Dalam pameran ini kurator memetik kenyataan ceritera Gung Daik seperti yang terdapat di dalam buku yang ditulis oleh Tengku Sabri sendiri ‘Tanpa Tajuk-Cerita-Cerita Seni Rupa’ yang diterbitkan pada tahun 2009.

'Gunung Daik' 

Gunung Daik bercabang tiga
Pulau Pandan jauh ke tengah 
 Budi yang baik dikenang jua
Hancur badan di kandung tanah.


...Gunung Daik tersergam kukuh di Pulau Pandan yang jauh itu. Suatu ketika, petaka yang entah dari mana telah datang menimpa. Seluruh warga, dari Raja kepada rakyat jelata hinggalah kepada  segala hamba menjadi kelam kabut, tubuh mereka dihinggapi berbagai penyakit. Segala pekerjaan dan segala urusan terpaksa ditinggalkan. Warga-warga, seolah-olah tiada. Di mana pertolongan? Di mana bantuan? Di mana perlindungan?

Kesemua warga dalam kesakitan. Jeritan dan tangisan berbaur. Mereka mengharapkan supaya keadaan kembali pulih seperti sedia kala. Mereka mengharapkan supaya keadaan iti tidak berlaku.

Petaka semakin menjadi. Rambut mereka mula tertanggak. Biji-biji mata mereka mula jatuh. Daging mereka mula luruh...

Tanpa Tajuk – Cerita Cerita Seni Rupa
Tengku Sabri Ibrahim, 2009
‘Gunung Daik’ ms 158

Dalam penceritaan mengenai Gunung Daik kurator melihat Tengku Sabri melihat dari sisi gelap mengenai masyarakat yang pernah tinggal disekitar gunung itu, dimana mereka dilanda suatu malapetaka yang besar yang menimpa seluruh warga Daik. Musibah misteri ini diterjemahkan beliau dalam kedua-dua arca ini yang seolah-olah kesan daripada peristiwa itu dengan bentuk figura yang begitu asing, yang kelihatan hanya seperti rangka-rangka tengkorak, tulang-tulang yang agak pelik rupanya.

Hikayat Inderaputera
Satu lagi penerokaan yang ingin dikongsikan kurator  dalam pameran ini adalah bagaimana 3 karya yang mempunyai kisah penceritaan yang semasa dipamerakan bersama-sama. Karya utama Anuar Rashid ‘Kelahiran Inderaputera’ 1978 yang merujuk teks daripada Hikayat Inderaputera dipasangkan dengan ‘Flight No.2 Rajawali’ oleh Mad Anuar dan ‘Riang-Riang Rimba’ 1995 oleh Ismail Latiff. Formula ‘3 in 1’  cuba diletakkan dalam menghidupkan ruang 2 dimensi dan 3 dimensi. Burung garuda, rajawali atau merak gergasi menjadi subjek utama dalam penceritaan karya ini.
Dalam Hikayat Inderaputera menceritakan bagaimana Inderaputra yang masih kecil dilarikan oleh merak emas dan kemudiannya beliau dijatuhkan kedalam halaman rumah nenek kebayan seperti yang terdapat di dalam teks ini:

‘Peristiwa Merak Emas’

Al-kisah peri mengatakan tatakala Inderaputera diterbangkan oleh Merak Emas dan peri mengatakan tatakala Inderaputera diangkat  cucu oleh nenek kebayan dan peri mengatakan tatakala Inderaputera diangkat anak oleh Perdana Menteri dan peri mengatakan tatakala Inderapura direstui oleh Menteri Raja Syahian.

Hatta kalakian pada suatu hari Raja Bikrama Buspa semayam dihadap segala raja-raja dan menteri hulubalang rakyat jelata dan orang kaya-kaya dan sekalian hina dina. Maka Inderaputera pun diribai oleh baginda itu. Maka tatakala itu datanglah orang menghantar akan ufti daripada sebuah negeri serta membawa dua orang utusan dan seorang utusan pandai emas dan seorang utusan pandai kayu.

            Maka pandai kedua itu menyembah dan diperbuatkannya oleh pandai kayu itu seekor ikan terlalu amat (elok) rupanya seperti ikan yang sedia. Maka dipersembahkan kepada baginda ditaruhkan (oleh) maharaja ikan itu pada pasu, dibubuhkan air. Maka ia pun tertawa dan berpantun (dan) berseloka. Maka baginda pun hairanlah melihat ikan tertawa berpantun dan berseloka itu.

            Maka titah baginda kepada pandai emas pula. “Hai pandai emas perbuatkan olehmu barang kepandaianmu itu supaya kulihat.”

            Makan pandai emas pun menyembah kepada yang Dipertuan lalu diperbuat suatu gambar merak daripada emas. Maka terlalu elok rupanya. Maka dipersembahkan kepada baginda itu. Maka dilihat oleh baginda merak emas itu terlalu elok rupanya indah sekali. Maka ditaruh oleh baginda pada talam emas dan perak. Maka merak itu pun mengigil terlalu amat indah-indah lagunya seraya ia berpantun dan berseloka.

            Maka Maharaja Bikrama Buspa pun memberi titah kepada utusan yang membawa pandai emas dan pandai kayu dan berkata baginda, “Hai kamu berdua, pada hari inilah aku tiada mengambil ufti pada kedua negerimu itu.”

            Maka kedua utusan itu pun sujud akan Maharaja itu dengan sukacitanya. Hatta dalam berkata-kata maka Inderaputera pun turun daripada ribaan ayahanda baginda pergi melihat merak emas mengigal di atas talam itu. Maka tiba-tiba merak itu menyambar Inderaputera seraya diterbangkannya. Maka Inderaputera pun ghaiblah daripada mata baginda dan orang sekalian dan Maharaja Bikrama Buspa pun melihat anakanda baginda hilang. Maka baginda pun murca seketika. Setelah sedarlah akan dirinya dan baginda pun menangis dan segala isi istana pun gemparlah bertangis-tangisan dan isi negeri pun dukacita mendengar Inderaputera hilang itu dan Maharaja Bikrama Buspa pun terlalu dukacita sentiasa.

            Hatta maka Inderaputera pun diterbangkan merak emas. Maka jatuhlah ia kepada suatu kebun nenek kebayan. Maka Inderaputera pun berjalanlah perlahan-lahan lalu berhenti di bawah pohon delima. Maka Inderaputera pun makanlah buah-buahan.

            Setelah sudah makan maka nenek kebayan pun pulanglah daripada berjual bunga. Maka bakulnya pun ditaruhkannya. Maka datanglah ia ke dalam kebunnya itu. Maka Inderaputera pun setelah melihat orang tua perempuan datang itu maka ia pun ingat akan dirinya, dan bercintalah ia akan ayahanda dan bondanya. Maka ia fikir dalam (hatinya). “Sudahlah dengan nasibku.”

            Maka setelah itu nenek kebayan pun sampailah kepada pintu kebunnya. Maka dilihatnya ada terikat, dan dilihatnya di dalam kebunnya itu ada seorang kanak-kanak duduk di bawah pohon delimanya itu. Maka rupanya terlalu amat indah penuh dengan pakaiannya.

            Maka ujar nenek kebayan. “Anak siapa gerangan ini dan daripada mana gerangan datangnya. Lagi  pun pintu pagar ini ada terikat dan kampungku pun terlalu jauh daripada kampungnya orang banyak.” 

            Maka bertanya nenek kebayan. “Hai cucuku kanak-kanak siapa cucuku ini dan dari mana cucuku datang ini.”

            Maka ujar Inderaputera. “ Akulah anak raja Bikrama Buspa dan namaku disebut orang Inderaputera. Adapun sebabnya aku sampai ke mari ini diterbangkan oleh merak emas.” Dan segala hal-ahwalnya sekalian habis diceterakannya kepada nenek kebayan...

Hikayat Inderaputera

Kebanyakan dewa atau wira-wira di dalam lipur lara akan memberikan pertolongan jika diperlukan. Kurator  teringat kepada watak-watak adiwira popular yang di filemkan seperti Superman, Batman, Spiderman semuanya adalah wira-wira orang putih kecuali Ultraman buatan Jepun. Cuma yang membezakan wirawan ini dengan yang terdapat di dalam cerita lipur lara adalah mereka bukan menyamar sebagai manusia. Persoalannya adakah tukang-tukang cerita wayang barat ini juga membaca cerita-cerita penglipur lara kita? Apa yang pasti setiap bangsa mempunyai kisah-kisah perwira purba mereka sendiri dan pengarah Hollywood menggunakan kisah lama dalam bentuk hiburan baru.

Hikayat Sulalat al-Salatin
Subjek gunung atau gunungan begitu akrab dengan kosmologi di Alam Melayu. Gunung dianggap sebagai payung atau atap yang menjadi tempat berlindung, tidak hairanlah jika seni bina rumah Melayu mengambil bentuk segitiga gunung sebagai rabung rumah yang melindungi daripada hujan dan panas. Ada pula yang mengatakan bentukan runcing keatas itu simbol kepada puncak kekuasaan dan kekuatan.

Di dalam pameran ini kurator memperagakankan karya yang mempunyai tema Gunung Ledang iaitu karya ‘Semangat Ledang’ oleh Syed Ahmad Jamal dan ‘Alam Ledang’ oleh Ramlan Abdullah. Syed Ahmad Jamal yang begitu setia dengan tema gunung ini sejak awal tahun 90 an lagi.  Tersentuh dengan pengkisahan pemimpin yang gila kuasa seperti yang diceritakan didalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu seperti yang ditulis semula oleh Tun Seri Lanang pada 1612 menjadi inspirasi kepada beliau dalam melihat peristiwa ini dengan gaya yang tersendiri. 

Kisah bagaimana Sultan Mansur Syah yang ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang memerintahkan Tun Mamad pergi meminang puteri itu namun ada beberapa permintaan yang tidak dapat ditunaikan oleh Sultan kerana terpaksa mengorbankan anaknya menjadi sumber kepada pengkaryaanya beliau berdasarkan teks Meminang Puteri Gunung Ledang dibawah:

'Meminang Puteri Gunung Ledang'

...Arkian pada suatu hari Sultan Mansur Syah diadap oleh orang besar-besar dan segala menteri, sida-sida hulubalang sekaliannya. Maka Sultan Mansur Syah memberi titah pada segala orang besar-besar, “Adapun bahawa syukur kita ke hadrat Tuhan Subhanahu wa Ta’ala kita beroleh kerajaan yang amat besyar, dianugerahkan Allah pada kita. Tetapi suatu lagi maksud kita jikalau dapat kita pohonkan ke hadrat Allah bahawa kita hendak beristeri yang terlebih daripada segala raja-raja dalam dunia ini.”

Maka (sembah) segala orang besyar-besyar,” Adakah, tuanku, yang seperti tuanku kehendaki itu, kerana puteri Jawa dan puteri China telah telah diperisteri Yang Dipertua. Apa pula yang lebih dari itu, kerana pada zaman dahulu kala Raja Iskandar Zulkarnain hanya yang beristeri anak Raja China. Akan sekarang Yang Dipertuanlah.”

Maka titah Sultan Mansur Syah, “Jikalau beristerikan sama anak raja-raja ini adalah raja yang lain pun demikian, tetapi yang kehendakku barang yang tiada pada raja yang lain, itulah kehendak kita peristeri.”

Maka sembah segala orang besar-besar, “Yang mana titah tuanku itu supaya patik sekalian kerjakan?”

Maka titah Sultan Mansur Syah, “ Kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang. Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.”

Maka sembah Laksamana dan Sang Setia, “Baiklah, tuanku.”

Maka Tun Mamad dititahkan pergi sama-sama membawa orang Inderagiri akan menebas jalan kerana Tun Mamad itu penghulu orang Inderagiri . Maka Laksamana dan Sang Setia pun pergilah sama-sama dengan Tun Mamad.

Telah berapa hari lamanya di jalan sampailah ke kaki Gunung Ledang. Maka sekalian naiklah ke Gunung Ledang. Baharu kira-kira setengah naik gunung itu, angin pun terlalulah keras. Maka tiadalah dapat ternaik oleh orang itu. Syahdan jalan naik itu pun terlalu sukar.
Maka kata Tun Mamad kepada Laksamana dan Tun Setia, “Tinggallah Orang Kaya Laksamana semuanya di sini, biar beta naik.”

Maka kata Laksamana, “Baiklah.” Maka Tun Mamad pun pergi dengan dua tiga orang pantas berjalan sertanya, berjalan naik gunung itu. Setelah dekatlah pada buluh perindu seperti akan terbanglah rasanya orang yang naik gunung itu, daripada sangat keras angin itu. Maka awan pun seperti dapat rasanya, dan bunyinya  buluh perindu di atas gunung itu terlalu merdu bunyinya, burung terbang itu pun hinggap menengar bunyinya dan segala mergastua yang menengar itu sekaliannya khairan tercengang. Maka Tun Mamad pun bertemu dengan suatu taman; maka Tun Mamad pun masuklah di dalam taman itu. Maka Tun Mamad pun bertemu dengan orang, empat orang perempuan, yang seorang itu tuha, baik rupanya, sambil menyelampai kain mendukung.

Maka ia bertanya pada Tun Mamad, “Siapa kamu ini dan orang mana kamu ini?”
Maka sahut Tun Mamad, “Hamba orang Melaka, nama hamba Tun Mamad, dititahkanoleh Sultan Mansur Syah meminang Puteri Gunung Ledang. Tetapi tuan hamba, siapa nama tuan hamba?”

Maka sahut perempuan itu, “Nama hamba Dang Raya Rani. Hambalah pengetuha Puteri Gunung Ledang. Nantilah hamba di sini oleh tuan hamba. Biar hamba persembahkan segala kata tuan hamba itu pada tuan puteri.”  Setelah ia sudah berkata-kata maka Dang Raya Rani dan perempuan sertanya itu pun lenyaplah.

Ada kadar sesa’at maka kelihatan pula seorang perempuan tuha, bongkok lipat tiga belakangnya. Maka ia berkata pada Tun Mamad, “Adapun segala kata tuan hamba itu telah sudah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah puteri, ‘Jikalau Raja Melaka hendak akan daku buatkanlah aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air pinang muda setempayan, air mata setempayan, darah raja semangkuk dan darah anak raja-raja semangkuk. Jikalau demikian maka kabullah pada hamba akan kehendak Raja Melaka itu.”

Setelah sudah ia berkata-kata maka ia pun lenyaplah. Diceritakan oleh orang yang empunya ceritera ini orang tuha yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang merupakan dirinya.

Setelah itu maka Tun Mamad pun turunlah dari sana, kembali kepada Laksamana. Maka segala tuan Puteri Gunung Ledang itu semuanya dikatakannya pada Laksamana, pada Sang Setia. Maka Laksamana dan segala orang temannya itu sekalian turun dari atas Gunung Ledang itu berjalan kembali ke Melaka. Berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Melaka. Maka Laksamana dan Sang Setia dan Tun Mamad pun masuklah mengadap kepada Sultan Mansur Syah. Maka segala kata yang didengarnya daripada Puteri Gunung Ledang semuanya dipersembahkannya kepada Sultan Mansur Syah.

Maka titah Sultan Mansur Syah, “Semuanya dapat kita adakan, tetapi akan mengeluarkan darah anak kita itulah yang tiada dapat kita adakan, kerana tiada sampai hati.”
Sulalat al-Salatin
Tun Seri Lanang, 1612

Dalam pendekatan kuratorial, kurator meletkkan karya ‘Alam Ledang’ benar-benar sama aras dengan gunungan dalam catan ‘Semangat Ledang’ . Apabila audien melihat karya kedua-duanya secara berhadapan bentuk segita seperti kon yang menggunakan resin akan timbul dihadapan ‘forntal’ dan  dilatarkan dengan catan sebagai latar belakang ‘background’. Persembahan sebegini bukanlah baru dalam berpameran di galeri, namun apabila cara reka letak ini dilakukan ia akan memberi satu interpritasi baru terhadap karya.

Hikayat ‘Atas Talian
Budaya penglipur lara dalam masyarakat Melayu mula hilang sedikit demi sedikit dengan kehadiran radio dan televisyen. Kehadiran wayang pacak yang masuk dari sebuah kampung ke kampung lain menarik minat masyarakat terhadap penceritaan yang lebih menarik. Jika dahulu masyarakat hanya menerima perhubungan sehala samada mendengar atau melihat berita daripada radio dan televisyen. Kini dengan kemajuan media alternatif sistem perhubungan atas talian (www) singkatan bagi World Wide Web seperti blog, Facebook, Twitter, You Tube, samada kurator, anda atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan boleh menyebarkan cerita-cerita anda. 
 
Blog atau singkatan daripada web log iaitu sebuah laman web kemasukan-kemasukan ditulis menurut urutan kronologi dan paparan tertib  secara terbalik. Blog ruang atas talian yang memberi peluang kepada pendaftarnya mengapungkan cerita dalam apa sahaja bentuk samada bentuk teks, foto, video muzik atau audio. Kurator membina blog khas dimana ia menghimpunkan kisah-kisah atau cerita-cerita ‘penglipur lara’ moden yang merintangi genre seperi seni lukis, sastera, filem dan muzik. Penulis blog yang dikenali blogger yang dihimpunkan dalam pautan blog ini  adalah mereka yang aktif bergiat dan menulis dalam bidang kepakaran mereka seperti ‘Hasnul Saidun’, ‘Baha Zain’ , ‘Ben Filem’ dan lain-lain adalah dkalangan penglipur yang bercerita dalam bentuk baru dengan menggabungkan teks, imej berkaitan sesuatu tajuk. Blog yang dipautan seumpama cerita ‘hikayat kontemporari’ yang membenarkan interaksi dua hala yang membenarkan pembaca membuat ulasan sesuatu cerita yang dilontarkan.
    
Kehadiran blog sebagai media sosial telah memberi saing kepada media arus perdana yang dipunyai oleh badan yang bersifat kepartian, badan-badan tertentu atu individu berpengaruh dalam menyampai berita. Media pada hari ini tidak bukan lagi miliki mereka yang kurator sebutkan tadi yang menyalurkan berita-berita atau mengawal cerita-cerita. Media kini telah menerobos ke setiap ruang-ruang rumah yang mempunyai aplikasi internet. Kini sesiapa sahaja boleh mendendangkan atau melagukan cerita samada melalui blog, Facebook, Twitter, dan seumpamanya, pilihan di tangan mereka.

Akhir Ceritera
Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita bukanlah pameran lirikal visual semata-mata tetapi ia mampu mempertingkatkan kefahaman masyarakat tentang kualiti pemikiran dan intelektual yang dimiliki oleh pemikir-pemikir alam Melayu. Karya dan material yang dihimpun dalam pameran ini menjadi harapan kurator diperkongsikan ilmu dan penyelidikan mudah-mudahan ada kebaikannya untuk direnung-renungkan dan difikir-fikirkan untuk memupuk semangat kecintaan dan kebangaan kita dengan pemikir-pemikir yang kita miliki dalam memperkasakan warisan. 



Rujukan:
Ali Ahmad, 2002. Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Smith, Terry, 2012. Thinking Contemporary Curating.  New York: Independent Curators
International.

Tengku Sabri Ibrahim, 2010. Tanpa Tajuk – Cerita-Cerita Seni Rupa. Kuala Lumpur:
Tinta Publishers.

Tun Seri Lanang, 2009. Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturun Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu)
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
           
          
 http://ms.wikipedia.org/wiki/Animasi_Malaysia


Faizal Sidik, Co-curator, ‘Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita’, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.
  • Hafizah Iszahadid, ‘Medium bercerita terkini: Pameran Penglipurlara: Alkesah yang Empunya Cherita bawa definisi unik.’ Berita Harian, Jumaat 6 September 2013.

           










Tiada ulasan:

Catat Ulasan