Khamis, 17 Disember 2015

Epistemologi dan Penterjemahan: Pengetahuan dan Kecekapan dalam Tingkah Laku Penterjemah

Oleh: Faizal Sidik


"Epistemologi  adalah cabang dalam falsafah yang berkait dengan teori ilmu"
Awang Sariyan
Pengenalan

Epistemologi adalah falsafah pengetahuan, dalam kata lain epistimologi adalah teori tentang ilmu pengetahuan, terutamanya yang berkaitan dengan kupasan kritis tentang kesahihan, kaedah dan skop sesuatu pengetahuan. Epistemologi merupakan cabang falsafah seperti juga estetik iaitu berkait dengan teori seni (falsafah seni), metafizik iaitu ilmu tentang kewujudan. Logika pula adalah ilmu alasan dan struktur penghujahan, etika berkaitan isu kebenaran dari aspek penilaian tingkah laku manusia (falsafah moral) dan falsafah politik berkaitan dengan kekuasaan dan keadilan. Pengkajian epistemologi terhadap bidang-bidang ilmu yang lain melahirkan banyak penemuan dan penerokaan yang tidak terfikirkan oleh pemikiran manusia misalnya epistemologi dan penterjemahan.



Analisis Buku

Topik epistemologi dalam penterjemahan yang dibuat penganalisaan ialah Bab 3 dengan tajuk Translation of  Knowledge-Base Activity atau ‘Terjemahan Sebagai Aktiviti Berasaskan Pengetahuan’.  Topik ini adalah berdasarkan buku yang ditulis oleh sarjana Jerman yang bernama Wolfram Wilss yang bertajuk Knowledge and Skill in Translator Behaviour atau ‘Pengetahuan dan Kecekapan dalam Tingkah Laku Penterjemah’ yang diterbit oleh John Benjamin Publishing Company yang berpengkalan di Amsterdan dan Philadelphia. Buku ini diterbitkan pada tahun 1996 dan mempunyai 259 halaman.

Untuk mengetahui dengan lebih mendalam teori pemikiran yang dibawa oleh pengarang, meneliti berkenaan latarbelakang pendidikan dan sumbangan beliau dapat membantu kita dalam memahami alam fikirnya. Wolfram Wilss dilahirkan pada 25 Julai 1925 di bandar Ravensburg, di dalam negeri yang bernama Baden-Wurttemberg iaitu yang terletak di selatan negara  Jerman. Wilss merupakan profesor di Jabatan Linguistik Terapan, Terjemahan dan Interpritasi, Fakulti Kemanusiaan, Kesusasteraan dan Pengajian Budaya di Universiti Saarland. Beliau telah mengabdikan dirinya selama 45 tahun ahli akademik dimana pada tahun 1968 beliau telah dilantik menduduki “Kerusi Linguistik Terapan dengan Kepujian dalam Teori Penterjemahan” sebelum beliau menjadi Profesor Emeritus pada tahun 1990.

Sebagai ahli akademik beliau sangat aktif dan komited di dalam komuniti akademik di Jerman. Wilss dikenali sebagai ahli penteori penterjemahan yang mana pengkajian penterjemahan berkonteks sejagat dan universal.  Tidak hairalah sekiranya beliau telah dianugerahkan sebagai Doktor Kepujian daripada sebuah bandar iaitu Aarhaus di Denmark atas sumbangan diperingkat antarabangsa dalam penyelidikan, pengajaran dan penerbitan kajian-kajiannya pengajian penterjemahan moden.. Sarjana penterjemahan ini telah meninggal pada 3 Ogos 2012 pada usia 87 tahun. Kematiannya  Wilss adalah satu kehilangan besar sebagai seorang pemikir Pengajian Penterjemahan

Sinopsis ringkas berkenaan dengan buku karangan Wilss ini adalah buku ini memperjelaskan pendekatan yang mana akan memberi kepada pembaca pandangan umum tentang apa yang sebenar yang dilakukan oleh penterjemah dan ia menerangkan konsep dan perkakasan yang digunakan, apa yang dihadapi minda dalam penterjemhan. Secara keseluruhan buku ini lebih memperkatakan tentang proses daripada bagaimana menghasilkan produk. Penterjemahan dilihat sebagai aktiviti dengan harapan ia dapat membina perhubungan antara komuniti bahasa sumber dan komuniti bahasa sasaran dan oleh itu perlunya komunikasi yang lebih aktif terutamanya pada tingkah laku berdasarkan persoalan “Apa yang diterjemahkan, untuk siapa dan kenapa?”

Analisa Topik Perbincangan

Buku ini mempunyai 11 kandungan bab antara bab 1; Skop Pengkajian Penterjemahan dan Cabarannya, bab 2; Aspek Teoritikal dan Imperikal dalam Pengajian Penterjemahan, bab 3; Terjemahan Sebagai Aktiviti Berasaskan Pengetahuan, bab 4; Kaedah Konteks Budaya Tiga orentasi asas dalam penterjemahan, bab 5; Penterjemahan sebagai Proses Berasaskan Informasi Makna, bab 6; Proses Penterjemahan dan Prosedur Penterjemahan, bab 7; Peranan Penterjemahan dalam Proses Penterjemahan, bab 8; Wacana Linguistik dan Penterjemahan, bab 9; Penterjemahan sebagai Membuat Keputusan dan Pilihan, bab 10; Pengajaran Penterjemahan berorenatsikan pendekatan praktis dan bab 11; Penterjemahan Manusia dan Penterjemahan Mesin suatu perbandingan.

Merujuk kepada topik pengkajian bab 3 iaitu ‘Terjemahan sebagai Aktiviti Berasaskan Pengetahuan’ ianya terbahagi kepada beberapa topik kecil seperti tajuk Pengenalan Awal, Skema Susunan Organisasi, Konsep Skema Sususnan dan Jenis Teks Linguistik, Skema Sususnan Psikologi Realiti, Skema Susunan Teori dan Prestasi Penterjemah, Domain-Penghadan dan Pengetahuan yang Relevan bagi Penterjemah.

Skema Susunan Pengetahuan

Arafah (2010) dalam penulisan blognya yang bertajuk ‘Ilmu Penterjemahan dalam Bahasa Jerman’ beliau mengenalpasti dan memberikan 3 cabang ilmu pengetahuan penterjemahan  Wilss, menurutnya;

Ilmu penterjemahan Wilss terbagi menjadi 3 cabang penelitian yang berhubungan tapi terpisah: (1) sebuah deskripsi “ilmu penterjemahan umum” yang melibatkan teori penterjemahan; (2) “kajian padanan penterjemahan deskriptif”; (3) “penelitian terapan” dalam penterjemahan menunjukkan kesulitan penterjemahan tertentu dan cara memecahkan masalah tertentu. “Ilmu umumnya” (1) adalah dasar pikiran yang sangat diberatkan ke arah teks linguistik yang mengkategorisasikan teks baik secara tematis maupun fungsional. Para penterjemah harus memiliki apa yang disebut Wills kemampuan analitis-teks; jenis-jenis teks itu sendiri diklasifikasikan sebagai “lebih berorientasikan penterjemahan” atau “kurang berorientasikan penterjemahan”. “Kajian deskriptif” (2) cenderung untuk fokus pada “padanan teks pragmatis” atau contoh yang menimbulkan serangkaian ide dan konsep yang sama. Metode Willss melibatkan baik parafrase makna aslinya penterjemahan intralingua maupun penterjemahan interlingua-memindahkan makna tersebut ke dalam bahasa sasaran dan menaruh banyak penekanan pada tanggapan psikotis. “Penelitian terapan” (3) menawarkan pengertian praktis pada kesulitan-kesulitan penterjemahan tertentu dan mencoba untuk memecahkan mereka dengan pendekatan makna terakhir.

Di dalam ‘Skema Susunan Pengetahuan’, Wilss mengatakan  terdapat dua corak dalam alam pengetahuan iaitu aspek negatif dan aspek positif. Aspek negatif bermaksud apabila kita menghadapi kesukaran untuk memperlisankan ilmu tentang ilmu. Aspek positif pula adalah ia membawa kepada kemungkinan dalam memperlihatkan ilmu itu disimpan di dalam ingatan dan bagaimana mengaktifkan semula dalam situasi tententu.

 Konsep Skema Susunan dan Jenis Teks Linguistik

Menurut beliau lagi Setiap jenis skema teks mempunyai simpanan yang spesifik terhadap ilmu linguistik. Aspek yang utama terhadap teks lingustik adalah dengan menunjukkan kesannya terhadap teks sumber. Hal ini berlaku semasa giatnya penyelidikan yang berlaku pada awal 1970an terhadap lapangan linguistik.

The text type scheme as specific repository of linguistic knowledge. It is salient aspect of text liguistics with obvious repercussions on TS. When text type research burst on to the linguistic scene in the early 1970s (Gulich/Raible 1972)

Antara teks-teks yang dimaksudkan beliau yang berada dalam kategori ini adalah teks seperti novel, historiografi, biografi, ulasan, resolusi, iklan, rencana saintifik, resipi, manual panduan , surat, laporan kaji cuaca, teks falsafah dan lain-lain. Berdasarkan penelitian setiap teks ini mempunyai terlebih dan terkurang pada struktur yang dikenal pasti. Misalnya Wilss memberi contoh laporan kaji cuaca mempunyai penerokan terhaadap pengkajian psikologikal kerana ia mempunyai format yang kaku, leksikon yang terhad dan sintak yang ketat atau peraturan yang menguasai struktur bahasa

Skema Susunan Psikologikal Realiti dan Teori dan Prestasi Penterjemah

Bagi penterjemah adalah satu keperluan dalam memperoleh kemahiran menterjemah dengan memperluaskan pengalaman dan melakukan kajian, dimana ia akan memberi kelebihan dalam menyimpan maklumat sebagai perkakasan untuk mengoptimumkan input teks bahasa sumber dan hasil teks pada bahasa terjemahan. Ia akan membina hubungan antara darjah kesamaan pada jenis teks atau gene teks dan menjadi norma panduan terhadap tingkah laku penterjemah

Menurut Wilss bagi meningkatkan prestasi kecekapan penterjemah ia boleh diperoleh dengan memperdalamkan pengalaman mereka dalam melihat, yang kemudiannya ianya akan disimpan di dalam ingatan dan akan digunakan semula secara optima sebagai alat  input teks bahasa sumber dan dijadikan output bahasa terjemahan. Ia cuba untuk membina hubung kait antara tingkat-tingkat kebolehterjemahan  jenis teks atau  teks umum dan norma yang diharapkan dalam memandu tingkah laku penterjemah. Berlawanan dengannya juga benar: dalam kebolehterjemahan pada teks, misalnya penterjemahan teks sastera, kita akan berasa lebih yakin untuk menetapkan norma-norma yang terdapat dalam terjemahan itu, sekurang-kurangnya, penterjemah yang telah menterjemah pelbagai karya yang dihasilkan seorang pengarang yang sama dan sudah tentu penterjemah telah biasa dengan konsep dan stailnya, kesinambungan inilah yang menimbulkan kepercayaan penterjemah dengan apa yang disebut sebagai “analogi atau kesan perlambangan”.

Domain-Kespeksifikan

Pengetahuan distruktur oleh domain atau bidang yang meliputinya. Domain menghubungkan struktur makna pengetahuan dimana ia bermaksud apabila kita mengingati informasi yang diberikan oleh domain, memori kita tidak akan menghantar senarai (atau sekumpulan) lebihan atau kurangnya fakta yang menghubungkan antara satu sama lain, namun dengan informasi dalam cara domain yang lebih spesifik. Misalnya jika kita terlibat dalam perbincangan penterjemahan literal lawan penterjemahan tidak literal, memori kita akan membekalkan kita dengan data yang relevan (jika data itu disimpan didalam memori) dan kita tidak akan memperkatakan sesuatu informasi tpik yang di luar sumber terjemahan.

 Pengetahun tentang domain-kespeksifikan ini merupakan topik-topik yang rumit dalam praktis penterjemah dan pengajaran penterjemahan (mungkin melangkaui daripada teori penterjemahan). Penterjemah pada hari ini dan akan datang  yang terlibat dalam terjemahan LSP (Language Sevice Provider), perlu bersedia untuk bekerja di dalam persekitaran yang dicirikan daripada pengetahuan tertentu dan dengan trend-trend yang terkehadapan apa yang disebut “pengetahuan kejuruteraan” (Drucker 1994: 18) yang amat diperlukan sebagai prasyarat yang tidak dapat dapat dielakkan dalam keprofesionalisme dalam melakukan aktiviti penterjemahan seperti mana yang telah dibincangkan oleh Sager di dalam sebuah buku yang hebat dalam melihat masa depan dengan judul Language Engineering and Translation: Consequences of Automation (1994)

Kesimpulan

Penjelasan Wilss terhadap aspek epistemologi di dalam penterjemahan di dalam  perbincangan beliau terhadap ‘Pengetahuan dan Kecekapan dalam Tingkah Laku Penterjemah’ merupakan sesuatu yang menarik dalam bidang penterjemahan terutamanya kepada penterjemah pelatih dan penterjemah profesional. Bagi pelatih mereka mengetahui apakah perbuatan yang akan berlaku samada secara sedar atau tidak sedar dari aspek psikologi semasa mereka ingin menterjemah sesuatu teks. Manakala bagi penterjemah profesional mereka dapat mengenal pasti dengan lebih dekat lagi sejauh mana ukuran kecekapan aspek  psikomotor yang berlaku dan telah berlaku dalam proses penterjemahan yang jararng-jarang disedari  berlaku secara langsung dan tidak langsung. Dengan pengetahuan mengenai kecekapan tingkah laku ia dapat membantu penterjemah dalam meningkatkan lagi mutu dan ketepatan terjemahan yang dilakukan.

Bibliografi:
Awang Sariyan, Persoalan Epistemologi Dalam Disiplin Linguistik dan  
            Relevensinya Dengan Linguistik Melayu, Jurnal Melayu, Universiti       
            Kebangsaan Malaysia, 2014, Bil 13, (Vol.2)
Arafah, 2010, Ilmu Penterjemahan dalam Bahasa Jerman,      
Awang Sariyan, Persoalan Epistemologi Dalam Disiplin Linguistik dan  
            Relevensinya Dengan Linguistik Melayu, Jurnal Melayu, Universiti       
            Kebangsaan Malaysia, 2014, Bil 13, (Vol.2)
Wilss, W., 1996. Knowledge and Skills in Translator Behaviour.
              Amsterdam/Philadelphia:  John Benjamin, Bab 3.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan