Isnin, 12 April 2021
Sabtu, 20 Mac 2021
Ibrahim Hussein 'Langkawira' 1992
Siri Langkawira (edisi terhad)
Ibrahim Hussein (1936-2009)
'Siri Langkawira'
35 cm x 35 cm
Cetakan litografi atas kertas
(Edisi Terhad)
1992
Muzium dan
Yayasan Seni Ibrahim Hussein (IHMCF) telah dilancarkan secara rasminya oleh
Perdana Menteri pada masa itu iaitu Dato Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamed pada Jumaat,
11 Disember 1992 di KL Hilton. Semasa pelancaran itu dipertontonkan juga buat
pertama kalinya logo IHMCF kepada umum.
Sempena majlis
pelancaran pada malam itu Ibrahim Hussein telah menghasilkan sebuah siri karya
cetakan litografi atas kertas yang bertajuk ‘Siri Langkawira’ (1992) . Karya
ini mempunyai 6 buah karya cetak yang bersaiz 35 cm x 35 cm. Hanya sebuah karya
sahaja yang dihasilkan dalam karya ini berwarna dimana 5 karya lagi adalah
hitam putih. Karya edisi terhad ini hanya mempunyai 200 edisi cetakan setiap
satu.
Karya ini
dihasilkan khas oleh Ibrahim Hussein untuk penyumbang-penyumbang dana IHMCF
yang turut disampaikan oleh Perdana Menteri. Karya ini juga adalah inspirasi
kepada beliau untuk menghasilkan karya-karya catan seterusnya yang bertemakan Pulau Langkawi
antaranya adalah ‘Langkawira’ pada tahun 1993 iaitu sebuah karya akrilik atas kanvas.
Rujukan:
Online Catalogue,
Henry Butcher Art Auctioneer, Malaysian and Southeast Asian Art Auction, Sunday
23 August 2020. http://hbart.com.my/index.php/component/virtuemart/?page=shop.product_details&flypage=flypage_lite_pdf.tpl&product_id=2979&category_id=24
Ibrahim Hussein Prints- Langkawi Series
- A/P 1992 , http://wlframeandart.blogspot.com/2020/08/ibrahim-hussein-prints-langkawi-series.html
Ibrahim Hussein 'Langkawira' 1993
Ibrahim Hussein (1936-2009)
'Langkawira'
198.5 cm x 275 cm
Akrilik atas kanvas
1993
'Langkawira' adalah tajuk yang diberikan oleh Ibrahim Hussein dalam memberi penghormatan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau lagenda yang menjadi destinasi pelancongan antarabangsa. Langkawi adalah gabungan 2 perkataan bahasa Sanskrit yang bermaksud Langka (keindahan) dan Wi (tidak terkira). 'Langkawira' adalah catan lanskap abstrak oleh pelukis manifestasi terhadap keindahan luar biasa Pulau Langkawi yang bukan sahaja kaya dengan kecantikan pantai putih yang dikelilingi air laut yang membiru tetapi juga kisah-kisah mitos kepahlawanan dan keperwiraan silam. Karya ini merupakan salah satu karya yang dihasilkan bagi mengumpul dana bagi pembinaan Ibrahim Hussein Museum and Cultural Foundation (IHMCF).
*Ibrahim Hussein dilahirkan di Kg, Limau Yan, Kedah pada 13 Mac 1936 dan meninggal di Bukit Pantai, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2009 pada usia 72 tahun. Pada 19 Februari 2021 genaplah 13 tahun beliau meninggalkan kita . Al-Fatihah
Selasa, 16 Mac 2021
ARKIB: Arkiban Ibrahim Hussein (Kenangan Kolektif Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein)
Oleh: Faizal Sidik
Analogi yang boleh
dibuat jika ada yang menanyakan siapakah nama pelukis besar Malaysia, jika
tidak nama Ibrahim Hussein pasti Latiff Mohidin akan ditimbulkan. Kedua-dua
mereka ini adalah merupakan gergasi atau ‘gaint’ dalam saingan seni lukis
negara sejak 1960 an lagi. Namun apa yang membezakan mereka adalah Latiff Mohidin
mendapat didikan formal di Berlin manakala Ibrahim Hussein (Ib) di London. Di
Jerman Latiff didedahkan dengan gerakan Ekspressionisme manakala di UK pula Ib
terpesona dengan sentuhan Seni Pop. Dari segi personaliti pula Lafiff agak
senang bersendiri manakala Ib pula agak keramaian penampilannya. Perbezaan dua
karakter yang ketara ini pernah mewarnai seni lukis Malaysia sejak 50 tahun
dahulu dengan Latif Mohidin terkenal
dengan karya mahsyur ‘Pago-Pago’ (1964)
dan Ibrahim Hussein pula unggul dengan ‘Ayah dan Angkasawan (1970).
Walau bagaimanapun Ib telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kita pada 19
Februari tahun 2009.
Ibrahim Hussein
dilahirkan di Kg Limau, Yan, Kedah pada tahun 13 Mac 1936. Ib boleh dianggap
sebagai pelukis selibriti. Sebagai pelukis selibriti Ib bukan sahaja sering
didampingi oleh selibriti seni yang lain tetapi juga ahli-ahli politik
berpengaruh. Secara sepintas lalu mengimbau perjalanan karier Ibrahim Hussein sebagai pelukis bolehlah
ditinjau daripada beliau menerima didikan formal sehinggalah pencapaian penting bukan sahaja
anugerah dan gelaran tetapi dengan terbina Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim
Hussein. Peralihan ini boleh dibahagi kepada kepada 5 fasa perjalanan iaitu
daripada tahun 1950 an sehingalah 2000 an .
Fasa pertama adalah
pada era 1950 an adalah zaman pembentukan awal Ib sebagai pelukis di Singapura.
Fasa kedua pada tahun 1960 an adalah zaman Ib melanjutkan pelajaran di UK dan
kembaraan beliau di US dimana beliau menghabiskan masa selama hampir satu dekad
di luar negara dengan mempraktiskan teknik ‘printage’ Seni Pop. Fasa ketiga
adalah pada tahun 1970 an apabila Ib kembali ke tanahair dan bergiat aktif
dalam lanskap seni lukis tempatan. Fasa keempat pada tahun 1980 an beliau mula meneroka
teknik garisan-garisan alun dengan cat dakwat. Fasa kelima pada tahun 1990 an adalah
tahun-tahun dimana idea penubuhan muzium ini difikirkan serta pengumpulan dana dan
sokongan mula dilakukan. Fasa ke enam adalah pada tahun 2000 an dimana muzium
dan yayasan seni ini beroperasi. Tempoh ini juga adalah fasa akhir karier
Ibrahim Hussein.
Pameran khas sempena
menyambut ulangtahun ke-85 Ib ini iaitu ‘ARKIB: Kenangan
Kolektif Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein’ ini menghimpunkan
himpunan keratan-keratan akhbar dan dokumen-dokumen penubuhan muzium ini.
Selain itu foto-foto memori pengunjung seperti orang awam, pelukis, rakan karib
Ibrahim Hussein yang pernah turut serta melawat muzium ini, foto-foto kenangan
ini turut diabadikan dalam media sosial misalnya seperti Facebook dan Instagram
dengan tanda palang #ibrahimhusseinlangkawi adalah bagaimana cara kita dalam
kehidupan norma baru pandemik ini berkongsi kenangan pernah bersama beliau
sebelum ini untuk ditatap di dalam galeri dan secara maya.
Bahan-bahan arkib yang
dihimpun oleh Pusat Rujukan Seni Asia Tenggara atau PUSAT ini diharap bukan
sahaja dapat memperkayakan lagi khazanah bahan rujukan
mengenai Ibrahim Hussein sebagai tokoh seni penting negara malah dapat
menvisualkan dengan dekat dan lebih jelas lagi mengenai Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein
sebagai sebuah hab kesenian serantau yang pernah wujud pada suatu ketika dahulu.
Isnin, 15 Mac 2021
BMS Serlah Bakat Pelukis Muda
Oleh: Faizal Sidik
![]() |
| Faizal Sidik, 'BMS Serlah Bakat Pelukis Muda', Berita Mingguan, Ahad 21 Mac 2021, ms 39. |
“Jika anda ingin melihat generasi pelukis masa akan
datang, lihatlah apa yang anda hasilkan pada hari ini”. Mungkin itulah simbol atau
penanda aras dan indikator dalam melihat prestasi pelukis muda Malaysia masa
kini dengan penganugerahan Bakat Muda
Sezaman. Anugerah seni Bakat Muda Sezaman atau lebih dikenali dengan BMS adalah
sebuah anugerah galakan seni yang mula dianjurkan sejak tahun 1974.
Pertandingan secara tahunan dan kini dwi-tahunan ini adalah pertandingan seni
peringkat kebangsaan adalah satu pengiktirafan badan seni nasional Balai Seni
Negara dalam merintis bakat-bakat baru seni lukis negara.
Keprihatinan Balai Seni Negara dalam mempromosikan dan
mencungkil potensi bakat muda di negara ini dibuktikan dengan 47 tahun usia penganjurannya pada tahun ini.
Kesungguhan yang ditunjukkan 47 tahun penganjurannya pada tahun ini seharusnya
diberi pujian. Minat dan perhatian Balai Seni Negara tunjukkan dalam
pengembangan bakat muda ini mungkin sukar untuk ditandingi oleh pentadbir utama
seni lukis negara jiran misalnya Singapore Art Museum atau Galeri Nasional
Indonesia. BMS boleh dikatakan sebuah pameran dan anugerah seni yang tertua
bukan sahaja di rantau ini malah juga di Asia dalam menghasilkan
pelukis-pelukis utama dalam pergerakan seni lukis Malaysia pada hari ini.
Meninjau sepintas lalu pemulaan anugerah ini diwujudkan
pada tahun 70 an adalah tempoh masa penganjur membentuk format pertandingan. Pada
awalnya penyertaan adalah secara tertutup iaitu melalui jemputan. Seramai 13
artis muda yang berkaliber pada sekitar tahun itu diberi peluang untuk
menghantar karya mereka namun hanya separuh atau tujuh artis sahaja yang
mengesahkan penyertaan mereka. Penyertaan kemudiannya dibuka kepada semua
bagi memberi peluang lebih banyak lagi pelukis-pelukis muda dalam mencari
platform dalam mengembangkan karier mereka selepas keluar daripada latihan
formal di akademi dan institusi seni. Gerakan gaya seni lukis antarabangsa atau
Internationl Style begitu mendominasi
dalam penyertaan peluks.
Pada tahun 80 an memperlihatkan ruang yang disediakan
oleh Balai Seni Negara dalam menyemai semangat persaingan dalam meningkatkan
lagi penghasilan karya-karya berkualiti oleh pelukis muda ini semakin mendapat tempat.
Perihal ini dapat disaksikan daripada jumlah penyertaan yang semakin meningkat
yang diterima bukan sahaja daripada graduan pelajar institut pengajian tinggi
tetapi juga pelukis-pelukis muda yang sedang meningkat naik. Manifestasi
saranan Kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1974) dengan penambahbaikan dasar
itu menerusi Seminar Akar-Akar Peribumi (1979) dapat dilihat jelas dalam
pengkaryaan pelukis muda dalam menerapkan intipati kebudayaan serantau dalam
pengkaryaan pada tahun-tahun ini
BMS semakin diminati dan ditunggu-tunggu oleh kalangan
pelukis muda dalam mempertaruhkan idea dan kreativiti mereka sekitar tahun 90
an. Menyedari pelukis muda sebagai aset penting terhadap masa hadapan seni
lukis Malaysia, Balai Seni Negara bukan sahaja menaikkan hadiah pemenang malah
menawarkan hadiah perjalanan ke luar negara bagi pelukis muda memperluaskan
pengalaman dan idea pengkaryaan mereka. Di akhir dekad ini diadakan pameran
Imbasan Bakat Muda Sezaman, pameran bercorak retrospektif ulangtahun ke-25
penganjuran BMS ini meninjau semula karya-karya pemenang dan sejauhmanakah perkembangan pengkaryaan
mereka pada hari ini. Hal ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan
menerusi Balai Seni Negara sebagai urus setia pertandingan ini malah badan ini
sentiasa ingin melihat prestasi pelukis-pelukis muda ini terus menerus dipantau,
diperhati dan diraikan.
Tahun 2000 an menyaksikan dunia seni memasuki satu
mellenium baru, sistem komunikasi manusia semakin maju dan semakin laju.
Kemunculan internet menjaringkan dan menghubungkan manusia dalam satu lebuhraya
maklumat yang boleh dicapai secara maya dengan pantas. Begitu juga dengan kedinamikan
BMS yang sentiasa inginkan kesegaran mengikut peredaran maklumat dan teknologi
sezaman. Perubahan format pertandingan dengan membuka ruang seluasnya kepada
karya-karya medium baru atau karya berasaskan ruang dan waktu (time-based
media) untuk dipertandingkan menunjukkan keterbukaan BMS yang anjal terhadap
perubahan dan cabaran dalam merentasi zaman.
Walaupun bagaimanapun BMS hanyalah satu platform atau
pentas dalam mempromosikan pelukis muda. Usaha dalam melihat pelukis-pelukis
muda ini terus aktif dan mengharungi cabaran seterusnya perlu dimainkan bukan sahaja oleh Balai Seni Negara
dalam membangunkan karier mereka tetapi juga oleh galeri, pengumpul dan badan
korporat. Galeri seni terutamanya galeri baru harus memberi kepercayaan kepada
pelukis muda ini diserap masuk menjadi pelukis yang direpresentasi oleh mereka
selama beberapa tahun. Dengan cari ini pelukis-pelukis ini dapat secara
berterusan menonjokan kreativiti mereka melalui program-program galeri samada
pameran solo, berkumpulan, komisen atau projek seni.
Bagi pengumpul seni, peranan yang dimainkan oleh mereka dengan membantu membeli karya-karya pelukis
muda samada di galeri dan studio yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dapat
membantu mereka untuk terus produktif menghasilkan karya dan meneruskan
kelangsungan. Perolehan daripada kolektor ini juga penting dalam mengekalkan tempat
mereka untuk terus berada dalam radar lanskap seni dalam meniti kemaraan. Badan-badan
korporat sebagai patron atau penaung pula boleh menghulurkan sama tangan dengan
menawarkan geran, dana atau penajaan bagi pelukis muda ini melebarkan sayap mereka untuk beraksi
mengadakan bukan sahaja pameran tempatan tetapi juga serantau dan ke peringkat antarabangsa.
Kesimpulannya, BMS boleh dianggap sebagai katalis dalam
perkembangan seni lukis Malaysia hari ini. BMS juga boleh dijadikan juga sebagai
dokumen visual dalam merakam sosio-budaya, ekonomi dan geo-politik negara kita.
Pengiktirafan seperti anugerah seperti ini bukanlah segala-galanya, anugerah
ini boleh dijadikan sebagai pemangkin tetapi daya usaha secara berterusan oleh
pelukis-pelukis muda inilah yang mampu membuka lorong kepada mereka untuk melakar
kejayaan demi kejayaan dalam perjalanan karier mereka di masa hadapan.
Selasa, 2 Februari 2021
Pameran Fotografi ‘Semasa di Mara dan Columbia’ Sebuah Rakaman Perjalanan Mansor Puteh ke kota New York
Oleh: Faizal Sidik
Mansor Puteh adalah
merupakan pengarah, penulis dan pengkritik filem. Dilahirkan pada 7 Oktober 1953
di Melaka, beliau mendapat pendidikan awal di St. Francis Institution di Jalan
Bandar Hilir kini Jalan Parameswara. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di
Tingkatan Enam di kolej swasta iaitu Malaysian Tutorial Collage di Petaling
Jaya sebelum menyambung pelajaran di ITM pada tahun 1974 sehingga 1977.
Di Institut Teknologi
Mara atau ITM, Mansor Puteh mengikuti pembelajaran dalam bidang komunikasi
massa. Pada 1977 beliau telah mendapat tempat untuk menyambung pelajarannya di
peringkat sarjana dalam bidang pengarahan filem di Columbia University di
Bandaraya New York, Amerika Syarikat untuk sesi kemasukan musim luruh.
Namun permohonan
biasiswa penuh daripada Majlis Amanah Rakyat atau MARA oleh Mansor Puteh untuk
menyambung pengajian itu tidak diluluskan dan memaksa beliau untuk bekerja
sebagai pemberita di Utusan Melayu pada ketika itu sebagai jurnalis, iaitu sebaik
sahaja beliau menamatkan pengajian dari ITM, iaitu di tempat dimana beliau
pernah membuat latihan amali selama setahun sebelum itu..
Selepas selama
setahun beliau bekerja di Utusan Melayu
kini Utusan Malaysia, Mansor Puteh akhirnya diberi pinjaman pelajaran MARA
untuk membolehkan beliau diterima kembali mengikuti pengajian Ijazah Sarjana
Seni Halus Pengarahan Filem di
University Columbia, New York yang menjadi impian beliau selama ini pada 1978
hingga 1982.
Pameran ‘Semasa di
Mara dan Columbia’ ini adalah rakaman visual perjalanan Mansor Puteh berkelana hampir
10 tahun dari Shah Alam ke New York
menerusi lensa fotografi. Sebanyak lebih 80 buah fotografi dan 40 buah lakaran terpilih
dalam pameran ini yang mendokumentasikan beliau sebagai pelajar Institut
Teknologi Mara dan University Columbia.
Pameran yang diadakan
daripada 13 Disember 2020 hingga 13 Januari 2021 di Balai Seni Negara Langkawi ini
dikuratorkan oleh Faizal Sidik ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian.
Bahagian pertama memperlihatkan 60 buah karya iatu 20 lakaran dan 40 fotografi
yang dipamerkan di aras bawah galeri. Lakaran-lakaran dakwat atas kertas ini
dilukis secara spontan oleh beliau semasa menuntut di ITM.
Antara subjek-subjek
lakaran ini adalah lanskap dan seni bina kampus, ruang dalaman bilik kuliah
sehinggalah subjek yang agak peribadi seperti ruang dalaman dan perabot bilik
asrama seperti katil, almari dan meja belajar. Lakaran-lakaran secara bersahaja
Mansor ini mengingatkan bukan sahaja bekas-bekas pelajar yang belajar di ITM
tetapi mengimbau semula memori silam pelajar yang pernah tinggal asrama-asrama
disekitar kampus. Ini adalah kerana suasana dan keadaan di dalam asrama pada
ketika dahulu tidak jauh bezanya apa yang mereka alami pada hari ini.
Sebanyak 40 buah
fotografi yang terpilih dalam pemeran ini adalah gambar foto yang dicetak di
atas kertas akhbar atau ‘newsprint’. Gambar hitam putih oleh Mansor Puteh atas
permukaan ini seolah-olah kita sedang melihat foto yang berada di dada-dada
akhbar harian pada tahun 1970an dan 80an. Pengalaman beliau menjadi pemberita
akhbar Utusan Melayu sebelum inir di sangat dekat dalam mencetuskan penggunaan permukaan ini. Penggunaan bahan
ini seakan-akan ingin memberitahu keakraban dunia tekstual dengan dunia visual sebagai suatu yang tidak boleh dipisahkan. Beliau
seolah -olah cuba berkata teks tanpa imej adalah buta manakala imej tanpa teks
adalah bisu.
Dalam bahagian ini kurator
dalam pameran menyusun foto mengikut kronologi misalnya foto-foto dimulakan
dengan gambar-gambar perjalanan awal beliau diterima masuk ITM Shah Alam,
suasana bilik kuliah, bilik asrama. Beliau dan rakan sempat menemuramah
Sudirman Haji Arshad yang pada masa itu sedang mengikuti Pengajian Undang-Undang di Universiti Malaya.
Foto ini mungkin adalah merupakan foto awal Allahyarham terlibat dalam dunia
hiburan menerusi lakonan iaitu filem ‘Kami’ yang diarahkan oleh Patrick Yeoh.
Di aras satu Balai
Seni Langkawi pula menempatkan bahagian kedua koleksi fotografi Mansor Puteh
berada di Columbia University di New York. Kurator telah memilih 60 buah karya
juga di sini. Dengn meletakkan sebuah karya kolaj besar di awal ruang ini
dengan pemandangan bandaraya ini semasa beliau mula berada di sini pada tahun.
Pameran sebagaimana awal dimulakan dengan 20 buah himpunan sketsa-sketsa
seperti lanskap seni bina bangunan University Columbia, suasana rumah sewa dan
.
Ruang ini juga
mempamerkan 40 karya fotografi semasa menuntut di sini antara tahun 1979
sehingga 1982 antaranya kawasan kampus, lokasi utama pelawat seperti World
Trade Center yang kini telah tiada lagi. Sepanjang empat tahun di bumi asing Mansor
bukan sahaja hanya berada di suatu tempat malah kesempatan yang ada beliau telah
banyak melakukan perjalanan merentas negeri di dalam Amerika Syarikat dalam merakam
gambar-gambar jalanan, resit-resit perjalanan, monumen dan arca awam
sehinggalah setem tokoh penting Amerika.
Bahagian akhir
pameran di aras ini ditutup dengan menempatkan gambar tokoh iaitu potret 7
perdana menteri Malaysia yang pertama sehinggalah terkini dengan cetakan kertas
akhbar. Sebuah filem dokumentari berdurasi 48 minit yang bertajuk ‘Bertahun di
Residensi’ atau ‘The Residency Years’ iaitu dokumentari biografi ketokohan dan perjalanan
hidup Perdana Menteri Pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj turut
dimainkan sebagai karya video dalam pameran ini
Pameran ‘Mara dan
Masa di Columbia’ boleh dikatakan sebagai karya awal Mansor Puteh. Tempoh masa
1974 hingga 1982 boleh saya sifatkan
sebagai zaman pembentukan kesenimanannya iaitu di era Mansor Puteh mendapat
didikan filem secara formal. Peralihan daripada pengajian media yang umum
kepada satu pilihan yang lebih khusus menerusi pengarahan filem. Fotografi yang
dihasilkan oleh Mansor pada tahun-tahun ini adalah satu latihan visual terhadapat ciri-ciri di dalam filem seperti
seni mencipta adegan (mis-en scene),
sinematik dan tona cahaya
Saya juga mengesan
foto-foto yang dirakam oleh beliau mempunyai pengaruh dalam filem-filem noir iaitu
filem berlatarbelakangkan hitam putih yang juga dikenali sebagai genre filem gelap atau filem kelam seperti
dalam penghaslilan filem misteri dan ditektif atau penyiasatan pada sekitar
tahun 1940 hingga 1950 an. Lensa kamera Mansor juga dilihat liar tetapi
terkawal seperti garila yang sedang menghendap dalam mendapatkan kesan dramatik
dalam setiap tangkapan.
Rabu, 6 Januari 2021
MINTA PERHATIAN: INSTALASI KOLEKSI BALAI SENI NEGARA
13 Septermber 2018 – 8 April 2019
Pengkaryaan pemasangan atau instalasi dalam seni kontemporari Malaysia
bermula disekitar akhir tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan iaitu pada
masa pergerakan aliran seni moden di Barat berkembang dengan pantas.
Aliran-aliran pemikiran ini dibawa bersama-sama ke dalam dalam seni, seni bina,
seni grafik, seni reka dalaman, seni reka industri dan tipografi dalam membina
satu pandangan yang lebih analisis dan konstruktif dalam menolak konvensi atau
aturan sebelumnya. Aspirasi ini diganti dengan idea berkenaan masa dan ruang yang
bertujuan sedaya upaya untuk mendekatkan penghayat dengan karya.
Instalasi Koleksi Balai Seni negara ini adalah karya-karya pilihan selama
enam dekad yang cukup signifikan dalam pengkoleksian institusi seni ini bagi menyelusuri
dan meneroka kemunculannya sebagai sebahagian daripada reaksi
penentangan terhadap formalisme terhadap kewujudan objek, konteks, dan isi dalam
mendefinasikan semula apakah itu seni.
Langgan:
Catatan (Atom)
















