Faizal Sidik kurator 4th Singapore Biennale (2013) dan 1st KL Biennale (2017) |
Oleh:
Faizal Sidik
Dunia seni kini penuh dengan acara-acara
seni yang pelbagai skala samada biennale, art fair, pameran di muzium, pameran
di galeri, rumah lelongan ataupun di ruang-ruang awam. Biennale ataupun penganjuran acara yang diadakan secara dwitahunan
atau dua tahun sekali ini begitu sinonim dengan acara kesenian dan kebudayaan
yang menglibatkan penglibatan secara langsung sesebuah negara, bandaraya,
bandar-bandar utama ataupun sesebuah organisasi seni. Venice Biennale, Sao
Paolo Biennale, Sydney Biennale, Berlin Biennale, dan Fukuoka Asian Art Triennale misalnya adalah antara penganjuran biennale dan triennale yang melibatkan nama sesebuah ibu negara atau bandaraya besar utama dunia. Venice
Biennale merupakan penganjuran pameran seni kontemporari yang tertua dan
terawal sejak 1895. Di rantau Amerika Latin pula Sao Paolo Biennale mewakili
suara Amerika Selatan yang pada tahun yang telah memasuki edisi yang ke-31.
Beberapa biennale-biennale yang di atas masih muda tindakbalas daripada
kehendak dan minat audien seni yang semakin membesar. Kehendak-kehandak ini
tidaklah lahir dengan sendirinya malah ia adalah tindak balas bandaraya besar itu
dalam menyediakan penganjuran acara seni dan budaya yang berkelas dunia
sekaligus meletakkan negara mereka di dalam pemetaan acara seni terbaik untuk
dikunjungi. Ia bukan sahaja pengacaraan semata-mata tanpa memikirkan pulangan
lain dari sudut ekonomi yang boleh menjana industri pelancongan budaya yang
akhirnya meningkatkan pendapatan perkapita negara tersebut.
Dalam bacaan mudah untuk negara ini bagi
orang awam adalah jika saya masih ingat semasa saya di alam persekolahan kita
pernah menganjurkan sirkit perlumbaan motosikal Grand Prix iaitu nama lama
untuk Moto GP kini. Malaysia seingat saya telah diberi lesen oleh pemilik
penganjuran di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan kemudiannya di Litar Pasir
Gudang, Johor Baharu (mungkin satu strategi pemasaran kerana berhampiran dengan
negara jiran Singapura). Bermula dari sirkit inilah Malaysia telah diberi
laluan untuk mengadakannya beberapa tahun, namun pada masa yang sama negara
telah melobi kepada FIA iaitu pengajuran asal perlumbaan kereta Formula One
yang membawa kepada pembinaan projek Litar Antarabangsa Sepang, berhampiran
dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Malaysia sehingga kini masih
mendapat hak penganjuran daripada penganjur untuk menganjurkan edisi ke-19
iaitu yang terakhir pada tahun ini. Melihat kepada acara ini boleh menjana
kewangan daripada industri penerbangan dan perhotelan di samping tempat-tempat
tarikan pelancongan yang ditawarkan di sekitar Lembah Klang, lima tahun akhir
ini negara jiran sebelah juga memohon hak untuk mendapatkan hak penganjuran
namun dengan kelainan sedikit yang diadakan disebelah malam.
Apa yang ingat saya sebutkan di sini
adalah sebagai sebuah naratif atau kronologi sesebuah penganjuran yang bersifat
sirkit atau pusingan. Jika anda menganalisis Moto GP atau Formula One sirkit-sirkit
ini akan langsungkan mengikut negara-negara rantau atau benua yang berhampiran
dahulu sebelum beralih kepada bandar-bandar yang lebih jauh jaraknya untuk
difikirkan dari sudut logistik untuk memudahkan pemindahan dan mengurangkan
kos. Selain itu faktor laluan atau route
circuit kepada para peminat dalam merancang perjalanan mereka yang lebih
tersusun dan tidak melangkau juga perlu diberi perhatian. Dalam penganjuran Biennale juga faktor-faktor tarikan ini
perlu dilihat semula dalam membaca psikologi pelawat dalam membuat keputusan.
Tidak hairanlah acara biennale kini
bukan lagi hanya berdiri sebagai sebuah biennale,
ia kini digunakan oleh negara-negara yang menganjurkannya juga sebagai satu
platfom untuk mempertontonkan dan meninggikan lagi taraf negara dari aspek
kesenian mereka setanding dengan negara-negara yang lebih maju dari mereka di arena
antarabangsa. Biennale adalah satu
perlaburan jangka panjang yang bukan sahaja mensasarkan kepada audien-audien
budaya tetapi menjadikan sesebuah negara penganjur sebagai muzium tanpa
sempadan atau a museum without a wall
dalam menarik perhatian dunia.
Apabila membicarkan biennale yang menyempenakan namanya berdasarkan bandar atau
bandaraya dimana ia berada seperti Sydney Biennale, Berlin Biennale, Liverpool
Biennale dan yang lain-lain, sudah tentu ia melibatkan kerajaan tempatan atau majlis
bandaraya dimana penganjuran itu dilakukan dalam menghormati autoriti mereka
dalam yang empunya tempat atau lokasi biennale
itu diadakan. Biennale yang
menggunakan nama bandarya ini daripada pengamatan saya beroperasi bukan sahaja
atas nama penganjuran biennale seni,
malah majlis bandaraya berkenaan
mempunyai serampang dua mata dalam menyediakan
infrastruktur-infrastruktur yang lain yang dapat membantu dalam mempermudahkan
tempoh jangka masa kelansungan acara itu
diadakan di bandaraya mereka. Penglibatan Datuk Bandar di dalam lembaga tertinggi
dalam penganjuran Biennale adalah
sesuatu yang perlu diberikan perhatian sebagai pemudah cara kerana ia melibatkan
bandaraya itu sekaligus akan memberi impak yang kuat dimata masyarakat dunia
seni.
Perihal ini jugalah yang berlaku di
dalam sejarah awal penganjuran Venice Biennale dimana Datuk Bandar Venice pada
masa itu Ricardo Selvatico memberi komitmen yang cukup besar dalam menarik pengunjung
ke bandar itu. Tidak hairanlah kini Venice yang kaya dengan sejarah sejak Zaman
Pencerahan atau Renaisan pada abad ke-15 dengan seni lukis, seni bina dan
sebagai pusat perdagangan utama di Eropah pada masa itu masih mengekalkan
kecermelangannya sebagai bandar kebudayaan yang harus di lawati di Itali selain
dari bandarayanya iaitu Rom dan juga Milan. Apabila mengkaji berkenaan Venice
Biennale pembaca sering difahamkan dengan penganjuran seni kontemporari
antarabangsa yang berskala raksasa sifatnya, anggapan di bukanlah tidak benar
tetapi tidak tepat. Walaupun pada awalnya Venice Biennale menumpukan
penganjurannya kepada acara seni lukis namun pada hari ini ia meliputi pelbagai
disiplin seni yang lain seperti seni bina, seni filem, seni tari, seni muzik,
seni teater dan juga persidangan antarabangsa arkib sejarah.
Untuk membaca Venice Biennale itu
bolehlah dikatakan begini, La Biennale
atau The Venice Biennale merupakan penganjuran dwitahunan acara kesenian yang
sungguhpun produk utama mereka adalah Art
Biennale (56th International Art
Exhibition) atau pameran seni lukis antarabangsa yang dianjurkan pada tahun
2017 misalnya, yang diadakan di lokasi utama iaitu di Giardini, Arsenale dan pavillion negara merata ceruknya yang biasanya diadakan pada musim panas iaitu pada
Jun hingga November boleh dikatakan dalam tempoh enam bulan. Namun
pada tahun berikutnya pula iaitu Venice Biennale 2018 akan di isi dengan Architecture Biennale (16th International Architecture Exhibition)
juga biasanya pada masa musim panas iaitu pada Jun hingga November disamping
pengisian lain pada tahun yang sama dengan 73rd
Venice Film Festival, Dance Biennale (11th
International Festival of Contemporary Dance), Music Biennale (61st International Festival of Contemporary Music),
Theatre Biennale (45th International Theatre Festival) dan ASAC Biennnale (The Historical Archives of Contemporary Arts). Maksudnya disini
adalah The Venice Biennale ini beselang setahun diantara pemeran seni lukis
antarabangsa dengan penganjuran antarabangsa genre-genre seni yang lain.
Di awal perenggan saya ada menyebut
tentang beberapa jenama biennial yang melibatkan nama pusat bandaraya sesebuah
negara, namun begitu terdapat juga biennnial yang diadakan di dalam institusi
penting negara itu dalam mengadakan pameran yang berskala besar dan bertaraf
antarabangsa. Contohnya Whitney Biennial di Whitney Museum of American Art,
Fukuoka Asian Art Triennial di Fukuoka Art Museum dan Taipei Biennial di Taipei
Fine Art Museum. Whitney Museum yang menumpukan kepada seni lukis Amerika mula
mengadakan biennial ini di premis mereka sejak 1932 lagi. Pada Whitney Biennial
2014 misalnya mereka menjemput tiga kurator diluar antaranya dari Museum of Modern
Art (MOMA), Institute of Contemporary Art (ICAS) Philadephia dan Art Institute
Chicago (AIC). Setiap kurator ini diberi kebebasan mengkuratorkan pameran
mereka sendiri mengikut setiap tingkat aras bangunan museum.
Malaysia telah memutuskan untuk mengadakan
biennale bandarayanya sendiri iaitu Kuala
Lumpur sejurus hasil dari lawatan delegasi Malaysia yang terdiri oleh bekas
Ketua Pengarah Balai Seni Negara yang lepas iaitu Encik Haned Masjak dan diri
saya sebagai kurator pengiring yang ditaja oleh pihak Matrade untuk kami melawat edisi 53th Venice Biennale pada
2011 yang bertemakan Íllumination' dikuratorkan
oleh Bice Curiger. Pada mulanya lawatan awal adalah melihat bagaimana Venice
Biennale dianjurkan dengan lebih dekat melalui lawatan ke taman pavillion negara-negara
yang terletak di Giardini dan bekas gudang Arsenale. Walaupun terdapat beberapa
pelukis Malaysia yang telah mengambil bahagian dalam Venice Biennale sebelum
ini tetapi mereka hanya menumpang pada pameran satelit atau menumpang pada
pavillion negara lain dan bukan di bawah pavillion Malaysia secara rasmi ini
dilihat belum cukup untuk meletakkan Malaysia di peta seni dunia.
Dalam kata lain lawatan ini adalah untuk membuat penyelidikan bagi penyertaan
rasmi Malaysia pada Venice Biennale berikutnya 2013, tetapi hasrat ini belum
lagi tercapai kerana belanjawan logistik pameran selama enam bulan yang terlalu
mahal. Kapisiti Balai Seni Negara sebagai institusi tunggal seni negara masih
belum mampu menampung kos berkenaan disamping perlu mencari rakan pintar lain
melalui yayasan atau dana swasta dalam menampung kos bersama. Dalam perjalanan ke arah itu Malaysia telah memilih
untuk menganjurkan Kuala Lumpur Biennale, iaitu biennale pertamnya terlebih dahulu sebagai persediaan untuk acara
yang lebih besar seperti Venice. Hasilnya pada tahun 2014 langkah-langkah untuk
mengadakannya pameran mega sebagai salah satu kalender penting seni sezaman
dirantau Asia Tenggara ini telah dijalankan. Beberapa siri bengkel telah
diadakan seperti sesi penerangan ‘Pulangan
Modal Pelaburan' atau Return of
Investment (ROI) oleh panel
Majlis Tindakan Ekonomi Negara, simposium 'Biennale
Art in the City' dari 15 hingga 17 Disember 2015,' bicara seni menerusi 'Biennale Book Club Talk' oleh Alfanso
Hug pada 2 Mac 2016, pameran ‘’Retro Biennale’’ 2016 dan lawatan tapak ke
lokasi-lokasi pameran setelit di lokasi terpilih.
Perletakan biennale adalah forum,
platform atau suara benua yang diwakilinya. Adakah kewujudan biennale di Asia
Tenggara ini seperti Kuala Lumpur Biennale, Singapore Biennale, Jakarta
Biennale dan Jogjakarta Biennale adalah mewakili suara rantau ini kepada dunia?
Sao Paulo Biennale misalnya menghubungkan seni di Amerika Selatan (Brazil
terutamanya) kepada Eropah dan Amerika Syarikat. Havana Biennale (Cuba
terutamnnya) pula menawarkan asas artistik menghubungkan Amerika Latin dan
kepulauan Caribbean iaitu negara-negara berkecuali. Documenta pula dalam
menjadikan Kassel sebagai tempat simbolik pengantarabangsaan seni Jerman
selepas era Nazi untuk menentang abstraksi
Jerman Barat kepada Sosialis Realisme. Oleh itu Kuala Lumpur, Singapore,
Jakarta/Jogjakarta perlu menjadi biennale
versi serantau pertukaran antara
tempatan dan antarabangsa sebagaimana kawasan ini pernah menjadi pusat
perdagangan entreport pada masa dahulu. Kini nilai-nilai semangat Asean seperti
kerjasama serantau, keutuhan wilayah, kedaulatan, pemupukan keamanan, sikap
berkecuali, pertikaian secara damai melalui dialog dan rundingan seperti yang
terdapat pada piagam yang perlu sejagatkan. Di sinilah kekuatan identiti biennial atau suara kita dalam
menghubungkan Asia Tenggara kepada dunia.
Nilai kebersamaan yang universal melalui
tema kesejagatan perihal kemanusiaan inilah yang diangkat semula melalui tema Alami
Belas (Beloved) oleh Kuala Lumpur Biennale 2017. Wajah pameran berskala besar
seperti biennale dan triennale kini lihat bersifat eksklusif kepada mereka yang
berduit dan berharta dan kelihatan elitis dengan imej kapitalisme pembuat modal
manakala golongan pekerja yang disuakan dengan seni popular dan dikatakan
bersifat hiburan semata-mata. Sesuai dengan konteks biennial medium penerokaan
dan mempersoal perihal yang berlaku sekarang, KL Biennale adalah anti pemodenan yang
murung jiwanya, ia ingin mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada dunia pada
hari ini dan perlunya golongan seniman terlibat sama dalam menyeimbangkan
semula keadaan. Alami Belas mengajak manusia menoropong jauh ke dalam diri
bermuhasabah mengajak kita kembali menginsani semula hubungan kita dengan alam,
manusia dan tuhan.
Mengambil daripada bunga teratai atau lotus sejenis tumbuhan akuatik yang
berasal dari Asia yang merupakan simbol kepada kemurnian sebagai simbol tema Alami
Belas. Setiap kelopak inilah yang ingin dibelasi, dikasihi, dicintai semulanya jiwanya melalui belas kepada Alam,
Haiwan, Insan, Warisan, Kerohanian dan Belasungkawa. Biennale yang tinggi seninya akan mempamerkan karya yang kurang
ikatannya dengan orentasi pasaran dan citarasa yang dipandu oleh kolektor
kerana sifatnya lebih kritikal dan lebih
mencabar. Tema-tema kecil inilah yang ingin dicabar oleh kumpulan kurator
melalui medium simbolik seperti sinema, reka bentuk dan seni bina dalam kata
lain lebih sezaman melalui aturan kuratorial
seperti (sokongan tenaga antarabangsa, pameran dikuratokan artis,
pameran satelit dan pameran koloborasi) dan struktur pameran (secara geografinya
bersama program sokongan, simposium, penerbitan).
Karya-karya terpilih yang dipamerkan di
dalam mana-mana biennale biasanya lebih cepat dicerap audien dan wacananya
mempunyai pelbagai tafsiran berdasarkan konteks yang dikupas. Dalam pameran
mega yang berskala besar ini karya-karya pelukis luar yang terpilih diimport jemput masuk ke dalam pameran bersama-sama
pelukis tempatan dan bersama koleksi Balai Seni Negara dalam mewujudkan
kebersamaan tema dan konteks penceritaan
disamping memperkayakan lagi tatabahasa bahasa visual pelukis tempatan
atau koleksi melalui pertukaran budaya visual dalam memperkasakan muzium
sebagai tempat pemulihan jiwa atau musabah diri.
Akhirnya, pelantikan sebagai kurator
Biennale Kuala Lumpur 2017 atau kali
kedua selepas dipilih kurator pameran mega Singapore Biennale 2013 bersama 27
orang kurator antarabangsa yang lain empat tahun sebelum ini banyak membantu profesionalisme
dalam selok-belok pengkuratorial KL Biennale. Sebagai anak sulong dan saiz belajawan
yang agak ketat sudah tentu pementasan pertama ini amat berguna sebagai
perancangan jangka panjang kepada kita dalam bergerak ke hadapan dalam
menjadikan ‘wajah’ Kuala Lumpur sebagai bandaraya global yang lebih dekat ‘rupa’
belasnya kepada alam dan manusia sebagai pelestarian ekosistem.
Faizal Sidik, 'KL Biennale Mendekati Alam dan Manusia', Dewan Budaya, Bil. 4 2018 (April), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, ms 48-51.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan