Rabu, 5 November 2014

Sasterawan Negara Datuk Baha Zain: Malaysia memerlukan Majlis Kesenian Negara

Oleh: Faizal Sidik


Buku karangan bersama Redza Piyadasa dan T.K. Sabapathy iaitu Modern Artists of Malaysia diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1983. Tercetusnya idea buku yang mempunyai ketebalan 171 muka surat ini adalah dari buah fikiran Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain semasa memegang jawatan Timbalan Pengarah di Dewan Bahasa dan Pustaka yang merasakan pada waktu itu perlu ada satu penerbitan yang merekod seni lukis moden Malaysia untuk dikongsi dengan masyarakat. Rentetan daripada situ sempena In-A-Book atau International Art Book Fair 2014 yang telah diadakan pada 27 hingga 30 September di Balai Seni Visual yang lalu, Bahagian Penerbitan Balai Seni Visual Negara(BSVN) telah menjemput Sasterawan  Negara Datuk Baha Zain untuk berbicara mengenai  buku ini di dalam “Diskusi Buku ‘Modern Artists of Malaysia’ oleh Baha Zain”. Di dalam bicara ini beliau bukan sahaja menyentuh mengenai penerbitan buku ini secara langsung malahan mencakupi perkembangan dan permasalahan kesenian dan kebudayaan Malaysia secara menyeluruh terutamanya desakan beliau terhadap penubuhan Majlis Kesenian Negara kepada kerajaan yang dikira beliau boleh memacu lagi pembangunan seni dan budaya negara.

Faizal Sidik: Sempena penubuhan Balai Seni Visual Negara yang ke-55 pada 27 Ogos 2013 ini satu pameran khas yang bertajuk ‘Siapa Pelukis Malaysia: Koleksi BSVN’ telah diadakan yang  dikuratorkan oleh Zanita Anuar dan Faizal Sidik. Pameran ‘Siapa Pelukis Malaysia’ ini dinamakan bersempena mengambil nama buku Modern Artists of Malaysia yang ditulis oleh T.K Sabapathy dan Redza Piyadasa ini telah diterbitkan pada tahun 1983 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. ‘Siapa Pelukis Malaysia’ adalah pameran kesinambungan daripada penerbitan buku ini yang menghimpunkan karya-karya seni lukis moden oleh 26 artis yang penting dan sangat signifikan bukan sahaja kepada koleksi BSVN malah kepada  pensejarahan seni lukis moden negara.Antara pelukis-pelukis pelopor yang diperkenalkan dalam buku Modern Artists Malaysia dan juga dalam pameran ‘Siapa Pelukis Malaysia’ ialah seperti Abdul Latif Mohidin, Zulkifli Mohd. Dahalan, Ibrahim Hussein, Syed Ahmad Jamal, Ismail Zain, Redza Piyadasa, Suleiman Esa, Anthony Lau, Yeoh Jin Leng, Patrick Ng Kah Onn, Lai Foong Moi, Chia Yu-Chian, Chuah Thean Teng, Ismail Mustam, Dzulkifli Buyong, Mohamed Hoessein Enas, Mazli Mat Som, Nik Zainal Abidin, Khoo Sue-Hoe, Tay Hooi Keat, Cheong Laitong,  Lee Joo For, Jolly Koh, Syed Thajudeen, Ruzaika Omar Basree dan Nirmala Shanmughalingam.Datuk Baha Zain adalah orang yang memainkan peranan penting dalam penghasilan buku ini, boleh Datuk Baha (Zain) ulas bagaimana penerbitan ini terhasil dan impaknya dalam dunia seni pada ketika itu?


Baha Zain: Pada pada tahun 1978 saya dan beberapa kawan-kawan telah mengambil keputusan setelah beberapa tahun merdeka kita mesti mempunyai majalah bulanan iaitu Dewan Budaya.  Itulah perjalanan awal majalah Dewan Budaya  pada tahun 1979, dimana saya menjadi ketua editornya. Salah satu yang ditetapkan ialah ruangan seni lukis moden, jadi setiap bulan daripada tahun 1979, 1980, 1981 ada ruangan seni lukis, saya tidak pasti samada ianya diteruskan atau tidak. Ia bukan sahaja daripada tema-tema tertentu yang diperolehi daripada penulis (budaya) tetapi juga seni lukis. Pada sekitar pada tahun 1981 saya berbincang dengan saudara Piyadasa mengapa tidak ada satu buku yang dapat dijadikan rujukan tentang perkembangan seni lukis moden kita di negara ini. Jadi saya berbincang dengan saudara Piyadasa bagaimana boleh diterbitkan (sebuah buku), dengan inisiatif dia dan saya (berusaha) untuk menyusun satu buku bukan sebagai buku sejarah sekurang-kurangnya rujukan kepada perkembangan seni moden kita. Kemudian arwah Piyadasa bersetuju dan dia mencadangkan Dr. Sabapathy dari Singapura turut bersama menyusun buku ini. Saya tidak tahu barangkali sudah ada usaha untuk mencatitkan rujukan tentang perkembangan sejarah seni moden kita, sekarang (mungkin) sudah ada, Alhamdulillah. Namun pada masa itu pada tahun 1970 an tidak ada, itulah pada ketika bagaimana terbitnya buku itu pada tahun 1983. Setiap hari editor Dewan Budaya akan menghantar artikel-artikel terpilih pada Piyadasa dan Piyadasa akan membuat salinan fotokopi untuk memilih mana yang sesuai dan bahan rujukan pelukis-pelukis moden dan Alhamdulillah, pada tahun 1983 terbitlah buku ini. Inilah juga buku yang pertama Dewan Bahasa dan Pustaka juga terbitkan dalam bahasa Inggeris dan selepas itu tiada lagi, tidak diketahui samada ianya dirancang. Saya bercadang agar buku ini akan diteruskan dengan ciri-ciri yang baru ataupun revised edition dan kemudian diterjemahkan, tetapi setahun kemudian saya mengambil keputusan meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk bergerak secara bersendirian, jadi terbantutlah rancangan saya itu dan tiada sesiapa yang melanjutkannya.

Itulah serba sedikit latar belakang dan mungkin buku ini boleh diedarkan juga (kepada audien). Tandatangan Piyadasa dan Sabapathy juga ada di situ dan  itu hanya sekadar cerita-cerita. Cuma barangkali kita boleh berbincang apa selanjutnya yang patut kita lakukan. Saya bukan pelukis, cuma peminat sahaja dan bukan pengkritik seni lukis, hanya tahu mendengar khabar sahaja, bukan seperti saudara Zabas (Zainol Abidin Sharif) yang kritikal dan analitikal. Memang saya meminati seni lukis dan mengharapkan seni lukis harus menjadi sebahagian dalam kehidupan manusian dan estetik kepada bangsa kita dan di ruang inilah kesatuan kaum dapat bertemu tanpa ada prejudis politik. Ini adalah  aspek kebudayaan dan estetik amat penting bagi perpaduan bangsa kita yang harus dieksploit sebaik mungkin untuk menjadikan kita suatu bangsa Malaysia. Itulah pandangan kami pada tahun 1980 an selepas tragedi Mei 1969. Kita berharap ruang seni moden akan menjadi sebahagian yang penting dalam perspektif pembinaan negara dari segi politik bukan sahaja dalam ekonomi barangkali dalam transformasi iaitu dalam economic transformation programme

Saya tidak tahu sejauh mana aspek kesenian ini, aspek kebudayaan, aspek sosial menjadi bahagian penting dalam pembangunan bangsa kita yang dirancangakan dan sudah dimulai dan sasarannya adalah pada tahun 2020 iaitu Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi berkapita hampir RM 45,000 berkapita untuk menjadi salah satu negara moden termaju didunia. Saya cuma tidak jelas bagaimana aspek kebudayaan dan aspek kesenian menjadi sebahagian yang penting daripada economic tranformation programme yang ada tinggal 10 tahun sahaja lagi. Kuala Lumpur dan Lembah Klang akan disasarkan menjadi 10 juta penduduk. Berdasarkan ini prospek kesenian moden amat optismis, lebih banyak audien, lebih banyak duit circulation, lebih banyak orang untuk membeli lukisan dan kesenian, tetapi adakah ini termasuk dalam perancangan saya sendiri tidak tahu. Selain itu saya kira sewaktu saya menjadi anggota Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara sebanyak 2 kali salah satu yang saya ajukan ialah agar Balai Seni Visual mempunyai unit penerbitan (sendiri) supaya mempunyai satu unit berkenaan yang dapat menerbitkan majalah, dan sekarang sudah ada majalah Senikini.

Faizal Sidik: Senikini adalah sebuah penerbitan Balai Seni Visual Negara ia diterbitkan setahun empat keluaran iaitu setiap tiga bulan satu edisi.



Perluasan Seni dan Budaya

Baha Zain:Walaupun seni visual semakin hebat tetapi saya tidak senang hati, lukisan akan terus hidup. Jadi beberapa tahun lampau saya mencadangkan sendiri Balai Seni Lukis Negara (ketika itu) mempunyai unit penerbitan bukan sekadar mempunyai bahan pameran, brosur dan katalog tetapi saban bulan menerbitkan majalah yang menjadi forum atau dialog-dialog tentang apakah butiran kepada peminat-peminat dan sebagainya. Alhamdulillah sekarang ini sudah dimulai dan sekarang ini baguslah sudah ada pameran tentang buku-buku kesenian seni lukis, saya tidak tahu samada (wakil) Asean ada datang?.

Faizal Sidik:  Kita ada wakil dari Asia, mungkin tahun hadapan.

Baha Zain: Saya melihat boundaries  iaitu sempadan-sempadan diantara genre kesenian. sekarang semakin kalut dan semakin kabur, interaksi perhubungan diantara sasterawan, penyair, dramatis, pelukis, novelis, pembikin filem sudah tidak  dismentalized (suatu pembongakaran) seperti dahulu. Sewaktu saya di Indonesia selama dua tahun, saya kira perhubungan interaksi diantara seniman-seniman misalnya diantara pelukis dengan dramatis, novelis, penyair umpamanya sangat akrab dan inilah saya kira salah satu kekuatan di Indonesia, iaitu saling memperkaya diantara pelukis, penyair, novelis, tetapi disini saya lihat agak lain sedikit, mereka sangat rapat agak insular pelukisnya, penyairnya, pembikin filem dengan kelompoknya, jadi kurang interaksi.

Faizal Sidik:Saya ingin mencelah sedikit Datuk (Baha Zain), kita lihat semasa Datuk (Baha Zain) menjadi Timabalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1970 an, kita lihat ada satu Sudut Penulis yang berperanan untuk menyatukan antara penulis dan pelukis. Pernah diadakan juga satu pameran malah bukan hanya satu,  pameran ‘Towards a Mystical Reality’ diantara Redza Piyadasa dan Suleiman Esa. Bukan itu sahaja ada juga pameran ‘Manifestasi 2 Seni’ dan ‘Manifestasi 3 Seni’ yang diadakan di Sudut Penulis itu sendiri  untuk mempertemukan diantara pelukis dan penulis sehingga begitu akrab. Apakah ada sesuatu yang ada kena mengena yang dalam penyatuan mereka ini dan adakah perkara ini seiringan dan  tidak?

Baha Zain:Saya percaya perlunya interaksi untuk saling memperkaya, sewaktu saya menjadi Presiden PENA (Persatuan Penulis Nasional) selama beberapa tahun, di Rumah Pena juga saya jadikannya ruangan juga bukan sahaja di Dewan Bahasa. Di rumah Pena saya memberikan ruang kepada Fauziah Nawi dan kumpulan dramatis yang lain untuk mengadakan latihan-latihan, begitu juga dengan penulis dan penyair, sampai ke hari ini Med Anuar (Ismail) seorang pengarca bagi saya dia seorang yang cukup serius dan merupakan pengarca penting dalam seni arca negara. Sewaktu saya melawat ke rumahnya saya tengok ruang yang agak sempit untuk dia membuat arca, jadi saya tawarkan supaya dia membuatnya di Rumah Pena. Jadi  sampai ke hari ini saya kira sudah lebih sepuluh tahun dia masih membuat arca atau sculpture yang besar-besar kerana di kawasan Rumah Pena itu lapang, jadi dia buat pondok di belakang. Dia juga melatih bakat-bakat baru seperti Fauzi (Tahir), Fauzi pada mulanya adalah kerani di Rumah Pena yang melakukan kerja pengkeranian akhirnya Med Anuar latihnya untuk melukis kemudian membuat seramik, dan  apabila Kementerian Kebudayaan membuat pameran di luar negara contohnya menjemputnya supaya mempamerkan karya-karyanya. Jadi ini bagi saya ini satu kepuasan untuk melihat bakat terpendam diangkat ke atas dan bakat yang ada dikembangkan. Cadangan saya dalam perbincangan ini, saya ingin lontarkan patut ada sinergi kerjasama antara institusi seperti Dewan Bahasa, Balai Seni Visual Negara, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Perbadanan Kota Buku jadi kalau masing-masing buat kerja kali empat setiap insitusi itu empat kali dengan empat jadi enam belas, jadi kalau berlaku sinergy symetrical progress 4x4 bukan lagi 4+4+4+4. Jadi saya lihat kerjasama diantara insitusi terutamanya di Kuala Lumpur ini masing-masing dengan objektifnya, sedangkan ini dunia moden dimana boundaries itu telah kabur.

Pengalaman saya secara peribadi daripada puisi saya Joseph Tan terjemahkan dalam bentuk visual, Yee I-Lan seorang seniman fotografi dia telah membuat fotografi, dia telah menangkap (gambar) didinding rumah saya kemudian pokok-pokok palm, kerusi-kerusi saya , jadi saya lihat puisi itu bukan lagi hak saya semata-mata tetapi ia telah diterjemahkan dalam genre yang lain. Kemudian baru-baru ini Fauziah Nawi telah mengangkat puisi-puisi saya untuk dijadikan teater selama satu jam. Ini adalah satu perluasan dalam kesenian, barangkali kenapa tidak di Balai Seni Visual Negara ini penyair pula menterjemahkan dalam bentuk puisi? Bagi saya ini memperkaya kebudayaan kita dan kesenian moden, masing-masing tidak duduk dengan dunia sendiri malah kesenian ini juga boleh diterjemahkan dalam bentuk filem, mungkin En Zabas boleh bercerita banyak dalam hal ini. Dahulu kita melihat seni lukis abstrak daripada lukisan yang berbentuk empat segi (format) tetapi sekarang ini ia telah berkembang dalam bentuk warna dan juga bunyi sebagaimana yang saya lihat dalam televisyen baru-baru ini. Mungkin juga ia sedang berlaku di Malaysia dari hal-hal yang sebegini dimana kita meluaskan ruang seni dan kita merapatkan lagi pelbagai pekerja seni. Adalah sangat produktif dan penting terutama negara kita kearah creative industry untuk melangkau ke dunia global selagi kita tidak orang kata menyegarkan, menggerakkan, mengdinamikan dunia kesenian kita barangkali sulit bagi kita untuk menembusi dunia luar international. Barangkali sulit juga untuk kita menyakinkan kepada kerajaan bahawa kerajaan harus terlibat dalam marketing memperluaskan, memberi publisiti tentang kesenian kita ke luar negara bukan sekadar pameran di luar dan sebagainya. Hanya sekadar itu sahaja dahulu,saya ingin mendapatkan saranan daripada saudara sekalian, kalau saya tidak dapat jawap kawan-kawan yang lebih mahir boleh menjawap.

Faizal Sidik: Terima kasih atas Baha Zain atas  buku yang dibicarakan iaitu tentang buku Modern Artists of Malaysia. Kita di Balai Seni Visual Negara pernah mengadakan ataupun satu kursus untuk kakitangan Balai (Seni Visual Negara) untuk peringkat Pembantu Muzium dan Kurator iaitu kursus ‘Pengenalan kepada Seni Moden Malaysia’ dan ‘Pengenalan Kepada Seni Lukis Asia Tenggara’ yang telah diadakan dan disyarahkan oleh saudara Zabas kita pada tiga tahun yang lepas jadi kita harap program-program ini akan diteruskan dimasa hadapan untuk meningkatkan pengetahuan kita tentang seni lukis moden Malaysia  dan  seni lukis Asia Tenggara. Kita buka lagi persoalan daripada audien jika ada?

Nur Hanim Khairuddin: Assalamualaikum. Saya berminat untuk bercakap tentang apa yang Datuk Baha (Zain) sebutkan tadi tentang rentas disiplin ataupun perhubungan tentang non-party per se dimana pada tahun 70 an dahulu begitu rancak perkara ini berlaku terutamanya pada zaman Anak Alam yang mana kita lihat dunia seni lukis bercampur baur dengan dunia teater dengan dunia sastera. Jadi saya nak tanya sementelah Datuk (Baha Zain) ada membantu dan begitu rapat dengan kumpulan ini. Apakah program-program yang diatur untuk mempertemukan orang-orang yang berlainan latar belakang ini? Adakah ia tumbuh begitu sahaja semangatnya itu?  Kita lihat memang benar pada zaman sekarang sehingga ianya bersifat insensual atau ‘sumbang mahram’ dalam komuniti sendiri dalam kelompok sendiri. Walaupun ada tetapi sangat kecil, saya lihat yang ada pun terdiri daripada anak-anak muda, generasi-generasi baru yang mencuba menyediakan platform untuk menyatukan pemuzik, sastera dan sebagainya. Saya ingin tahu samada ada  formula dan strategi yang dibuat oleh Datuk (Baha Zain) sendiri dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka misalnya untuk mempergiatkan lagi sikap  tersebut?

Majlis Kesenian Negara

Baha Zain: Terima kasih saudari Hanim (Nur Hanim Khairuddin), saya rasa ini pertanyaan yang penting yang hendak saya ceritakan. Begini ya, macam mana ya? Saya diantara yang termuda masuk di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1940 an dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada masa itu ada Keris Mas, Usman Awang  dan ramai lagi  wartawan dan sasterawan dari Singapura, sewaktu sebelum merdeka pada tahun 1957, mereka para wartawan waktu itu di Singapura tiada boundaries. Generasi itu adalah generasi yang sangat social-oriented orang yang berjuang menggunakan tulisan kewartawanan, puisi untuk memerdekakan tanahair. Jadi mereka bukan seniman per se yang murni dalam ertikata “aku penulis aku pencipta untuk projek seni untuk pengucapan sebagai self-expression”, ia tidak begitu tetapi sebagai alat perjuangan. Kemudian sewaktu saya masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1963 ada juga Samad Ahmad  ketika yang datang daripada Singapura pada waktu itu sebagai wartawan dan ini adalah orang-orang perjuangan, dan saya ke Universiti Malaya terlibat dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, dan ini adalah persatuan yang berjuang untuk mengisi kemerdekaan dan saya membesar dengan ramai kolonial, lahir pada sebelum zaman British dan zaman Jepun, kemudian British kembali dan akhirnya Merdeka, jadi empat zaman berubah. Generasi saya, generasi Keris Mas hidup dalam kemiskinan, dalam humiliation dalam pembinaan ekonomi kemiskinan dan apabila kita bertukar kepada negara merdeka tiada lain (hanyalah) untuk mengisi kemerdekaan, semangat untuk berjuang untuk membantu masyarakat sangat besar. Itu bukan dibuat-buat, ia datang sendiri, jadi itu adalah satu sebab bagaimana kita selalu berfikir hidup kita ini adalah product soceity bukan untuk diri sendiri.

Apabila saya pergi ke Dewan Bahasa (dan Pustaka) saya bertemu dengan generasi 50 an yang bermotokan ‘Sastera Untuk Masyarakat’,  tetapi saya telah membawa membawa satu nilai-nilai lain dan yang lebih memberontak adalah pada generasi saya. Keris Mas, Usman Awang, Hassan Ahmad adalah orang yang sangat pandai memanfaatkan generasi baru keluaran universiti. Keris Mas tidak pergi ke universiti (tetapi) dia belajar agama, mereka adalah orang-orang perjuangan yang pandai memanfaatkan generasi baru sehingga kita rasa kita dipentingkan, kita dipancingkan, dimanfaatkan kita untuk sama-sama berjuang dan memang perjuangan dalam masyarakat itu menjadi sebahagian daripada semangat kita. Pada masa itu tiada masalah, kalau pekerja-pekerja Dewan Bahasa (dan Pustaka) dia datang (pagi) dan balik petang,duduk dikantin pun tidak lama-lama pasal semangat perjuangan. Saya nak cerita sewaktu saya membuat susunan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Kamus Dewan yang diterbitkan pada tahun 1970,  kita bekerja dan saya dipindahkan  masa itu pada tahun 1965 sampai tahun 1969, kita bekerja empat tahun siang dan malam. Habis kerja pada pukul 4 sahaja pukul 8 malam datang balik untuk menyiapkan kamus itu supaya tepat pada tahun 1970 kita terbit. Tidak menjadi masalah untuk fikir tentang elaun dan apa-apa, semangat itu bukan pada ketua sahaja tetapi semangat itu merata sampai ke bawah. Namun selepas datang Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1980 an masyarakat menjadi semakin makmur dan nilai-nilai telah berubah, ada kemodenan, seni visual menjadi semakin kuat dan masyarakat semakin fragmented. Orang dari luar dapat berinteraksi kerana ada internet, take advantage dalam kajian masyarakat sangat hebat sehinggalah generasi anak saya sekarang ini penuh dengan kemewahan seperti bag, telefon pintar ini dianggap sebagai yang biasa, bila kita lahir (sebagai sesuatu yang) natural nothing to worry about it, makan Kentucky Fried Chiken, makan McDonald itu (sudah menjadi) biasa, inilah masalah sekarang.

Masing-masing bawa dunia sendiri, pelukis, sasterawan, penyair, dramatis ini adalah new power dalam dunia kesenian moden bangsa kita iaitu fragmentation in soceity itu telah berlaku dalam dunia seni yang sulit untuk digugat bagi kepentingan bangsa ataupun masyarakat. Tetapi ia tidak gelap, ada sedikit orang kata excellence performance of soceity disamping experiment of innovation individu yang terpendam itu tersimpan dihidupkan bagaimana masyarakat dapat manfaat. Saya telah beberapa kali melontarkan idea supaya kerajaan menubuhkan Majlis Kesenian Negara. Ini berbeza dengan National Arts Council ataupun dengan Arts Council Scotland di bawah British Arts Council itu bukan fine arts tetapi saya punya idea apabila  kesenian Malaysia ini ia cuba barangkali mempengaruhi arah perkembangan pelbagai jurnal dan pelbagai institusi kesenian. Satu arah untuk  tolerence people untuk seniman supaya menjadi lebih penting dan bermakna. Pandangan saya kalau kita ingin menerobos ke dunia global, kita mesti mempunyai satu program milik negara yang jelas, apa objektif kita, apa program kesenian kita, agar tidak Institut Terjemahan Buku Malaysia berjalan sendiri, Dewan Bahasa dan Pustaka berjalan sendiri, tidak Balai SenI Visual Negara berjalan sendiri, Majlis Perbadanan Perbukuan juga berjalan sendiri, mesti ada minimum of one co-ordination diantara pelbagai intellectual institution itu jawapan saya.

Faizal Sidik: Terima kasih Datuk (Baha Zain), ada persoalan dan pertanyaan lain?



Tan Hui Kun: Selamat pagi Datuk Baha Zain, saya Kun (Tan Hui Kun) dari Balai (Seni Visual Negara). Saya begitu sedar bahawa untuk melampaui sempadan sudah pasti menghadapi cabaran-cabaran sebegini. Namun bagi  generasi baru sekarang ini walaupun setiap bidang saya nampak apa yang diperjuangkan oleh setiap bidang memberi dan menimbulkan juga permasalah-permasalahan lain yang belum dapat diselesaikan.  Contohnya apabila kita membuat program rentas sempadan antara bidang saya nampak penulis-penulis atau profesion-profesion yang lain akan menimbulkan persoalan-persoalan tentang hakcipta atau royalti, jadi hal ini menjadi permasalahan teknikal untuk meningkatkan projek-projek koloborasi. Saya minta saranan Datuk (Baha Zain) bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini?

Baha Zain: Ya terima kasih, ini satu pertanyaan yang relevan yang selalu difikirkan iaitu intellectual property, hakcipta terutamanya. Sebab itu saya tadi pada mulanya saya ajukan supaya ada kerjasama yang rapat antara pelbagai institusi, sebagai contoh bagi saya kekayaan sesebuah institusi itu malahan negara pun bukan fixed asset atau bukan harta tetap, bukan tangibe asset tetapi intellectual property, sebagai contoh saya tahu Dewan Bahasa (dan Pustaka) mempunyai  sekitar 10 ribu judul-judul buku. Saya diberitahu kawan-kawan di Dewan Bahasa(dan Pustaka) kekayaan Dewan Bahasa dan Pustaka bukan dengan bangunan 13 tingkat sahaja tetapi intellectual property iaitu copyright dan permission right yang mereka ada, tetapi apabila hak ini terpendam tidak diterjemah, tidak diterbitkan semula bukan sahaja institusi itu rugi tetapi pengarang juga rugi. Saya dari dulu lagi dalam Kertas Ucaptama saya kepada pengarah-pengarah muda di Johor saya mencadangkan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Buku Malaysia mengadakan kerjasama rapat iaitu sinergi yang saya sebutkan tadi, supaya buku-buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam bahasa Melayu itu diserahkan kepada Institut Terjemahan Buku Malaysia untuk diterjemahkan bukan sahaja dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Mandarin, bahasa Jerman dan sebagainya. Barangkali bukan sahaja diterjemah tetapi di pasarkan, ada badan lain yang membuat kerja pemasaran. Mungkin Balai Seni Visual Negara bekerjasa sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka contohnya, dimana Unit Pengarang Dewan Budaya pun ada di sini . Dewan Budaya barangkali boleh bantu terbitkan artikel yang ditulis oleh kawan-kawan di Balai Seni (Visual Negara) ini dan Dewan Bahasa (dan Pustaka) akan membayar, dan barangkali juga Dewan Bahasa (dan Pustaka) mungkin boleh menerbitkan lagi buku (Modern Artists of Malaysia) seperti ini. Jadi apabila institusi saling rapat dan bekerjasama kita boleh selesaikan isu hak cipta, tetapi selagi masing-masing berjalan ikut arah jalan sendiri selama itu juga akan timbul masalah.

Saya lihat Malaysia ini diantara yang paling banyak memberi galakan dari pelbagai institusi bukan sahaja Perpustakaan Negara Malaysia, Balai Seni Visual, Institut Perbadanan Perbukuan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan banyak lagi dan setiap tahun macam-macam hadiah dan anugerah yang bakal diberikan barangkali ada juga di Filipina dan Indonesia. Barangkali perancangan dan coordination itu yang tiada, mungkin dalam satu hal ianya bagus supaya lebih advanced dan lebih authentic tetapi the explanation jadi saya harap, sebab itu apa yang saya sebutkan tadi kerajaan mesti menubuhkan Majlis Kesenian Malaysia supaya dapat melihat bukan sahaja seni moden tetapi seni tradisional di Sabah dan Sarawak cukup kaya dengan seni tradisional ini. Kerajaan juga mungkin boleh membantu untuk seniman-seniman kita sebagai seniman residen di luar negara. Cuma kerajaan harus mengeluarkan perbelanjaan 100 juta umpamanya untuk seni moden ini untuk (diperuntukan) Majlis Kesenian Negara, sehingga ke hari ini kita tiada (Majlis Kesenian Negara), di Singapura ada Arts Council, Scotland ada, Denmark ada, Perancis ada, Norway ada, saya tidak tahu mengapa Malaysia tidak boleh. Jadi saya minta saudara Zabas dan kawan-kawan yang lain tolong war-warkan, kalau tidak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sahaja yang tahu, orang lain tidak tahu sedangkan dunia kesenian dan kreativiti kita sangat terancang it just is possible one head can understand.



Barangkali kalau ada satu kelompok yang saya maksudkan dengan Majlis Kesenian Negara ini mestilah mereka yang  pemikir-pemikir kebudayaan, practising artists and writers, thinkers,  profesional dalam multimedia, dari academician jadi kita pull all the resources untuk kita berfikir tentang ke mana arah seni moden kita, ke mana arah creative industry kita. Kita boleh mengadakan bermacam-macam gajet itu tetapi (yang penting) pengisian, itu seniman sendiri, intellectual, cendekiawan dalam seni, animasi, drama dan filem kita. Saya hampir tiap-tiap hari menengok program NHK (syarikat penyiaran Jepun) baru-baru ini, hebat bukan sahaja subjek tetapi juga wording perkataan-perkataan,  seperti misalnya National Geographic kadang-kadang kita terpukau dengan perkataan sahaja, the voice over, jadi kita punya script-writers, screenplays, artists must together untuk mengangkat seni filem kita.

Faizal Sidik: Datuk (Baha Zain) ada lontarkan tentang persoalan-persoalan yang perlu dijawap oleh pekerja-pekerja seni contohnya artis, pensejarahan seni, pengkritik, pelukis dan sebagainya, kita minta respon atau persoalan lain mungkin dari En. Zabas. En Zabas merupakan penulis yang juga terlibat secara langsung dalam penerbitan buku Wawasan dan Idea (Vision and Idea) bersama T.K. Sabapathy dan Redza Piyadasa dalam buku tersebut. Adakah En. Zabas melihat penerbitan Vision and Idea itu untuk menyaingi apa yang dilontarkan oleh buku Modern Artists of Malaysia ataupun adakah ia adalah penulisan semula terhadap seni moden Malaysia seperti apa yang En. Zabas sebut di dalam penulisan itu?

Zainol Abidin Sharif (Zabas) : Terus pandangan saya buku atau projek Vision and Idea yang menyusuli projek Modern Artists of Malaysia dikemukkan berikutan tanggapan Redza Piyadasa, T.K. Sabapathy dan Krishen Jit tentang betapa perlunya  projek Modern Artisst of Malaysia ini dilanjutkan sebagaimana yang Datuk Baha Zain katakan tadi harus ada kesinambungannya, jadi tajuk kecilnya adalah ReLooking Modern Malaysian Art (Melihat Semula Seni Lukis Moden Malaysia). Di dalam konteks itu kemudiannya juga bila saya sembangkan dengan Sabapathy, hanya saya dan Sapabathy pada ketika itu, siap sahaja buku itu diterbitkan sudah ada keperluan untuk mengadakan relooking sekali lagi, dan saya di sini ingin menyatakan betapa projek ini dikendalikan oleh Rogue Art yang telah diimpikan dan kini menjadi realiti dan itulah yang saya nak nyatakan mengenai buku ini. Saya mahu nyatakan satu hal, banyak quotations, banyak perbatuan atau milestones sejarah Malaysia ini, di dalam penerbitan sejarahnya, penerbitan perkembangan budayanya sebelum merdeka, selepas merdeka, pembentukan Malaysia, 13 Mei, kembali ke Asas 50 seterusnya tahun 1970 an Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Saya ingin tanya Datuk Baha Zain sebagai witnessed of an era,  ramai yang telah pergi, Datuk Baha Zain sebagai witnessed of an era adalah sesuatu yang bernilai dan berharga, saya nak tanya satu soalan sahaja samada pihak Dewan Sastera pernah membuat liputan tentang Kongres Kebudayaan Kebangsaan? Saya katakan milestone itu  kerana kongres itu merupakan satu yang telah menjejaskan perkembangan kebudayaan dan kesenian Malaysia sebagaimana sepertimana Asas 50  dahulu telah memberi sokongan, membuka jalan atau melihatkan peta untuk terus berkembang (kebelakang). Kongres Kebudayaan Kebangsaan 70 an itu saya rasa  yang kita tahu ada sebagaimana susulan daripada Peristiwa 13 Mei 1969, kemudian daripada  itu wujud Dasar Kebudayaan Negara yang kemudiannya Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Kementerian Kebudayaan pernah membukukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan semua seolah-olah bersempena memperlihat perjalanan sosio-budaya kita  pada waktu itu 70 an, 80 an memperlihatkan perpecahan tokoh-tokoh kesenian ada yang lari dan ada yang bertukar pemikiran. Saya ingin tahu sama ada Dewan Bahasa (dan Pustaka) khususnya juga Dewan Sastera sebab saya membesar terlebih dahulu daripada Dewan Budaya.  Dewan Sastera semasa saya ditingkatan 6 itulah yang memang mempengaruhi diri saya tetapi semasa saya di universiti dahulu saya tidak berapa ingat laporan Dewan Sastera mengenai perkembangan akibat Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diliputi, dijelaskan atau diperjuangkan oleh Dewan Bahasa (dan Pustaka)?



Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Baha Zain:Terima kasih saudara Zabas, pertamanya saya nak bawa dan nyatakan keputusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan itu tidak diiktiraf oleh kerajaan. Ia tidak menjadi instrumen yang menentukan dasar kecuali apabila kabinet menerimanya, jadi selepas kongres itu, ia habis dengan begitu sahaja terpulanglah kepada sesiapa yang hendak menggunakannya sebagai guidelines untuk kegiatan. Bagi Dewan Bahasa dan Pustaka yang jelas tentang penggunaan bahasa itu tiada tolak ansur yang digunakan, kecuali dalam hal-hal tertentu untuk kepentingan terjemahan. Tetapi dalam aspek lain aspek tentang agama dan sebagainya itu orang kata dalam hal-hal yang covenient (sesuai) bukan sebagai mengekang kita tidak benarkan  kebudayaan lain malahan kebudayaan lain bukan Islam turut dimuatkan untuk rujukan dan pengetahuan. Cuma tentang Dewan Bahasa (dan Pustaka) yang dipegang teguh adalah tentang bahasa sebagai medium, tetapi dalam waktu yang sama yang menjadi dasar untuk tidak menerbitkan hal-hal yang bertentangan dengan agama yang boleh dan bertentang dengan adat sopan iaitu sensitiviti dengan perkauman, tetapi keputusan kongres itu bukan untuk sekalian kegiatan. Aktiviti menyalahi agama, perkauman, perpaduan, akhlak, moral diketepikan, jadi yang pentingnya ialah kita jangan menerbitkan apa-apa yang bertentangan dengan Islam. Islam itu sangat toleransi ia tidak mendiskriminasi agama apa-apa pun. Tapi kalau orang faham betul-betul bahawa agama Islam itu bukan bererti kita berlaku tidak adil kepada agama lain, ianya hanya sebagai panduan sahaja tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu memang tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan.

Faizal Sidik: Terima kasih Datuk (Baha Zain), Dasar Kebudayaan yang telah di mulakan pada tahun 1971 dan dalam bidang seni lukis sendiri ia diteruskan dengan Seminar Akar-Akar Kesenian Peribumi yang diadakan pada tahun 1979 di ITM (Institut Teknologi Mara) pada masa itu dan selepas pada tahun 1979 banyak pelukis keluaran ITM yang mencari semula atau apa yang dipanggil revivalism mencari semula identiti Kemelayuan atau Nusantara dalam pengkaryaan mereka. Perkara ini tidak hairanlah selepas pameran ‘Towards a Mystical Reality’ dimana Redza Piyadasa ke arah rupa Malaysia dan Sulaimen Esa kepada seni Islam jadi masing-masing membawa haluan sendiri. Seterusnya jika kita ada persoalan-persoalan lain, ya silakan.

Rafiq Rahman:Bismillahnirahmanirahim, Assalamualaikum terima kasih kepada Datuk Baha (Zain) kerana menjemput saya bersama dalam program ini. Saya Rafiq Rahman iaitu Penolong Editor majalah Dewan Budaya, ada beberapa yang saya hendak ketengahkan di sini. Pertama, hasil ruang-ruang seni visual yang diilhamkan oleh Datuk Baha (Zain) masih diteruskan  dan ada juga (penulis) yang dari Balai Seni Visual Negara sendiri yang biasanya (menyumbang) iaitu saudara Faizal Sidik dan ada juga pengkarya-pengkarya dari Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan) sendiri. Cuma yang kita ketandusan bagi saya individu yang sama menulis dan menghasilkan karya yang lebih bermutu dalam penulisan yang berunsur perpaduan, itu yang kita utamakan di dalam Dewan Budaya itu sendiri, sebab apa saya lihat dari segi karya-karya ini pentingnya ruang-ruang tersebut oleh penulis yang dilihat unsur perkauman itu semakin tersebar luas. Kita berkehendakan (tulisan) yang dapat menyatukan dan berasaskan satu matlamat kepada negara yang lebih maju dan nilai-nilai budaya yang tinggi. Keduanya,saya ada pertanyaan kepada Datuk Baha (Zain) sendiri, pada zaman dahulu zaman Datuk Baha (Zain) sendiri, saya mungkin generasi yang keempat atau kelima yang mengenali Dewan Budaya dimana pada waktu Datuk Baha (Zain) penulis dan pelukis seiring untuk memerdekakan negara kita dan  mewujudkan perpaduan tetapi sekarang ini penulis dan pelukis ini mereka mempunyai membawa ideologi dan identiti mereka sendiri. Saya lihat kurangnya titik pertemuan  yang mengutamakan unsur-unsur perpaduan dan nilai-nilai identiti bangsa di dalam penulisan mahupun lewat karya-karya mereka. Bagaimana Datuk (Baha Zain) melihat kita boleh kembali ke zaman Datuk (Baha Zain) membantu agar ia selari dengan kehendak sekarang ini bermakna semangat nasionalisme semakin kurang dikalangan remaja dan belia, sebab saya lihat itu yang perlu diutamakan?

Baha Zain:Terima kasih saudara Rafiq, saya kira begini, zaman dahulu telah terlalu lama, tiga dekad, empat dekad dan mungkin tidak boleh kembali ke zaman itu dalam semua hal. Mengenai kebebasan saya ambil cerita Anak Alam yang saudari Hanim sebut, waktu Anak Alam dahulu giat sesama ahlinya dan kita Dewan Bahasa dan Pustaka banyak memberi sokongan, ada beberapa pengkritik tidak senang dengan kehadiran Anak Alam bergiat, ada merasakan ia begitu elit, sebab mereka lebih mementingkan pengucapan peribadi daripada pengucapan sosial. Latif Mohidin, Mustapha Hj Ibrahim, Siti Zainon dan lain-lain, jadi satu keghairahan kesenian yang luar biasa yang diucapkan oleh mereka masing-masing sehingga beberapa pengkritik zaman sebelum merdeka sangat kritis, tetapi saya sendiri mempunyai satu pendirian yang berbeza meskipun saya amat mementingkan perpaduan nasional, perpaduan masyarakat. Saya sendiri adalah pencipta dan penulis, saya merasakan itu adalah hak bakat masing-masing untuk mengucapkan diri asal tidak melanggar moral ataupun masuk ke sempadan orang lain. Kebebasan itu penting untuk memperkayakan kesenian kita asal jangan ada subversif kepada kepentingan bersama malah itu adalah caranya tradisi kesenian moden kita. Kita memperkaya dan memberi kebebasan yang besar tetapi dengan keinsafan bahawa inilah human expression  yang penting untuk misi kesenian kita. Saya kira sebagai editor jangan terlalu obses, orang kata antara kepentingan social and nation kadang-kadang kita tersepit, editor harus push the boundaries.



Saya ambil satu contoh Salleh Ben Joned salah seorang penyair dan penulis, saya membawa dia menulis dalam Dewan Sastera. Saya melihat bakat tetapi agak sakit sedikit,  Latif Mohidin sangat individualistik, Salleh Ben Joned, Ibrahim Hussein, saudara Zabas dan Hanim pun apa kurangnya, seniman-seniman memang sebegitu jika tidak mereka tidak jadi seniman. Seniman pun bukan selalu anti-sosial, kita kena faham itu,  kita sebagai editor kena ada banyak kefahaman atau understanding tentang kehidupan sebagai seniman sangat sensitif, bentuk pengucapan self expression. Tidak semua hasil seniman itu bertentangan dengan kepentiangan sosial, di sini kebijaksanaan editor sangat penting how we attached about it. Jangan siapkan dengan pagar-pagar dan tembok yang tebal-tebal tetapi kalau nampaknya menimbulkan hal yang sensitif kita kena duduk bersama artis. Artis bukan hanya seorang yang kreatif tetapi seorang yang cerdik dan reasonable people bukan yang  luar biasa,  cuma inilah kesulitan profesion sebagai editor iaitu disamping menghormat dasar penerbit. Jika tidak penjelasan itu akan mati, ianya tidak akan membawa semangat-semangat dan pemikiran-pemikiran yang baru. Sebab itu saya menggalakan ruang Dewan Budaya memberi ruangan polemik ada pro dan kontra, jadi jangan ada pro sahaja dan kontra sahaja, di situ baru orang akan dapat manfaat dari ruang-ruang di Dewan Budaya akan menjadi daya tarikan lebih ramai orang. Kalau tidak jangan baca ia akan menjadi klise, apabila majalah atau seniman sendiri menjadi klise saya tidak tahu apa untuk menjawapnya. Namun zaman saya telah lampau, sekarang ini ramai bakat-bakat baru dengan doktornya, peguamnya yang lebih  international (pengalaman) Zaman saya tak ramai yang keluar negara pun, kita berlegar-legar di sini ini sahaja, kita punya hanyalah semangat sahaja dan ilmu tidak sehebat  seniman-seniman sekarang, daripada segi exposure seniman sekarang lebih hebat dan lebih global daripada dahulu. Jadi saudara sebagai editor mempunyai masalah dan kesulitan yag lebih besar.

Faizal Sidik: Ada soalan lagi? Saudari Intan (Rafiza) mungkin ini soalan yang terakhir saya rasa.

Intan Rafiza:Assalamuaalikum dan selamat tengah hari nama saya Intan Rafiza, Kurator daripada Balai Seni Visual Negara. Saya tertarik tentang pernyataan oleh Datuk Baha (Zain) bagaimana menyediakan ruang kreativiti kepada penulis atau pelukis sepatutnya menjadi platform kepada seniman dalam satu ke arah kreativiti.Saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut daripada Datuk Baha (Zain) dahulu sebagai seniman dan sasterawan (budayawan), apabila kita bercakap tentang pengkritik itu menyoal tentang ruang kreativiti dan critical thinking itu yang pada pendapat saya dan bagaimana critical thinking itu pada waktu dahulu (berlaku) dan sekarang adakah pada waktu itu iaitu waktu Datuk Baha Zain aktif dalam arena penulisan dengan rakan-rakan yang lain dalam era itu. Adakah terjadinya  apa-apa momen yang masuk campur daripada pihak pemerintah tentang hal-hal yang dianggap mungkin menghasut ataupun mempersoalkan beberapa polisi dan adakah ia pernah menjadi satu bentuk polemik dan yang dibincangkan dalam ruang yang lebih sihat dalam bentuk penulisan dan sebagainya?

Baha Zain:Terima kasih, saya sebenarnya beruntung berpengalaman sebagai penulis, ya barangkali sebagai penulis, editor  dan penerbit. Sewaktu saya menjadi editor di Dewan Bahasa (dan Pustaka) satu hari Ketua Pengarah memanggil saya dia kata seorang profesor ini telah mengadu kenapa saya terbitkan satu artikel, yang dia katakan pemikiran-pemikiran (penulisan yang terbit) adalah pemikiran dia itu adalah pelajarnya yang tulis, dia melaporkan kepada Ketua Pengarah. Saya sebagai editor saya harus mengambil tanggungjawab, saya kata begini, saya tidak  tahu yang  tulisan (yang terbit)  ini profesor itu yang buat, sebab nama pengarang (telah) ada di situ, kalau dia tidak menulis  saya tidak tahu , tetapi tidak mengapalah saya katakan dan saya tidak akan minta maaf tetapi saya bagi ruang untuk profesor itu menjawap apa yang diterbitkan itu adalah pemikiran dia, itu adalah salah satu jalan saya. Kedua, saya bercakap dengan Ketua Pengarah, minta maaf cakap kalau saya profesor itu, saya gembira kalau anak murid saya pandai yang menggunakan pemikiran-pemikiran saya. Ilmu ini kadang-kadang ini orang kata ethic academic Barat yang bagi kredit pada pemikiran-pemikiran yang dikutip. Tetapi saya kira dalam dunia Allah yang Maha Pemurah ini kalau saya jujur saya tidak perlu acknowledged academic ethic dan profesional dia. Akhirnya dia  tidak berani jawap, jadi lepas saya punya tanggungjawab, sebab saya bagi ruang kepada dia menjawap.

Kemudian saya menerbitkan majalah Era, saya jadi editor dan seorang kawan saya menulis mengatakan korban di Mina itu membazir,saya sudah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri. Saya serta pegawai Kementerian Dalam Negeri dan  pegawai Jabatan Agama yang tidak senang (dengan tulisan) itu mencadangkan saya memohon maaf, saya katakan tidak, saya bagi ruang supaya jabatan agama menjawab apa yang tidak betul supaya masyarakat tahu dan pembaca saya tahu, dicadangkan supaya majalah saya itu diharamkan, jadi isu-isu begini yang saya (harungi). Sebagai satu contoh lagi, Hishamuddin Rais aktivis PKR (Parti Keadilan Rakyat) sewaktu dia di England dia menjadi penyumbang majalah Era saya setiap bulan dan Hishamuddin melaporkan Lorrain Esme Osman yang lari ke London pasal skandal BMF (Bumiputera Malaysia Finance), tetapi walaupun Hishamuddin lari dari Malaysia namun dia menyumbang. Saya disarankan oleh Kementerian Dalam Negeri supaya jangan terbitkan, jadi saya buat keputusan dari segi keselamatan negara dan sebagainya. Saya sendiri sebagai penulis dan penyair pernah diserang oleh satu dua orang, tetapi saya tidak pernah jawap sebab apa sahaja saya tulis terutamanya puisi, saya tidak akan mempertahankan. Jika ada seribu yang membaca puisi saya, saya akan izinkan seribu tafsiran, itu adalah puisi penerbit, itu adalah hak peribadi . Kalau saudara buat lukisan dan saya terjemahkan begini saudara tidak boleh marah saya, itu hak saya sebagai peminat viewer jangan marah saya jika saya salah tafsir, saya kira itu terjemahan.Baru-baru ini saya ditanya melalui satu sidang media dimana pada masa itu puisi saya digunakan oleh Fauziah Nawi dalam teater ‘Topeng-Topeng’ apakah saya setuju, tak setuju, kecewa . Saya menulis puisi dalam bentuk puisi untuk apabila diterbit itu bukan lagi adalah hak saya untuk mentafsirkan. Kalau saya sebagai penulis tidak mempunyai kebebasan saya pun perlu memberikan seniman lain untuk mempunyai kebebasan. Jadi saya tidak menganggupun satu pun apa yang Fauziah Nawi hendak buat, boleh tanya dia sepatah pun saya tidak (ganggu), digunakan puisi-puisi saya, digunakan buku binatang-binatang itu pementasannya satu patah pun saya tidak (ganggu) itu saya serahkan kepada dia. Jadi harus ada pada seniman kita jangan melatah kecuali dia ia melibatkan peribadi, itu kita kena mempertahankan.

Pengalaman saya ada seorang pengkritik menuduh saya menggelapkan penulisannya, menuduh saya itu satu tuduhan yang merbahaya, sebagai bukti saya kena bersihkan nama saya. Dia menulis surat dan minta maaaf dan saya maafkan. Penulis dan editor berhadapan ribuan kata yang merbahaya dan juga boleh membina, jadi  kita kena kawal. Saya sekarang ini diterima menulis dalam Dewan Sastera (penulisan) pendek sahaja tidak panjang , saya tahu orang bosan menulis panjang-panjang, saya membaca 4 kali baca baru saya hantar, takut menyinggung orang baru saya hantar.


Faizal Sidik: Terima kasih Datuk (Baha Zain) atas pengalaman bukan sahaja berhadapan dengan penulis buku Modern Artists of Malaysia  malahan  pelukis, seniman dan pengkritk beliau. Sebuah buku bukan hanya sebagai buku tetapi ia boleh bercerita mengenai politik, ekonomi, sosial dan budaya. Buku dan pameran itu sebenarnya meliputi masyarakat yang berada di dalamnya. Sekian, terima kasih.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan