Selasa, 7 Mac 2017

Karya songket Faizal Sidik



Oleh: Amirul Akmal Redzwan
Kosmo, 27 Februari 2017


DUNIA seni lukisan semakin rancak berkembang dan banyak pameran seni dianjurkan dari semasa ke semasa di negara ini.
Situasi itu memberi ruang dan sinar kepada para pelukis tempatan untuk mempamer serta mempertaruhkan karya-karya seni mereka.
Merupakan salah sebuah galeri yang sering mengadakan pameran seni, Muzium Seni Asia (MOAA) dilihat terus bergerak ke hadapan untuk membantu artis-artis seni tanah air memperkenalkan hasil karya mereka kepada masyarakat umum.
Bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, MOAA dengan kerjasama Koperasi Pelukis-Pelukis Negara Berhad (KPNB) mempersembahkan sebuah pameran solo yang ketiga oleh pelukis Faizal Sidik.
Pameran Faizal Sidik: Catan Songket ini menghimpunkan lebih 50 karya seni terbaru yang dihasilkan daripada tahun 2010 hingga 2016.
Menurut pelukisnya, Faizal Sidik, 39, songket merupakan seni kraf tekstil tradisi Melayu yang terkenal di seluruh dunia yang menggunakan elemen geometrik dalam menghasilkan corak.
Katanya, dia menghasilkan catan songket atas kanvas sebagai satu kesinambungan tradisi dalam bentuk catan kontemporari yang menggunakan motif songket.
“Pameran ini mempamerkan 10 buah catan, 40 buah lukisan dan lakaran serta empat buah arca yang mengambil inspirasi corak bunga songket seperti bunga bintang, bunga tanjung, matahari, awan larat dan lain-lain,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tema naratif
Tambahnya, dia menggabungkan kraf dan kesusasteraan tradisi melalui tema naratif di dalam sejarah Melayu tentang perjalanan Tun Mamat dan Laksamana yang melalui sebuah taman yang indah dan misteri dalam misi meminang Puteri Gunung Ledang seperti yang diungkapkan dalam Sullatus Salatin atau buku Sejarah Melayu.
Selain itu, Faizal memberitahu, terdapat dua perkara menarik pada pameran ini yang sukar untuk dilihat dalam mana-mana pameran seni.
Pertama adalah sebuah karya catan songket atas kanvas yang bertajuk Taman Impian Ledang II berukuran 549 sentimeter (sm) panjang dan 123.5sm boleh dikatakan catan songket yang terpanjang pernah dihasilkan di negara ini.
Dia menggambarkan sebuah taman mistik yang indah dipenuhi dengan bermacam-macam bungaan manakala kedua adalah pada awal pameran Faizal merakamkan teks sastera melalui lukisan bersiri dengan tajuk Peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Raja Melaka di mana terdapat kronologi 18 babak lukisan landskap mengenai perjalanan rombongan itu.
Pada akhir babak adalah permintaan-permintaan yang diinginkan oleh sang puteri yang perlu dipenuhi.
Dia mengakui ingin menggambarkan kegilaan sang raja yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi keinginan di hati walaupun ia membebankan ahli keluarga dan rakyat sebagai satu komentar sosial terhadap ketamakan penguasa seperti seorang desperado.
“Pencapaian idea-idea yang menjadi pencetus dan bernas seorang pengkarya amat perlu dalam mengasah masyarakat untuk berfikir secara kritis dan memahami strategi latihan minda bagi mengapai masyarakat intelektual.
“Semoga pameran ini dan wacananya akan melahirkan revolusi pemikiran serta penglibatan strategi dalam menghasilkan karya-karya seni visual pada masa hadapan,” ujarnya.
Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya-karya Faizal secara lebih dekat di MOAA, Universiti Malaya yang dibuka kepada orang ramai sehingga esok.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm





Tiada ulasan:

Catat Ulasan