Oleh: Faizal Oda
Impiana (Portfolio), Okt 2017, ms 134 - 139.
1. Sila berikan profile anda
Nama penuh: Faizal
Sidik
Nama samaran (jika ada): Tiada
Asal/Lahir: Lorong 1, Kg Medan, Petaling Jaya, Selangor.
Kelulusan: Sarjana Muda Seni Halus, Universiti Teknologi Mara, Seri
Manjung, Perak
2. Berapa lamakah anda berkecimpung dalam
lapangan seni lukis negara?
Saya mula memasuki sekolah seni di
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UITM sejak tahun 1996 dan bergraduan pada 2000
dan telah berkecimpung lebih 20 tahun di lapangan seni ini.
3. Apakah medium yang paling sinonim
dengan hasil karya anda?
Pada mulanya saya tidak menghadkan
medium pemilihan saya dalam karya. Pada awalnya iaitu pada akhir 1990 an saya
banyak meneroka penggunaan medium untuk mencari keserasian misalnya dengan
menggunakan dakwat, arang, akrilik dan media campuran. Setelah puas meneroka
barulah saya mendapati medium yang serasi dengan karya-karya tema songket saya
adalah cat licau atau cat kilau (glossy
paint) yang saya mula gunakan sejak 2010 an semasa mengadakan pameran solo
saya yang kedua bertajuk ‘Sublime Weave’
di Kuala Lumpur Performance Art Centre (KLPAC) pada 2012.
4. Apakah subjek matter pilihan anda?
Mengapa?
Sejak permulaan karier, bahan subjek
yang saya gunakan sebagai bahan pengantar idea di dalam lukisan saya yang semuanya
dinspirasikan daripada watak-watak di dalam seni persembahan tradisi Melayu
kita yang mahsyur iaitu wayang kulit. Namun selepas sepuluh tahun bergelumbang
dengannya iaitu sejak 2010 an saya mula melakukan peralihan arah haluan dengan bereksperimentasi
dengan kraf tenunan kita iaitu motif songket. Sehingga kini saya terus
mengekalkannya kerana saya merasakan banyak lagi yang boleh diterokai oleh
seniman kita dengan motif songket kita yang penuh dengan metafora dan falsafah
orang kita yang membuatnya dahulu yang boleh saya kembangkan dalam bentuk seni.
5. Apakah warna pilihan anda bagi setiap
kali berkarya? Mengapa?
Jika anda lihat warna biru seperti jewel blue, olympic blue dan neptune begitu dominan dalam kebanyakan
karya-karya yang saya hasilkan. Warna biru dalam karya saya adalah simbol
kepada sempadan antara langit dan bumi. Biru bagi saya manifestasi kepada keluasan, kelapangan dan
bebas lepas. Biru dalam karya saya juga adalah simbol kepada langit kealaman
dunia, cakerawala, atmosfera dan kehidupan alam yang terbentang luas.
6. Sudah berapa kalikah anda mengadakan
pertunjukan solo?
Sehingga kini tiga kali, pameran solo
pertama bertajuk ‘Faizal Sidik: Lukisan 1996-2006’ diadakan di MTDC Gallery, Serdang.
Pameran solo kedua pula bertajuk ‘Sublime
Weaves’ di KLPAC, Kuala Lumpur dan pameran solo terkini iaitu ketiga pula
di adakan di Muzium Seni Asia, Kuala Lumpur dengan tajuk ‘Faizal Sidik: Catan
Songket’.
7. Apakah kelainan karya anda dengan yang lain?
Kita mungkin banyak mendengar
catan-catan yang telah dihasilkan di negara ini misalnya catan batik yang
dihasilkan dengan menggunakan proses teknik batik di atas kanvas. Catan songket
atas kanvas yang saya perkenalkan dan bawa ini pula berinspirasi motif-motif flora
dan kosmik dalam songket seperti pucuk rebung, bunga matahari, awan larat dan
lain-lain dalam bentuk geometrik yang digabungkan dengan cerita-cerita di dalam
karya agung klasik Melayu seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah.
8. Berapa lamakah anda perlukan untuk
menyiapkan sebuah lukisan?
Bergantung kepada saiz, karya yang
bersaiz kecil seperti 3 x 6 kaki jika diberi tumpuan yang sepenuhnya boleh
dihasilakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Manakala karya yang bersaiz
gergasi seperti 5 x 18 kaki boleh dihasilkan dalam lima hingga enam minggu.
9. Apakah pencapaian tertinggi anda yang
pernah anda kecapi?
Selain melukis saya juga aktif
mengkuratorkan pameran seni, antara anugerah seni lukis yang pernah diraih
adalah hadiah saguhati Anugerah Bakat Muda Sezaman pada 2000. Selain itu saya
dijemput menjadi kurator pada Singapore Biennale 2013 (26 Okt 2013 – 16 Feb
2014) dan yang terkini pula kurator untuk Kuala Lumpur Biennale 2017 (1 Nov
2017 – 31 Mac 2018).
10. Apakah
projek anda pada masa terdekat ini dan apakah pula cerita yang anda akan bawa
di pameran kali ini?
Saya masih terus menghasilkan catan
songket dengan tema cerita Puteri Gunung
Ledang namun dengan saiz-saiz catan yang lebih besar dari sebelumnya misalnya
6 x 8 kaki, 6 x 12 kaki, 8 x 12 kaki dan 8 x 18 kaki. Pada masa yang sama saya giat
untuk menghasilkan cenderahati-cenderhati untuk produk pameran saya seperti
cakera video digital (dvd), t-shirt, bag, jam dinding, cawan, lencana, kasut
dan lain-lain.
11. Apakah
perancangan anda untuk berkongsi karya
anda dengan khalayak dimasa depan?
Saya dalam
perancangan mengadakan pameran bergerak ke muzium, balai seni negeri dan galeri
seni diseluruh negara. Selepas kejayaan pameran solo ketiga ‘Faizal Sidik:
Catan Songket’ yang diadakan di Muzium Seni Asia, Kuala Lumpur ia akan bergerak
dipamerkan ke selatan tanahair. InsyaAllah pada hujung tahun ini akan ke Balai
Seni Lukis Melaka dan Galeri Seni Johor
pada awal tahun depan. Kemudian pameran ini akan naik ke negeri pantai timur
seperti Galeri Pantai Timur di Kuantan, Muzium Negeri Terengganu di Kuala
Terengganu dan Balai Seni Lukis Kelantan di Kota Bharu. Pameran ini akan
berjalan seterusnya ke negeri sebelah utara seperti Balai Seni Negeri Kedah di
Alor Setar dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang. Pameran jelajah yang
mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk bergerak ini akan berakhir di Galeri
Al-Biruni, Seri Iskandar Perak. Jadi saya berharap jika ada penaja yang berminat
seperti patron perseorangan, butik fesyen dan yayasan seni budaya atau badan
korporat untuk bersama-sama saya dalam terus memperjuangkan songket sebagai
tekstil warisan kita agar terus gah.
12. Apakah
harapan anda terhadap pengkarya muda pada masa kini dan lapangan haluan seni
lukis negara itu sendiri?
Seni lukis
pada masa kini telah banyak berubah dan peluang untuk berpameran bagi pengkarya
muda lebih terbuka dan meluas jika dibandingkan dengan 30 atau 40 tahun lepas
dimana ruang pameran atau galeri seni untuk mereka menunjukkan hasil kerja
mereka agak terhad dan hanya berpusat di Kuala Lumpur sahaja, namun kini banyak
galeri-galeri seni yang tumbuh seperti galeri swasta, galeri universiti, balai
seni negeri dan muzium-muzium seni seperti Balai Seni Negara yang menyediakan
ruang dan peluang untuk mereka menonjolkan kreativiti mereka. Seni lukis kini telah
menjadi satu fenomena global, jika dahulunya ia hanya aktif berpusat di Eropah
dan Amerika namun pada hari ini semakin diminati, ramai orang yang tertarik samada untuk datang
ke galeri atau memiliki hasil seni untuk dijadikan hiasan, aset atau dijadikan
komoditi dagang. Haluan untuk menikmati pencapaian dan kejayaan dari aspek
penghormatan dan kewangan sentiasa ada dan pasti akan tiba serta terbentang dihadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan