Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik, 'BMS Serlah Bakat Pelukis Muda', Berita Mingguan, Ahad 21 Mac 2021, ms 39. |
“Jika anda ingin melihat generasi pelukis masa akan
datang, lihatlah apa yang anda hasilkan pada hari ini”. Mungkin itulah simbol atau
penanda aras dan indikator dalam melihat prestasi pelukis muda Malaysia masa
kini dengan penganugerahan Bakat Muda
Sezaman. Anugerah seni Bakat Muda Sezaman atau lebih dikenali dengan BMS adalah
sebuah anugerah galakan seni yang mula dianjurkan sejak tahun 1974.
Pertandingan secara tahunan dan kini dwi-tahunan ini adalah pertandingan seni
peringkat kebangsaan adalah satu pengiktirafan badan seni nasional Balai Seni
Negara dalam merintis bakat-bakat baru seni lukis negara.
Keprihatinan Balai Seni Negara dalam mempromosikan dan
mencungkil potensi bakat muda di negara ini dibuktikan dengan 47 tahun usia penganjurannya pada tahun ini.
Kesungguhan yang ditunjukkan 47 tahun penganjurannya pada tahun ini seharusnya
diberi pujian. Minat dan perhatian Balai Seni Negara tunjukkan dalam
pengembangan bakat muda ini mungkin sukar untuk ditandingi oleh pentadbir utama
seni lukis negara jiran misalnya Singapore Art Museum atau Galeri Nasional
Indonesia. BMS boleh dikatakan sebuah pameran dan anugerah seni yang tertua
bukan sahaja di rantau ini malah juga di Asia dalam menghasilkan
pelukis-pelukis utama dalam pergerakan seni lukis Malaysia pada hari ini.
Meninjau sepintas lalu pemulaan anugerah ini diwujudkan
pada tahun 70 an adalah tempoh masa penganjur membentuk format pertandingan. Pada
awalnya penyertaan adalah secara tertutup iaitu melalui jemputan. Seramai 13
artis muda yang berkaliber pada sekitar tahun itu diberi peluang untuk
menghantar karya mereka namun hanya separuh atau tujuh artis sahaja yang
mengesahkan penyertaan mereka. Penyertaan kemudiannya dibuka kepada semua
bagi memberi peluang lebih banyak lagi pelukis-pelukis muda dalam mencari
platform dalam mengembangkan karier mereka selepas keluar daripada latihan
formal di akademi dan institusi seni. Gerakan gaya seni lukis antarabangsa atau
Internationl Style begitu mendominasi
dalam penyertaan peluks.
Pada tahun 80 an memperlihatkan ruang yang disediakan
oleh Balai Seni Negara dalam menyemai semangat persaingan dalam meningkatkan
lagi penghasilan karya-karya berkualiti oleh pelukis muda ini semakin mendapat tempat.
Perihal ini dapat disaksikan daripada jumlah penyertaan yang semakin meningkat
yang diterima bukan sahaja daripada graduan pelajar institut pengajian tinggi
tetapi juga pelukis-pelukis muda yang sedang meningkat naik. Manifestasi
saranan Kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1974) dengan penambahbaikan dasar
itu menerusi Seminar Akar-Akar Peribumi (1979) dapat dilihat jelas dalam
pengkaryaan pelukis muda dalam menerapkan intipati kebudayaan serantau dalam
pengkaryaan pada tahun-tahun ini
BMS semakin diminati dan ditunggu-tunggu oleh kalangan
pelukis muda dalam mempertaruhkan idea dan kreativiti mereka sekitar tahun 90
an. Menyedari pelukis muda sebagai aset penting terhadap masa hadapan seni
lukis Malaysia, Balai Seni Negara bukan sahaja menaikkan hadiah pemenang malah
menawarkan hadiah perjalanan ke luar negara bagi pelukis muda memperluaskan
pengalaman dan idea pengkaryaan mereka. Di akhir dekad ini diadakan pameran
Imbasan Bakat Muda Sezaman, pameran bercorak retrospektif ulangtahun ke-25
penganjuran BMS ini meninjau semula karya-karya pemenang dan sejauhmanakah perkembangan pengkaryaan
mereka pada hari ini. Hal ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan
menerusi Balai Seni Negara sebagai urus setia pertandingan ini malah badan ini
sentiasa ingin melihat prestasi pelukis-pelukis muda ini terus menerus dipantau,
diperhati dan diraikan.
Tahun 2000 an menyaksikan dunia seni memasuki satu
mellenium baru, sistem komunikasi manusia semakin maju dan semakin laju.
Kemunculan internet menjaringkan dan menghubungkan manusia dalam satu lebuhraya
maklumat yang boleh dicapai secara maya dengan pantas. Begitu juga dengan kedinamikan
BMS yang sentiasa inginkan kesegaran mengikut peredaran maklumat dan teknologi
sezaman. Perubahan format pertandingan dengan membuka ruang seluasnya kepada
karya-karya medium baru atau karya berasaskan ruang dan waktu (time-based
media) untuk dipertandingkan menunjukkan keterbukaan BMS yang anjal terhadap
perubahan dan cabaran dalam merentasi zaman.
Walaupun bagaimanapun BMS hanyalah satu platform atau
pentas dalam mempromosikan pelukis muda. Usaha dalam melihat pelukis-pelukis
muda ini terus aktif dan mengharungi cabaran seterusnya perlu dimainkan bukan sahaja oleh Balai Seni Negara
dalam membangunkan karier mereka tetapi juga oleh galeri, pengumpul dan badan
korporat. Galeri seni terutamanya galeri baru harus memberi kepercayaan kepada
pelukis muda ini diserap masuk menjadi pelukis yang direpresentasi oleh mereka
selama beberapa tahun. Dengan cari ini pelukis-pelukis ini dapat secara
berterusan menonjokan kreativiti mereka melalui program-program galeri samada
pameran solo, berkumpulan, komisen atau projek seni.
Bagi pengumpul seni, peranan yang dimainkan oleh mereka dengan membantu membeli karya-karya pelukis
muda samada di galeri dan studio yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dapat
membantu mereka untuk terus produktif menghasilkan karya dan meneruskan
kelangsungan. Perolehan daripada kolektor ini juga penting dalam mengekalkan tempat
mereka untuk terus berada dalam radar lanskap seni dalam meniti kemaraan. Badan-badan
korporat sebagai patron atau penaung pula boleh menghulurkan sama tangan dengan
menawarkan geran, dana atau penajaan bagi pelukis muda ini melebarkan sayap mereka untuk beraksi
mengadakan bukan sahaja pameran tempatan tetapi juga serantau dan ke peringkat antarabangsa.
Kesimpulannya, BMS boleh dianggap sebagai katalis dalam
perkembangan seni lukis Malaysia hari ini. BMS juga boleh dijadikan juga sebagai
dokumen visual dalam merakam sosio-budaya, ekonomi dan geo-politik negara kita.
Pengiktirafan seperti anugerah seperti ini bukanlah segala-galanya, anugerah
ini boleh dijadikan sebagai pemangkin tetapi daya usaha secara berterusan oleh
pelukis-pelukis muda inilah yang mampu membuka lorong kepada mereka untuk melakar
kejayaan demi kejayaan dalam perjalanan karier mereka di masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan