Khamis, 12 Julai 2018

Lukisan anyaman Nasir Baharuddin

Foto Faizal Sidik.

Nurul Nafisah Mazlan, 'Lukisan anyaman Nasir Baharuddin', 
Kosmo (K2), Isnin 2 Julai, ms 26.


Kehadiran pemilik nama Nasir Baharuddin dalam dunia seni lukis adalah untuk mencipta pembaharuan

Oleh kerana hasil seni bersifat universal dan tidak lapuk dek zaman, maka kebanyakan artis seni sering mencari kelainan dalam menghasilkan karya-karya mereka.

Sama seperti lelaki berasal dari Perak itu, dia sentiasa mencari dan mengeluarkan idea baharu dalam mempersembahkan karya seni.

Pada pameran KL Biennale 2017 yang berlangsung dari 24 November hingga 31 Mac lalu, Nasir mempersembahkan karyanya yang berkonsepkan permukaan dan lapisan.

"Peranan lapisan adalah untuk membina bentuk. Bentuk lapisan itu tersiri daripada unit-unit digit yang disusun secara sulam dan lapis demi lapis.

"Konsep itu diketengahkan bertujuan memberi perubahan kepada alunan struktur," katanya ketika ditemui di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Pada acara KL Biennale 2017 itu, Nasir mempersembahkan dua karyanya yang berjudul Menganyam Pixel dan V Text Neuro (V membawa maksud visual).

Bagi karya Menganyam Pixel yang dihasilkan pada 2011, alunan struktur yang dihasilkan Nasir umpama gelombang yang bergerak pada seluruh permukaan. 

"Apabila dilihat dari permukaan itu, ia seperti pemandangan yang berpisah-pisah, namun perpisahan itu telah diikat menjadi formasi atau kerangka yang membentuk persempadanan. Tujuannya adalah untuk mengawal pecahan-pecahan unit supaya terjalin diantara satu sama lain.

Formasi
"Walaupun formasi tersebut seolah diikat tetapi ia bukan suatu yang statik kerana kerangkanya telah dilonggarkan. Pada amnya, ia merupakan suatu unit yang boleh dikira dan dihubungkan,"terang Nasir yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dala bidang yang diceburi. Selain KL Biennale 2017, karya Menganyam Pixel sudah dibawa ke Austria dan Jerman untuk dioamerkan.

Visual
Sementara itu, sebuah lagi karya yang dibawakan oleh Nasir yang mempunyai Ijazah Seni Reka dari Georgia, Amerika Syarikat ialah V-Text Neuro.

Uniknya, projeksi video yang dihasilkan pada 2016 itu menampilkan persoalan tentang perkaitan persepsi antaara kata dan citra (imej).

"Jika diamati, sebenarnya lukisan itu tidak bergerak sebaliknya tulisannya sahaja yang bergerak ke kiri dan kanan. 

"Dari satu sudut, projeksi video ini mendorong penonton menalih pandangannya lalu melihat kata sebagai sebuah gambar. Dari sudut lain pula, kary aini membebaskan pandangan kita untuk membaca imej sebagai huraian," terangnya.

Dalam pada itu, Kurator Balai Seni Negara, Faizal Sidik berkata, KL Biennale 2017 yang julung-julung kali diadakan di Malaysia menghimpunkan 100 artis Malaysia dan 11 artis dari luar negara antaranya China, Thailand, Bangladesh, Jepun dan Sweden.

Biennale adalah penganjuran dwitahunan yang begitu sinonim dengan acara kesenian dan kebudayaan.

"Pada penganjuran ini, KL Biennale membawa tema Alami Belas (Beloved) bagi memperlihatkan arus jalinan kasih sayang di antara karya-karya yang dipersembahkan.

"Di bawah kelopak Alami Belas terdapat lima tunjang lain iaitu Belas Insan, Belas Haiwan, Belas Warisan Belas Alam dan Belas Kerohanian jelasnya sambil memaklumkan karya dihasilkan Nasir tergolong di bawah Belas Warisan.



Info Biennale

  • Penganjuran diadakan dwi tahunan
  • Merupakan penganjuran pameran seni kontemporari yang tertua dan terawal sejak 1895
  • Pernah diadakan di Venice, Sao Paolo, Berlin dan banyak lagi
  • KL Biennale melibatkan 111 artis dari dalam dan luar negara.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan