Oleh: Faizal Sidik
Pengenalan
Mengimbau 30 tahun dahulu
iaitu pada 15 hingga 30 Mei 1989 sebuah pameran berkumpulan yang bertajuk
‘4 Persepsi: Bicara Makna’ telah diadakan di Pusat Kreatif, Balai Seni yang
menghimpun karya Hasnul Jamal Saidon, Fauzin Mustafa, Taufik Abdullah dan Mohd Noor
Mahmud. Menatap semula katalog pameran itu yang direka bentuk oleh Fauzin
Mustafa dan reka letak komputer oleh Hasnul Jamal Saidun dengan bantuan
komputer model Commodore Amiga 2000 seolah-olah katalog pameran ini saya boleh
katakan mungkin berinspirasikan daripada pameran solo ‘Digital Collage’ (1988)
oleh Ismail Zain sebagai salah seorang guru seni mereka. Penghargaan juga
mereka berikan ke atas Kamarulzaman Md Isa atas bimbingan dalam penggunaan
komputer yang mungkin agak baru kepada mereka pada masa itu.
Meneliti kandungan dalamnya
dengan kata aluan ‘Center Stage’ oleh Normah Nordin, esei pengenalan pameran
oleh Hasnul Jamal Saidon (Hasnul mengulanginya lagi dalam katalog pameran ini)
penulis yang dijemput seperti Ismail Zain dengan esei ‘Modenisma dan Tekanan
Kritikan Diri’ dan Fauzan Omar dengan esei ‘Bahan’ adalah penghormatan kepada tok guru mereka semasa mendalami ilmu seni Insitut Teknologi Mara (ITM), Shah
Alam dan rumah produksi teater ‘Center Stage’, Bangsar dalam menyokong
pengkaryaan awal 4 Persepsi ini.
4 Persepsi Kembali
Jika anda meminati filem-filem
bersiri ciptaan sutradara Hollywood seperti Superman Return, Batman
Return, Spiderman Return dan pelbagai lagi adiwira-adiwira
penyelamat dunia, mungkin kata ‘return’ atau ‘kembali’ itu
ingin membawa suatu kesinambungan, lama kepada baru, cerita dahulu kepada
sekarang atau juga mahu mengembalikan kenangan silam dalam konteks hari ini
yang lebih segar dan sezaman alaminya. Dalam pameran 4 Persepsi ini empat
sahabat lama yang sama, berkumpul semula pada hujung tahun 2009 yang sama dan
ruang galeri yang sama di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara kembali dalam
menyatakan bahawa mereka masih bersama setelah 30 tahun terlibat dalam lanskap
seni negara samada menjadi pelukis, kurator, penulis, pereka dan pendidik.
Hasnul Jamal Saidon (1965,
Teluk Intan, Perak) selain menjadi pendidik pada awalnya di Universiti Malaysia
Sarawak (Unimas), kemudian di Kolej Cenfad dan kini di Pusat Seni
Universiti Sains Malaysia (USM). Sejak pameran Digital Collage oleh
Ismail Zain pada tahun 1980 an oleh gurunya Pak Mail banyak memberi kesan
terhadap pengkaryaannya selepas itu. Selepas pulang dari Rensselaer Polytechnic
Institute, Troy, New York dalam bidang seni elektronik beliau telah meneruskan
laluan-laluan yang telah dibuka oleh Pak Mail. Pameran Seni Elektronik
Pertama (PSEP) pada tahun 1999 yang diadakan di Balai Seni Negara semasa beliau
mengajar di Unimas boleh dikatakan adalah antara usaha penggunaan awal alatan
elektronik yang agak asing oleh pelukis di Malaysia pada masa itu. Pameran PSEP
telah memberikan impak yang cukup besar terhadap pengkaryaan seni di Malaysia
terutamanya pelukis-pelukis muda yang lebih terdedah dengan sumber bahan
terkini dari luar.
Penggunan bahan ini boleh
dilihat kesannya selepas PSEP ini diadakan misalnya dalam pertandingan dan
pameran Bakat Muda Sezaman selepas tahun 2000. Di dalam edisi 2004 misalnya
mempunyai kategori Media Baru yang dipertandingkan bagi merangsang penghasilan
karya sebegini.
Semasa beliau mengajar seni
media USM dan Pengarah Muzium dan Galeri Tunku Fauziah (MGTF) beliau telah
mengubah pendekatan kuratorial yang diadakan dari segi bagaimana untuk menarik
minat baru khalayak untuk datang ke galeri menerusi penggunaan media baru
seperti hologram, penggunaan alat pandang dengar seperti projektor, bunyi dalam
memberi nafas baru dalam persembahan dan peragaan bukan sahaja karya seni
tetapi juga bahan-bahan sejarah dengan tujuan bukan sahaja sebagai sumber
pendidikan tetapi juga memberikan keseronokan kepada khalayak untuk masuk ke
muzium. Kini MGTF boleh dikatakan mempunyai antara muzium seni yang mengumpul
koleksi seni elektronik terbesar di Malaysia. Selain terlibat dalam kerja-kerja
kuratorial di galeri dan muzium, beliau juga aktif menyumbangkan buah fikirnya
menerusi penulisan buku, jurnal, katalog pameran, dan majalah disamping aktif
sebagai pengamal seni media baru.
Dalam karya ‘Siri Lakaran
untuk Ngalir’, ‘Peristiwa Kuantum yang dijudulkan Ngalir’ dan ‘Peristiwa
Kuantum yang dijudulkan Renang’ (2019) adalah karya-karya instalasi
proses seni yang mengabungkan antara bahan campuran dan media baru. Karya ini
menggabungkan buku lakaran, lukisan berbingkai, catan kanvas atas lantai dan
dinding dan projektor video yang dipancarkan secara miring dalam memperlihatkan
imej air yang berdurasi satu minit. Karya yang berlatarkan hitam ini mengabung
tiga media seni iaitu lukisan lakaran, seni catan dan seni video dalam satu
ruang.
Pertama, karya lukisan
memperlihatkan dokumentasi-dokumentasi Hasnul menerusi gambaran rajah ikan
(ishikawa), peta minda dan lakar-lakar spontan kajian mengenai konsep kuantum
air dan cahaya yang peragaannya seolah-olah kita sedang membaca kitab dalam
keadaan duduk bersila berlapikkan tikar sejadah. Kedua, catan kanvas atas
dinding dan atas catan atas lantai yang memanjang. Catan dinding memperlihatkan
catan figura berelung (niche) pelukis dari postur belakang. Bentuk relung ini
biasanya terdapat di dalam seni bina orang Romawi dan seni bina Islam. Dalam
seni bina Islam relung ini terdapat di bahagian mihrab masjid atau surau yang
biasanya adalah tempat menunjukkan arah kiblat dan digunakan oleh imam dalam
mengetuai solat. Ketiga pula adalah adalah video berdurasi 1 minit yang berulang
memperlihatkan imej air dan figura seperti yang ada dalam catan.
Dalam karya ini Hasnul juga menulis kembali doa
yang diajar bapanya iaitu Pak Saidon di antara catan dan video. Karya ini
seolah-oleh sebuah ruang-ruang perenungan, meditasi, zikir dan muhasabah.
Hasnul meggabungkan konsep cahaya dan kuantum air dalam membentuk terapi
penyembuhan menerusi pembelajaran melalui alamiah. Dalam kata lain pembelajaran
melalui berguru (sanat) dan pembelajaran melalui alam dalam membelah diri.
Fauzin Mustafa (1966, Teluk
Intan, Perak) antara pengkarya yang mempunyai kebolehan pelbagai disiplin.
Pendidikan asas seni halus tidak membataskan beliau hanya mengakhiri karier
sebagai pelukis tetapi lebih dari itu. Setelah bergraduan beliau banyak
terlibat dengan projek-projek seni visual yag merentas bidang sifatnya seperti
rekabentuk set teater, persembahan seni dan juga konsert. Pengalaman dan minat
ini telah membawa beliau bekerja dengan syarikat televisyen swasta pertama
negara pada masa itu iaitu TV3 dan kini Media Prima. Mempunyai pekerjaan
sebagai ketua pengarah seni dan produksi bukanlah penghalang kepada beliau
dalam terus berkarya. Penerokaan beliau terhadap bahan terutamnya media
campuran seperti yang diterokai dalam pameran berkumpulan 4 Persepsi pada akhir
80 an terus menjadi inspirasi dalam pengkaryaan beliau sepanjang 30 tahun
berkarya.
Pameran solo pertama dan kedua
‘Dari Bumi ke Bumi’ (1994) dan ‘Fauzin Mustafa’ (2001) diadakan di Art Salon, Bangsar pada tahun memperlihatkan perkembangan penting selepas 20
tahun pengkaryaan beliau selepas itu. Fauzin telah memilih untuk meninggalkan
Media Prima dan menjadi pelukis sepenuh masa pada 2008, pada 2017 Fauzin hadir dengan
pameran solo ketiga ‘Life Between The
Dots’ yang diadakan di Core Design
di Subang Jaya dengan membawa lebih 20 karya terbaru yang masih membawa tema
titik protes terhadap pembangunan yang tidak menghiraukan kesan terhadap alam
sekitar. Pengkaryaan Fauzin boleh dikatakan mengalami beberapa evolusi misalnya
daripada proses pencarian (1989-1998), peralihan penerokaan bahan
campuran (1999-2009), transisi kematangan (2009-2019).
Pada 4 Persepsi
ini Fauzin hadir dengan siri 2 kumpulan terbaru yang masih belum lagi
dilihat oleh khalayak. Karya ‘Siri Bunga Putih di Pusara III, IV dn V’
(2019) adalah karya lukisan kembar tiga (triptych) yang
menggunakan bahan campuran di atas kanvas. Jika di perhatikan dalam karya ini
mempunyai persamaan dari segi penggunaan bahantara dan subjek daripada karya
yang dihasilkan 30 tahun dahulu misalnya dalam karya ‘Tetamu Tidak Diundang’
(1988) ‘Siri Alam Fana- Kepingingan Tersisa’ (1989). Dalam siri karya ‘Al-Aqsa’
(2017-2019) adalah 7 buah lukisan instalasi bahan campuran bersubjekkan masjid
Al-Aqsa di Baitulmuqadis, Palestin.
Dalam karya-karya mutakhir ini
walupun Fauzin masih setia dengan penggunaan bahan campuran namun subjeknya
lebih bersifat sejagat dan universal. Masjid Al-Aqsa merupakan
sebuah masjid di Baitulmuqadis, Palestin merupakan arah kiblat pertama umat
Islam dan merupakan Tanah Suci ketiga bagi umat Islam selepas Mekah dan
Madinah. Protes penindasan oleh rejim zionis terhadap Al-Aqsa dan umat Islam di
sini diluahkan oleh Fauzin menerusi simbolisme burung merpati dan bunga putih
yang melambangkan pembebasan dan keamanan terhadap rantau itu. Ruang latar
instalasi yang hitam gelap dan timbulan lukisan-lukisan putih di atas
permukaanya sengaja disusun dalam memberi penegasan isu ini.
Mohd Noor Mahmud (1964, Kota
Bharu, Kelantan) adalah pendidik yang mendapat didikan Universiti De Monfort,
Lecester, United Kingdom. Menelusuri pengkaryaan awal beliau sejak 1988
memperlihatkan bagaimana penerokaan bahantara terus menjadi pilihan
sehingga hari ini. Pengkaryaan Noor Mahmud pula boleh dibahagikan kepada dua
fasa iaitu fasa pertama yang terdiri dari karya-karya awal daripada tahun 1990
an dan fasa kedua ke arah seni Islam. Pameran solo pertama 'Siri Rasa Bertuhan'
yang telah diadakan Muzium Seni Pahang dan solo kedua 'Bacalah' (2015) di Art
Cube mengambarkan bagaimana perubahan ini berlaku, Dalam pameran terbaru
ini beliau hadir dengan 2 karya catan instalasi iaitu ‘Lima Puluh Dua
Bunga’ (2008) dan Tiang (2019).
Di dalam karya-karya
terbarunya Mat Nor terus konsisten dalam memberi nafas baru kepada seni
tradisional, berinspirasikan seni nusantara, khususnya tradisi Melayu-Islam
daripada pantai timur. Beliau juga mengadaptasi beberapa perkakasan dan teknik
seni tradisi batik sebagai satu penghormatan kepada para seniman tradisi ini.
Pengolahan bahan yang digunakan merupakan hasil dari eksperimentasi dan
pemurnian berterusan yang telah dimulakan sejak tahun akhir di UiTM sekitar
1987-88. Penumpuan pada motif bunga-bungaan merujuk kepada nilai-nilai
penyembuhan dan pemulihan yang terkandung di dalamnya. Kesemuanya diolah dalam
persembahan gaya catan yang mesra dengan 'angin' Mat Nor sendiri. Beliau
mengalami rasa berkarya dan rasa melihat karya sebagai zikir dalam diam
Taufik Abdullah (1966, Kulim,
Kedah) mempunyai latar belakang seni reka seramik, sejak tahun 1990 an belau
banyak menghabiskan masa berkelana di Jepun dan Mexico. Taufik berpengalaman
sebagai pereka di kedua-dua negara itu kini menetap di Kota Baharu. Pada awal
1980 an Taufik adalah antara pemenang anugerah hadiah kecil Bakat Muda Sezaman.
Beliau juga sangat aktif berpameran di dalam dan juga diperingkat antarabangsa.
Pada tahun 1989 beliau mewakili Malaysia dalam ASEAN Youth Painting
Workshop and Exhibition di Brunei Darul Salam.
Pada pameran ini beliau
mempamerkan 14 buah karya yang telah dihasilkan pada 1996 hingga kini. Dalam 2
buah karya surealisme iaitu ‘Revalidating Declaration of Heart’ (2019)
dan Universal Heartscape Resonance’ (2019) beliau mengambil
subjek hati sebagai simbol kepada jiwa manusia dalam menyatakan pergerakan
tubuh badan, tindak balas emosi, sebagai sistem tanda dan bahasa visual.
Karya ‘Regazing Land of the Rising Sun’ (2019) pula adalah
adalah cebisan pengalaman Taufik berkelana di negara matahari terbit iaitu
Jepun. Beliau mengambil 2 dua subjek alam iaitu karya ombak oleh Hokusai dan
gunung Fuji dalam menyatakan polisi kerajaan dalam penggunaan teknologi
terkini.
Dalam Siri Paku Pakis
atau The Fern Seris yang dihasilkan selama dua tahun iaitu
dari 2004 hingga 2006 adalah satu kumpulan karya Taufik Abdullah yang
bereksperimen dengan bahan campuran dan seperti batik, akrilik dan cat minyak.
Siri ini adalah refleksi Taufik terhadap subjek paku pakis yang banyak memberi
simbolisme terhadap sifat jati diri, keunikan dan lambang kepada kelahiran pada
manusia. Dalam siri ini juga beliau meneroka teknik seperti mengecop, menekan
dan melukis untuk mendapat kesan kesuraman dan samar-samar sebagaimana jika
tumbuhan ini dilihat pada waktu gelap sebagai metafora mewakili segala sifat
tumbuhan yang mana walaupun hidupnya sukar tetapi tetap bangga dengan sifat
asli yang berasal daripada hutan.
Penutup
Kesimpulannya sepanjang 30
tahun pengkaryaan ‘4 Persepsi’ kita dapat lihat bahawa mereka masih setia
menggunakan warna-warna alami yang berteraskan nusantara seperti elemen-elemen
'tanah', 'air' dan 'angin' yang kita dapat lihat dalam pameran ini seperti
penggunaan warna-warna kehijauan dan peribumi. Satu lagi yang agak ketara
adalah mereka sangat akrab dengan motif-motif alamiah seperti dalam karya yang
mereka hasilkan di awal pengkaryaan mereka seperti Fauzin dengan ‘Siri Alam
Fana’, Hasnul ‘Siri Microscape’, Taufik ‘Siri Manukan’ dan Mohd Noor dengan
‘Siri Imijan’. Walaupun 30 tahun tidak pernah berpameran bersama namun
pengkaryaan mereka seolah-olah mempunyai satu cara pandang hidup yang serupa,
saling pengaruh mempengaruhi dan seperti satu keluarga yang dekat walaupun
jauh.
*Pameran '4 Persepsi 2019' kini boleh dilawat daripada 4 November 2019 - 31 Disember 2019 di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.
Rujukan:
Katalog pameran ‘4
Persepsi: Bicara Makna’, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, 1989.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan