Rabu, 5 November 2014

In-A-Book: International Art Book Fair 2014

Oleh: Faizal Sidik

Bercambahnya minat membaca dikalangan rakyat Malaysia sejak 10 tahun yang lalu melalui kempen-kempen yang dijalankan sebelum itu di media-media elektronik yang kerap kempen  nasional seperti  ‘Mari Membaca’, ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’, ‘Bulan Membaca’ dilakukan dalam usaha untuk memberi galakan kepada masyarakat supaya membaca. Usaha ini tidak memadai jika hanya sekadar memberi dorongan tanpa menyediakan platform bagaimana bahan bacaan itu boleh diperolehi dan dimiliki. Oleh itu maka tumbuhlah bak cendawan tumbuh selepas hujan pesta-pesta buku dalam memenuhi permintaan-permintaan ini. Pesta-pesta buku samada peringkat antarabangsa, nasional, negeri atau swasta dilakukan samada agensi kerajaan, syarikat pengedar buku atau badan bukan kerajaan seperti ‘Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur’, ‘Pesta Buku 1Malaysia’, ‘Big Bad Wolf Book Sale’, ‘Pesta Buku Selangor’, ‘Ekspo Buku Islam Putrajaya’, ‘Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur’, ‘Malaysia Art Book Fair, ‘Pesta Buku Universiti’ dan lain-lain  ini adalah dalam usaha galakan kerajaan untuk menjadikan masyarakat kita celik ilmu. Membaca kerana ilmu janganlah disempitkan hanya untuk lulus dalam peperiksaan sahaja tetapi ia hendaklah dijadikan sebagai budaya yang bukan sahaja membaca dibilik darjah atau di rumah namun dimana jua kita berada samada di dalam kereta, pengangkutan awam, kefeteria, menunggu seseorang. Pendek kata buku tidak terlepas dari gengaman masyarakat kita jika kita ingin setanding bangsa Jepun dan Eropah dalam menuju negara maju yang ekonominya berasaskan pengetahuan budaya.

Dalam pesta-pesta buku yang berskala besar saiznya dan tiadanya fragmentasi mengenai genre-genre atau kategori buku dalam sesuatu temasya, pasti menyukarkan dan membantutkan minat pembeli atau pengumpul buku yang mempunyai minat yang lebih menjurus terhadap sesuatu tema buku. Buku yang bertemakan seni lukis atau dalam ertikata yang lebih luas seni visual yang merangkumi pelbagai bidang seperti seni halus, seni bina, senireka grafik, illustrasi, fesyen, seramik, tekstil, reka industri, reka bentuk dalaman dan lain-lain mempunyai peminat-peminat yang tersendiri samada pelajar, pelukis, pereka, pendidik, penyelidik,  kolektor atau  pecinta seni. Dalam memenuhi permintaan buku dan bahan terbitan yang lebih menjurus inilah maka Balai Seni Visual Negara (BSVN) sejak tahun 2011 mengambil inisiatif mengadakan sebuah pameran dan jualan buku Malaysia Art Book Fair.

Sebagai sebuah penerbit buku seni sejak penubuhannya 56 tahun yang lalu BSVN telah menerbit lebih 500 judul bahan penerbitan samada buku, katalog pameran, kertas kerja seminar, prosiding dan lain-lain. Boleh dikatakan 50 peratus penerbitan seni visual negara diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan BSVN. Kejayaan BSVN bukan sahaja sebagai sebuah penerbit bahan bacaan seni sepanjang 5 dekad usianya. Penerbitan sampingan koleksi promosi pameran, cenderamata  seperti  reka bentuk poster, poskad, portfolio,diari, t-shirt menjadi buruan kolektor bahan seni sebegini. Setelah 5 tahun penganjuran dan Malaysia Art Book Fair mula menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu kehadirannya, BSVN merasakan tibalah masanya untuk pergi lebih jauh lagi dengan mengorak langkah maju ke depan untuk menjenamakan semula penganjuran ini kepada International Art Book Fair atau nama popularnya In-A-Book.

In-A-Book adalah sebuah pesta jualan dan promosi buku yang mengambil model pesta buku yang bertaraf antarabangsa yang lain seperti Frankfurt Book Fair dan London Book Fair. Walaupun kedua-dua pesta itu menghimpunkan pemain-pemain industri dalam pelbagai genre buku namun In-A-Book ini memberi kelainan dalam penganjurannya agar lebih terfokus kepada penerbit, pengedar atau penjual buku-buku seni lukis, seni reka, seni bina dan seni budaya. In-A-Book Fair pertama yang diadakan pada 27 hingga 30 September di ruang legar aras satu pada 27 hingga 30 September 2014 bukan sekadar hanya jualan dan promosi malah menjaringkan penerbit buku-buku seni tempatan dan antarabangsa dengan artis dan peminat buku.

Sungguhpun In-A-Book ini adalah penganjuran pertama ianya dibuka kepada negara luar namun ia telah memahat kejayaan awalnya apabila disertai oleh 30 peserta pameran yang hanya terdiri daripada negara negara di Eropah, Amerika Selatan dan Asia seperti Switzeland, Rusia, Taiwan, Argentina dan Singapura. Pemaper luar dan tempatan yang turut serta dalam jualan dan promosi ini terdiri daripada institusi-institusi dan galeri-galeri seni seperti National Gallery Singapore, Da Tang Fine Art (Singapura), Soka Gakkai Malaysia, Persatuan Seni Tulis Malaysia dan Younie Gallery. Syarikat-syarikat penerbitan dan pengedaran buku swasta yang turut serta seperti Basheer Graphic, Taman Pustaka Enterprise, Rogueish Enterprise, Gempak Starz, Fishing Chef Studio, Pelita Akal, Art Expo Malaysia, Merpati Jingga, Malaysia Book of Record, Step Ronee Lau dan Nikon Malaysia. Manakala itu penerbit institut pengajian tinggi dan agensi kerajaan terdiri daripada Akademi Seni Warisan dan Budaya (ASWARA), Universiti Malaya, Perpustakaan Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN), Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) disamping wakil pelukis seperti Sylvia Lee Goh dan Dr Lakshmi Selvaratnam.

Pelbagai program sampingan yang diadakan yang bukan sahaja sebagai acara satelit Malaysia Art Expo yang diadakan daripada 25 hingga 28 Septermber di MATRADE. Penyediaan bas pengantar daripada kedua-dua lokasi antara Matrade dan BSVN menghidupkan lagi pameran seni kontemporari berasaskan buku iaitu Book Art yang dikuratorkan oleh Faizal Sidik. Pameran yang diadakan selama 4 bulan daripada 27 September hingga 31 Disember ini menghimpunkan 15 orang artis seperti Wong Hoy, Cheong, Khalil Ibrahim, Mustapha Haji Ibrahim, Sushilawati Sulaiman, Nurhanim Khairuddin, Nasir Baharuddin, Lee Kwai Fei, Fuad Osman dan lain-lain yang dipasang dan dipamerkan di sekitar dinding Ruang Legar tingkat 1 dan Galeri 2c bukan sahaja memberi impak dengan berdialog dengan ruang- ruang jualan dan promosi malah mengajak khalayak merespon dengan karya-karya yang bertemakan seni sebegini rupa melalui aktiviti-aktiviti sampingannya.

Antara program-program yang memenuhi In-A-Book Fair ini adalah Bicara Buku, Kid Storryteller, Terbitan Baru, Famili Art Treasure Hunt, Wokshop Buku dan Art Book Cafe. Program Bicara Buku diadakan sepanjang empat hari penganjuran ini diadakan bagi berkongsi informasi dengan khalayak bukan sahaja untuk memperkenalkan terbitan baru buku seni terkini yang berada dipasaran ia juga sebagai satu medan perbicaraan dua hala antara penulis, pelukis, pereka, penerbit dan pembaca untuk mengetahui selok belok dunia penerbitan buku seni daripada panel yang berpengalaman dalam bidang ini antara mereka adalah pelukis Khairul Azmir Shoib dan penulis buku ilustrasi Quek Sue Yian yang membicarkan koloborasi buku mereka berdua yang bertajuk ‘Tulip The Dog that Ate Nightmare’. Dr Tan May Ling pula membicarakan aspek-aspek atau sisi-sisi yang jarang diketahui dalam pengkaryaan Huang Yao melalui penerbitan buku terbaru pameran ‘Huang Yao: The Remarkable Guest of Malaya’ (Huang Yao: Tetamu Malaya Yang Terbilang) yang telah diterbitkan oleh Balai Seni Visual Negara. Kemuncak program bicara buku adalah diskusi buku ‘Modern Artists of Malaya’ yang ditulis oleh Redza Piyadasa dan T.K. Sabapathy oleh Datuk Baharuddin bin Zainal atau Baha Zain iaitu Sasterawan Negara yang ke-13 bagi membedah penglibatan beliau secara langsung terhadap penerbitan buku berkenaan.

In-A-Book Fair adalah sebuah program jualan dan promosi buku secara interaktif yang bukan sahaja menarik jualan buku tetapi juga menggunakan elemen-elemen kreatif  untuk menarik minat membaca. Dalam memenuhi permintaan program ke arah itu program yang melibatkan keluarga dan kanak-kanak diadakan seperti ‘Famili Art Treasure Hunt’ . Acara berkumpulan ini untuk mencari jawapan terhadap soalan-soalan sejarah seni didalam karya koleksi pameran Book Art dan Absurdcity yang sedang berlangsung. ‘Kid Storyteller’ untuk pembaca cilik menjemput penglipurlara atau tukang cerita jemputan luar bercerita mengenai cerita ‘Mama Tok, Gagak Malang dan Mat Mit Mut. Wokshop buku diisi  dengan bengkel kraf pertukangan tangan mudah daripada subjek daripada buku terpakai seperti ‘Recycled ABC’ oleh Philip Wong manakala Alonzo Abu Bakar mengajar cara mudah menghasilkan imej yang keluar menerusi buku melalui kreativiti aktivit  ‘Pop-up Arts Wokshop with Alonzo’. Penerbitan yang bagus memerlukan sumber gambar dari kualiti yang terbaik, Zubir Afandi mewakili syarikat kamera Nikon hadir memberi tip-tip kepada peserta mengenai teknik-teknik rakaman studio di dalam penerbitan menerusi bengkel ‘Nikon: I Am Heritage’.


Cafe atau cafe merujuk kepada kedai kopi, restoran kecil yang ekonomi, tempat minum teh atau tempat makanan dan minuman yang agak kasual berdasarkan sesuatu budaya. Mengambil idea Cafe Montparnass di Paris yang telah menjadi pusat intelektual dan artistik seni moden pada abad ke-20 ini bukan sahaja kepada pelukis atau pengarca tetapi penulis, penyajak, pengarah filem duduk berbincang dalam merencana pengkaryaan mereka.  Seniman seperti Manet, Degas, Pablo Picasso, Jean Cocteau, Marc Chagall, Fernand Leger, James Joyce, Ernest Hemingway, Amedeo Modigliani, Ezra Pound, Marcel Duchamp, Constantin Brancusi, Diego Rivera, Alberto Giocometti, Andre Breton, Salvador Dali, Samuell Backet dan Joan Miro adalah antaranya. Sebagai tempat pertemuan pembinaan Art Book Cafe merubah anjung depan BSVN sebagai medan temu kepada seniman dan budayawan bertukar-tukar fikiran mengenai dunia perbukuan seni kita di sini. Berkonsepkan retrospektif, reka bentuk perabut samada kerusi, meja dan prop disekililinginya seperti ingin mengimbas kembali  kenangan sekitar tahun 1970an. Penyediaan kedai kopi dan makanan ringan atau snek berideakan santai ini menghidupkan lagi getaran penganjuran  International Art Book Fair 2014.


Bahagian Penerbitan BSVN yang menganjur program ini mempunyai perancangan sebagai penerbit penting dalam penerbitan buku-buku seni negara dalam mempromosi produk kesenian tempatan di peringkat antarabangsa. Dengan pengantarabangsaan pengajuran ini ia di harap dapat melonjakan nama seni lukis Malaysia untuk memasuki pasaran yang lebih global.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan