Jumaat, 26 Disember 2014

Korea dan Hegemoni Kuasa Amerika Syarikat

Oleh: Faizal Sidik




Penulis Faizal Sidik (kiri) bersama-sama wakil negara ASEAN semasa perasmian pameran 'The Origin of Beauty: Dramatic Nostalgia yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Busan di Busan Museum of Art.

Satu tanggapan di sini dalam melihat cara pandang dunia mengenai negara Korea akan mengaitkan semenanjung Korea kepada Korea Utara dan Korea Selatan. Selepas Perang Dunia Kedua satu blok yang mengamalkan sistem komunis (sosialis) Korea Utara disokong oleh Rusia dan China manakala Korea Selatan atau Republik Korea pula disokong blok demokrasi (kapitalis) oleh Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Era persaingan meluaskan pengaruh atau Perang Dingin antara kedua-dua kuasa besar itu membahagikan kedua-dua negara kepada dua
blok selepas Perang China dimana negara China terpaksa melepaskan negara itu kepada sebuah kerjaan sendiri. Perang Korea yang berlaku pada tahun 1950 hingga 1953 telah mengorbankan 2.5 juta nyawa. Sehingga ke hari ini tiada perjanjian rasmi yang menamatkan perang Korea bermakna  kedua-kedua negara masih berperang dalam ertikata perang secara senyap. Sempadan antara kedua-dua negara adalah sempadan yang paling ketat dan merbahaya didunia, tidak hairanlah jika belanjawan  kedua-dua negara banyak menumpukan kepada aspek keselamatan dan ketenteraan. Korea Selatan mendapat sumber persenjataan daripada sekutunya Amerika Syarikat manakala Korea Utara daripada Rusia dan juga China.

Persaingan meluaskan pengaruh Perang Dingin ini bukan sahaja berlaku di Semenanjung Korea sahaja malah melimpah fahaman juga dirantau Asia Tenggara kita sendiri, Eropah, Afrika dan negara Timur Tengah. Misalnya negara Vietnam  mengalami perang saudara yang dikenali Perang Vietnam 1959 hingga 1975 diantara Vietnam Utara dikuasai Vietcong yang beraliran sosialis yang disokong oleh Kesatuan Soviet menentang Vietnam Selatan yang ditaja Amerika Syarikat. Seluruh dunia telah tahu Amerika Syarikat malu besar kerana kalah dalam peperangan itu yang dimenangi puak utara yang membentuk Republik Sosialis Vietnam pada 1976. Begitu juga dengan pengabungan Republik Persekutuan Jerman pada tahun 1990. Selepas Perang Dunia Kedua  1945 Jerman telah dipecah-pecahkan kepada sektor demokrasi yang dikawal (Euro-Amerika) oleh Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat membentuk Republik Persekutuan Jerman iaitu Jerman Barat yang berpusat di Bonn. Pembahagian kawasan tadbiran blok komunis Kesatuan Soviet pula membentuk Republik Demokratik Jerman yang di kenali dengan Jerman Timur yang berpusat Berlin Timur.

Bagi menjamin keselamatan Korea daripada serangan dan ancaman Amerika menempatkan pengkalan tenteranya di seluruh Semenanjung Korea Sehingga ke hari ini ada sekitar 28 000 tentera Amerika di seluruh Korea Selatan. Dalam sejarah tradisi Korea iaitu sebelum persempadanan antara utara dan selatan Korea pernah berperang dengan China dan Jepun. China menganggap Korea adalah sebahagian daripada wilayahnya dan tidak hairanlah pada hari ini Korea masih berkongsi budaya dari negara China dari segi senibina, tulisan dan makanan. Sikap anti-Jepun masih berlaku lagi di Korea walaupun selepas Perang Korea- Jepun tamat. Demonstrasi dan piket daripada berita dunia  sering memaparkan wanita-wanita warga emas Korea yang dahulunya dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun memohon kerajaan itu meminta maaf dan membayar ganti rugi  semasa pendudukan Jepun di Korea 1910. Bekas-bekas tinggalan sejarah inilah yang memaksa Korea menempatkan pengkalan-pengkalan tentera Amerika Syarikat jika berlaku krisis Asia Timur.


Untuk mengendurkan ketegangan Selepas Perang Dunia Kedua Jepun tidak dibenarkan memiliki bala tenteranya sendiri oleh Amerika melalui PBB. Amerika yang juga menempatkan pengkalan tenteranya Jepun sehingga kini terdapat 50 000 soldadu Amerika sana dan pada tahun 2025 Amerika merancang untuk menempatkan tiga perempat daripada jumlah bala tentera laut, darat dan udaranya di Asia. Amerika tidak menanggap Eropah Timur yang dahulunya menyokong blok komunis sebagai ancaman tetapi memuncungkan persenjataannya ke Asia apa yang dinamakan Pasak Asia (Pivot Asia). Penstrategian ini memaksudkan bahawa mendefinasikan China sebagai musuh. Perihal ini tidak menghairankanlah apabila Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang terkenal dengan gelaran pemaharuan ekonomi Jepun sebagai Abenomic meningkatkankan perbelanjaan pertahanan dari tahun 2014 hingga 2019 bagi memulihkan tentera Jepun dalam menghadapi pertikaian wilayah kecilnya dengan China. Apa yang ditulis oleh media adalah hanya peningkatan bajet ketenteraan oleh Jepun tetapi hakikatnya adalah perkakasan itu sudah tentunya dibekalkan oleh Amerika.

Apabila kita membaca konteks politik semasa kita juga boleh melihatnya dalam konteks seni kontemporari yang hadir pada hari ini. Kita mungkin tertanya-tanya mengapa begitu mudah ahli-ahli lembaga muzium di Amerika dan negara-negara Eropah atau dibaca negara North Atlantic Trade Organisation (NATO) memprojek artis-artis dari tanah besar China yang radikal dan tidak sehaluan dengan  kerajaan misalnya Ai Wei Wei dimuzium mereka. Selain daripada penahannya yang oleh tentera Revolusi, publisiti meluas yang diterima beliau oleh media barat terhadap kebebasan artistik telah mengolah persetujuan dunia bahawa kerajaan China menekan seniman dibaca permusuhan secara lembut melalui seni untuk membawa kepada permusuhan yang lebih besar iaitu penyisihan masyarakat dunia terhadap dasar-dasar China. Melihat dari satu sudut ini jika artis-artis atau seniman dari Dunia Ketiga yang sungguh-sungguh diprojekkan oleh dana, geran atau yayasan-yayasan seni dan budaya untuk menaja pencapaian dan pembaharuan dilakukan oleh anda, anda wajib diberitahu bahawa telah diperdaya oleh kaum pemodal antarabangsa Yahudi misalnya Rockeffeller Foundation yang mempunyai perancangan yang lebih besar untuk negara anda.

Filem Hollywood adalah salah satu buktinya, Amerika menggunakan saluran gambar bergerak ini sebagai salah satu cara perluasan hagemoninya. Lihat bagaimana filem-filem adiwira atau superhero ditayang untuk mengatakan mereka adalah penyelamat dunia daripada penjahat sedaya upaya untuk mengolah persetujuan mereka adalah yang paling berkuasa. Produk Hollywood itu berpropaganda Iran dan Korea Utara adalah satu ancaman dalam mengajak dunia melawan keganasan. Mereka sekali lagi ingin bermain api dengan Korea Utara baru-baru dengan penerbitan filem 'The Interview'. Ini bukan cerita angan-angan Mat Jenin lihatlah realiti apa yang berlaku di Mesir, Libya, Syria dan Ukraine misalnya bagaimana budak suruhan Amerika iaitu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dikerah untuk membuat kacau dinegara berkenaan. Kapal-kapal terbang Malaysia turut terheret sama dalam pergeseran yang maha dasyat percaturan negara Dunia Pertama dalam menjadi kuasa ekonomi dunia dalam merebut punca-punca kekayaan yang berasaskan minyak pada hari ini. Adakah ini adalah ancaman kepada Malaysia terhadap perundingan Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA)?

Korea Selatan mula membina negaranya pada tahun 1960 an walaupun dikatakan disabotaj dari negara Utara. Negara ini mula membina hubungan luar dalam menjana ekonomi menerusi hubungan politik. Korea menjalin hubungan dengan negara luar dalam usahanya memacu ekonomi domestik dan antarabangsa. Dalam hubungan luar Korea Selatan menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 1991. Korea Selatan menjalin hubungan diplomasi dengan lebih 188 negara. Ia juga mengembangkan hubungan dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara sebagai anggota badan pemerhati ASEAN tambah 3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Atas cadangan mantan Perdana Menteri Malaysia Dr. Mahatdir Mohamed dalam meredakan hubungan  pasang surut hubungan yang  tegang antara Korea Selatan dikalangan negara jiran-jiran disekitarnya.  Malaysia pada 1997 mencadangkan pembentukan ASEAN +3 dahulunya dikenali sebagai EAEG atau East Asia Economic Group. ASEAN + 3 merupakan satu pakatan kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN dan tiga negara di Asia Timur Laut. sebagai alternatif kepada EAEC (East Asia Economic Caucus) kerana ia dilihat lebih memberikan kesan yang mendalam dalam proses pembentukan Komuniti Asia Timur. Pakatan ini dibentuk bagi meningkatkan  kerjasama antara negara Asia Timur dalam ekonomi, kewangan, pembangunan sosial dan sumber manusia, pembangunan saintifik dan teknikal, budaya dan informasi dan pembangunan infrastruktur. ASEAN + 3 dilihat cabaran kepada APEC dan kehadiran Amerika Syarikat di Asia Pasifik.

Sebelum itu dialog-dialog  antara negara-negara antara Korea Selatan dengan negara ASEAN telah pun terjalin sejak 25 tahun dahulu melalui ASEAN – ROK Dialogue Relations sejak tahun 1989 lagi. Dalam meraikan Jubli Intan 25 tahun hubungan dialog antara negara-negara ASEAN dan Korea Selatan. ASEAN – Republic Korea Commerative Summit2014 atau Sidang Kemuncak Negara-negara ASEAN- Korea 2014  telah diadakan di Bandaraya Metropolitan Busan  pada 11 hingga 12 Disember. Sejak terbinanya hubungan dialog ini pada tahun 1989 banyak pembangunan yang dapat dilihat daripada hubungan ini. Pada hari ini negara ASEAN bukan sahaja rakan dagang dan destinasi pelaburan kedua terbesar Korea, malah rantau ini juga adalah muncul sebagai rakan yang cukup signifikant dalam sosio-budaya dimana lebih 4 juta rakyat Korea melawat negara Asia Tenggara setiap tahun.


The Interview (2014)
filem produksi Sony Picture
mencetuskan serangan
komputer selama 9 jam di Amerika oleh
pengodam Korea Utara
Kunjungan saya baru-baru ini pada musim sejuk atas tajaan dan jemputan pengarah Busan Museum of Art mengesahkan lagi bahawa  Korea adalah sebuah projek Amerika Syarikat. Apabila saya mengatakan hagemoni Amerika begitu kuat di Semenanjung Korea dan Filipina samalah apabila saya mengatakan Malaya dan Singapura adalah sebuah projek British, Indonesia adalah projek Belanda dan Kemboja adalah sebuah projek Perancis, namun Amerika telah gagal di Vietnam. Tetapi pernahkah anda tanya atas dasar apa rancangan ini direncanakan? Ia dirancangan oleh penanam modal bukan sahaja untuk mengepung China tetapi  untuk mengawal kemaraan ekonomi China. Saya ulangi sekali lagi disini inilah yang dinamakan Pasak Asia (Asia Pivot).. Mengapa apabila kerahan tentera di negara yang bergolak terutamanya di Asia Barat dan negara-negara Commonwealth, British bersama-sama dengan Amerika? British masih lagi ingin bermemori yang mereka adalah negara kolonial. Dan apabila ahli-ahli Parlimen Britain baru-baru ini mengundi untuk tidak bersama-sama Amerika untuk menyerang Syria, ini adalah satu tamparan untuk sekutunya Amerika.


Apabila melihat Korea dalam aspek kesenian kontemporari peminat seni mungkin tidak boleh menidakkan atas pengaruh Korea yang mempunyai Pavillion atau astakanya sendiri di Granidi semasa Venice Biennale. Astaka Korea adalah astaka yang terakhir dibina di sana pada tahun 1995 dan selepas itu tiada lagi pavillion yang dibenar oleh Datuk Bandar Venice yang mana negara yang lain perlu menyewanya dimerata lokasi sekitar bandar air itu. Apabila hanya tiga sahaja wakil Asia dibenarkan memiliki pavillion sendiri selain Jepun dan Mesir mungkin kita tertanya-tanya mengapa tiada pavillion kekal kuasa besar China di sana, ini adalah satu persoalan yang lain. Pavillion China perlu menyewa dua tahun sekali di Arsenale sejak 2000, Adakah  ini juga satu penyisihan bentuk Amerika-NATO? 




Busan adalah bandaraya kedua terbesar Korea Selatan selepas Seoul. Berpopulasi penduduk berjumlah 3.6 juta orang,  Busan terletak di pesisir tenggara Korea Selatan yang juga merupakan bandaraya pelabuhan yang dikatakan ketiga terbesar di dunia. Salah satu tarikan seni dan budaya bandaraya Busan adalah penganjuran Busan International Film Festival dan Busan Biennale yang diadakan di Busan Museum of Art dan beberapa lokasi disekitar bandaraya ini. Sempena ASEAN-Republic of Korea Commemorative Summit atau Sidang Kemuncak Negara-negara ASEAN dan Korea satu pameran seni telah dianjurkan oleh Busan Museum of Art yang bertajuk The Origin of Beauty : Dramatic Nostalgia daripada 10 Disember 2014 sehingga 1 Februari 2015. Sebuah pameran seni Asia Tenggara yang dikuratorkan oleh kurator BMA iaitu Lee Jinchul membawa 100 artis dan 120 karya dari rantau ini dalam menginterpritasikan atau cerminan seni tradisi dan seni kontemporari dalam pengalamannya terhadap budaya global.  Persoalnya bolehkah sebuah pameran seni itu  membina kepercayaan dan membawa kedamaian? Walauapaun cabaran Korea terhadap sekutu dan tetangganya pameran ini adalah sepucuk surat keamanan kepada dunia mengenai sumbangan gambaran dan cita-cita daripada negara-negara rantau ini melalui ASEAN yang mempromosikan keharmonian dalam melihat hubungan luarnya dengan Asia Timur terutamanya Korea terus kukuh dan kental.

Faizal Sidik di Busan Museum of Art, Korea 

MARI KITA BERDOA SEMOGA PENDUDUK YANG TERJEJAS AKIBAT BENCANA BANJIR BESAR DI PANTAI TIMUR DAN SELURUH NEGARA SELAMAT!


Faizal Sidik,’Korea dan Hegemoni Amerika Syarikat’, Senikini #23, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan