Sabtu, 23 Oktober 2021

Dari Motif Peribumi ke Seni Islam

 Oleh: Faizal Sidik

 

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".

(Surah Al-An'aam 6:79)

 

Negaraku telah lama wujud di sini, sejarah membuktikan bahawa kita telah berada di rantau ini sejak zaman pra-sejarah lagi. Adi Haji Taha (1989) menyatakan di Semenanjung Malaysia terdapat artifak Kebudayaan Tampan yang ditemui di Kota Tampan, daerah Lenggong, Perak menunjukkan kewujudan manusia Paleolitik yang memberi kepada kita tarikh manusia telah wujud di negara kita sejak 40,000 hingga 50,000 tahun yang lalu untuk kebudayaan ini.  Walaubagaimanapun Mokhtar Saidin  (2008) menafikannya dan kajian arkeologi menunjukkan bahawa bukti kewujudan manusia terawal di negara ini adalah sekitar 200,000 tahun dahulu.

Selain jumpaan yang sama juga di temui di Gua Niah di Kepulauan Borneo menurut Abdul Rahman Al-Ahmadi (1997) lagi era Mesolitik atau Hoabinh terdapat jumpaan lukisan dan lakaran gua ditemui di Gua Tambun, Perak yang mengambarkan lukisan orang sedang menari dengan tangannya memegang arang dimana dibahagian kepada orang itu penuh dengan dekorasi tumbuh-tumbuhan, selain itu ada juga lukisan rusa dan pemburu yang dikatakan berwarna kuning tanah.

Di Sarawak catan gua ditemui di Lubang Batu Putih, Gua Sarang di daerah Bintulu. Antara artifak Neolitik yang ditemui di situ adalah barang hiasan seperti gelang yang diperbuat daripada batu dan rantai leher yang dicat. Penemuan rangka terbaru manusia purba Neolitik baru-baru ini di Gua Kepah, Kedah yang berusia 5,000 hingga 6,000 tahun di kawasan arkeologi itu membuktikan wujud juga manusia prasejarah Neolitik di Semenanjung Malaysia yang memetakan negara kita sebagai tapak penting dalam arkeologi dunia.

Adi Haji Taha (1989) mengemukakan lagi bukti yang dikira penting untuk mengaitkan artifak arkeologi prasejarah di Tanah Melayu dengan Orang Asli adalah linguistik, yang mendapat perhatian oleh ahli arkeologi, menurutnya di tanah Melayu, penduduk asli terdiri dari dua golongan besar iaitu Melayu dan Orang Asli yang kemudiannya boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan etnik yang lain. Dari sudut linguistik, orang-orang Melayu bertutur di dalam bahasa yang digolongkan sebagai Austronesia, yang mempunyai asasnya di Taiwan, dan dipercayai perkembangan pertuturan bahasa ini berlaku kira-kira 5,000 tahun dahulu dan dipercayai bertapak di negara ini kira-kira 2,000 tahun silam.

Daripada pembuktian artifak dan mentifaks oleh sarjana-sarjana tempatan ini, jelas kepada kita bahawa Malaysia mempunyai sejarah seni budaya yang panjang bukan hanya bermula kejatuhan Melaka atau sebagai sebuah negara baru selepas kemerdekaan seperti yaang sering disebut oleh sesetengah sarjana Barat tetapi sejak pada zaman pra sejarah lagi bukti sangkalan ini boleh dilihat melalui kesenian purba seperti alat batu, kesenian tembikar, kesenian alat logam, lukisan dan lakaran pada dinding-dinding gua dan linguistik. Peninggalan-peninggalan artifak adalah adalah sesuatu yang perlu dibanggakan oleh kita, kerana sebenarnya ketamadunan kita telah mendahului sesetengah negara mereka sejak awal lagi.

Selepas berakhir zaman purba pengaruh Hindu dan Buddha di tanah Melayu hadir melalui perdagangan dan pengembaraan misalnya di tanah Melayu pusat tamadun ini bertapak di Lembah Bujang, Kedah. Ciptaan manusia semakin bertambah kompleks, mereka telah mula pandai membuat binaan sendiri daripada tanah dimana terdapat tinggalan candi-candi acara ritual diadakan. Pengaruh Hindu Buddha tidak sahaja berlaku di Semenanjung Malaysia malah ke Sumatera, Jawa, Bali, Borneo dan Indo-China. Candi Lembah Bujang (110 SM) dikatakan binaan tertua pengaruh Hindu Buddha di Asia Tenggara yang pernah direkodkan selain Angkor Wat (7 M) di Kemboja dan Borobodur (8 M) di Indonesia.

Setelah itu, Islam telah datang ke Asia Tenggara, Othman Yatim (1997) mengatakan terdapatnya batu nisan berukir bertarikh 1297 yang dikenali sebagai Batu Aceh yang ditemui pada di Sumatera utara pada akhir abad ke 13 oleh kalangan kerabat diraja mengesahkan lagi jenazah pemerintah Samudera-Pasai yang kini dikenali sebagai Acheh iaitu Malik al-Salleh yang dikebumikan sebagai orang Islam menunjukkan bukti Islam bertapak di rantau ini. Manakala itu menurut beliau agama Islam sampai di Malaysia pada abad 13 hingga 14 Masihi, ini disahihkan dengan penemuan Batu Bersurat bertarikh 702 Hijrah atau 1303 di Kuala Berang, Terengganu.

Kedudukan Selat Melaka yang terletak strategik ditengah-tengah laluan perdagangan antara Timur dan Barat telah menjadikannya Melaka sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa yang mashyur pada abad ke-15 bukan sahaja bagi pedagang Arab, India dan China malah sampai ke Venice, Eropah pada ketika itu. Melaka mencapai kegemilanganya dibawah Kesultanan Islam di dalam pentadbirannya. Tidak hairanlah nama Melaka menjadi sebutan semasa zaman Renaisan di Barat. Dari sini berlaku ekspedisi-ekspedisi ‘veni, vedi, vici’ atau ‘kami datang, kami lihat, kami takluk’. Bermulalah episod gelap tanah Melayu bertukar ganti selama hampir 5 abad menjadi jajahan takluk oleh Portugis selama 130 tahun (1511-1641), Belanda selama 183 tahun (1641-1824), British selama 116 tahun (1824-1940), Jepun selama 5 tahun (1941-1945) dan British sekali lagi selama 11 tahun (1946-1957).

Penjajahan luar dan pergolakan-pergolakan dalaman itu telah membantutkan ketamadunan Melaka dalam kata lain Malaysia sebagai sebuah kerajaan lama dan berpengaruh kepada dunia pada suatu ketika dahulu. Walaupun dijajah kepercayaan kepada Islam masih tetap dipegang malah semakin kuat. Selepas merdeka pada tahun 1957 daripada British, Malaysia telah membina negaranya semula setelah 445 tahun negaranya tertinggal dibelakang negara maju akibat penjajahan. Bermula sebagai negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara membangun yang moden berasaskan perindustrian. Malaysia telah menjalankan perubahan drastik dari aspek sosial, ekonomi, politik mahupun budaya melalui dasar-dasar negara antaranya Dasar Ekonomi Baru (1971), Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971), Dasar Penerapan Nilai Islam Dalam Pentadbiran (1985), Dasar Sosial Negara (2003)  bagi melihat program pembangunan yang dirancang mencapai matlamat ke arah pembinaan semula Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum melalui sebuah ideologi negara iaitu Rukun Negara. Kerukunan Rukun Negara ini  mempunyai lima prinsip utama iaitu kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.

Dalam kegiatan berkesenian dan berbudaya Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971) adalah satu manifesto terhadap halu tuju bagaimana gerakan seni budaya itu seharusnya dimanifestasikan. Menurut Aziz Deraman (2001) kerajaan Malaysia telah menerima dan menetapkan bahawa DKK hendaklah berdasarkan kepada tiga prinsip. Pertama; Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini. Kedua; Unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan. Ketiga; Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Ketiga-tiga manifesto ini diperincikan lagi seperti berikut;

Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini

Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (lingua franca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu – Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

 

Unsur-Unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima

Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi pertimbanagn dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan agama Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

 

Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses

pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, disamping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam  yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

 

 

Bagi seniman dan budayawan manifesto DKK telah menjadi panduan dalam pengkaryaan seni budaya melalui kegiatan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan. Dalam pemanifestasian lapangan kesenian karya-karya seni lukis dalam pengkoleksian Balai Seni Negara boleh dijadikan sebagai bukti terhadap pengucapan itu. Pengkoleksianya di dalamnya boleh dikatakan sebagai simpanan  khazanah warisan negara yang tidak ternilai harganya kepada bidang seni visual di negara ini, diasaskan sebelum DKK lagi, institusi ini telah melihat karya-karya yang sebelumnya sebagai sebuah laluan pencarian kepada identiti kebangsaan.  Boleh dikatakan institusi ini menemui hala tuju pengkoleksiannya semula impak daripada DKK yang menyarankan prinsip-prinsip di atas.

Karya-karya yang akan dibincangkan terutamanya prinsip yang ketiga menyarankan Islam dalam pembentukan kebudayaan. Ada diantara karya ini telah mencapai umur lebih 40 tahun iaitu jika dibuat perkiraan dari segi umur manusia  yang boleh dikatakan telah matang dari segi pensejarahan, kritikan, perbahasan dan penghayatan. Apa yang lebih penting karya seni ini menjadi artifak atau budaya material kewujudan ketamadunan moden Malaysia yang berpegang kepada kalimah tauhid ‘La illa laillah’ atau “Tiada Tuhan disembah melainkan Allah”. Karya-karya penting dalam pengkoleksian yang dimaksudkan adalah ‘Ke Arah Tauhid’ (1984), ‘Jawi and Nature’ (1984), ‘Subuh’, ‘Dzuhur’, ‘Asar’, ‘Maghrib’, ‘Isyak’ (1993) dan ‘Asma Al-Husna Api, Air dan Angin Seq 3’ (2010).

 

 

Sulaiman Esa, ‘Ke Arah Tauhid’ 1983, Campuran, 161 x 230 cm, 1983.006

 

 

Selepas DKK atau Kongres Kebudayaan Kebangsaan berjalan selama lapan tahun pengisiannya dilihat bergerak secara mendatar. Pada tahun 1979 muncul Seminar Akar-Akar Peribumi yang diadakan di Institut Teknologi Mara pada masa itu dalam melihat dan menilai semula dengan lebih serius DKK samada manifestonya dimanifestasikan. Selepas seminar ini Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, ITM sebagai institusi pendidikan seni bumiputera merombak pengisian pengajaranya daripada bersumberkan seni lukis Barat kepada seni peribumi serantau. Peralihan pada awal tahun 1980 an kepada manifesto itu bukan sahaja berlaku pada pelajar malah pensyarah. Suleiman Esa ketika itu merupakan antara tenaga pengajarnya muncul mengadakan pameran solo pada tahun 1984 dengan tema ‘Ke Arah Tauhid’

Karya ‘Ke Arah Tauhid’ (1983) adalah perolehan semasa beliau mengadakan pameran itu Pesuruhjaya Tinggi Australia pada 2 hingga 8 April 1984. Pameran ini menampilkan juga beberapa karya terbaru beliau dalam siri antatanya ‘Fairuz I’, ‘Fairuz 2’, ‘Nurani 1’, ‘Nurani 2’ dan ‘Zamrud’. Walaupun diseliputi kontroversi demi kontroversi siri ‘Ke Arah Tauhid’ yang telah juga diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun sama ini memuncakkan lagi namanya. Beliau mula berhijrah apabila berjaya menghasilkan karya penting yang mengabungkan konsep seni tradisional Melayu bernafaskan seni Islam dalam kariernya seperti ‘Ke Arah Tauhid’  ini dan ‘Nuraini’ ia yang kedua-duanya menjadi koleksi negara. Karya ini merupakan titik permulaan bagi Sulaiman Esa untuk menempuh sejarah yang lebih menarik dalam mempraktikkan seni Islam.

Karya ‘Ke Arah Tauhid’  adalah salah satu karya yang dihasilkan dengan menggunakan tajuk pameran itu sendiri iaitu Ke Arah Tauhid. Dalam karya ini adalah penerokaan beliau dalam menerapkan unsur-unsur Islam dalam karya seperti matematik, keseimbangan, dualisme dan ‘nur’ cahaya. Dalam karya ini Suleiman menolak format catan kanvas kepada fabrik. Dari aspek bentuk, karya ini seolah permaidani berwarna hijau yang gantung pada dinding mempunyai dua permukaan kiri dan kanan. Dengan menggunakan seratan fabrik karya ini seolah cantum-cantuman bahantara seperti tali kain dalam membentuk garisan berpetak-petakan kecil seperti cetakan kertas yang terdapat dalam ilmu matematik apabila kita membuah rajah teorem.

Selain itu garisan petakan ini diikat dengan buluh nipis membentuk garisan condong dan garisan horizontal pada tengah kedua-dua permukaan adalah teknik ikat yang telah diwarisi sejak zaman berzaman oleh tukang kraf di rantau ini. Dalam sudut yang lain karya ini sebuah karya yang menyalin konsep motif geometrik songket, belahan dedua dan seimbang. Gabungan kraf Melayu dan pengucapan Islam ini menjadikan karya ini mempunyai roh yang tersendiri. Terdapat juga sarjana-sarjana yang membuat apresiasi terhadap karya yang dibicarakan mengikut kronologi tahun misalnya Syed Ahmad Jamal (1988) melihat karyanya adaptasi daripada kraf.

“Beliau mengangkat seni nusantara iaitu kraf Melayu dalam format seni catan moden barat. Beliau mengkaji seni tekstil seperti, songket, batik dan juga kraf yang lain seperti anyaman, ukiran kayu dalam memantulkan wajah serantau. ‘Ke Arah Tauhid’ merupakan kenyataan beliau dalam mentakrifkan apa itu lukisan, apa itu seni. Beliau banyak menggunkan garis grid, ini kerana ilmuan seni Islam mengatakan intipati kerohanian ditentukan oleh grid yang lebih logik kerana ianya bermain dengan sistem matematik dalam membentuk corak arabesque dan geometrik.”

Dalam kertas kerjanya, Khalil Amran (1995) membicarakan aspek formalistik dan kandungan bagaiman siri Ke Arah Tauhid ini diilhamkan;

 “Pada tahun 1984, Sulaiman Esa muncul dengan pameran perseorangan membawa tema ‘Ke Arah Tauhid’. Untuk pertama kalinya satu himpunan karya catan seni Islam sezaman dipamerkan menerusi pameran perseorangan. Meninggalkan format persembahan berbingkai yang konvensional, Suleiman condong ke arah seni fiber. Kertas buatan tangan, buluh dan cat akrilik dipadukan bagi membentuk komposisi arabes atau corak Islami yang pelbagai. Seni catannya juga menyarankan keindahan perulangan bentuk-bentuk geometrik dan skema warna bersistematik. Bahannya begitu bersensi kontras dengan kekuatan bentuk serta sifat geometrik yang bersudut-sudut. Antara catan yang sering disebut ialah ‘Nuraini’ (1983) yang berformat oktagon. Arabes atau dalam bahasa Arab ‘Rawriq’ mengajak penghayat mengahalusi keindahan seni abstrak tulen serta kemungkinan-kemungkinan bentuk-bentuk geometrik tanpa batasan. Termasuk dalam definasi arabes adalah organisasi kompleks (complicated organization) kaligrafi dan atau bentuk tumbuah dan binatang yang telah mengalami stalisasi”

Karya Anuar Rashid ‘Asma Al-Husna Api, Air dan Angin Seq 3’ (2010) adalah salah sebuah karya dalam pameran solo ‘Mihraj-Penerbangan Ke Langit Aku Hanya Seorang Tukang Cerita’ yang diadakan di Balai Seni Visual Negara pada tahun 2015. Karya ini boleh dianggap sebagai kesinambungan karya Api, Air dan Angin’ yang dihasilkan sekitar tahun 1970 an sebelum ‘Kelahiran Inderaputra’ lagi. Asma Husna adalah merujuk nama-nama dan sifat-sifat Allah. Dalam karya ini kita dapat melihat nama-nama Allah pada ombak-ombak yang beralun, cahaya daripada langit dengan teknik glazing meningatkan kita kepada karya ‘Kelahiran Inderputra’. Karya ini menggunakan kaligrafi sebagai subjek utama Air (ombak), Api (cahaya dari langit) dan Angin (goncangan tiupan ombak).

 

 

Anuar Rashid , Asma Al-Husna Api, Air dan Angin Seq 3, 2010, Campuran, 213 x 274.8 cm, 2014.183

 

Karya Anuar Rashid ‘Asma Al-Husna Api, Air dan Angin Seq 3’ (2010) adalah salah sebuah karya dalam pameran solo ‘Mihraj-Penerbangan Ke Langit Aku Hanya Seorang Tukang Cerita’ yang diadakan di Balai Seni Visual Negara pada tahun 2015. Karya ini boleh dianggap sebagai kesinambungan karya Api, Air dan Angin’ yang dihasilkan sekitar tahun 1970 an sebelum ‘Kelahiran Inderaputra’ lagi. Asma Husna adalah merujuk nama-nama dan sifat-sifat Allah. Dalam karya ini kita dapat melihat nama-nama Allah pada ombak-ombak yang beralun, cahaya daripada langit dengan teknik glazing meningatkan kita kepada karya ‘Kelahiran Inderputra’. Karya ini menggunakan kaligrafi sebagai subjek utama Air (ombak), Api (cahaya dari langit) dan Angin (goncangan tiupan ombak).

Karya ini boleh dianggap sebagai sebuah ekspresi karya lanskap laut kerana pelukis membahagikannya kepada dua bahagian iaitu antara langit dan bumi (laut). Pada sudut sebelah tengah seperti suatu cahaya yang biasa dilihat dalam karya-karya Anuar terdahulu, bermulanya Asma Al-Husna bermula dengan tertulis kalimah ‘Allah’, di ikuti dengan ‘Ar-Rahman’, ‘Ar-Rahim’ dan seterusnya. Pergerakan ini turun ke atas ke bawah dimana nama-nama ini dibentuk melalui alunan ombak-ombak yang berlapis-lapis dan bergelora. Kelihatan buih-buih puth di dasar air laut itu membentuk Asma Husna. Selain itu dikutip juga ulasan-ulasan lain misalnya Siti Zainon Ismail (1989) meninjau bagaimana karya ini diilhamkan, menurutnya;

 “Kelahiran ‘Inderaputera’ dapat dianggap sebagai titik awal penggerak usaha Anuar Rashid ke dimensi seni yang luas dan sejagat. Beliau tidak terikat dengan imej lateral tetapi langsung ke ruang pencernaan murni hingga karyanya lebih ekspresif.”

Khalil Amran (1995) mengambarkan suasana karya Api, Air dan Angin’ dikomposisikan sebelum kemunculan sambungan (sequel) dalam karya ini;

“Nafas kehidupan yang bermula dengan semangat angin, air dan api dijelmakan sebagai latar subjek: gelombang laut, ribut serta pancaran cahaya/api...Ketangkasan wira (Inderaputera) yang tidak pernah kalah di tangan musuh-musuhnya, dihangatkan oleh susunan warna-warna bergetar, bergelombang, dan mencengkam, sebagai simbol imej yang ingin disampaikan.

Di Alam Melayu apabila kita membicarakan tentang seni bernafaskan unsur-unsur keislaman jarang sekali untuk mengaitkannya dengan pusat Islam itu sendiri iaitu Kaabah yang terletak di Mekah al-Mukarramah. Perbicaraanya tentang seni Islam di Alam Melayu lebih memokuskan kepada unsur-unsur ranting yang bersifat setempat yang dikatakan sebagai mempunyai ciri-ciri seni suci itu tanpa melihat asal-usul binaan Kaabah itu sebagai pokok terhadap perbicaraan itu tadi. Titus Burkhardt (1976, 2009) dalam bukunya Art of Islam mengatakan:

Kita seharusnya memulakan pemerhatian   kita berkenaan  seni Islam dengan penerangan berkenaan dengan  Kaabah dan peranannya dalam peribadatan, merupakan pusat yang penting bagi seni Islam, terutama pada seni bina adalah cukup jelas. Seperti yang diketahui umum, setiap umat Islam menghadap ke arah  Kaabah ketika mengerjakan ibadah solat  dan setiap masjid berpandukan arah ini... 

Menurutnya Kaabah bukan sahaja berperanan sebagai arah tuju tempat peribadatan  bagi menjalankan ibadah solat atau ibadah-ibadah baik yang lain kearahnya tetapi juga merupakan fokus utama terhadap seni Islam itu sendiri. Kaabah adalah binaan yang sangat rapat hubungannya dengan agama Islam. Kehidupan muslim sentiasa akan berhubung dengan artifak ini setiap hari dalam ibadah solat untuk berhubung dengan Allah SWT. Kaabah. konsep dan ideologinya sangat signifikan bagi masyarakat di Nusantara terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan haji. Selain itu dalam mengerjakan ibadah haji atau umrah (ziarah) Kaabah mempunyai perkaitan yang rapat dengan kota Mekah di mana artifak ini berada. Banyak kajian yang mendapati bahawa Kaabah adalah titik tengah dunia ini. Mesej pemikiran yang disampaikan oleh perlakuan “mengadap ke arah kiblat” adalah sebagai satu kerendahan hati terhadap pencipta iaitu Allah SWT. Mengikut konteks ia adalah satu sifat kerendahan hati dalam mengerjakan ibadat yang diperintahkan iaitu solat, satu ibadat yang memerlukan orang Islam mengadap ke arah kiblat ini.

              

  Fatimah Chik, ‘Siri Solat: Subuh, Dzuhur, Asar, Maghrib dan Isyak’ (1993_ skrol batik

Atas kesedaran itu Fatimah Chik menghasilkan karya batik dalam memanifestasikan ibadat solat dengan karya ‘Subuh’, ‘Dzuhur’, ‘Asar’, ‘Maghrib’, ‘Isyak’ (1993). Karya yang disusun mengikut permulaan solat bagi seorang Muslim  bermula dengan Subuh dan berakhir dengan Isyak. Daripada susunan waktu solat dalam karyanya warna memainkan peranan yang penting dalam menunjukkan cahaya matahari yang menentukan waktu solat. Misalnya waktu Subuh digambarkan warna gelap sebelum fajar menyinsing. Waktu zuhur iaitu waktu matahari naik di atas kepada dengan warna terang iaitu merah kekuningan. Waktu Asar matahari semakin menurun dengan warna yang rendah sedikit daripada waktu solat sebelumnya.  Pada waktu maghrib iaitu apabila matahari mula tenggelam digambarkan dengan warna semakin suram. Manakala waktu solat terakhir bagi umat Islam apabila matahari hilang sepenuhnya digambarkan dengan warna gelap.  Pandangan beberapa sarjana-sarjana lain mengulas karya beliau dipetik, misalnya Ruzaika Omar Basaree (1995)

menyentuh persoalan perletakkan bentuk formal motif dalam menggangkat karya ini;

 

 “Dalam karya bertajuk “Subuh, Zohor dan Isyak” oleh Fatimah Chik, iaitu tiga buah karya batik yang berbentuk skrol, mengingatkan tanggungjawab kita terhadap Allah S.W.T., supaya kita mengerjakan solat. Karya hebat dengan kegunaan motif-motif tempatan dan serantau. Apa yang menarik adalah cara beliau mengendalikan susunan motif-motif tersebut sehingga  terbitnya beberapa lapisan gubahan yang berbentuk simetri yang kelihatan begitu sepadu struktur komposisinya.”

 

 

Ahmad Khalid Yusuf, ‘Jawi and Nature’ 1984, Akrilik atas kanvas, 176 x 130 cm, 1984.002

 

 

Dalam menjadikan Islam sebagai unsur penting dalam kebudayaan kebangsaan, Ahmad Khalid Yusuf cukup konsisten eksplorasi karya jawi sejak 1970 an lagi. Dalam karya ‘Jawi and Nature’ (1984) beliau terus memperjuangkan tulisan Arab (jawi) sebagai bahasa Al-Quran. Dari aspek bentuk, karyanya boleh dianggap sebagai catan bidangan kerana keseluruhanya menggunakan warna biru. Terdapat relung dibahagian tengah karya yang menyeimbangkan antara bahagian kiri dan kanan. Manakala itu di bahagian tepi catan sebelah kiri dan kanan terdapat garisan lurus menegak. Dari sudut kerohanian karya ini dilihat seolah-olah sebuah sejadah atau tikar solat dimana rekabentuk relung menyamai sebuah mihrab. Mihrab adalah bahagian hadapan dalam seni bina masjid dan terdapat juga kebanyakan surau kini sebagai arah kiblat. Bahagian hadapan mihrab inilah yang menentukan arah kiblat yang mengadap ke arah Kaabah, menjadi tempat imam mengimami solat.

 

Bentuk relung separuh bulat juga menyimbolkan rasa kerendahan hati dan diri seseorang Muslim dalam berhadapan dengan Pencipta dalam mengerjakan ibadah solat. Bahagian dalam relung terdapat berkelompokan seolah-seolah beliau mengambarkan sebuah taman yang dipenuhi dengan bunga-bungaan yang indah. Gambaran taman bunga ini  terdapat dalam surah di dalam Al-Quran;

 

“Sesungguhnya orang yang bertaqwa disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka inginkan. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan terutama anggur. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya”.

 

                                                                                                 (Surah Al-Naba’, ayat 31-33)

 

Tulisan jawi yang terdapat pada badan catan di tulis secara berterusan dan motif salur buyur dibahagian tepian catan dibahagian kiri dan kanan secara menegak seolah-olah aluan-alunan zikir mengingatkan kita kepada  Pencipta. Karya yang menggabungkan tulisan jawi dengan kealaman ini juga mendekatkan kita kepada alam tumbuh yang menjalar ciptaan Allah. Dalam usaha memperdalamkan penghayatan karya ini beberapa ulasan ilmuan-ilmuan dikumpul, misalnya Ruzaika Omar Basaree (1995) sebagai khalayak yang memerhatikan mengambarkan responnya terhadap tindak balas emosi yang beliau peroleh;

 

“Karya seperti ‘Jawi Into Nature’ oleh Ahmad Khalid Yusof menggunakan tulisan jawi yang berasal dari tulisan Arab yang selalu dikaitkan dengan seni khat Islam. Ahmad Khalid menggunakan tulisan jawi halus yang tenggelam timbul dalam alunan warna yang lemah lembut sehingga menimbulkan satu suasana sepi tetapi tenang.”

Redza Piyadasa (2002) pula lebih fokus kepada latar belakang sejarah, reaksi pelukis dan Piyadasa seterusnya ‘memasuki’ ke dalam karya ini, hasilnya beliau membuktikan;

 “Ahmad Khalid merupakan pelukis yang terawal menggunakan tulisan kaligrafi dalam catan dengan pengaruh ekspresionisme abstrak oleh pelukis Amerika Mark Tobey, karya kaligrafi beliau memperlihatkan jalinan nya di atas permukaan dengan cara tulisan jawi ditulis bertindih-tindih di atas kanvas. Dengan semangat revivalisme Melayu-Islam yang muncul pada tahun 1980 an beliau mula menggunakan simbol alam Melayu dengan menggabungkannya dengan tulisan jawi. Karya ini boleh dikatakan adalah satu refleksi kesenian Melayu-Islam yang mula digerakkan oleh pelukis Melayu di Institut Teknologi Mara

Skema warna ungu yang lembut pada catan ini menampakkan kawalan beliau berkarya. Imej di tengah kelihatan seperti sebuah pintu masuk sebuah masjid. Pintu ini mungkin mengingatkan simbol kepada maksud kehidupan mistikal sufi. Terdapat juga beberapa bunga raya dibahagian tengah yang juga kebangsaan Malaysia. Kelihatan warna merah pada bunga ini cukup dirasakan dibahagian pintu tadi. Manakala itu bahagian kiri dan kanan terdapat garisan vertikal terdapat motif awan larat yang disusun secara pengulangan.”

Daripada artifak budaya material iaitu karya bernafas keislaman ini jelaslah bahawa prinsip

ketiga DKK yakni 'Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan

Kebangsaan'. Agama Islam memberi panduan kepada seniman-seniman kita berkreativiti.

Rasa kesyukuran ke hadrat Pencipta keranan seni Islam ke arah mentauhidkan Allah

berlandaskan falsafah seni  Islam iaitu kebenaran, keindahan dan kebaikan semakin subur

dalam pengkaryaan seniman kita pada hari ini. Negaraku hendaklah dihayati bukan sekadar

sebuah puisi lirik. Bibit-bibit yang dilagukan  “rahmat bahagia Tuhan kurniakan” hendaklah

dihayati sedalamnya. Sememangnya kehadiran Islam adalah kurniaan atau anugerah Allah

untuk manusia, ‘Islam rahbiatul alamin’ atau Islam adalah rahmat untuk semua.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan:

A.Aziz Deraman (2001), Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia-Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Abu Talib Putih (2011), ‘Al-Insyirah: Maqam Kesedaran Dalam Perjalanan Seni Seorang Pelukis’ dalam Rajaah: Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa Dari 1950-an -2011, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Al-Ahmadi (1997), ‘General Introduction on Cultural Development In Malaysia’ Arts and Islamic World Journal, Islamic Arts Foundation, London

Adi Haji Taha (1989), ‘Arkeologi Orang Asli’ dalam Akademika 35 (Julai 1989) 113-124

Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan (2011), Yayasan Restu, Shah Alam

Anisah Syed Mohamed (1984), ‘Suleiman Hj. Esa-Towards An Islamic Concept in Contemporary Art’, dalam katalog pameran Ke Arah Tauhid, Pesuruhjaya Tinggi Australia.

BERNAMA, ‘Rangka Manusia Ditemukan di Guar Kepah Mungkin Milik Wanita Zaman Neolitik’, April 2017.

Dzul Haimi Md. Zain (1989), ‘Gunungan: Pameran Perseorangan Fatimah Chik’ dalam Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis Hingga Era Pluralis, Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Dzul Haimi Md. Zain (1991), ‘Seni Islam Sezaman Di Malaysia-Kedatangan Islam Ke Malaysia’ dalam katalog pameran Senirupa Islam Malaysia-Tradisional dan Sezaman, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Faizal Sidik (2012), ‘Sulaiman Esa: Pertemuan Timur-Barat dalam Karya’, Dewan Budaya, Bil. 6,  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

 

Harun Abdullah Coombes (1995), ‘The Islamic Spirit-Social Orientation in Contemporary Malaysian Art’ dalam katalog pameran Art & Spirituality (Kesenian dan Kerohanian), National Art Gallery, Kuala Lumpur.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia (1994), Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia, Kuala Lumpur.

Khalil Amran (1995), ‘Seni Islam Sezaman Di Malaysia-Suatu Pembicaraan’, Kertas Kerja Seminar Kesenian dan Kerohanian: Manefestasi Islam Dalam Perkembangan Seni Lukis Sezaman di Malaysia, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Mohd. Ahmad  Hj. Hashim (1984), ‘Ke Arah Tauhid-An Overview’, dalam katalog pameran Ke Arah Tauhid, Pesuruhjaya Tinggi Australia, Kuala Lumpur.

Mokhtar Sidin (2008), ‘Hasil Seni Zaman Pra Sejarah Malaysia’ dalam Susurmasa, Balai Seni Lukis Negara Kuala Lumpur.

Muliyadi Mahmood (1993), ‘Kemekaran Jiwa Islam Dalam Seni Lukis Malaysia Sezaman’  dalam katalog pameran Manifestasi Jiwa Islam dalam Senirupa Malaysia Sezaman, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Muliyadi Mahmood (2001 Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis Hingga Era Pluralis, Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Othman Yatim (1997), ‘Islamic in Malaysia-Reflections on Historical Links Between South and South-East Asia with Special Emphasis on Mortuary Arts’ dalam Arts and Islamic World Journal, Islamic Arts Foundation, London.

Redza Piyadasa (2002), Masterpieces from the National Art Gallery of Malaysia, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Ruzaika Omar Basaree (1995), ‘Kesenian Islam: Suatu Perspektif Malaysia’ dalam pameran Kesenian Islam-Suatu Perspektif Malaysia (Festival Istiqlal 1995 di Jakarta, Indonesia), Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Siti Zainon Ismail (1989), ‘Imej Tinggi Agung dalam Seni Lukis’ dalam Percikan Seni, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Siti Zainon Ismail (2007), ‘Nuansa Khat : Nuansa Muslim’ dalam katalog Pameran Nuansa Khat: Nuansa Muslim, RA Fine Art, Kuala Lumpur, ms 14.

Suleiman Esa (1992), ‘Identiti Islam Dalam Senirupa Malaysia: Pencapaian dan Cabaran’ dalam katalog pameran Identiti Islam Dalam Senirupa Malaysia: Pencapaian dan Cabaran ,Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Suleiman Esa (2000), ‘Meluahkan Yang Tak Terungkap: Perkembangan Seni Islam Kontemporari Malaysia Dalam Dua Dekad’ dalam katalog Pameran Seni Lukis Islam Kontemporari Sempena Smbutan Maal Hijrah 1421, Galeri Shah Alam.

Titus Burkhardt, (1976, 2009), Art of Islam-Language and Meaning, World of Wisdom,

Syed Ahmad Jamal (1984), ‘Seni Rupa Islam’ dalam katalog Pameran Seni Lukis dan Seni Khat (Pameran Tamadun Islam), Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur

Zakaria Ali (1991), Kemalaysiaan Senilukis Malaysia: Soal Identiti, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Zakaria Ali (2004), Alif Ba Ta - The Life and Times of Ahmad Khalid Yusof, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan