Oleh: Faizal Sidik
I
Alam Melayu sememangnya kaya dengan khazanah penceritaan oleh orang-orang terdahulu dari kita. Kehidupan mereka sangat berkait dengan kosmos yang tidak boleh dipisahkan antara dunia fizikal dan alam mistikal.
Pameran "Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita" ini adalah dokumentasi kepada keberadaan sang penglipur lara dahulukala dan konteks penglipur lara dalam kehidupan moden kita pada hari ini. Kurator pameran cuba memberi interpritasi terhadap keberadaannya kini.
Kebanyakan material dan data yang diperolehi daripada pameran ini adalah daripada koleksi karya Balai Seni Visual Negara selain daripada koleksi video yang dipinjam daripada agensi kerajaan seperti Filem Negara Malaysia yang kini di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA). Koleksi buku pula adalah pinjaman perseorangan daripada koleksi Taman Pustaka selain daripada himpunan blog-blog dan cerita-cerita pilihan oleh kurator sendiri.
Sehubungan dengan itu dokumentasi buku ini dihasilkan bagi melengkapkan lagi kepustakaan alam Melayu mengenai penglipur lara dimana memuatkan penulisan dengan tajuk 'Alam Melayu' oleh Rahim Mat, 'Alkesah Yang Empunya Cherita' Faizal Sidk dan 'Sejarah, Asal-usul dan Identiti Dalam Persuratan Melayu: Kisah Pencarian Khazanah Lama' oleh Mohd Zahamri Nizar.
Diharap penyelidikan dalam pameran ini akan menjadi perkongsian ilmu yang memberi pendedahan dayacipta yang di miliki di alam Melayu ini dalam mempertingkatkan kefahaman masyarakat tentang kualiti intelektual yang dimiliki oleh masyarakat Melayu. Dalam masa yang sama akan memupuk semangat kecintaan dan kebangaan dengan pemikir-pemikir alam Melayu dalam memperkasakan warisan kita.
II
Penulisan di dalam buku ini mungkin akan membuka minda sesetangah orang, bukan kerana ini belum pernah diperkatakan sebelum ini, tetapi garapannya cuba menyedarkan orang ramai tentang kehebatan kesenian Melayu dari sudut kosmologi, estetika, seni halus, persuratan dan kuratorial yang jarang-jarang diterokai sebelum ini. Buku ini umumnya menyentuh persoalan hala tuju seni Malaysia secara tidak langsung dalam pameran agar kembali kepada tema-tema alam Melayu yang mencerminkan pandangan hidup kita. Buku ini penting untuk dijadikan rujukan kepada pelajar seni dan budaya, pelukis, penyelidik, kurator, pengajar dan masyarakat amnya dalam mengenali perihal kosmologi Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan