Oleh: Faizal Sidik
Redza Piyadasa, "Tribute to Usman Awang II", 1980, Koleksi Pakhruddin & Fatimah Sulaiman
Usman Awang bukanlah
asing dalam dunia seni lukis. Semasa menjadi editor majalah Dewan Sastera di
Dewan Bahasa dan Pustaka beliau adalah penggerak utama dalam menyatukan
sasterawan dan seniman dari pelbagai disiplin dan merentasi bidang. Sudut
Penulis adalah ruang bukan sahaja yang menemukan penulis, penyair dan pelukis
dalam berwacana malah Sudut Penulis ini jugalah yang memberi ruang kepada
pelukis untuk mempamerkan hasil kerja mereka.
Semasa Usman Awang
menjadi ketua editor dan juga dibantu oleh Kemala, Sutung Umar sebagai pembantu-pembantunya,
di Dewan Sastera jugalah terbina wacana seni yang hebat dalam sejarah seni
Malaysia. Dewan Sastera satu-satunya majalah pada masa itu sekitar awal 70 an
yang memberi ruang kepada penulis, penyair dan pelukis berpolemik mendebatkan
karya pameran bersama oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa iaitu Towards A Mystical Reality (Ke Arah Realiti
Mistik) yang diperagakan di ruang Sudut Penulis.
Sebelum TMR belum ada
kritikan seni yang benar-benar serius dalam konteks Malaysia terhadap pembuatan
hasil seni. Melihat dilema ini Usman Awang telah menyiarkan cetusan awalnya
dalam “Wawancara Dengan Dua Orang Pelukis Konseptual” tulisan oleh Raja
Zahabuddin Raja Yaacob pada Julai 1974. Walaupun terdapat sapaan oleh Krishen
Jit di akhbar Sunday Times pada 4 Ogos tahun itu namun tulisan Siti Zainon Ismail “Pengaruh dan
Identiti dalam Seni Lukis” pada Mac 1975 di Dewan Sastera setelah dicabar oleh Ismail Zain yang
memanggil mesra beliau Siti Zainon sebagai Non sahaja untuk menulis telah benar-benar
mengigit Piyadasa (Piya) dengan tulisan itu, Piya tetap mempertahankan karya-karya
di dalam pameran kontroversi itu dengan “Satu Jawapan Terhadap Tulisan Siti
Zainon”.
Kritikan pameran seni
konseptual berkenaan tidak terhenti di situ sahaja apabila Siti membidas Piya
semula dalam “Satu Esei untuk Piyadasa”pada Mei 1975. Kritikan seni di dalam
majalah ini menjadi semakin panas apabila Piya terus-menerus menyerang dengan
“Lagi Satu Jawapan Untuk Siti” disamping
Salleh ben Joned memberi pandangan sinisnya dalam tulisan “Kencing dan
Kesenian: Surat Salleh ben Joned untuk Piyadasa”pada Julai. Polemik yang
berlanjutan selama beberapa bulan dalam majalah ini menyebabkan kritikan seni
semakin diberi perhatian selain kritikan sastera.
Usaha Usman Awang
menyelenggara dan menyilang pertemuan antara genre seni bukanlah baru. Sebelum
‘Ke Arah Realiti Mistik’ lagi pameran seperti ‘Manifestasi Dua Seni I’ pada
1970 dan kesinambungan ‘Manifestasi Dua Seni II’ pada 1972 menampkkan peranan Usman Awang seolah-olah
sebagai ‘kurator’ yang menghubungkan antara genre sastera iaitu puisi dengan
seni lukis dalam satu ruang dialog. Petembungan antara kedua-dua budaya kata
berkata-kata dan budaya tampak menampak adalah perpindahan daripada tekstual
kepada visual atau dari bahasa kepada rupa. Perubahan ini membentuk satu makna
baru dalam penciptaan atau penghasilan seni.
Keakraban dan
penghormatan Usman Awang dengan seniman pelukis di diabadikan beliau dalam
puisi-puisinya misalnya dalam ‘Beta Melukis’(1953) adalah semangat beliau untuk
menghasilkan lukisan walaupun tidak seindah rupa. ‘Melukis Rasa Melukis Cerita’
ditujukan kepada pelukis-pelukis Tionghua pada 1956. Benarlah kata pujangga
jika kita ingin dihormati orang, kita perlu menghormati orang terlebih dahulu. Sempena
menyambut ulangtahun 50 kelahiran Usman Awang pada 1980 Redza Piyadasa telah
menghasilkan dua buah karya khas sebagai memperingatinya sebagai kawan dan
lawan beliau ini dalam catan akrilik yang bertajuk Tribute to Usman Awang I dan
Tribute to Usman Awang II.
Redza Piyadasa
Tribute to Usman Awang I
Imej bromida, akrilik atas kanvas
1980
Koleksi Balai Seni Negara
Redza Piyadasa
Tribute to Usman Awang II
Imej bromida, akrilik atas kanvas
1980
Koleksi Pakhruddin & Fatimah Sulaiman
Karya Tribute to Usman Awang I kini menjadi koleksi institusi seni nasional
iaitu Balai Seni Negara melalui perolehan pada tahun 1993. Manakala Tribute to Usman Awang II yang menjadi
karya tema dalam pameran ini pula dimiliki oleh kolektor persendirian iaitu
Pakharuddin dan Fatimah Sulaiman. Dalam pengkaryaan selepas ‘Ke Arah Realiti
Mistik’ Piyadasa terus membawa karya bergenre konseptual dengan penggunaan
imej, teks dan petikan inspirasi daripada pelukis pasca pop berbangsa Inggeris
Larry River sebelum berpecah untuk tidak bergabung lagi pada akhir 70 an dengan
Suleiman Esa yang beralih haluan kepada seni Islam manakala Redza Piyadasa kepada rupa Malaysia.
Dalam karya Piyadasa
menghasilkan catan yang berformatkan
setem dengan berimejkan potret Usman Awang dengan berteks USMAN AWANG,
MALAYSIA dan ASAS 50 sebagai manifestasi kepada setem kenang-kenangan yang
biasa dikeluarkan oleh jabatan pos. Namun apa yang membezakan kedua-dua adalah
catan setem Tribute to Usman Awang I
berlatabelakangkan kanvas putih dan teks PENYAIR dan $2. Manakala Tribute to Usman Awang II berlatarbelakangkan warna hitam adalah
terjemahan teks catan satu iaitu POET dan $1. Terdapat juga kad optik atau opcard selalunya digunakan untuk
memeriksa kesihatan mata, jarak dan warna di hospital atau klinik dibahagian
atas. Karya ini memperlihatkan kepada sebuah setem memorial penghormatan dalam
memperingati Usman Awang sebagai penyair
Malaysia sebagai salah seorang tokoh ASAS 5O atau Angkatan Sasterawan 50
sebagai pejuang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.
Dalam pengajian
penterjemahan dan interpritasi atau sains linguistik terapan terdapat apa yang
ditermakan sebagai ragam terjemahan perpindahan daripada bahasa kepada rupa.
Menurut Jakobson (1959) beliau mengatakan terdapat tiga jenis terjemahan iaitu
intralingual, antarabahasa dan antarasemiotik. Terjemahan intralingual
bermaksud terjemahan menggunakan bahasa yang sama, terjemahan antarabahasa pula
bermakna terjemahan dalam dua bahasa yang berbeza manakala terjemahan
antarasemiotik pula adalah terjemahan dalam dua sistem perlambangan.
Jakobson (1959) menyatakan lagi
walaupun bahasa sumber dan bahasa terjemahan mempunyai perbezaan struktur
bahasanya, terjemahan tetap boleh berlaku. Terjemahan antarasemiotik adalah
terjemahan yang mengkaji tentang sistem lambang. Selain perlambangan sistem ini
juga adalah berhubungan dengan simbolisme dan metafora. Penterjemahan
antarasemiotik merangkumi penafsiran sesebuah teks ke dalam bentuk atau sistem
tanda yang lain misalnya penafsiran novel menjadi sebuah filem, cerpen menjadi
drama, puisi menjadi gambar.
Pameran seni ini yang
mengambil tajuk sajak Usman Awang ‘Bunga Putih’ boleh dicirikan sebagai sebuah
terjemahan antarasemiotik yang mentafsir,
menghurai, mengulas, mengerti dan perluahan teks-teks seni kata yang mendokong
kepada perpaduan, keamanan, dan kemanusiaan sejagat. Pertukaran kepada sistem
tanda yang lain yang bersifat objek, mempunyai jisim dan isipada samada dua
dimensi atau tiga dimensi iaitu citra lukisan. Citra baru ini mencipta ruang
untuk penglihatan malahan juga sentuhan sebagai sistem tanda yang baru yang
akan mempengaruhi dan merangsang ruang rasa kita dalam menambah nilai persepsi
kita terhadap bentuk dan rupa.
Rujukan:
Jakobson, R. (1959), On Linguistic Aspect of Translation, dalam The
Translation Studies Reader 2000 (ed. Lawrence Venuti). London
& New York: Routledge, 113-118.
Langer, S. (1936), Virtual Space
dalam Aesthetics: A Reader in Philosophy of the Arts. Routledge.
Sabapathy, T.K.
(2001), Piyadasa An Overview 1962-2000,
Balai Seni Negara, Kuala Lumpur
Faizal Sidik (2017), Merindui Jiwa Sudut Penulis, Berita
Harian (Seni dan Budaya), Selasa 2 Mei 2017
Dewan Bahasa dan Pustaka, (1987), Puisi-Puisi
Pilihan Usman Awang, Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan