Selasa, 2 Februari 2021

Pameran Fotografi ‘Semasa di Mara dan Columbia’ Sebuah Rakaman Perjalanan Mansor Puteh ke kota New York

Oleh: Faizal Sidik



Mansor Puteh adalah merupakan pengarah, penulis dan pengkritik filem. Dilahirkan pada 7 Oktober 1953 di Melaka, beliau mendapat pendidikan awal di St. Francis Institution di Jalan Bandar Hilir kini Jalan Parameswara. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam di kolej swasta iaitu Malaysian Tutorial Collage di Petaling Jaya sebelum menyambung pelajaran di ITM pada tahun 1974 sehingga 1977.

Di Institut Teknologi Mara atau ITM, Mansor Puteh mengikuti pembelajaran dalam bidang komunikasi massa. Pada 1977 beliau telah mendapat tempat untuk menyambung pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang pengarahan filem di Columbia University di Bandaraya New York, Amerika Syarikat untuk sesi kemasukan musim luruh.

Namun permohonan biasiswa penuh daripada Majlis Amanah Rakyat atau MARA oleh Mansor Puteh untuk menyambung pengajian itu tidak diluluskan dan memaksa beliau untuk bekerja sebagai pemberita di Utusan Melayu pada ketika itu sebagai jurnalis, iaitu sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian dari ITM, iaitu di tempat dimana beliau pernah membuat latihan amali selama setahun sebelum itu..

Selepas selama setahun beliau  bekerja di Utusan Melayu kini Utusan Malaysia, Mansor Puteh akhirnya diberi pinjaman pelajaran MARA untuk membolehkan beliau diterima kembali mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Seni Halus  Pengarahan Filem di University Columbia, New York yang menjadi impian beliau selama ini pada 1978 hingga 1982.

Pameran ‘Semasa di Mara dan Columbia’ ini adalah rakaman visual perjalanan Mansor Puteh berkelana hampir 10 tahun dari Shah Alam ke  New York menerusi lensa fotografi. Sebanyak lebih 80 buah fotografi dan 40 buah lakaran terpilih dalam pameran ini yang mendokumentasikan beliau sebagai pelajar Institut Teknologi Mara dan University Columbia.

Pameran yang diadakan daripada 13 Disember 2020 hingga 13 Januari 2021 di Balai Seni Negara Langkawi ini dikuratorkan oleh Faizal Sidik ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama memperlihatkan 60 buah karya iatu 20 lakaran dan 40 fotografi yang dipamerkan di aras bawah galeri. Lakaran-lakaran dakwat atas kertas ini dilukis secara spontan oleh beliau semasa menuntut di ITM.

Antara subjek-subjek lakaran ini adalah lanskap dan seni bina kampus, ruang dalaman bilik kuliah sehinggalah subjek yang agak peribadi seperti ruang dalaman dan perabot bilik asrama seperti katil, almari dan meja belajar. Lakaran-lakaran secara bersahaja Mansor ini mengingatkan bukan sahaja bekas-bekas pelajar yang belajar di ITM tetapi mengimbau semula memori silam pelajar yang pernah tinggal asrama-asrama disekitar kampus. Ini adalah kerana suasana dan keadaan di dalam asrama pada ketika dahulu tidak jauh bezanya apa yang mereka alami pada hari ini.

Sebanyak 40 buah fotografi yang terpilih dalam pemeran ini adalah gambar foto yang dicetak di atas kertas akhbar atau ‘newsprint’. Gambar hitam putih oleh Mansor Puteh atas permukaan ini seolah-olah kita sedang melihat foto yang berada di dada-dada akhbar harian pada tahun 1970an dan 80an. Pengalaman beliau menjadi pemberita akhbar Utusan Melayu sebelum inir di sangat dekat dalam mencetuskan  penggunaan permukaan ini. Penggunaan bahan ini seakan-akan ingin memberitahu keakraban dunia tekstual dengan dunia visual  sebagai suatu yang tidak boleh dipisahkan. Beliau seolah -olah cuba berkata teks tanpa imej adalah buta manakala imej tanpa teks adalah bisu.

 

Dalam bahagian ini kurator dalam pameran menyusun foto mengikut kronologi misalnya foto-foto dimulakan dengan gambar-gambar perjalanan awal beliau diterima masuk ITM Shah Alam, suasana bilik kuliah, bilik asrama. Beliau dan rakan sempat menemuramah Sudirman Haji Arshad yang pada masa itu sedang mengikuti  Pengajian Undang-Undang di Universiti Malaya. Foto ini mungkin adalah merupakan foto awal Allahyarham terlibat dalam dunia hiburan menerusi lakonan iaitu filem ‘Kami’  yang diarahkan oleh Patrick Yeoh.

 

Di aras satu Balai Seni Langkawi pula menempatkan bahagian kedua koleksi fotografi Mansor Puteh berada di Columbia University di New York. Kurator telah memilih 60 buah karya juga di sini. Dengn meletakkan sebuah karya kolaj besar di awal ruang ini dengan pemandangan bandaraya ini semasa beliau mula berada di sini pada tahun. Pameran sebagaimana awal dimulakan dengan 20 buah himpunan sketsa-sketsa seperti lanskap seni bina bangunan University Columbia, suasana rumah sewa dan .

Ruang ini juga mempamerkan 40 karya fotografi semasa menuntut di sini antara tahun 1979 sehingga 1982 antaranya kawasan kampus, lokasi utama pelawat seperti World Trade Center yang kini telah tiada lagi. Sepanjang empat tahun di bumi asing Mansor bukan sahaja hanya berada di suatu tempat malah kesempatan yang ada beliau telah banyak melakukan perjalanan merentas negeri di dalam Amerika Syarikat dalam merakam gambar-gambar jalanan, resit-resit perjalanan, monumen dan arca awam sehinggalah setem tokoh penting Amerika.

Bahagian akhir pameran di aras ini ditutup dengan menempatkan gambar tokoh iaitu potret 7 perdana menteri Malaysia yang pertama sehinggalah terkini dengan cetakan kertas akhbar. Sebuah filem dokumentari berdurasi 48 minit yang bertajuk ‘Bertahun di Residensi’ atau ‘The Residency Years’ iaitu  dokumentari biografi ketokohan dan perjalanan hidup Perdana Menteri Pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj turut dimainkan sebagai karya video dalam pameran ini

Pameran ‘Mara dan Masa di Columbia’ boleh dikatakan sebagai karya awal Mansor Puteh. Tempoh masa 1974 hingga 1982 boleh saya sifatkan sebagai zaman pembentukan kesenimanannya iaitu di era Mansor Puteh mendapat didikan filem secara formal. Peralihan daripada pengajian media yang umum kepada satu pilihan yang lebih khusus menerusi pengarahan filem. Fotografi yang dihasilkan oleh Mansor pada tahun-tahun ini adalah satu latihan visual  terhadapat ciri-ciri di dalam filem seperti seni mencipta adegan (mis-en scene), sinematik dan tona cahaya

Saya juga mengesan foto-foto yang dirakam oleh beliau mempunyai pengaruh dalam filem-filem noir iaitu filem berlatarbelakangkan hitam putih yang juga dikenali sebagai  genre filem gelap atau filem kelam seperti dalam penghaslilan filem misteri dan ditektif atau penyiasatan pada sekitar tahun 1940 hingga 1950 an. Lensa kamera Mansor juga dilihat liar tetapi terkawal seperti garila yang sedang menghendap dalam mendapatkan kesan dramatik dalam setiap tangkapan.

 

 




Faizal Sidik, 'Semasa Mara dan Columbia: Sebuah Rakaman Perjalanan Mansor Puteh ke Kota New York', Dewan Budaya, Bil 2 Februari 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ms 62-64.





 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Komen