Redza Piyadasa
Setelah membaca artikel Siti Zainon bertajuk “Satu Esei Untuk Piyadasa” (Dewan Sastera Mei 1975) saya rasa banyak pekara yang patut dijelaskan berkenanan pameran “Towards a Mystical Reality” dan perkembangan Senilukis yang ada sekarang ini amnya. Saya memuji akan kerelaan Siti Zainon menyertai dalam perdebatan terbuka dan mengeluarkan pendapat dengan cara bertulis. Siti Zainon mencerminkan sikap yang sihat yang mana ianya patut dicontohi oleh pelukis-pelukis muda kerana hanya dengan menulis dan berbincang saja maka masalah-masalah artistik dapat memberi penjelasan kepada masyarakat apa yang berlaku dalam perkembangan seni-lukis tanah air. Apa yang menyedihkan ialah hanya sebilangan kecil sahaja pelukis-pelukis kita yang boleh dan berani tampil menbuat kenyataaan-kenyataan tentang pendapat dan kepercayaan mereka terhadap Art dengan matang.
Pelukis –pelukis moden di barat telah menghasilkan manifesto-manifesto mereka sendiri dan ada pula yang mengeluarkan buku-buku mengenai karya mereka umpananya Kadinsky, Mondrian, Gabo, Klee, Rickey, Anthony Hill dan Charles Biederman dan lain-lain lagi. Sekali lagi kesediaan Siti Zainon mencabar pendirian pelukis-pelukis yang lebih tua darinya, seperti saya, patut dipuji. Diharap lebih ramai lagi artis-artis berkecimpung dalam hal ini kerana hanya dengan berbincang dan berdebat dapat kami berkembang. Jika dilanjutkan, perdebatan ini akan lebih hebat dan hangat dan mengapa tidak? Ini adalah memadai untuk memulakan tradisi perdebatan polimikal di kalangan para-para artis. Permulaan ini sungguh baik dan patut membawa ke arah satu perkembangan tradisi yang sihat. Dunia kesusasteraan Melayu sekarang amat menarik kerana adanya tradisi polimik yang begini dan harap pada suatu masa arena senilukis pun begitu.
Ketiadaan Sulaiman Esa buat di masa ini adalah amat perlu untuk saya membuat penjelasan kepada Siti Zainon. Saya sendiri akan berlepas ke seberang laut tidak lama lagi dan dengan kepeluangan Sulaiman dari Itali kelak saya percaya ianya akan menyambung kembali perdebatan ini jika perlu. Kami telah bekerja dengan begitu rapat semenjak tahun 1965 dan bersependapat dengan penuh keyakinan untuk menghasilkan manifesto, “Towards a Mystical Reality”. Jawapan saya ini perlu kerana Siti Zainon gagal untuk memahami tujuan pameran kami dan rationale di sebalik pameran itu. Pekara salah faham diharapkan akan jelas lagi dengan membaca penjelasan-penjelasan seterusnya. Saya ingin membawa perhatian Siti kepada persamaan superficial yang ada di antara artis-artis Dada dan kami. Memang kebanyakan karya-karyanya yang kami pamerkan adalah “found objects” seperti yang disebutkan oleh Siti. Seperti artis-artis Dada memang kami pun tidak terlibat dengan soal esthetis atau teknik. Tetapi sebaliknya artis-artis Dada adalah bertapak sebagai pemberontak bertujuan untuk membantah akan nilai kepalsuan masyarakat Eropah dan Seni di masa 1914-1918. Tiada bantahan dan pukulan apa-apa di pameran kami itu terhadap masyarakat. Keistimewaan pengertian Dada yang mencabar dan membantah itu dapat diikuti dalam quotation darapiada Hans Richter, salah seorang penganjur Dada di Zurich:
(Richter)
“They (The Dadaists) followed the play-instinct wherever it led them and paid no need to God, or man, or society, but only to their own unrest, THEMSELVES, the need for charge. So when Dada gradually assumed a positive social function of rousing the public from its sleep and making it conscious of its own banality, the presence of a social and cultural purpose was in itself a sign decadence. Dada in its purest form was pure revolt, ANTI-EVERYTHING.”
“Dada-Art and Anti-Art” by Hans Richter,
Thames and Hudson , 1965, hal.112.
Satu lagi quotation datang daripada Hugo Ball salah seorang lagi pioneer Dada yang ada di Zurich pada ketika itu:
“What we call Dada is foolery, foolery extracted from the emptiness in which the higher problems are wrapped, a gladiator’s gesture, a game played with the shabby remnants…a public execution of the false morality.”
Ibid. hal.32.
Berbeza dengan artis-artis Dada, pameran kami adalah satu percubaan mendalam untuk menangkap “the spiritual essence” tentang proses phenomenological. Kami mempamerkan fragments of reality bertujuan untuk memaksa kita memandang dan merenung akan benda-benda di sekeliling kita. Saudara Krishen Jit dalam kata pendahuluan beliau di katalog kami dengan jelas berbunyi:
“They also say that the real exhibition is their manifesto. Lest this be interpreted as a failure or creativity, let us be reminded that they question the very basis of Art as it is presently understood. By extending the limits of Art, they wish to touch infinity, which was been the eternal search of man. Yet they were no mere visionaries. Their starting point is the real, the concrete, those daily happenings of daily life which are so easily taken for granted. Our fragmented and categorized life is thus blow apart to reveal an overwhelming wonder. ”
“Towards a Mystical Reality”, hal 2
Pameran kami tentang soal-soal mystical dan metaphysical adalah jelas akibat pengaruh kuat dari sikap Taoist terhadap kenyataan ini telah membuat kami mencuba satu proses renungan (meditation). Memang ada perbezaan di antara artis-artis Dada dengan kami di mana yang dasarnya kelihantan dari sikap falsafah hidup. Sikap kami adalah optimistik dan sering kali menyentuh semangat kerohanian. Tidak kelihatan teknik mengejut, penonjolan perasaan fizikal atau elemen-elemen sensasi di dalam rancangan kami. Situasi yang kami mulakan amat tenteram dan statik. Adalah sedih sekali kerana ada terdapat individu yang mengambil kesempatan membuang air kecil pada hari pembukaan pameran kami. Perbuatan ini adalah satu reaksi extreme terhadap pameran kami ianya bukanlah dirancangkan oleh kami. Jadi Siti, jangan diambil kejadian tersebut sebagai alasan untuk perdebatan. Dan juga kejadian itu tidak patut menimbulkan sikap yang negative yamg boleh melemahkan semangat kerja Sulaiman dan saya. Untuk menuduh perbuatan yang tidak disangka-sangka ke atas pihak kami dan mengatakan pameran kami tidak mempunyai unsur-unsur ketimuran langsung disebabkan seorang membuang air kecil semasa pameran itu adalah tidak adil sekali terutama sekali bagi saya dan Sulaiman. Walau bagaimanapun Siti, tidaklah kita orang timur pun membuang air besar dan kecil? Bahkan kita melakukannya setiap hari di Asia dan pekara ini adalah kenyataan. Dia sepatutnya bersedia untuk menerangkan sikap rationale atas kelakuannnya semasa hari pembukaan pameran kami.
Ada lagi beberapa gejala esei Siti yang perlu saya huraikan. Pendapat yang bersifat kemanusiaan terhadap satu karya kami yang awal yang memilh garisan bayangan saudara Usman Awang, adalah agak cetek. Pendapat Siti bahawa karya itu mempunyai unsur-unsur humanistik oleh kerana kami telah mengguna Usman sebagai subject-matter jelas menjadi dasar kesilapan yang sering berlaku di kalangan-di kalangan pelukis-pelukis Asia yang mana pengertian mereka terhadap idea dan imej digodai oleh cara pemikiran Barat. Bukanlah tanpa sebab tajuk karya itu terlalu panjang. “AN OUTLINED AREA occupied by the SHADOW of the poet Usman Awang at 4.03 p.m. On Saturday December, 8th. 1973. ” Apa yang kami ingin menarik perhatian dalam karya awal ini ialah kawasan sebenarnya yang dipenuhi oleh bayangan seorang rakan kami pada masa-masa yang tertentu. Dalam percubaan untuk mencatatkan bayangan melalui seseorang, kami di sebaliknya mencuba menangkap semangat kerohanian yang ada pada bayangan itu. Kanvas itu telah di activated oleh semangat kerohanian (spiritual essence) Usman. Sifat mystis kami menjadi lebih nyata apanila seseorang itu menyedari bahawa tujuan kami untuk menarik perhatian kepada sesuatu yang tanpa bentuk dan hanya bergantung atas pertimbangan cahaya-iaitu bayangan!
Kalaulah Siti merenung dan memikir kembali tentang lukisan China dan rekabentuk Hindu yang ada, barulah saya rasa Siti ada menyedari bahawa bentuk sifat manusia itu kadangkala digambarkan tanpa apa-apa pertimbangan humanistik. Dalam kebanyakan Seni Asia, imej-imej hanyalah melibatkan konsep manifestasi dari kuasa tenaga (energy) selain dari bentuk luar (the external form). Penglibatan dengan rupa bentuk (external form) adalah terlampau kebaratan sebab di Timur bukanlah bentuk yang dipentingkan tetapi the spiritual essence or cosmic force. Memang benar kami menggunakan kanvas dan pensel dalam hal ini tapi kami perlukan permukaaan untuk mencatatkan kawasan yang dipenuhi oleh bayang Usman Awang itu. Soal esthetis dan kemahiran langsung tidak wujud di sini. Dan Siti usahlah kita bertengkar sama ada kanvas dan pensel itu datang dari Barat atau Timur. Ianya satu means to an end. Apa yang penting adalah idea-idea dan sikap di sebalik sesebuah karya itu yang menjadi pokok pertanyaan.
Komentar tentang kenyataan Sulaiman Esa, “Saya tidak melukis benda tetapi idea”, juga patut diberi perhatian. Dalam esei permulaannya. Siti menganggap penglibatan art sebagai ideas itu telah berbalik kepada “zaman Cezanne” dan penglibatan kami itu adalah lapuk. Ini bukanlah urusan sama ada sesuatu pekara itu sudah dilakukan atau tidak tetapi penyesuaian pendapat yang berlainan pada masa yang berlainan. Ketidakmampuan Siti untuk merenungi beyond “Zaman Cezanne” hanyalah mencerminkan kelemahan kebanyakan pelukis Asia pada masa ini yang hanya memandang dari kaca mata pemikiran Barat. Penglibatan dengan penggambaran idea-idea dan konsep-konsep abstrak terhadap kebenaran sudah menjadi kebiasaaan oleh seniman-seniman Asia yang lampau sebelum Encik Paul Cezanne timbul di arena senilukis dunia. Kecenderungan anatara pelukis Asia yang lampau untuk mencerminkan yang pelukis Asia umumnya tidak berminat di luar bentuk rupa (external appearance) seperti pelukis-pelukis Barat yang melibat diri dengan soal mimesis. Kemuncak perasaan yang boleh dirasai oleh pelukis China dahulu tehadap satu brushstroke (sapuan berus) ialah hasil dari idea yang menpunyai kuasa-kuasa “Chi” atau cosmic force. Begitu juga Islamic Art yang mana pelukis itu juga menggambarkan idea-idea abstrak tentang realiti selain dari kenyataan yang sebenarnya. Sangat menyedihkan ramai pelukis-pelukis muda tidak boleh menyedari bahawa Encik Cezanne bukanlah orang yang pertama sekali melibatkan diri dengan art as idea!
Sikap kebanggaan Asia inilah yang saya dan Sulaiman pertahankan di dalam manifestasi kami. Kami menyatakan yang kami pelukis-pelukis Asia patut mengetahui tentang kehidupan kami yang lampau dengan lebih teliti dan sempurna supaya kita tidak payah menerima Cezanne sebagai permulaaan penglibatan idea-idea di dalam senilukis. Tidak, Siti, kami tidak mengharapkan setiap pelukis di Malaysia itu mengikuti jejak Piya atau Sulaiman. Tetapi kami harap dan inginkan yang pelukis-pelukis yang akan datang menyoal kembali sikap manifestasi itu. Pameran kami itu bukan satu pameran stail atau teknik tetapi pameran itu adalah satu pameran sikap yang perlu jika kita ingin membebaskan diri dari diperangkap oleh pertimbangan western-centric. Sikap beginilah yang kami harap akan berkembang dan dipilih oleh pelukis-pelukis kita pada masa yang akan datang. Cuba kita lihat di dalam pelbagai falsafah Asia dan mencari penggantian terhadap pengaruh materialis Barat yang akan memusnahkan semangat kerohanian yang stabil. Biarlah kita berdegil di dalam menghadapi pengaruh kebudayaan Barat dan mempertahankan kepercayaan diri bahawa kita boleh mencari gubahan untuk kesenian dan kehidupan kita. Terpulanglah kepada golongan muda untuk meneliti dan mencari solusi-solusi yang lebih mendalam dalam hal kebudayaan ini.
Adalah perlu dinyatakan di sini bahawa apa yang menarik minat dalam kebanyakan perkembangan senilulkis, sastera dan drama di barat ialah kemampuan cerdik pandai di sana menggunakan konsep-konsep realiti Asia untuk memperkayakan kebudayaaan mereka. Konsep Bertholt Bercht terhadap “alienation” dalam drama adalah terbit dari sesuatu pertimbangan yang timbul dari tradisi opera China. Sama juga dengan puisi Ezra Pound dalam permulaan abad ini dipengaruhi oleh minatnya terhadap puisi China. Dan banyak lagi contoh-contoh apabila pelukis-pelukis Barat menggunakan treatment dalam pertimbangan pictorial dari seni bentuk Asia yang lampau.Cuba kita kenang kembali pelukis-pelukis seperti Degas, Van Gogh, Matisse, Frank Kline, Mark Tobey, Morris Graves, Sickett, Ad Rheinhart dan lain-lain lagi untuk pengertian ini. Dalam bidang conceptual Art pula Yves Klein dan Marcel Duchamp mendapat ilham mereka daripada konsep-konsep Zen terhadap realiti. Dan dalam seni muzik kita dapati komposer avant-garde seperti John Cage yang menggunakan idea-idea Zen tentang bunyian dan realiti. Sama juga dengan pelukis hard-edge Inggeris Tess Jarey yang telah menggunakan grid-system yang didapati dari reka corak islam yang abstrak.
Ketidakmampuan kebanyakan pelukis Asia menpergunakan pertimbangan falsafah yang mendalam di sebalik bentuk rupa seni Asia adalah sedih dan amat dikesalkan. Mungkin kini adalah sifat-sifat atau tanda-tanda yang menunjukkan kebanyakan pelukis-pelukis moden Asia lebih meminati gaya penggambaran selain daripada percubaan sesungguhnya untuk memahami rationale di sebalik art forms Asia yang lampau. Tujuan kami untuk menuju ke arah masalah falsafah di dalam manifesto kami itu dan hanya dengan mempertimbangkan masalah itu, perhatian kami tehadap realiti dan proses-proses phenomenological, barulah dapat kami keluar dari perangkap sentrik barat. Untuk mencapai pendirian kami seperti yang tedapat di dalam manifesto itu, kami terpaksa menolak kesemuanya karya-karya yang kami cipta selama sepuluh tahun. Kami tidak akan mengambil tindakan ini jika kami tidak betul-betul jujur. Malah kami lakukan dengan gembiranya kerana kami sedar yang karya kami dahulu itu adalah bercorak western-centric. Jadi tolonglah Cik Siti jangan menuduh yang kami ini tidak mempunyai penuh keyakinan. Untuk mengadakan karya-karya bersama dengan tidak menghiraukan akan kepentingan diri sendiri memerlukan kepercayaan yang penuh terhadap diri kami sendiri.
Karya kami dalam pameran itu tidak hanya unsaleable malah tidak bertandatangan artis. Kami tidak berfungsi sebagai artis tetapi sebagai mediator atau initiator antara satu-satu pengalaman yang berlaku di antara pemerhati dan situasi-situasi yang ditonjolkan. Pelukis barat seperti Marcel Duchamp mengambil “readymade” objek dan menandatangani objek itu menjadi art object. Sebaliknya kami tidak hirau dengan art object tetapi mengemukankan actual fragments of reality. Adakan ini terang Siti? Soal identiti artis langsung tidak wujud di dalam karya kami! Untuk mencari pendahuluan kami terpaksa memulakan dengan masalah pendirian falsafah, saya dan Sulaiman sedar bahawa ada kemungkinan kami berkerja di luar pendirian humanistik dan rationalistik.
Dalam permulaan obesi dengan idea-idea dan stail-stail school of Paris, the New York School, the Bauhaus dan ism-ism barat, kami telah gagal untuk menyedari kekayaan artistic heritage kami sendiri. Mungkin lebih ramai lagi pelukis-pelukis Malaysia boleh mula menyesuaikan diri mereka dengan nama-nama seperti Ananda Coomeraswamy, Okakura Kakuzo, Hsieh Ho, Tung Ti-Chung, O.C Gangoly, Trisno Sumardjo, Mulk Raj Anand, barulah dapat mereka memahami betapa pentingnya untuk menyedari akan penulis Asia terhadap Asian Art. Manifesto kami telah melahirkan persoalan-persoalan yang mana boleh dijawab kalaulah kita pada akhirnya sampai ke peringkat yang bermakna terhadap contemporary Art di Asia yang tidak hanya bergantung atas nilai-nilai artistic barat. Jadi, Siti, kiranya lebih ramai pelukis seperti Piya dan Sulaiman yang mula merenung akan masalah realistik dan bermakna adalah lebih baik lagi. Better than producing an outdated modernism that is a second-rate imitation of the western original! Pameran kami mendedahkan yang kita boleh menggunakan falsafah Asia di mana terdapat pengaruh-pengaruh Taoist, Islam, Hindu dan aspek-aspek animisme terhadap realiti yang patut dipandang dengan serius. Ini semua menunggu untuk diselidiki semula tetapi memerlukan idea baru terhadap seni selain daripada apa yang terdapat dalam sejarah senilukis barat.
Saya ingin mengakhiri komentar ini dengan menyentuh akan pilihan gambar yang Siti gunkan untuk membanding persamaan karya kami dengan karya artis-artis “avant-garde” di Barat hari ini. Saya mengaku memang ada persamaan superficial tetapi tolonglah jangan kita terlampau naïf untuk menganggap persamaan superficial bentuk itu membuktikan yang idea-idea itu sama. Seperti yang telah kami sedarkan tadi, kami bukanlah menitik-beratkan soal bentuk tetapi dengan elemen masa dan proses. Jika Siti betul-betul faham akan manifesto kami, ia tentu ingat pameran kami itu bukanlah menglibatkan soal “bentuk” tetapi soal “event”. Sebab itulah tajuk-tajuk yang digunakan agak begitu panjang sekali kerana kami mahu ianya lebih menerangkan akan sesuatu “event” itu. Penglibatan terhadap kebendaan yang nyata adalah berlainan sama sekali dengan penglibatan terhadap aspek realiti yang bercorak “ontological”. Kalau Siti baca semula manifesto kami, saya rasa Siti tentu akan faham yang soal “semangat” itu bukan hanya bersifat mistik tetapi ianya juga intangible. Tiap-tiap objek yang digunakan di pameran itu semuanya mengemukakan soal “the essense of events” umpamanya “Two half-drunk Coca Cola bottles” dan bukannya “Two Coca Cola bottles” Saya harap ini dapat menjelaskan akan perbezaan yang seakan serupa itu.
Perlunya bagi kita mencari satu “alternative philosophical attitude” di dalam visual art kita amatlah penting, memandangkan apa yang sangat diperlukan oleh dunia sekarang ini ialah sikap yang lebih positif dan optimis itu sendiri. Patutkah kita mengikut artis-artis Barat yang mementingkan soal existentialisme yang berego sentrik dan juga sikap materialistik mereka sampai ke peringkat pesimis ataupun patut kita pada masa ini mencari satu pendirian yang dapat menghubungkan kita kepada satu mystery yang lebih dalam terhadap realiti “omnipresent”yang Maha Esa itu? Patutkan kita menjadi sebagai robot yang tidak berperasaan ataupun semestinya kita kenalkan elemen-elemen organik yang ada pada kita itu? Inilah soalan-soalan yang patut kita mempertimbangkan semula. Inilah soalan-soalan yang telah kami timbulkan di dalam manifesto kami itu.
Salam Seni!
( Manifestasi “Towards a Mystical reality” oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa buat masa ini diterjemahkan oleh penyair Jaafa H.S Kedua versi Inggeris dan Melayu akan diterbitkan dengan kritik yang khususnya datang daripada dua orang pensyarah Universiti Sains, Pulau Pinang. Mereka itu adalah Dr Kanagasabapathy (Art History) dan Coenelius Simmonds ( Philosophy). Manifestasi “Mystical Reality” itu telah sedia dijadikan satu “text” untuk penuntut-penuntut senilukis di ITM dan Universiti Sains. Juga manifestasi itu telah digunakan oleh Kajian Drama id USM dna diterima sebagai satu dokumentasi Modern Asian Art oleh Jabatan Fine Art, University of Philippines).
faizal
BalasPadam