Jumaat, 9 Mei 2014

Wajah Unik Kuala Lumpur dalam Fotografi

Oleh:   Faizal Sidik 



Antara sedar atau tidak Bandaraya Kuala Lumpur yang mengambil nama daripada sebuah pekan kecil berlumpur menyambut hari penubuhannya yang ke-30 pada 1 Februari lalu.  Pelbagai upacara kebudayaan diadakan sempena menyambut kedatangannya. Jalan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Jalan Bukit Bintang, Jalan Chow Kit sudah menjadi semacam satu pertemuan rutin setiap sambutan bagi setiap warganya.

 

Melihat wajah Kuala Lumpur secara mendalam melalui mata kasar mungkin akan hilang diingatan dalam beberapa minit jika tidak dirakamkan. Selain melukis fotografi merupakan media yang digunakan untuk menyampaikan makna melalui lensa kamera. 

 

Fotografi bukan setakat medium yang menyampaikan imej-imej kewartawanan didada akhbar, majalah atau buku namun jika ditangani secara baik dengan sarat dengan isi kandungan serta  disampaikan secara berseni, ianya juga boleh meninggalkan pesan yang mungkin mengubah cara pemikiran kita secara positif  tentang sesuatu peristiwa yang berlaku.

 

Demikianlah apa yang dikatakan oleh ahli sosiologi Micheal McLuhan ‘media sebagai pengantar mesej’. Di tangan seniman, foto bukan sekadar sekeping kertas yang bergambar namun  ianya merupakan bahantara artistik dan salah satu jalan pengucapan  mereka menyampaikan komentar sosial, politik mahupun propaganda.

 

Nama Ismail Hashim , Eric Peris, Soraya Yusof, Lilian Tay, Mark Mc Leod, Hari Ho, Chan Kin Wah dan lain-lain merupakan antara seniman tempatan yang begitu aktif menggunakan fotografi sebagai bahan ekspresi mereka kerana fotografi bagi mereka mampu untuk merakamkan kebenaran dan perasaan  melalui pelbagai kaedah.

 

Pameran fotografi  ‘Pertemuan-Wajah Kuala Lumpur yang diadakan di Balai Seni Lukis Negara sehingga hujung bulan ini  mempamerkan karya fotografi terkini bandaraya metropolitan itu. Karya Ismail Hashim  yang bertajuk ‘Kebanggaan dan  Keselekehan Negara’ 1997. merakamkan sampah sarap yang terselindung di sebalik tembok yang bersebelahan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad kelihatan tersergam indah seolah-olah beliau ingin menyatakan rasa kurang senangnya. Beliau cuba mengingatkan kita keberkesanan prinsip ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ yang dilaung-laungkan. Karya ini berlatar belakangkan bangunan dan lanskap (luaran) yang menarik namun disebaliknya terdapat kekotoran (dalaman) yang disorok.

 

Ismail melalui karya ini bertanya dimanakah ketelusan dan kejujuran pihak bertanggungjawab terhadap pembangunana negara?

 

Eric Peris banyak memotretkan wajah sebenar Kuala Lumpur secar terus terang  dalam karya seperti ‘KLIA Express’, KTM Komuter’, ‘Putra LRT’. Cara persembahnya begitu bersahaja nampaknya dan  mula beralih kepada imej-imej yang bersifat pergerakan yang berhubungkait dengan alam sekitar.

 

Dalam ‘Restructed Sungai Kelang’ terdapat satu figura  yang sedang memancing ditebing Sungai Kelang. Eric menyarankan agar alam sekitar tidak dimusnahkanatas apa pun alasan  . Alam sekitar begitu penting. Kemusnahannya memberi banyak akibar buruk lain.

 

Soraya Yusof  pula lebih berminat menggabungkan imej lanskap dengan senibina dalam mengetengahkan karya cetakan digital hitam putihnya. Kombinasi ini cuba mengabungkan sentuhan seni halus dan fotografi  memperlihatkan satu mesej yang tersembunyi.

 

Karyanya ‘KL Sentral’ dilihat ingin berkongsi memori atau kenangannya dengan khalayak  KL Sentral seperti mana yang diketahui adalah pusat hentian  dan pertukaran stesen pengangkutan yang terkini dalam sistem pengangkutan negara dan merupakan nadi penggerak warga Kula Lumpur ke utara dan selatan.  Imej beg yang divisualkan oleh Soraya cuba memataforakan ikon manusia yang sentiasa bergerak untuk mencari destinasi yang ingin ditujuinya. Lanskap yang dipilihnya  mencerminkan gaya hidup warga kota yang futuristik. Beliau menyarankan  warganya agar lebih bersedia menjalani kehidupan  mendatang  dengan berbekalan beg ilmu agar berada di landasan yang benar.

 

            Masih banyak imej dan metafora yang dapat digunakan begi merakamkan detik nadi Kuala Lumpur. Bukan saja usianya semakin dewasa pada waktu  sama, sejarah masa lalu , masa kini dan malah masa depan adalah ruang yang menanti mata seniman merakamkan dalam genre pilihannya.

 

            Kini  kamera bukan sahaja mampu menceroboh imaginasi manusia, merakamkan masa lalu dan menjenguk masa depan malah kamera sebagai objek menghasilkan foto mampu menjadi senjata ampuh mencungkil pelbagai isu.

  Berita Harian , 26 Februari 2002

Tiada ulasan:

Catat Ulasan