Selasa, 7 Mac 2017

Bawa konotasi spiritual - Motif Songket Dihasil Berdasarkan Kisah Dalam Sejarah Melayu



Oleh: Siti Salmiah A Hamid
Harian Metro, 25 Februari 2017



Songket sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia sebagai seni kraf tekstil tradisi Melayu yang memiliki elemen alam sekitar dan geometri dalam coraknya.
Untuk itu, artis Faizal Sidik melakukan satu kesinambungan tradisi dalam bentuk kontemporari dengan melahirkan pelbagai motif songket seperti bunga bintang, bunga tanjung, pucuk rebung, matahari dan awan larat.
Motif berkenaan dilahirkan mengikut kisah yang pernah diungkapkan dalam Sulalatus Salatin atau manuskrip Sejarah Melayu mengenai perjalanan Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah ke Gunung Ledang untuk menemui sang puteri.
Faizal Sidik merungkai karya siri Taman Misteri Gunung Ledang dengan memasukkan teknik seni tenunan kain songket lalu dibentangkan di ruang kanvas.
Hasil seni artis membawa konotasi spiritual, oleh itu penonton perlu memahami kosmologi nilai keindahan dan spiritual.
Asas seni tradisional digabungkan melalui tulisan, pembuatan dan visual dalam satu karya.
Beliau melahirkan 10 catan, 40 lukisan dan lakaran serta empat arca yang mula dihasilkan sejak 2010 dengan memasukkan elemen songket dalam catan kontemporari.
Pilihan warna turut bertepatan dengan setiap karya agar dapat memperincikan keindahan pohon, buluh, keadaan awan dan burung yang terbang. Malah, untuk melengkapkan bunga bintang, beliau menggunakan manik bagi menaikkan seri bunga.
Penggunaan cat kilat turut menyerikan kanvas selain penggunaan dakwat dan campuran di atas kertas.
Karya beliau dijual serendah RM300 sehingga mencecah RM21,000 iaitu karya yang memiliki tiga panel penuh warna dan sentuhan unik



http://www.hmetro.com.my/node/208437

Tiada ulasan:

Catat Ulasan